Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Satira

Manifesto Sus scrofa

Cerpen sebelumnya:
Jongket Part '0'
Cerpen selanjutnya:
Bukan Cerita Benar

Janganlah berasa cengang dan terancam dengan kehadiran warkah yang mendabak ini. Niat kami hanya untuk menuntut hak asasi selaku mahluk tuhan yang bernafas. Tidak lebih dan tidak kurang. Tuan hamba Allah yang dimuliakan, izinkan kami mengsurahkan sedikit latar ringkas tentang leluhur kami agar Tuan mendapat informasi jelas sebelum kita melanjut ke inti perbicaraan.

Tuan hamba Allah yang disanjungi, kami adalah suku mamalia ungulata dari kumpulan omnivor yang memakan daging dan tumbuh-tumbuhan. Habitat asal kami adalah di kawasan hutan jarang seperti Eropah tengah, kepulauan Mediterranean, Banjaran Altlas dan Indonesia selatan. Secara umumnya kami adalah haiwan nokturnal dan keluar mencari rezeki dari senja hingga subuh hari dengan tempoh rehat yang singkat. Kami melahap hampir setiap makanan yang sempat ditemui tanpa basa-basi. Kekacang, beri, akar, ubi, bangkai, sampah, serangga dan juga reptilia kecil semuanya kami jamah dengan senang hati.

Dahulu dalam tamadun manusia, kami berfungsi sebagai mod penukaran dalam sistem bata sebelum kewujudan mata wang. Sehingga sekarang kami masih lagi digunakan oleh beberapa kelompok manusia seperti kaum asli Papua. Di benua eropah, kami dimanfaatkan oleh para pengembala. Dengan kemampuan meragut serta deria bau yang tajam, kami diandalkan untuk mencari truffle. Ada juga sesetengah penternak lebih nyaman menjadikan kami peliharaan mereka.

Kami juga turut menyumbang kepada perkembangan dunia sains perubatan. Secara genetiknya kami mempunyai persamaan DNA yang nyaris serupa dengan manusia. Oleh itu kebanyakkan penyelidikan  klinikal diuji terlebih dahulu ke atas kami. Lebih dari itu jatung kami pernah dimanfaatkan sebagai gantian sementara bagi jantung manusia yang kronik sebelum mendapat penderma sesuai. Kelenjar pancreas kami sumber insulin yang sangat akrab dengan penderita diabetes. Heparin pula ditemukan secara eksklusif pada dinding usus halus kami yang diklasfikasikan sebagai produk farmasutikal terpenting. Fibrin yang diekstrak dari darah kami digunakan untuk menghasilkan asid amino, bahagian dari cairan infus diberikan sebagai nutrisi kepada pesakit setelah menjalani pembedahan tertentu. Begitulah serba ringkas perihal kami mahluk yang digelar Sus scrofa.

Tuan hamba Allah yang dihormati, fitrah semulajadi setiap mahluk itu tidak akan pernah sunyi dari kekurangan. Begitu juga dengan kami. Di dalam tubuh yang mungil lagi montok ini tersembunyi aneka kuman yang mampu mengubah virus-virus biasa menjadi lebih berbahaya. Retrovirus merupakan salah satu daripadanya. Kuman ini yang dikategorikan dalam keluarga HIV bertindak sebagai jambatan dalam menularkan virus haiwan kepada manusia. Ia mustahil untuk dihapuskan kerana telah sebati dalam DNA kami. Selain itu terdapat juga kuman-kuman yang belum pernah ditemui seperti Porcine Torovirus, Porcine Rotavirus, PRRS dan H3N2.

Islam mengharamkan umatnya memakan daging kami. Larangan ini jelas terangkum dalam Al-Quran seperti tertera pada surah Al-Baqarah ayat 173, surah Al-An'am Ayat 145 dan surah Al-Maidah ayat 3. Umat yahudi juga turut dilarang  seperti yang termaktub dalam Book of Leviticus, Chapter 11, Verse 7& 8, Book of Deuteronomy, Chapter 14, Verses 7 & 8, Book of Isaiah, Chapter 65, Verses 2 to 4 dan Book of Isaiah, Chapter 66, Verse 17. Tetapi di dalam sudut fikah Islam terdapat beberapa khilaf tentang pengharaman kami. Mengikut mazhab Syafie, setiap juzuk dari tubuh kami adalah haram seluruhnya. Sedang menurut mazhab Malik, daging kami haram dimakan tetapi badan kami suci ketika masih hidup. Hukumnya sama seperti harimau, gajah dan seumpamannya. Menurut beliau lagi, ayat-ayat al-Quran hanya menjelaskan daging kami haram dimakan, tetapi tidak pula menyatakan kami najis. Ini diakui oleh pemuka mazhab Syafie, Imam Nawawi.

Tuan hamba Allah yang dimuliakan, mengikut hasil kajian kami merupakan spesis yang paling pintar dan mudah dipelihara. Ianya mengatasi haiwan peliharaan lain seperti anjing dan kucing. Dikalangan masyrakat cina kami juga mempunyai reputasi yang sangat baik. Ini boleh diamati dalam Shio cina. Kami dikarektoristik sebagai haiwan yang mempunyai citarasa yang baik, kaya, rajin, rendah diri dan peka terhadap persekitaran. Kami dipercayai dapat muncul dengan sifat-sifat malaikat. Menurut kepercayaan mereka lagi, sesiapa yang lahir dibawah zodiak kami akan memiliki sifat pandai, senang belajar dan cintakan ilmu.

Tuan hamba Allah yang dikasihi, semenjak tertular penyakit influenza pada tahun 1918 yang meragut lebih 20 juta nyawa, telah mengubah persepsi dunia terhadap kami.  Ramai yang mula melihat kami sebagai beban dan ancaman. Tidak sedikit pula yang gencar mencemuh dengan caci maki yang cukup mendegingkan hati. Hak kami sebagai mahluk pribumi dinafikan. Seolahnya kami tidak pernah berperanan barang sedikit pun dalam perkembangan tamadun dunia. Benarlah kata pepatah “pisau senjata tiada bisa, bisa lagi mulut manusia”.

Dimata umat melayu kami dipandang jijik,hina,buruk dan layak dizalimi. Seolah kami diciptakan Allah tanpa sebarang faedah. Tapi kami masih tetap bersabar. Ini kerana kami berpendapat hal ini tercetus atas dasar kesalahfahaman dalam memahami dalil. Namun apabila nama bangsa kami cuba dimaknai dengan konotasi negatif, sukar untuk kami tinggal diam. Ini merupakan pencabulan terhadap hak kami yang menyangkut maruah dan harga diri. Ke manakah hilangnya sifat adil dan ihsan dalam diri manusia? Lupakah mereka kepada pesan nabi tentang menjaga kebajikan haiwan? Tidakkah mereka mendengar hadith yang menceritakan perihal pelacur diampunkan Allah kerana memberi minum seekor anjing yang hampir mati kehausan?

Dimaklumi bahawa pendapat yang masyhur mengkategorikan kami sebagai najis berat, dikenali juga sebagai najis mughallazhah. Sebenarnya mengklasifikasikan kami sebagai najis berat tidak memiliki asas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Lebih berat, mengkategorikan kami secara sedemikian membuatkan umat Islam memandang kami sebagai makhluk hina. Pandangan atau sikap seperti ini adalah satu kesalahan besar di dalam Islam. Ketahuilah kami termasuk mahluk yang diciptakan Allah (al-Nur 24:45), kami sujud patuh (al-Nahl 16:49), malah kami juga sentiasa berzikir kepadaNya (al-Isra’ 17:44).

Jelas dalam ayat 145 surah al-An’aam bahawa yang najis hanyalah menjadikan kami sebagai bahan makanan. Sesuatu yang najis untuk dimakan tidaklah bererti najis secara keseluruhannya. Justeru pendapat yang menajiskan seluruh kami adalah pendapat yang kurang tepat. Ini kerana seandainya keseluruhan kami adalah najis, pasti Allah dan Rasul-Nya akan menetapkan sedemikian. Namun apabila Allah hanya mengkhususkannya kepada kenajisan kami dalam konteks pemakanan, bererti Allah sememangnya mengkehendaki pengkhususan tersebut. Tak perlu manusia bersikap lebih “bijak” daripada Allah dengan meluaskannya kepada keseluruhan kami.

Tuan yang dirahmati Allah, kami bukan meminta supaya hukum dirombak. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal adalah perbuatan kufur. Kami berlepas diri dari semua itu. Sebagai mahluk Allah yang kerdil kami mendengar perintah Allah, maka kami taat.  Yang kami pohon adalah ihsan dan keadilan Tuan dalam meluruskan kerancuan ini sebelum membarah ke dalam masyarakat. Dan lagi kami berharap agar segala konotasi negatif yang selama ini disarungkan pada nama leluhur kami dicabut serta dikembali kepada makna asal tanpa ditambah atau dikurangi barang sedikitpun. Lebih penting, hendaklah disedari bahawa kami juga adalah makluk Allah seperti Tuan meskipun tak setaraf. Maha Suci Allah daripada mencipta sesuatu yang buruk, rosak, dan sia-sia sehingga tidak memiliki manfaat untuk mahluknya.

Semoga dengan adanya manifesto ini dapat memberi gambaran jelas tentang ketidakadilan yang menindas kami dan berkat usaha Tuan mudah-mudahan kita dapat menjernihkan kembali hubungan sesama mahluk. InsyaAllah. Kami mengakhiri warkah ini dengan sebuah hadith nabi buat renungan kita bersama. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Yang halal adalah apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitabnya dan yang haram adalah apa yang diharamkan oleh Allah di dalam kitabnya. Dan apa yang didiamkan oleh Allah maka ia adalah sebuah kelapangan daripada-Nya.”

Diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1726 (Kitab al-Libas, Bab berkenaan pakaian kulit binatang)

 

Yang ikhlas : Sus scrofa scrofa, Sus scrofa ussuricus, Sus scrofa cristatus, Sus scrofa vittatus dan Sus scrofa taiwanus

 

Cerpen sebelumnya:
Jongket Part '0'
Cerpen selanjutnya:
Bukan Cerita Benar

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.2
5 Penilai

Info penulis

toti

aku antara berbilion manusia yang bercita-cita mahu masuk syurga
toti | Jadikan toti rakan anda | Hantar Mesej kepada toti

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya toti
Muhammad Pesuruh Allah | 2296 bacaan
Cempiang Metropolis (Bahagian Akhir) | 2087 bacaan
Cempiang Metropolis (Bahagian Satu) | 2803 bacaan
Ayuh! rapatkan saf (Bahagian akhir) | 2878 bacaan
Ayuh! rapatkan saf (Bahagian 1) | 2649 bacaan
Fabel tentang ayam | 3333 bacaan
Shudhudh | 2324 bacaan
Ilmi Kasbi | 2812 bacaan
Salaamun Hiya’ | 1214 bacaan
Dongeng Tentang Katak | 6519 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

14 Komen dalam karya Manifesto Sus scrofa
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik