Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Mail Mondok

  • 11
  • toti
  • 13 years ago
  • 3,233
  • FREE

 

Menulis itu bukan gampang. Benar, semua orang dapat menulis. Tetapi bukan semua bisa jadi penulis. Mengalas amanah itu bukan kerja mudah. Seorang penulis yang baik harus bijak membohongi rasa. Berupaya menulis tentang indah disaat gundah. Mengungkap sengsara diwaktu bahagia. Dan merakam keramaian ditengah kesendirian. Menulis ini juga semacam berjuang. Bertempur diperbatasan ilmu, dengan ketajaman huruf. Seorang penulis yang jujur terkadang harus berani mengkhianati keyakinan demi membongkar kebenaran. Dan seperti selalu, kebenaran itu jarang manis.

Dia sedang lelah memerah benak mengolah kenyataan menjadi perkataan. Dia cuba sedaya mungkin menyerap nilai pengalaman itu ke dalam setiap perenggan. Memperincikan kerumitan dalam ungkapan paling ringan. Agar nanti ia mudah ditelan dan dihadam. Soalan demi soalan sengaja dimunculkan tanpa jawapan. Bukan dia tidak mampu memberi landas cuma baginya canang peribadi itu merupakan canang angkuh yang cenderung menjulang egoisme sendiri. Dia lebih senang membiarkan khalayak yang mencari dan kemudian menemukan.

 

***

 

Dia condong memilih bermain di luar garis selamat dan enggan tunduk pada kebiasaan. Dia gemar menangkap dunia absurditi dalam karyanya. Dia cuba menyelongkar kebenaran disebalik yang cemong, kumuh lagi kotor. Berharap daripada absurditi itu nanti dapat tertangguk pengajaran, tercicap keindahan dan terpetiklah kebijaksanaan. Namun tidak semua orang selesa dalam menyikapi perbezaan. Seperti mana penulis lain dalam alirannya, dia juga tidak terlepas daripada pukat prasangka. Umpat dan tohmah tumbuh subur disekelilingnya. Tidak sedikit pula yang mengunjing. Namun dia tetap saja dia, Mail Mondok. Utuh tak tergugat.

Kini dia sedang giat menyiapkan naskah barunya. Kali ini dia memilih subjek yang agak sensasi. Tentang manusia lelaki yang berperwatakan perempuan. Atau lebih dikenal sebagai Pondan. Cerita yang diangkat daripada kisah nyata kehidupan seorang mahluk tuhan yang namanya sengaja dikaburkan. Dia bukan ingin memurnikan gejala ini, cumanya dia mahu khalayak berhenti menuding jari dan berfikir sejenak. Apa yang cuba digarap dalam naskah ini adalah tentang the ugly truth yang sering khalayak terlepas pandang. Mara bahaya yang lebih bahaya daripada masalah pondan itu sendiri. Ketagihan seks songsang dikalangan manusia lelaki yang semakin memuncak.

 

***

 

“Kenapa kau suka sangat bermain api?” soal salah seorang temannya.

“Aku suka tercerahkan” jawab Mail Mondok ringkas.

“Kau tak takut terbakar?”.

“Lambat atau cepat kita semua bakal rentung bersama dosa masing-masing”

Temannya itu menyeluruhi wajah selamba Mail Mondok dengan mata yang bersinar. Dia sedar bahawa dia sedang berbicara dengan seorang lelaki yang bulat tekad.

“Jangan terlalu angkuh” .

“Angkuh itu sifat Azazil. Aku anak Adam serupa kau yang tunduk pada segala kebesaran Tuhan”.

“Aku hairan kenapa kau berdegil memilih jalan berliku bila yang mudah banyak terbentang?” soal temannya lagi.

“Aku sekadar mengikut jejak air yang tetap tenang mengalir walau dihalangi batuan”

“Apa kau mau jadi pakar bedah moral umat?”

“Aku hanya melaksanakan amar ma’arof dan nahi mungkar. Memanusiakan manusia dengan tulisan”.

“Itu kerja kerja Ustaz, beb!” jawab temannya dengan nada mengusik.

“Ustaz sekarang sibuk berkelahi tentang solat siapa yang lebih mirip dengan nabi. Hingga terabai fiqh keutamaan.”

“Setidak-tidaknya tugas itu diserahkan saja pada politikus?”.

“Politikus? Apa aku tak salah dengar? Buka mata kau luas-luas kawan. Politkus yang kau andalkan itu sedang lelah bergelumang dalam konpirasi. Apa mereka masih punya masa untuk masalah yang tidak menguntungkan?” giliran Mail Mondok menyoal.

“Habis kau mahu menjadi jaguh seperti Julius Caesar yang akhirnya tersembam dilantai senat?” soal temannya cuba memukat.

“Kau anggap saja aku si gaek jangkung yang berteriak: Beware, the ide of March!”.

 

***

 

Lama dia menghitung-kira sebelum memutuskan untuk menulis tentang hal ini. Banyak aspek yang ditinjau dan teliti. Bukan dia mahu mengeksploitasi perihal mungkar seperti mana terpampang pada dada-dada majalah atau tabloid picisan. Dia tidak berminat untuk mengangkat hal dalam kain tentang rektum siapa yang ditembusi atau air zuriat siapa yang terpelencit. Dia hanya mahu mendedahkan sesuatu yang lebih wajar dan waras daripada semua itu. Sesuatu yang lebih menghantar dan mengajar. Pesanan buat jiwa-jiwa yang percaya dengan kehidupan selepas mati. Peringatan sebelum muncul pemuda-pemuda yang pernah mendatangi Ibrahim dan Luth. Dan sebelum tuhan merembeskan hujan batu sijjil.

Mungkin atheis seperti Nietzsche akan mengingkak saat membaca tulisan seperti ini. Atau selajur menyanggah dengan sabda Zarathustra :

“Aku serukan kepadamu saudaraku, setialah kepada bumi, dan jangan mempercayai mereka yang mengajarkan kepada kalian harapan-harapan di luar bumi! Mereka itu peracun, baik mereka tahu atau tidak, mereka adalah peracun”.

Tapi segera pesan Iqbal bersiponggang dicorong telinga seakan membela :

“Rahsia kehidupan tersimpan dalam ajaran suci tauhid; Tujuan hidupmu adalah untuk menjaga dan memancarkan ajaran tentang keesaan Tuhan. Bila benar kau seorang muslim, niscaya kau tak akan diam. Sebelum seluruh alam menjadi naungan kebenaran.”

 

***

 

Begitulah atmosfera hidupnya, sebentar dia berpeluh kepanasan dibawah terik realiti dan sebentar pula dia merengket kedinginan dibalut salju imaginasi. Dipersimpangan antara panas dan dingin itu berputiklah karya-karyanya. Ada yang sempat menjadi besar dan ada yang dicantas sebelum kembang. Namun dia tidak pernah mengalah apatahlagi kalah. Dia sentiasa tersenyum pada masalah, mengumpul asa daripada derita sebelum tumbuh berani dengan bercermin diri.

Dia masih lagi terlihat bersungguh. Menerobos ke setiap baris ayat-ayat untuk mencicip ragam rasa. Kecewa, suka,  haru, pilu, dosa dan pahala bercampur. Semakin lama semakin jauh dia ditelan oleh tebal belantara kata yang terbenih dari nafas dan raganya. Semakin jauh, jelat dan maherat.

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Pergh.
  • 2) kudus toti...

    satu penulisan yg sgt baik..
  • 3) banyak main sama filosofi, bang?
  • 4) teringat juga ketika majlis ilmu anjuran alumni sekolah dulu.

    mana yang melanjut pelajaran di iran, madinah, mesir, tempatan saling bertingkah.

    seorang bangun dan berkata: dari kita sibuk pertikai amalan siapa yang lebih mirip nabi atau aliran mana lebih baik, lebih molek kita fokuskan pada yang pokok: bagaimana mahu dakwah mereka yang tidak solat langsung!

    spot on!


  • (Penulis)
    5) syukran untuk komentar.

    26life : bukan selalu bang..

    Cahatomic : yg bgn dan berkata tu mesti kau kn? aku setuju dgn saranan pedas tu. Bertingkah kt dunia ni xkn sudah. Yg kalah x selalu salah dan yg menang x semesti betul.
  • 6) Saudara pasti seorang yang sangat gemar membaca ya. Falsafahnya bukan main lagi. Hehehe...

  • (Penulis)
    7) Syukran Ridhrohzai buat waktu yg diluangkan utk komentar. Membaca tu tabiat org yg suka menulis. Jadinya semua penulis di sini diyakini juga luas pembacaannya.
  • 8) tidaklah hehe itu seorang junior yang kini bersyarah di USIM.
    aku adalah lelaki yang bersandar di dinding surau dan hanya memerhati

  • (Penulis)
    9) kau pemerhati yg beruntung caha, menangguk hikmah dicelah telagah.. hehe..
  • 10) Ah cantik betul tulisannya. Untungbbetl rasanya dpt baca tulisan beini
  • 11) Bukan selalu, ya?

    tapi kemana arah kompasnya?

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti