Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Surat Cinta Terakhir

Cerpen sebelumnya:
Senyum
Cerpen selanjutnya:
Erti Sehelai Daun

19 September 2010

Surat cinta 1

Aku masih mencari kamu…bila kita bertemu nanti, jangan lupa ucapkan CINTA…                                                                                                            

Elly mengorak langkah kecilnya ke arah bilik tidur yang terletak di hujung sudut rumah itu. Tiada suara kedengaran, hanya bunyi derapan kakinya sahaja yang mengisi kesunyian ruang itu.

“Eh, awak kat sini rupanya. Puas saya cari awak merata tempat tau. Nak teman saya makan tak? Tak seronok lah makan tak berteman.” Ujar Elly, wajahnya kelihatan ceria. Cukup manis saat dia tersenyum.

“Erm, awak nak makan apa? Sama macam saya ke? Ermm.. okay lah, nanti saya siapkan. Jangan hilangkan diri lagi tau, susah saya nak cari nanti.”

Sekali lagi dia tersenyum girang, hatinya bagaikan dibuai-buai saat itu. Selepas seketika, tangannya mula tangkas menyiapkan makanan. Sesekali kedengaran suara halusnya menyanyikan lagu cinta kegemarannya.

“Elly buat apa tu?” soal Hafiz, dia baru saja selesai menghabiskan rutin hariannya. Wajahnya dibasahi peluh usai berjogging sebentar tadi.

“Buat breakfast untuk Iman, abang nak makan sekali?”

“Ouh, boleh jugak. Nanti kita breakfast kat taman ye, hirup udara segar.”

“Boleh, Iman mesti suka.” Ujar Elly sambil tangannya masih rancak menggaul nasi goreng di dalam kuali. Hafiz hanya tersenyum mendengar kata-kata adiknya.

 

IMBAS KEMBALI

Dua tahun sebelumnya…

 

Surat Cinta 2

Duhai Matahari, aku sudah jatuh cinta. Dia adalah si kecil yang menawan hati. Aku tak mampu menahan diriku saat aku lihat dia berdiri di satu sudut kosong itu.

Heyy, si kecil! Aku suka kamu, mahu jadi teman ku?

 

“Elly, take care of yourself okay? I won’t be around if you get yourself into trouble. So, be extra careful today.” Hafiz masih lagi mengulang nasihat yang sama sejak dari tadi. Risau benar dia memikirkan keadaan adiknya yang bakal mengharungi hari pertama di kolej.

“Okay, Mr.Superhero. Jangan risau, adik akan jaga diri baik-baik okay. Cepat lah pergi kerja, nanti terlambat pulak. Bye bye!” ujar Elly sambil tersenyum, tangannya melambai perlahan-lahan mengiringi kereta abangnya yang semakin menghilang.

Elly menarik nafas panjang, hari ini adalah hari pertamanya di kolej. Hari pertama dia memasuki dunia barunya, dunia yang jauh lebih mencabar dari zaman sekolahnya. Ada sedikit rasa gementar yang terselit dihatinya tapi digagahinya juga. Apa pun yang terjadi, janji pada abangnya harus ditunaikan.

“err.. awak..” Elly menoleh ke arah pemilik suara itu, tercalit rasa hairan di wajahnya.

“ya?”

“erm.. awak, terpijak kertas saya. Kat bawah tu..” perlahan saja tuturannya, jari telunjuknya dihalakan ke kaki kiri Elly.

Serentak Elly memandang ke bawah, lekas-lekas dia mencapai kertas yang dipijaknya itu. Terpancar rasa bersalah dimatanya.

“Alamak, mati aku. Hari pertama kat sini je dah bikin masalah. Macam manalah aku boleh terpijak kertas dia ni..” rungut hati kecil Elly.

“err.. Sorry awak, saya tak perasan langsung. Maaf ya.”

“Its okay, bukan awak sengaja pun. Terima kasih..” Senyuman manis terukir di bibirnya, kertas yang dihulurkan Elly disambut.

“Saya betul-betul mintak maaf, penting ke kertas ke?”

“Serius, tak apa. Erm, pentinglah jugak tapi jangan risau. Selagi saya masih boleh baca tu dah kira okeylah tu. Hihi..” terangnya sambil tersengih.

 “erm, by the way.. I’m Iman.” Sekali lagi senyuman manis terukir dibibirnya. Elly hanya tersenyum, diam-diam hatinya terpaut melihat ketampanan jejaka tinggi lampai dihadapannya itu. Iman hanya berseluar jeans, berkemeja lengan pendek warna biru laut dan t-shit berwarna putih. Memiliki rambut panjang paras atas bahu dan memakai cermin mata. Dia tergolong dalam golongan yang bijak bergaya. Sekali pandang tak ubah seperti model.  Tercetus penilaian ringkas itu dihati kecil Elly.

“err.. Saya Elly…” Elly memperkenalkan dirinya pula. Seketika anak mata mereka saling bertautan. Elly pantas melarikan pandangannya, sengaja memandang tasik yang terbentang luas disebelah kirinya.

Iman menunduk, dia berhenti betul-betul dihadapan mata Elly. Kemudian dia meleretkan senyumannya. “Hai Elly, awak ni kecik je erk. comel! Sekali pandang tak ubah macam budak sekolah.” Usik Iman. Elly mengerutkan dahinya. “hah?”

Iman hanya tertawa kecil saat melihat reaksi Elly. “Saya gurau jelah… tapi awak memang comel pun.” Ujar Iman usai tawanya sebentar tadi. “Ermm.. okeylah, saya pergi dulu ye. Ada kelas, esok kita jumpa lagi ae kat sini. Pukul 12 tau, jangan lambat.” Dahi Elly berkerut sekali lagi mendengar kata-kata Iman. Lelaki itu hanya tersenyum saja sebelum melambai dan berlalu pergi dari situ, meninggalkan Elly yang masih terpinga-pinga. “Jumpa lagi kat sini esok? Hah??”

 

Surat Cinta 3

Orang kata cinta itu ibarat rama-rama, tambah dikejar tambah ia lari tapi kalau dibiarkan terbang, satu hari nanti ia akan datang saat kita tidak mengharapkannya. Tapi, aku tahu aku takkan mampu menahan diriku dari mengejar kamu. Si rama-rama ku..

Elly menjeling jam ditangannya buat kali yang ketiga. Sudah lima minit berlalu sejak dia sampai disitu. Lima minit yang dirasakan terlalu lama dan menyeksakan. Dia menoleh ke arah tasik disebelah kirinya. Tasik yang sama seperti semalam, malah dia juga berdiri ditempat yang sama seperti semalam.

Elly menggelengkan kepalanya, dia sendiri tidak mengerti mengapa dia berdiri disitu. Entah mengapa dirinya terikat dengan janji untuk bertemu dengan Iman disitu. Pelik. Hanya itu saja yang bermain difikirannya saat itu.

“Elly!” Elly mendongak seraya menoleh ke belakang. Dilihatnya Iman sedang berlari-lari anak mendapatkannya. Elly hanya berdiri tegak disitu, tiada sebarang reaksi yang dipamerkan diwajahnya.

“Sorry, lama awak tunggu?” Tanya Iman. Dia masih lagi cuba untuk mengejar nafasnya yang tercungap-cungap usai berlari sebentar tadi. Elly memandang jam tangannya, kemudian memandang Iman semula.

“Awak lambat sepuluh minit.” Ujar Elly, mimik mukanya sengaja dikeraskan.

“Hahahaha..” Elly mengerutkan mukanya, hairan melihat Iman yang ketawa tiba-tiba.

“Kenapa awak ketawa? Apa yang kelakar?”

“Tak ada apa-apa pun. Saja nak ketawa, baru ceria hidup kan?” Elly mengangkat kening sebelah kanannya pabila mendengar jawapan Iman.

“Awak ni merepeklah... dan saya pun tak tahu kenapa saya nak tunggu awak kat sini. Buang masa je.” Ujar Elly sambil mencebikkan bibirnya.

“Lah, saya tak bagitahu awak ke? Kita nak pergi lunch lah, nak pergi mana lagi.” Terang Iman, dia masih lagi tersenyum manis.

“Lunch? Sejak bila pulak saya setuju nak keluar makan dengan awak??”

“Sejak awak tunggu saya kat sini? Erm, jomlah kita pergi makan. Saya dah lapar!” Iman mula menyusun langkahnya, selang tiga langkah dia menoleh ke belakang.

“Elly, awak tak lapar ke?” soal Iman. Elly menjuihkan bibirnya.

“Laparlah! Lama tau tunggu kat sini, dah lah panas terik. Hishh..” Rungut Elly sambil mengikuti langkah Iman, selepas seketika mereka jalan beriringan. Iman hanya tersenyum saja melihat gelagat Elly.

“Kita nak makan kat mana ni?” Tanya Elly.

“Kita makan kat pusat pelajar jelah. Okey?” Elly mengangguk tanda setuju.

“Kat sana apa yang sedap?”

“ermm, mee goreng dia boleh tahan…”

“Mee goreng tak kenyanglah nanti, lain?”

“Ermmm… awak suka makan apa Elly?”

“Tom Yam! Favourite saya!”

“Haa, tom yam kat sana sedap tapi kalau saya masak lagi sedap lah. Kekeke~”

“Eh, awak pandai masak tom yam?”

“Haha… Tak, tapi saya boleh belajar…” Iman ketawa mengekek…

 “Iman!!” Iman hanya tertawa saja saat Elly mencuit bahunya. Mereka terus berjalan seiringan, sesekali kedengaran suara tawa mereka berdua. Elly tersenyum. Iman adalah lelaki pertama yang dikenalinya dikolej itu. Namun begitu dia berasa selesa disisi lelaki itu.

 

Surat Cinta 4

Mereka kata demi cinta, manusia sanggup lakukan apa saja. Betullah apa yang mereka cakap tu kerana demi kamu, aku sanggup lakukan apa yang termampu..

Sayang, tomyam yang awak makan tu saya yang masak tau! Saya belajar dari mak saya… ^^

 

19 September 2010

Elly menoleh ke kiri dan kanannya, seakan-akan mencari sesuatu. Wajahnya kelihatan berkerut namun begitu tangannya masih tangkas menyiapkan sarapan pagi itu.

“Rasa macam dengar suara Iman tadi? Hurm..” getus hati kecil Elly.

“Elly cari apa tu?” Hafiz baru saja selesai membersihkan dirinya, dia memakai t-shirt berwarna merah dan seluar track berwarna hitam. Elly hanya menggelengkan kepala saja mendengar soalan Hafiz sebentar tadi.

“Sarapan dah siap? Jom, abang tolong bawak pergi pondok kat luar tu.” Elly menghulurkan bekas yang berisi nasi goreng itu kepada abangnya. Kemudian dia mengangkat pula dulang berisi pinggan dan air.

Usai meletakkan semuanya di atas meja, Elly bergegas masuk ke rumah semula. Hafiz hanya memerhatikan saja gelagat adiknya itu. Hendak ditegur rasanya sudah berbuih mulutnya bercakap, namun Elly masih juga begitu. Terlalu asyik dengan dunianya sendiri.

“Iman, cepatlah! Abang dah tunggu tu. Dia nak makan sekali dengan kita.” Ceria saja suara Elly, tangan kirinya memegang erat lengan Iman.

“Ya sayang…”

“Abang…! Sorry lambat, Iman ni liat betul nak bangun.” Ucap Elly seraya melabuhkan punggungnya ke kerusi kayu yang terletak di pondok itu.

“Eh, mana ada. Iman dah bangun dari tadi lagi ae. Tak baik je Elly ni… erm, kita sarapan apa hari ni? Nasi goreng? Hurmm.. sedapnya bau, cepatlah Elly. Sendukkan nasi..” pinta Iman.

“Gelojoh betullah Iman ni..” Ujar Elly sambil meletakkan pinggan yang berisi nasi goreng itu di hadapan Iman. Hafiz hanya memerhati saja dari tadi, dia mengambil pinggan yang dihulurkan Elly dan mula menyuap nasi goreng yang dimasak Elly ke mulutnya satu-persatu.

“Abang, lepas ni Elly nak ajak Iman keluar. Abang nak ikut?” Hafiz berhenti mengunyah, matanya dilirikkan ke Iman disebelah Elly.

“Erm, kalau Elly nak abang temankan. Abang tak kisah.” Ujar Hafiz seraya menyambung suapannya semula.

“Yeayy! Today kita buat family outing ya Iman?” Iman hanya mengangguk dengan senyuman.

 

Surat Cinta 5

Bila bersama dengan awak, saya rasa sangat bahagia… sebab awak buat saya sedar, betapa indahnya dunia saya ini… Terima Kasih sayang~

 

Elly baru sahaja selesai membasuh pinggan mangkuk yang mereka gunakan sebentar tadi, selesai mengemas apa yang patut di dapur, dia kembali melabuhkan punggungnya di kerusi. Iman disebelahnya ditatap penuh kasih saying… seketika kemudian, Hafiz yang menghilang ke biliknya muncul dengan sekeping surat ditangan. Elly berhenti memandang Iman dan menoleh ke arah abangnya.

“Kenapa bang?”

“Erm, nah… surat dari Iman… ini surat yang terakhir dari dia…” Elly tersentak. Surat terakhir dari Iman? Bukankah Iman berada disebelahnya selama ini?? Dia cepat-cepat menoleh ke kiri, Iman tiada disisinya. Buat seketika itu, surat itu seakan-akan menyentap memorinya, mengingatkan dia kembali akan realiti dan membuang jauh fantasinya yang selama ini membayanginya. Dia tertunduk diam dihadapan Hafiz.

“Elly…?”

“Itu… betul ke itu surat terakhir dari dia?” Elly bersuara perlahan. Entah kenapa suaranya seakan tersekat dikerongkong.

“Erm… ya, dik… hari ini tanggal sembilan belas hari bulan Sembilan… dah cukup setahun Elly..” Elly terdiam saat mendengar penjelasan abangnya. Tempoh setahun yang dikatakan Hafiz bagai menghiris kembali luka lama dihatinya. Perlahan-lahan, tangannya menggapai surat ditangan Hafiz.

“Terima kasih abang…” ucapnya seraya menunduk kembali.

“Elly, okay?”

“Hurm… Elly okay je, thanks sampaikan surat ni. Iman ada cakap apa-apa masa dia bagi surat ni?” ujar Elly sambil tersenyum. Hafiz tersentak saat mendengar soalan adik kesayangannya itu…

“Err… dia pesan suruh Elly jaga diri baik-baik…” Elly tersenyum saat mendengar pesanan kekasihnya itu. Hafiz duduk melutut dihadapan Elly, perlahan-lahan dia mengusap rambut adiknya.

“Sayang, adik abang ni dah besar kan? Dah pandai jaga diri kan?” Hafiz bertanya lembut… ada kerisauan di raut wajahnya. Elly mengangguk…

“Elly janji dengan abang, Elly takkan selamanya macam ni… abang rindu adik abang yang dulu, abang nak Elly bahagia macam dulu. Tolong abang ya dik…” Rayu Hafiz… Elly hanya tersenyum lembut, tiada kata yang keluar dari mulutnya. Hafiz hanya mengeluh saat melihat jawapan yang diberikan Elly.

“Abang masuk dulu ye… Elly, jangan lama-lama kat luar ni. Hari macam nak hujan…”

“Baik abang…” Hafiz bangun perlahan-lahan dan menyusun langkah ke rumah semula. Dia tahu, Elly butuh waktu sendirian.

Surat Cinta 6

Saya perlukan awak, bukan untuk diri saya sendiri.. mungkin bukan untuk sesiapa… saya cuma mahu bersama dengan awak dan sejujurnya saya… saya teramat mencintai awak…

“Sayang?” Elly menoleh ke belakang saat dia merasa bahunya di sentuh lembut.

“Iman… Iman pergi mana tadi?” Soal Elly sambil menyorokkan surat yang dipegangnya tadi.

“Pergi ke tandas kejap...” ujar sambil melabuhkan punggungnya disebelah Elly… Sesaat kemudian mereka kembali berbual. Realiti yang menyedarkan dirinya sebentar bagaikan hilang ditelan fantasi yang diciptanya sendiri.

Hafiz hanya memerhati dari jauh saja gelagat adiknya, Elly masih leka bercakap seorang diri disisi Teddy bearnya. Sudah setahun berlalu sejak kematian Iman namun Hafiz sedar, Elly masih belum mahu menerima kenyataan itu.Dia juga tahu jauh disudut hati Elly, adiknya sedar akan hakikat yang menyakitkan itu.

“Seronokkan duduk kat taman macam ni, hirup udara segar, tengok pemandangan yang indah… Abang suka betul dengan bunga-bunga tu, dia je yang rajin jaga. Saya tak pandai…” ujar Elly, wajahnya tampak ceria petang itu.

“Ya, bunga-bunga tu cantik macam Elly…” Iman yang sedari tadi membisu tiba-tiba bersuara, wajahnya sengaja dimaniskan. Elly hanya tertawa manja saat mendengar kata-kata Iman.

“Elly….” Elly menoleh. Matanya yang sepet berkelip beberapa kali tatkala menunggu Iman menghabiskan ayatnya yang dibiarkan tergantung.

“Bila Elly nak belajar untuk lepaskan Iman?” Elly tersentak. Pertanyaan Iman benar-benar membuatkan hatinya tersentap. Seketika dipandangnya Iman penuh kehairanan.

“Apa yang awak cakap ni? Merepek jelah! Kenapa pulak saya nak kena lepaskan awak? Awak nak tinggalkan saya ke?” soal Elly bertalu-talu, Mukanya berkerut, dia keliru dengan pertanyaan Iman sebentar tadi.

“Elly, awak tahu apa yang saya maksudkan kan?” Elly memalingkan mukanya, sengaja melarikan diri dari renungan Iman.

Iman mengangkat kedua-dua belah tangannya, perlahan-lahan dia menyentuh kedua-dua belah pipi kekasih hatinya itu. Air mukanya dilembutkan dengan senyuman yang memujuk. Dia enggan menambah luka dia hati Elly, dia terlalu menyayangi gadis itu. Elly menoleh semula, matanya memandang sayu wajah Iman.

“Elly… Elly tahukan Iman cintakan Elly. Tak ada orang lain yang mampu ambil tempat Elly dari hati Iman. Iman sayangkan Elly sepenuh hati Iman tapi Iman tak sanggup tengok Elly terus-terusan macam ni, Iman sedih tengok Elly menangis sebab Iman. Hati Iman sakit sayang, sakit sangat.” Elly menunduk. Air matanya sudah tidak mampu ditahan lagi, dia meraung didalam hati. 

Iman hanya mendiamkan dirinya, ibu jarinya mengusap pipi Elly, menyingkirkan air mata yang tumpah dipipi gadis itu. Elly mendongak, ditatapnya seraut wajah lelaki yang selama ini setia dihatinya.

