Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kanvas Hidup

  • 6
  • toti
  • 13 years ago
  • 3,751
  • FREE

 

Tujuh bulan lepas saya ke hospital melakukan Pengimejan Resonansi Magnetik untuk mengetahui punca sakit kepala yang menyerang terlalu kerap. Pada mulanya saya agak keberatan melakukan pemeriksaan tersebut. Mungkin akibat termakan perkhabaran gelap seputar kesan samping dari kaedah jenis itu. Semetelah saya tergolong antara manusia yang kurang mesra hospital. Namun doktor yang merawat menyakinkan saya. Menurut beliau kaedah itu lebih unggul untuk mendeteksi beberapa kelainan pada jaringan lunak seperti otak, sumsum tulang serta musculoskeletal. Ia Juga mampu melakukan pemeriksaan fungsional seperti pemeriksaan difusi, perfusi dan spektroskopi. Dan apa yang lebih penting buat saya, ianya selamat dan bebas radiasi pengion.

Saya diarah menanggalkan segala objek feromagnetik sebelum menyarung baju khas pemeriksaan. Sumpah, jika tidak kerana sakit, tidak akan saya sarung baju hodoh itu. Saya sempat diwawancara oleh seorang jururawat genit bagi mengetahui jika ada sebarang kemungkinan yang boleh membahayakan saya bila dilakukan pemeriksaan MRI, sama ada saya menggunakan alat pacu jantung, logam dalam tubuh seperti IUD, sendi palsu, neurostimulator, klip anurisma serebral, dan lain-lain. Setelah semuanya lancar, saya dipindahkan ke ruangan MRI. Untuk tujuan keselesaan, saya disuruh memakai penyumbat telinga bagi mengurangkan impak kebisingan.Saya akur. Ketika ini jantung saya mengepam kencang. Seolahnya saya sedang dikejar hantu. Hati saya berbumbu takut.

 

***

 

Minggu lepas saya beroperasi awal sedikit daripada biasa. Melempias rasa di dada kanvas. Bermain cat dengan jemari. Saya cuba bercerita dengan warna. Merakam derita dengan cara paling indah. Saya tidak peduli jika tiada yang menghargai. Saya melukis untuk melunasi dahaga seni. Saya hanya ingin melakar potongan daripada hidup, dalam upaya mengertikan sedetik dari zaman yang sedang saya lalui. Mungkin cinta ini sukar dimengertikan oleh jiwa yang tidak merasai. Arwah ayah juga begitu. Dia kurang bersetuju dengan hasrat saya untuk menekuni jalur ini.  Kononnya tak punya masa depan. Seakan rezeki itu satu hala. Kata Ayah lagi, insan seni itu pengkhayal lebih dalam buana imaji daripada realiti. Bermain dengan peristiwa-peristiwa yang tidak berjejak dan kekaguman-kekaguman yang tidak berdasar.

Menurut filsuf Arthur Schopenhauver seni adalah suatu bentuk pemahaman terhadap kenyataan. Seni sebagai ekspresi merupakan hasil ungkapan batin seorang seniman yang tertuang ke dalam karya seni lewat medium dan alat. Memang melukis tidak akan mendadak mengenyangkan perut. Dan tidak semua melukis kerana nama. Saya sekadar memanfaatkan bakat kecil ini untuk merakam alam dalam aneka perspektif demi menemukan titik kewarasan. Menduga imiginasi untuk kemungkinan realiti. Melakar kezaliman untuk sebuah kemanusiaan. Seperti kata Pablo Picasso : seni adalah sebuah kebohongan yang menyedarkan kita tentang kebenaran. Yang duri, yang bunga;  yang kaca, yang permata adalah sama pentingnya. Sebuah pelajaran yang tuhan mahu kita pelajari. Untuk kemudiannya kita tangguk hikmah dan jernihkan yang keruh.

 Saya kembali berjejak ke bumi setelah dikejutkan oleh aprisiasi yang datang daripada sekumpulan anak muda. Pada hemat saya mereka ini anak-anak skin head. Ini dapat tertangkap melalui penampilan khas mereka. Unik dan luarbiasa. Saya kurang pasti sama ada mereka memuji kerana benar memahami atau sekadar menyedapkan hati. Saya tersenyum sendiri. Terkadang saya bersimpati dengan mereka ini yang sering disalah ertikan oleh masyarakat kita yang gemar menghukum. Terlalu sering mereka-mereka ini dikambing-hitamkan tanpa  diberi peluang dan ruang yang wajar. Di suatu sudut lain saya kasihan melihat sesetengah daripada anak-anak muda yang naïf ini. Mereka gagal untuk bersikap. Tidak sedikit yang memilih jalan ini hanya sekadar ikut-ikutan. Hanya semata ingin dilihat radikal tanpa pemahaman yang kuat. Teringat saya pada pesan seorang teman : jadilah apa yang kau mahu jadi, baik dan buruk tanggung sendiri.

 

***

 

Hari ini saya berasa longlai dan lesi. Sudah acapkali saya muntah. Kepala pula berdenyut seperti mahu pecah. Hampir seminggu saya tidak beroperasi. Sewa untuk ruangan sempit yang menjadi stor lukisan saya di kompleks itu sudah dua bulan tertangguh. Simpanan juga makin kering. Terasa amat berat ujian yang sedang saya tanggung. Saya gagahkan juga untuk bangkit membersihkan diri, berwuduk dan solat. Bermunajat panjang dalam kesempitan waktu. Memohon ampun dan redha tuhan. Saya yakin kemaafan Tuhan itu lebih besar daripada kesalahan insan. Seusai bermunajat saya duduk mengadap kanvas lukis yang utuh menopang pada easel kayu. Menilai semula cerita-cerita yang dihantar oleh lukisan. Rasa yang dilarik dengan nilai-nilai warna.  Saya tenggelam dalam perasaan, melayang bebas ke langit imaginasi. Jadi benarlah ungkapan Vincent Van Gogh: Cinta sering membawa kesulitan, itu benar, namun disebalik itu ia turut menganugerahkan kekuatan.

Sekonyong-konyong wajah arwah ayah dan Ibu bermain dimata. Sangat terang dan jelas. Dapat saya lihat manis senyum ibu dan tenang airmuka ayah memandang aman. Hati saya segera dijentik rindu yang bukan kepalang. Airmata yang tadi terhalang oleh pelupuk, akhirnya berontak. Meluncur laju tanpa dapat ditahan-tahan. Saya tidak malu dilihat dalam keadaan begini. Tangis ini adalah puncak penyataan kasih pada susuk yang sentiasa sudi menerima saya dalam apa jua bentuk. Yang siap menegur bila salah dan sedia memujuk bila saya kalah. Jika ini hanya halusinasi, saya ingin kekal begini. Tapi bila ini cuma sebatas mimpi, saya nyaman untuk tidak bangun lagi. Kemudian saya lihat ayah dan ibu semakin berjarak. Perlahan-lahan menjauh. Saya cuba memanggil tapi kotak suara seakan tidak berfungsi. Saya berikhtiar mendekat. Namun jarak tidak menyusut malah bertambah. Semakin saya mendekat, semakin mereka menjauh. Lantas tenggelam dalam cahaya. Hilang.

 

***

 

Dunia saya menjadi gelita saat dimaklumkan oleh doktor tentang keputusan pemeriksaan tersebut. Sukar untuk saya percaya. Sebuah berita gelap yang menjemput pedih di ulu hati. Glioma tahap empat. Gementar seluruh anggota enggan menerima hakikat. Hampir saja saya tewas dengan dugaan ini. Tapi segera saya teringat pesan arwah ibu : Tuhan lebih tahu apa yang terbaik buat kamu. Dalam rudung nestapa itu saya bangkit mengumpulkan asa, menyarung tabah dalam jiwa agar tidak mati kecewa. Doktor yang bersimpati itu melahirkan nada optimis. Walaupun dia tahu penyakit ini sukar sembuh tapi dia masih positif. Mungkin profesionalisme kedoktoran membentuk mereka seperti ini. Optimis dalam banyak keadaan. Walau terkadang optimisme itu sekadar temali harapan yang berhujungkan kehampaan.

Saya telah nekad untuk tidak bergantung dengan ubatan kimiawi. Saya tidak perlu dimotivasikan oleh dadah kimoterapi. Walau secara teorinya nafas saya hanya tersisa kurang daripada tujuh bulan. Akan saya depani getir dan getar ujian ini dengan berani. Seberani warna jingga yang unggul. Akan saya langsungkan hari-hari penuh semangat. Sekuat warna merah yang energetik. Dan akan saya lukiskan derita dalam nuansa bahagia. Sekreatif warna kuning yang cerdas. Bukan saya menyerah. Bukan pula mencabar takdir. Tidakkah Nabi pernah mengajarkan: Ikatlah (untamu) dan bertawakallah (R.Ibnu Hibban). Iradat itu milik Tuhan tentunya. Sedang doa dan ikhtiar kepunyaan saya.Maka saya pinjam kebijaksanaan  Amirulmukminin Umar Al-khatab : Ya, saya akan lari dari takdirNya dengan takdirNya ke takdirNya yang lain.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Indah kanvas hidup ini. Begitu tabah dan berhati-hati sekali watak ini menghadapi ranjau hidup yang penuh dengan onak berduri. Setuju sekali dengan kata-kata Van Gogh bahawa "Cinta sering membawa kesulitan, namun disebalik itu ia turut menganugerahkan kekuatan." Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menghadapi takdirNya, amin.

  • 2) optimis mengenai kematian bukan semua orang boleh buat
  • 3) Banyak unsur medikal.
    Berikan satu perenggan khas untuk setiap 'quotes' ?
  • 4) hmm .. tulis dalam bahasa inggeris lepas tu translate pakai google translate ke toti? hehehe
    kidding saja!

    saat diberitahu doktor tentang musibah (juga ujian) begitu saya pernah alami dalam skala kecil. sewaktu doktor sahkan, suatu organ di tubuh saya tidak lagi boleh diselamatkan.

  • (Penulis)
    5) syukran semua atas komen

    lightnur : mudah-mudahan, Amin.

    kamalia : bab mati ni yg optimis pun boleh jd persimis.... hehe

    26life : aku setuju. satu quotes satu perenggan. Lebih jelas dan kemas.. akan diperbaiki utk cerpen2 akn dtg.

    Cahatomic : teruk ek bahasa aku?... hehe... sorry to hear tht, bro(tetiba aku jd sentimental)
  • 6) "Ya, saya akan lari dari takdirNya dengan takdirNya ke takdirNya yang lain"

    Ini adalah punch-line yang sangat menarik. Tema cerita yang ringkas tetapi digarap dengan berkesan.

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti