Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Pajeri Jantung Pisang Mak Wan

 

Kenangan lama

Sudah lama saya kenal Mak Wan. Bukan Mak Wan sahaja, saya juga kenal Pak Darus, suami Mak Wan yang kurus kering dan ketagih menghisap rokok daun. Dahulu, sebelum kami sekeluarga berpindah, kami pernah berjiran dengan Mak Wan. Saya pernah menjadi kawan karib kepada anak Mak Wan yang bernama Aminah. Saya masih ingat lagi tentang Aminah. Gadis bertocang dua dengan pipi tembam yang suka mengunyah gula-gula getah. Saya menggelar Aminah sebagai Aminah tocang dua.

Ketika itu usia Aminah enam tahun dan usia saya lapan tahun.

Saya pernah bertanya kepada Aminah, mengapa dia suka bertocang dua? Kata Aminah; ibunya yang suka mengikat rambutnya begitu. Saya juga masih ingat makanan kegemaran Aminah. Pajeri Jantung Pisang. Pernah sekali, Mak Wan masak Pajeri Nanas. Aminah tidak mahu makan. Dia merajuk. Dia menangis. Tangisannya kedengaran hingga ke rumah saya yang beberapa meter daripada rumahnya. Saya yang tidak tahu apa-apa datang menjengah. Bimbang jika apa-apa berlaku kepada Aminah. Sementelah pula saya risaukan tabiatnya yang suka mengunyah gula-gula getah. Bimbang Aminah tercekik atau tertelan gula-gula itu.

Setelah diberitahu Mak Wan tentang sebab Aminah menangis, saya ketawa terbahak-bahak. Aminah menangis hanya disebabkan Pajeri Jantung Pisang! Malangnya Aminah menangis lagi kuat. Mungkin terkesan dengan ketawa saya itu. Saya rasa amat bersalah. Saya pujuk Aminah dengan membelikannya gula-gula getah. Suatu keadaan yang terpaksa saya lakukan.

Mujurlah dia diam dan tidak menangis lagi.

Setelah kami sekeluarga berpindah, kami tidak lagi mendengar khabar tentang Mak Wan sekeluarga. Saya juga tidak tahu berita tentang Aminah. Usia saya sudah 26 tahun. Bermakna Aminah sudah 24 tahun. Kami masing-masing menginjak dewasa. Saya kepingin benar berjumpa Aminah. Mungkinkah dia masih bertocang dua?

Wanita gila itu

Ketika mendapat tahu yang saya akan ditugaskan di kampung itu, saya melonjak gembira. Saya akan mengajar di kampung lama saya. Saya berasa tidak sabar untuk ke sana. Saya mahu mengimbas nostalgia. Saya mahu mencium bau tempat saya dilahirkan. Saya mahu mencari Mak Wan dan Aminah.

Dua minggu di kampung tersebut, saya amat sibuk. Saya perlu mencari rumah sewa. Saya perlu menyediakan rancangan mengajar. Saya perlu menyesuaikan diri dengan suasana sekolah dan kawan-kawan baharu. Saya terlupa tentang Mak Wan dan Aminah.

Suatu hari saya ke pekan berhampiran. Saya mahu membeli barang-barang keperluan rumah. Saya sendirian sahaja. Tiada sesiapa yang menemani. Saya masuk sebuah  pasar mini. Pasar Mini Indah, namanya. Saya mundar mandir di dalam pasar mini itu sambil berfikir tentang barang yang patut dibeli.

Tiba-tiba kekecohan berlaku. Saya mendengar seseorang menjerit. “Orang gila ini nak kena betul,” Kemudian wanita itu mencarut-carut. Saya ingin ambil tahu. Menjenguk sedikit ke luar pasar mini. Daripada kejauhan saya lihat seorang wanita tua yang berpakaian compang camping berjalan laju penuh ketakutan. Rambut wanita itu menggerbang. Wajahnya saya tidak dapat lihat dengan jelas.

“Apa yang berlaku?” tanya saya kepada wanita yang menjerit dan mencarut itu.

“Orang gila nak mencuri,” kata wanita itu sambil melayan seorang lelaki  yang membuat pembayaran.

Saya meletakkan bakul yang terisi barang-barang di tepi wanita itu. Saya ingin membayar. “Dia curi apa?”

“Itu,” Wanita itu menjuihkan mulutnya menunjuk ke luar pasar mininya. Saya pandang. Cuma ada beberapa biji kepala, sayur-sayuran, jantung pisang, dan juga beberapa keping petai.

“Dia curi petai?” soal saya.

“Bukan. Dia curi jantung pisang tu,” wanita itu yang saya agak pemilik pasar mini itu mula mengira barangan yang saya beli.

“Pelik,” tutur saya. Jarang orang mencuri jantung pisang.

“Memang pelik. Setiap hari dia akan mundar-mandir di sini. Kalau saya leka, habis jantung pisang saya diambilnya. Kadang-kadang kerisik saya juga dicurinya..,” bebel wanita itu.

“Jantung pisang dan kerisik?” saya tertanya-tanya dan merasa ganjil.

“Semuanya 42 ringgit,”

Saya yang berkhayal tersedar. “Err... maafkan saya,” Saya bayar harga barangan tersebut.

 
Rasepi pajeri

Malam itu, saya payah lena.

Saya tidak tahu mengapa peristiwa di pasar mini itu melekat kuat dalam ingatan saya. Saya asyik fikir soal wanita gila itu sahaja. Saya teringatkan jantung pisang yang cuba dicurinya. Serta merta ingatan saya teringatkan Mak Wan, Aminah dan Pajeri Jantung Pisang mereka. Oh... saya benar-benar terlupa kepada mereka. Saya mahu segera mencari mereka. Saya mahu merapatkan silaturrahim yang lama terburai. Juga, saya mahu menikmati Pajeri Jantung Pisang Mak Wan.

“Resepi masak Pajeri Jantung Pisang ini sama sahaja dengan resepi Pajeri Nanas. Cuma nanas itu sahaja yang diganti dengan jantung pisang,” kata Mak Wan ketika saya minta diajar membuat masakan kegemaran Aminah itu.

“Mak Wan beritahu bahan-bahannya,” pinta saya. Saya sudah bersedia dengan pen dan kertas.

Kemudian, Mak Wan menyebut tentang bawang putih, bawang merah, kunyit, lada kering, serbuk ketumbar, jintan manis, bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, lada hijau, santan pekat, gula pasir dan garam. Saya mencatat dengan tekun.

“Jangan lupa bahan yang penting, kerisik,” kata Mak Wan. Saya menambah dalam senarai bahan yang ditulis.

            Mak Wan kemudiannya mengajar saya tentang cara bahan-bahan itu dimasak. Saya pelajari dengan beria-ia.

            “Nanti kakak boleh masakkan Pajeri Jantung Pisang untuk Aminah?” Aminah yang leka memerhati kami berdua, mencelah.

            “Tentu sahaja boleh,” ujar saya.

            Saya terkejut. Rupa-rupanya saya bermimpi dan teringatkan kenangan silam. Kenangan belajar masak Pajeri Jantung Pisang dengan Mak Wan.

            “Malangnya Mak Wan, air tangan saya tak sama dengan air tangan Mak Wan. Pajeri saya kurang rasa. Kurang sedap,” rintih saya sendiri, mengenang kembali kata-kata ayah suatu ketika dahulu.

            Saya rebahkan diri. Cuba untuk tidur.


Menjejak kenangan

Esoknya hari Sabtu. Cuti. Saya tiada kegiatan di sekolah. Kesempatan yang ada saya gunakan untuk menjejak Mak Wan. Saya kembali ke kawasan rumah lama saya. Saya ingat-ingat lupa jalannya. Tapi saya redah juga. Berpandukan rasa hati.

Syukur kepada Tuhan. Saya sampai juga akhirnya. Saya masih ingat lagi tapak rumah lama kami. Di tepinya ada pokok kelapa. Tapi pokok kelapa itu sudah tiada. Rumah Mak Wan juga sudah tiada.

Saya mundar mandir di situ. Sekelilingnya semak. Sunyi dan sepi. Semua tidak sama seperti suatu ketika dahulu. Memanglah, lama sudah saya dan keluarga tinggalkan tempat ini. “Mungkinkah Mak Wan juga berpindah?” suara hati saya bertanya.

Tiba-tiba saya terpandang sesuatu. Sebuah pondok kecil di tapak rumah Mak Wan. Pondok itu kelihatan usang. Dikelilingi lalang dan pokok-pokok renik. Saya tidak tahu sama ada pondok itu masih digunakan atau tidak.

“Cik nak kemana?”

Saya terkejut. Teguran itu membuatkan saya segera berpaling.

“Oh.. cikgu Sufi Nur Iman,”

Saya mengurut dada. Sosok tubuh milik Kak Sal, pekerja kantin sekolah berada di hadapan saya. Kal Sal memegang parang panjang. Dia berseluar panjang  dan hanya memakai anak tudung.

“Minta maaf sebab mengejutkan cikgu,” Kal Sal menghampiri saya.

“Tak mengapa kak,” ujar saya kepada Kak Sal yang baru beberapa minggu saya kenali.

“Cikgu buat apa di sini?” tanya Kak Sal. Jelas di wajahnya ada tanda hairan.

“Saja. Dahulu di kawasan ini tapak  rumah saya,”

Kal Sal memandang saya. “Oh... jadi, cikgu orang kampung ini,”

Saya mengiakan. “Kak Sal pula hendak ke mana?” soal saya.

“Kak Sal baru pulang dari kebun. Kalau hari cuti begini, Kak Sal selalu ke kebun. Bercucuk tanam,”

Barulah saya faham, kenapa Kak Sal membawa parang.

Kak Sal duduk di atas sebatang tunggul kayu. “Tak sangka cikgu orang kampung ini. Saya sangka cikgu orang Kuala Lumpur,”

“Saya dilahirkan di sini. Kemudian keluarga saya pindah ke Kuala Lumpur. Lama juga saya tak pulang ke kampung ini,”

“Cikgu datang ke sini sebab nak mengimbau kenangan lamalah ya,” Kak Sal ketawa kecil.

“Begitulah kiranya. Sebenarnya saya berhajat nak jumpa jiran lama saya,” saya berterus terang.

“Siapa?”

“Mak Wan. Kak Sal kenal?”

Wajah Kak Sal berkerut. “Kenal,”

Saya teruja. “Mak Wan dah berpindahkah?”

Kak Sal semacam gelisah untuk memberitahu. “Tak. Dia ada di kampung ini lagi,”

“Kak Sal tahu rumah Mak Wan. Boleh tunjukkan pada saya,” pinta saya segera, tidak sabar.

Kak Sal makin gelisah. Wajahnya semacam menggambarkan dia kurang senang dengan permintaan saya.

“Kalau keberatan tak mengapalah. Cuma... saya mohon jasa Kak Sal beritahu arah rumahnya. Saya sudah lama tak berjumpa dengan Mak Wan,” rayu saya.

Kak Sal bangun. “Itulah rumah Mak Wan,” tunjuk Kak Sal ke arah pondok kecil yang hampir runtuh.

Saya termanggu. Berulang kali saya memandang Kak Sal. Adakah Kak Sal mahu bergurau?

Melihat saya diam, Kak Sal mengajak saya ke pondok tersebut. Saya hanya mengikut Kak Sal.

Sampai di pondok, saya dapat melihat jelas keadaan pondok tersebut. Pondok berlantaikan tanah itu penuh dengan baju-baju yang berselerakan. Beberapa biji pinggan dan mangkuk bertaburan. Ada juga beberapa buah periuk yang disusun di atas sebatang kayu.  Mata saya tertancap ke arah beberapa biji jantung pisang buruk dan berbau busuk.

Saya memandang Kak Sal.

Seolah-olah mengerti pandangan saya, Kak Sal memberitahu. “Mak Wan sekarang bukan lagi Mak Wan yang cikgu kenal dahulu. Mak Wan sekarang sudah gila. Sudah tidak siuman,”

Kata-kata Kak Sal menyentap jantung saya. “Saya tak faham Kak Sal,” Saya inginkan penjelasan lanjut daripada Kak Sal.

“Mak Wan jadi begini selepas kematian Aminah, ”

Saya kembali tersentak. Aminah sudah mati? Budak bertocang dua dan berpipi tembam itu sudah tiada di dunia?

“Aminah mati?” saya menginginkan kepastian atas apa yang saya dengar.

“Masa itu umur Aminah 13 tahun. Aminah tergelincir ke dalam tali air. Dia lemas,” beritahu Kak Sal.

Saya menarik nafas. Dada saya semacam tersekat. Air mata saya menitik perlahan. Lama sudah Aminah tiada dan baru hari ini saya tahu tentang ketiadaannya.

“Mak Wan tidak dapat menerima kenyataan kematian Aminah. Dia tetap menganggap Aminah masih hidup. Sebab itulah dia asyik memasak Pajeri Jantung Pisang, kegemaran Aminah. Mak Wan selalu menunggu kedatangan anaknya,” Kak Sal menyambung ceritanya.

Saya jengah ke dalam pondok. Benar ada gulai Pajeri Jantung Pisang di dalam periuk. Pajeri yang sudah basi. Air mata saya tidak mampu disekat lagi.

“Pak Darus?”

“Pak Darus kerap kali masuk pusat serenti. Pak Darus juga punca Mak Wan jadi begitu. Dia tiada sesiapa untuk bergantung,”

Saya mengeluh. Saya cuba merasakan kesedihan Mak Wan. Saya juga tak sangka Pak Darus penagih.

“Kak Sal tahu semuanya tentang Mak Wan,”

“Kalau cikgu nak tahu, saya sepupu dengan Pak Darus. Jadi Mak Wan itu saudara saya juga,” jelas Kak Sal.

Jelas, barulah saya faham mengapa Kak Sal tahu serba serbi tentang Mak Wan.

“Hei... kamu berdua buat apa? Mahu curi Pajeri Jantung Pisang Aminahkah?” saya terkejut apabila dijerkah begitu. Saya lihat seorang tua berbaju kusam dengan rambut menggerbang berada tidak jauh daripada kami. Keadaan wanita tua itu mengingatkan saya tentang kejadian di Pasar Mini Indah tempoh hari.

“Mak Wan... ini Sal. Kami hanya lalu di sini sahaja,” Wajah Kak Sal tenang. Dia cuba mententeramkan Mak Wan.

Sebaik sahaja dia menghampiri kami, saya cuba merenung Mak Wan. Keadaannya tidak terurus. Tetapi wajahnya masih seperti dahulu. Cuma yang membezakannya, wajahnya sekarang berkedut dan sedikit hitam.

Tiba-tiba Mak Wan memandang saya. Ralit dia memerhati. “Aminah,”

“Dia bukan Aminah. Dia cikgu yang mengajar di sekolah sana,” terang Kak Sal.

“Aminah... kau sudah pulang. Kau sudah pulang. Orang kampung... kamu semua tengok, anak aku sudah pulang,” Mak Wan mengelilingi saya. Dia meraup wajah saya. Saya biarkan sahaja walaupun dalam hati saya bergetar.

“Mak Wan... ini bukan Aminah,” Kak Sal cuba menarik tangan Mak Wan agar tidak menyentuh saya.

Saya mengisyaratkan kepada Kak Sal agar membiarkan sahaja.

“Ibu masak Pajeri Jantung Pisang untuk Aminah. Aminah tentu lapar. Aminah nak makan ya...,” Mak Wan terus masuk ke dalam pondoknya.

“Cikgu... cikgu pergi segera,” Kak Sal mengisyaratkan agar saya segera beredar.

“Tapi..,”

“Jangan bertapi-tapi lagi. Sebelum berlaku perkara yang tak elok lebih baik cikgu pergi segera,” kali ini suara Kak Sal bernada marah.

Saya serba salah. Namun kaki saya terus melangkah meninggalkan Kak Sal, Mak Wan dan pondok kecil itu.

 
Pengakhiran hidupnya

Di rumah, saya tak senang hati. Duduk saya gelisah. Bangun saya gundah. Saya capai telefon. Telefon ibu dan ayah. Beritahu mereka akan hal yang telah menimpa Mak Wan dan tentang kematian Aminah. Mereka berdua juga terkejut. Tidak menyangka begitu perjalanan hidup Mak Wan. Ibu dan ayah cadangkan saya supaya jumpa Mak Wan. “Walaupun dia tidak sihat tapi kita pernah kenal dia. Kita pernah berjiran dengannya. Ziarahilah dia” nasihat ayah. Saya akur. Ayah juga berjanji akan datang melawat Mak Wan suatu ketika nanti.

Pantas kunci kereta dicapai. Segera saya ke sana. Saya mahu berjumpa dengan Mak Wan. Ya... saya mahu sendirian dengan Mak Wan tanpa ada Kak Sal. Kereta saya pandu laju.

Sampai di suatu tempat saya lihat ramai orang. Mereka mengelilingi sebatang tali air. Saya memberhentikan kereta. Saya ingin tahu, apa yang dilihat mereka. “Cikgu... cikgu...,” Saya dengar seseorang memanggil saya.

            “Kak Sal,”

            Kak Sal menangis. Dia memeluk saya. Saya tidak faham.

            “Mak Wan sudah tiada,”

            “Mak Wan. Kenapa dengan dia?”

            “Mak Wan jatuh  dalam tali air. Dia lemas,”

            Saya terkejut. Saya pantas berlari menuju ke arah sekumpulan orang yang berkumpul di tepi tali air.

            Saya lihat beberapa orang lelaki sedang mengangkat Mak Wan yang terkulai. Saya terjelepok. Terasa ingin meraung. Namun saya tahan.

            Di tepi tali air bergelimpangan dua buah periuk. Di sisi periuk, terdapat tumpahan Pajeri Jantung Pisang.

Saya kelu.

“Dia kata nak bawa Pajeri Jantung Pisang kepada anaknya. Dia kata anaknya sudah pulang. Lepas tu saya jumpa mayat dia terapung di dalam tali air,” saya dengar suara seorang lelaki bercerita kepada kawannya.

Saya lemah.

Tiba-tiba saya terbayangkan Aminah yang bertocang dua itu. Wajahnya cerah dan tersenyum.



MKRIZA 
mkriza.blogspot.com

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) kesian Mak Wan
  • 2) salam khairulr.
    tulisan yang baik dan mengesankan

    tahniah di atas karya pertama.

    menunggu karya kamu yang seterusnya!
  • 3) sedihnya
  • 4) “Itu,” Wanita itu menjuihkan mulutnya menunjuk ke luar pasar mininya. Saya pandang. Cuma ada beberapa biji kepala, sayur-sayuran, jantung pisang, dan juga beberapa keping petai.
    *kepala?
    kalau petai penjodoh bilangannya papan, kalau tak silap la

  • (Penulis)
    5) Terima kasih hatikidal. Saya mengakui kesilapan ejaan dan penjodoh bilangan itu. Maaf.
  • 6) ini sangat bagus!
  • 7) sangat bersahaja dan membuatkan pembaca terus membaca. Tahniah!

  • (Penulis)
    8) Terima kasih semua
  • 9) susunan plot yg kemas..cuma ada sesetengah perenggan byk bermula dgn saya..sy suka cerpen begini yang mengolah tentang kehidupan..tahniah..sy nntkan karya kamu seterusnya..
  • 10) Allah.
  • 11) Sungguh ia menyayat hati saya. Tahniah! Saya menunggu tulisan kamu yang seterusnya.

  • (Penulis)
    12) Thanks u. saya akan terus mengetuk papan kekunci
  • 13) menahan air mata~

Cerpen-cerpen lain nukilan khairulr

Read all stories by khairulr