“Habis tu awak nak saya lupakan awak? Lupakan apa yang awak dah lakukan untuk saya? Lupakan segalanya yang pernah kita ada dulu?” soal Elly penuh yakin. Hatinya yang sayu mendengar tutur kata Iman sebentar tadi digagahi juga. Dia tak mahu mengalah dengan mudah. Dia tak mahu kehilangan lagi!

“Elly… Iman tak bermaksud macam tu, Iman ikhlas mencintai Elly. Apa yang Iman buat tu, Iman lakukannya untuk Elly. Supaya Elly dapat teruskan hidup walaupun tanpa Iman disisi Elly. Iman tak minta Elly lupakan Iman sebab selamanya Iman akan sentiasa ada bersama Elly, kat sini.” Iman mengangkat tangan kanan Elly dan meletakkannya diatas dada belah kiri. Tempat letaknya jantung yang sedang berdegup.

“Learn to let it go, sayang… Teruskan hidup, tinggalkan masa lalu ni. Jangan biarkan diri Elly tersekat dimasa lalu hanya semata-mata kerana Iman, sayang. Iman tak suka. Iman nak Elly bahagia dengan hidup Elly. Terima kenyataan tu walaupun ia pahit untuk ditelan. Iman dah lama mati Elly!” Iman masih lagi cuba untuk memujuk, cuba untuk menyedarkan Elly tentang hakikat yang sebenarnya. Elly terkedu, air mata yang bertakung sudah tidak mampu ditampung lagi. Keyakinannya sebentar tadi hancur berkecai. Sekali lagi, Elly menangis teresak-esak.

“Sayang, mati itu pasti. Cuma kita tak tahu bila ajal itu akan datang menjemput. Masa untuk Iman dah lama tiba, apa yang berlaku bukan salah Elly, bukan salah sesiapa pun. Terimalah Qada’ dan Qadar Allah, sayang.” Jelas Iman lagi, ibu jarinya masih lagi mengesat air mata yang mengalir dipipi Elly.

Surat Cinta 7

Seandainya takdir memisahkan kita, hanya satu yang saya minta dari awak… jangan berpegang pada memori kita selamanya…

Elly melemparkan pandangannya ke hadapan. Memandang segenap ruang ditaman itu, taman yang diusahakan oleh abangnya sendiri. Sejenak, ingatannya mengimbau kembali kenangan lalu. Dulu, disinilah dia dan Iman banyak menghabiskn masa bersama. Iman pun sama seperti abangnya, gemar melihat keindahan alam. Dia masih ingat lagi bagaimana rapatnya Iman dengan abangnya, Hafiz. Mereka berdua menjadi kawan rapat semenjak perkenalan pertama mereka.

Elly senang melihat semua itu, malah dia bahagia saat itu. Sehinggalah malam durjana itu, malam terakhir dia bersama Iman. Malam tu kami keluar berdua, Iman berkeras mahu menyambut hari lahir Elly buat kali yang kedua hari itu. Iman cakap “Alahh, yang itu kita sambut ramai-ramai. Malam ni kita berdua jelah, Iman nak belanja Elly makan. Mana tahu lepas ni tak dapat makan berdua lagi.” Iman ketawa. Dia memang suka bergurau tapi tak sangka gurauan dia jadi kenyataan malam tu.

Usai makan malam, mereka berjalan ke car park. Tiada siapa yang menyangka ada yang mengekori dibelakang, mereka tersentak saat tiba-tiba tiga lelaki muncul dihadapan mereka. Genggaman tangan Iman dirasakan semakin erat saat dia menyedari yang salah seorang dari lelaki itu menggenggam erat sebilah pisau, sekali-sekala pisau itu sengaja diacah-acahkan kepada mereka berdua. Iman tenang saja malam tu, tangan Elly ditarik kebelakangnya, keselamatan Elly yang membimbangkannya.

