Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

PCB#3: Saat Ginjalku Terhenti

 

"Ya Allah!"

Pandangan mataku tertancap pada botol sos tomato yang terbang dibaling Sidek merentasi kawasan lapang di halaman rumah. Hampir saja jantungku terhenti apabila mendengar bunyi ketukan kecil yang terhasil dari sentuhan botol kaca dibalut plastik itu dengan rumput. Sedikit sahaja lagi botol itu hampir terlanggar dengan pokok rambutan yang baru mekar dengan buahnya yang merah.

“In! Pergi tengok botol tu pecah ke tak! Rugi aku kalau botol tu pecah, tak ada sos la korang!”

Bingkas In keluar untuk mengutip botol yang dibaling Sidek tadi. Nasib baik, sos tomato tersebut masih lagi elok dan tidak terpecah.

“Hish kau ni! Bergurau pun tak boleh! Ada lagi la jemput-jemput tu kat dalam. Aku tak habiskan!” jerit In sambil melekek-lekek ketawa melihatkan reaksi Sidek.

Sidek baru balik dari stesyen minyak yang berdekatan untuk membeli sos tomato. Aku yang menyuruhnya untuk pergi. Budak berumur 5 tahun itu diusik abangnya, In, 10 tahun, yang mengatakan jemput-jemput yang aku masak telah habis dibedal sementelah pemergiannya untuk membeli sos tomato kegemarannya.

“Manalah tak dibaling botol tu merentas padang... baran juga budak ni. Macam bapanya!” bisik aku dalam hati.

“Nah Awa! Nasib baik tak pecah botol ni..” seru In yang menghulurkan botol tomato tersebut kepadaku yang berdiri di muka pintu. Gelak ketawa In masih tak berhenti. Terhenjut-henjut bahunya mengetawakan adik kecilnya itu.

Wan, 7 tahun, terkekek-kekek mengikut abangnya menggelakkan aksi botol terbang lakonan Sidek tadi. Dengan jemput-jemput di tangan, dia menghulurkan pada Sidek yang sudah berada di muka pintu. Dengan muka masam Sidek mengambil jemput-jemput tersebut tanpa berkata apa-apa.

Obie yang berumur 8 tahun masuk ke dalam rumah membuntuti Sidek di depannya. Sempat diketuknya kepala Sidek kerana geram dengan aksi botol terbang tersebut.

“Sakitlah bodoh!” jerit Sidek.

“Yang kau bongok pergi baling botol tu buat apa?” jerkah Obie.

“Sudah, sudah. Pergi makan jemput-jemput Awa dah masak tu..” aku meleraikan pergaduhan kecil mereka. Tersenyum aku melihat telatah anak-anak saudaraku ini.

“Hai lah budak... budak....”

*************************************************************************************

Itu cerita 12 tahun yang dulu. In sudah pun habis belajar, dan baru sahaja memulakan kerja di Kuala Lumpur. Hampir setiap bulan In balik dalam dua, tiga kali. Balik ke tanah tumpah darahnya sendiri. Balik ke daerah kelahirannya sendiri. Balik menjenguk aku.

Setiap kali dia balik, setiap kali jugalah cerita mereka adik-beradik aku kisahkan kembali kepada dia. Bukan In seorang, Obie, Sidek, Wan pun aku ceritakan. Termasuklah adik kembar mereka yang masih kecil di sekolah rendah, Abu dan Meyah.

Inilah anak-anak aku. Walaupun bukan lahir dari rahimku sendiri, tapi inilah budak-budak yang aku jaga sejak dari kecil. Sejak In lahir, sampai sekarang dah berumur 22 tahun.  Air tangan inilah yang mereka rasa sejak dari kecil. Air tangan aku inilah yang telah membentuk mereka. Aku dah masak dengan perangai masing-masing. Akulah tempat mereka mengadu. Akulah tempat mereka lari dari kesibukan kota. Kota yang telah membawa abangku dan isterinya ke sana dalam mencari sesuap rezeki.

Sudah pasti, semua anak beranak beliau yang aku jaga selama ini dibawa ke sana. Mana betah dia untuk tinggalkan anak jauh-jauh. Terpaksa la aku tinggal seorang di rumah lamanya. Namun aku tak tahan menanggung rindu terhadap mereka. Terbayang gelak ketawa, usik nangis mereka bergema apabila mereka tiada. Tapi apakan daya?

Aku berpindah untuk duduk dengan kakakku. Mungkin kerana rindukan budak-budak, aku jatuh sakit. Pening selalu hinggap, dan muntah-muntah kadangkala tak berhenti. Pada mulanya aku fikirkan aku disampuk atau dibuat aniaya keji ilmu hitam. Aku cuba berjumpa dengan tok Imam, namun air jampinya masih tak melegakan.

Hanya sesekali bila anak-anakku datang, sakitku reda. Lupa sebentar kesakitanku apabila In tiba tengahari tadi. Lupa sekejap sengal-sengal tulang di tangan apabila aku mula bercerita kisah mereka adik beradik. Dan In masih lagi boleh terkekek-kekek mendengar cerita 12 tahun dahulu yang sudah terlalu kerap aku ulang dan ulang.

Namun aku tak nafikan, keadaan sekarang sudah lain. Kalau dahulu, aku yang menyediakan minum petang untuk budak-budak ini. Sekarang?

In yang belikan pisang goreng untuk beri aku makan petang ini.

Aku sudah tak larat lagi sejak aku disahkan menghidap sakit buah pinggang dan terpaksa bergantung harap dengan prosedur dialisis yang perlu diikut selang dua hari sekali.  Lenganku penuh dengan bekas lubang lubang jarum, berat badanku menurun dengan mendadak.  Sekali imbas, tak ubah seperti penagih dadah.

Aku jamah pisang goreng yang terhidang di pinggan. Masih rasa kelat dan pahit. Lidahku mengkhianatiku. Tiada lagi nikmat makanan yang dapat ku rasa. Tak lalu dengan pisang goreng, namun aku jamah juga untuk menjaga hati In. Tanda penghargaan kepada anak saudaraku ini.

“Terima kasihlah In kau belikan pisang ni. Maaflah tadi terpaksa susahkan kau untuk hantar Awa pergi hospital. Tiba-tiba Awa rasa macam demam tak kebah-kebah.”

“Makanla Awa. Tak ada susahnya nak hantar Awa pergi hospital tu” jawab In acuh tak acuh.

“Kau tau In, ada hikmah juga kau hantar Awa tadi”

“Hikmah apa pula Awa?”

“Yelah, dapat aku merasa naik kereta baru kau.”

In cuma tersenyum kelat. Tak berjawab. Aku cuma tersenyum melihat In menahan gelodak hatinya yang tampak risau dalam diam.

“Tak payahlah kau risau In. Aku dah baik dah ni. Tak ada apalah, aku gurau je tu..”

*************************************************************************************

Pening. Muntah-muntah.

Selalunya selepas dialisis, memang badanku akan lemah dan lembik. Pening, muntah, dan rasa hendak berehat sahaja. Tapi sudah dua hari selepas dialisis, pening dan muntah masih tak berkurangan. Entahlah. Aku tidak tahu apa maksudnya. Kali ini rasanya seperti aku akan demam teruk.

Tulangku rasa sengal-sengal. Kulit di sekitar leherku gatal-gatal, mungkin kerana jarum yang dicucuk untuk proses dialisis. Salur darah dan uratku tidak dapat dijumpai lagi di lenganku, dan leherku yang menjadi mangsa. Pasrah sahaja aku menghulur tengkuk pada jururawat dua hari lepas.

Oh ya, jika ini tidak memualkan, kencingku juga sudah mula berbuih-buih. Takut aku melihatnya setiap kali aku membuang air kecil yang sudah semakin jarang kala ini. Namun kata doktor, itu adalah biasa.

Aku gusar. Badanku yang kini kurus kering terasa panas. Peluh merecik walaupun aku di bawah kipas yang berputar pada kelajuan maksima. Mulutku rasa kesat. Lidahku rasa kelat. Aku tak tahan...

“Cik Wan.. tolong hantar aku ke hospital!”

*************************************************************************************

Hari ini hari ketiga aku di hospital. Cik Wan, kakakku memicit-micit tanganku dalam muram. Demamku sudah dapat dikawal semalam, namun entah kenapa aku merasakan seperti tiada beza. Aku sedar, inilah saat-saat terakhir aku di dunia ini.

“Aku baru beritahu In tadi. Maaf Awa, aku tak sanggup untuk diamkan lagi.” Cik Wan bersuara.

Aku mengeluh. Aku seboleh-bolehnya tidak mahu susahkan In. Bapa mereka sedang mengerjakan haji dengan Obie, Sidek, dan Wan. Hanya In sahaja yang tinggal di Kuala Lumpur sekarang untuk menjaga emaknya dan juga budak kembar tersebut.

“Tak apalah...” jawabku perlahan.

Ada sesuatu yang patut aku utarakan pada Cik Wan, namun naluriku seperti takut untuk menyatakan apa isi yang tersirat dalam hatiku. Lama aku merenung Cik Wan. Lama aku lenyap dalam khayalanku sendiri. Bayangan hidupku selama lebih 20 tahun dengan budak-budak itu terlintas di fikiranku. Dalam lemah aku senyum.  Perlahan aku menarik nafas sedalam yang boleh.

Aku berharap In dapat menerima takdir ini..

“Cik Wan.. aku ni dah tak lama. Aku tak sempat nak jumpa budak-budak tu. Aku tak sempat jumpa Salleh. Kau kirimkan salam aku pada mereka. Katakan aku mohon ampun dan halalkan makan minum aku...”

Cik Wan hanya terlongo mendengar kata-kataku dengan air mata yang mula meleleh.

 

 

 

 

 

 

Nota Penulis:

Penyakit buah pinggang kronik (atau lebih dikenali sebagai CKD; chronic kidney disease) boleh berpunca dari pelbagai sumber. Antaranya adalah kerana penyakit kencing manis (diabetes),  hipertensi, tekanan darah tinggi, genetik, atau penyalahgunaan dadah. Sumber: Wikipedia.

Sebenarnya, lama aku pendamkan cerita ini dan lama aku berfikir adakah wajar aku coretkan cerita ini. Lama aku olah, aku buang, aku tulis kembali, aku buang, aku olah lagi. Ini cerita peribadiku. Ini cerita yang benar-benar terjadi.

Awa adalah emak saudaraku yang menjaga aku sejak aku kecil. Ya, kami adik beradik dibesarkan dengan air tangan beliau. Ya, tak seorang pun sempat berjumpa Awa pada saat-saat nafasnya yang terakhir....

Dan kadangkala aku masih tak dapat menerima takdir yang telah ditetapkan....

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) sy suka tulisan rere..kinkin sila jgn jeles..sy hy suka tulisannya..

  • (Penulis)
    2) kehkeh. paktam, kinkin tak jeles. tapi rijji jeles tak?

  • (Penulis)
    3) Ah. Bila baca balik baru perasan yang ending agak cliffhanger / tergantung. Maaf, tak sanggup nak menghabiskan betul2 psl air mata dah meleleh2 tak berhenti2. Huhuh

    Awa meninggal pada hari yang sama selepas kata2 terakhir dalam cerita itu disebutkan. Memang tak lama.. adalah sejam dua agaknya. Tapi pemergian beliau adalah dalam keadaan tenang dan senang. Kuranglah sikit ralitnya. Begitulah..
  • 4) uhuhu... tamatnya ujian seorang cik awa yang budiman. kita juga akan menurut jejak, entah bagaimana cara.

    itulah, agak tiba-tiba penamatnya.

    thanks menyertai PCB cik abang (darah) manisss
  • 5) seronok baca perenggan terakhir tu, peh menusuk!
    kencing berbuih? uih!

  • (Penulis)
    6) caha: ehehe. penamat tibe2 psl dh tak sanggup tulis lg dah. basah air mata ur welcome
    kamalia: menusuk jugaklah pd yg menulisnya. peh takleh tahan air mata mcm banjir and yep. mmg ada kencing berbuih.
  • 7) Cerita yang ditulis dari hati, pasti akan sampai ke hati yang membacanya juga. Cuma di saat akhir, emosi itu direnjat seketika. Dan awak tahu sebabnya. Sudah pun dinyatakan. Tapi saya faham.

    Tulisan yang kemas dan olahan yang ringkas tetapi padat.
  • 8) Mulianya hat Awa. Srott!
  • 9) sedihnya citer ni...rearrange ..pengorbanan yang tak ternilai..

Cerpen-cerpen lain nukilan rearrange

Read all stories by rearrange