“Serahkan apa je yang kau ada! Cepat!!” bentak salah seorang dari mereka, sementara yang lain memerhati keadaan sekeliling, kalau-kalau ada manusia lain yang lalu-lalang disitu.

Iman hanya menurut saja permintaan mereka, dia bukan pengecut tapi dia bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku seandainya dia melawan. “Iman, bagi jelah apa yang mereka nak. Elly takut…” bisik Elly. Ya, sesungguhnya Elly benar-benar takut malam itu. Hatinya rasa tidak senang, seakan-akan ada sesuatu yang akan berlaku, sesuatu yang akan membuat dia kehilangan…

“Hoi, jangan sentuh dia!! Aku dah beri apa yang kau nak, sekarang berambus!” Elly terkejut, dia baru sedar apa yang mereka cuba lakukan. Tangan kiri Elly tiba-tiba direntap kasar oleh salah seorang dari mereka. Iman naik angin, dia mula membuka langkah silatnya.

Elly menjerit sekuat hati, seboleh-bolehnya dia cuba melepaskan diri dari pegangan lelaki asing itu. Iman masih lagi bertarung dengan lelaki yang memegang pisau itu, walaupun kelebihan ternyata ada padanya dia gagal menahan serangan Iman. Saat dia sedar kekalahan akan berpihak padanyalah dia bermain tipu helah, dua lawan satu. Di waktu Iman sedang leka menahan serangan rakannya, dia menyerang Iman.

“Iman!! No Iman, no!!!” Elly meraung sekuat hati saat lelaki itu membenamkan mata pisaunya ke perut Iman. Dia menjerit meminta tolong. Iman cuba untuk membalas pukulan lelaki itu tapi kudratnya semakin lemah tatkala mata pisau itu dibenamkan ke perutnya buat kali yang kedua.

“Hoi, apa hal tu?!!” Elly menoleh, beberapa orang lelaki kelihatan berlari mendapatkan mereka. Ketiga-tiga mereka lari meninggalkan Elly dan Iman disitu tatkala melihat sekumpulan lelaki yang menuju ke arah mereka. Elly berlari mendapatkan Iman yang sedang berdiri beberapa tapak dihadapannya.

“Iman! Iman okey tak?!” soalan itu diulang berkali-kali walaupun hakikatnya Elly sedar keadaan Iman ketika itu. Iman hanya tersenyum mendengar pertanyaan Elly, senyuman terakhirnya sebelum rebah ke tanah.

Surat Cinta 8

Walaupun nyawa jadi taruhannya, saya sanggup asalkan awak selamat disisi saya kerana awak adalah apa yang saya perlukan bukan apa yang saya mahukan.

Elly tersentak, imbauan memori silam yang pahit itu menyentap hatinya. Pantas tangan kanannya memegang dada disebelah kirinya, dia tertunduk menahan sakit. Hatinya terasa pedih, tak mungkin dia mampu melupakan kenangan pahit itu. Kenangan yang membunuh!

Elly menghembus nafas panjang, melepaskan beban yang bertakung didadanya. Sekilas dia menoleh ke kiri, Iman masih disisinya, masih tersenyum sambil memandangnya. Elly memejamkan mata, cuba menahan gelora hati yang bercelaru. “Saya belum bersedia Iman…” perlahan saja Elly menuturkan kata-katanya itu. Pandangannya masih lagi dihalakan ke hadapan.

“Saya terima apa yang berlaku tu kehendak Allah tapi saya masih belum mampu melepaskan awak pergi. Saya masih belum mampu, Iman…” Elly menyambung ayatnya semula. Suaranya kedengaran bergetaran, hatinya masih terasa sebak.

Iman menoleh ke hadapan juga, menghadap pemandangan yang sama seperti Elly. Senyumannya masih belum lekang dari bibir, sejak dari dulu Iman tak pernah lokek dengan senyuman. Senyumannya yang cukup ikhlas.

Elly merapat, dia memaut lengan kekasihnya itu. Kemudian dia menyandarkan kepalanya dibahu Iman. Matanya terkatup buat seketika. Iman hanya membiarkan saja Elly berbuat begitu, cermin matanya dibetulkan.

“Elly, Iman sayang sangat kat Elly… but I want you to move on, sayang. Bila masanya tiba nanti, Iman nak Elly teruskan hidup. Simpan memori kita jauh disudut hati Elly tu, berikan ruang untuk insan lain pula. Iman tak nak tamak, Iman tahu bila masanya tiba nanti ada insan lain yang akan datang untuk mengubat luka dihati kamu tu sayang…” tutur Iman lembut.

Elly mengesat air matanya, dia menjeling ke atas. Menatap wajah Iman sepuas hatinya, wajah yang tenang itu tak pernah gagal merawat kesedihannya. “Bila masanya tiba ya sayang…” jawab Elly. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman, pandangannya masih tumpah ke atas Iman. Iman menoleh, membalas senyuman Elly.

Surat Cinta 9

Sayang, saya tahu awak suka berkhayalkan? Membayangkan saat-saat indah kita bersama. Saya nak beritahu… sejak awak berada dihati saya. Setiap apa yang saya lakukan, awak ada difikiran saya… Mungkin lepas saya tiada nanti pun, saya akan tetap muncul dimimpi-mimpi awak. Haha…

Dari kejauhan Hafiz masih lagi memerhatikan gelagat adik tunggalnya itu. Elly sedang bersandar dibahu teddy bearnya. Hafiz mengeluh, teddy bear itu berwarna coklat perang, bersaiz sebesar Elly cuma ia pendek paras bawah dada adiknya itu. Hadiah terakhir dari Iman sebelum dia meninggal dunia.Hafiz menoleh lagi, teddy bear itu juga berkaca mata dan cermin mata itu milik Iman. Cermin mata yang dipakai oleh Iman sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Hafiz, aku tak mampu nak bertahan lagi… kalau ajal menjemput aku… tolong.. tolong berikan surat-surat itu kepada Elly… Beritahu dia, bila masanya tiba… Lupakan aku…”

Hafiz menapak. Menyusun langkah untuk masuk ke rumah semula. Pesanan terakhir Iman padanya masih dipegang kuat sehingga sekarang. Esok, dia akan membawa Elly berjumpa doctor pakar. Penyakit adiknya itu harus diubati. Dia tak sanggup melihat Elly terus berkhayal dengan fantasi yang diciptanya sendiri. Dia sedar trauma yang dihidapi Elly membuatkan dia sukar menerima kematian Iman hingga lelaki itu hidup kembali di dalam hidupnya.

“Hafiz, terima kasih… Tolong jaga Elly baik-baik… aku tahu, dialah harta paling berharga buat kau…”

Hafiz tersenyum saat memandang portrait keluarga mereka, Iman tertawa riang disebelah adiknya. Cermin mata yang dipakainya, ditanggalkan dan dilap perlahan-lahan.

“Aku takkan lupa janji aku pada kau Iman…”

Surat Cinta 10

Selamat Hari lahir sayangku… awak, entah kenapa hati saya gelisah sejak jam berdetik waktu 12 malam. Adakah kerana saya gementar untuk bertemu awak diwaktu hari lahir awak? Entahlah, saya tak tahu… Apa yang ada difikiran saya cuma awak… nanti, saya nak habiskan masa bersama awak bagaikan tiada lagi esok buat kita J

 

YatLuvG | ‎16 ‎August, ‎2010

Cerpen sebelumnya:
Senyum
Cerpen selanjutnya:
Erti Sehelai Daun

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
3 Penilai

Info penulis
Potential=Possibility
exoria | Jadikan exoria rakan anda | Hantar Mesej kepada exoria

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya exoria
chocolate wrapper....... | 3711 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

5 Komen dalam karya Surat Cinta Terakhir
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik