1)
Ah, hidangan minum petang sudah tersedia di serambi. Abah yang tidak berbaju dan berkain pelikat sibuk menyelak surat khabar lama. Oh, ini adalah satu dari berjuta cebisan kenangan di fikiranku. Jelas lagi hingga sekarang. Setiap petang, bila jam tujuh petang sahaja perlahan-lahan aku terjingkit-jingkit masuk ke rumah. Pastilah dengan harapan agar abah tidak menyedari keterlewatan aku pulang bermain.
Dan pada setiap kalinya aku akan kecundang.
Petang itu, abah memanggil aku. Aku mendekat meski kaki sudah sedia menggigil ketakutan. Bengis abah bukan boleh dijangka. Dulu abahlah salah seorang komander yang berjuang menentang kekejaman komunis. Darah panas abah entah bila meletup menjadi larva. Siapa pun tidak tahu. Semua orang gerun. Tapi aku sentiasa bangga dengan berani abah.
"Man, besar nanti kau nak jadi apa?" tegas soalan abah. Aku mengetip bibir.
"Man nak jadi ahli sukan." Perlahan, cukup perlahan hingga abah mengulang tanya soalan tadi. Aku jawab kali ini lebih kuat, lebih berani.
"Kau nak main apa?" soal abah lagi. Aku garu kepala.
"Main guli. Man kan jaguh kampung!" jawab aku bangga. Balang guli yang aku sorok di belakang sejak tadi aku bawa ke dada dan peluk. Abah ketawa berdekahan. Lama. Dan bila surut ketawa abah, aku disuruh cepat-cepat pergi mandi. Aku bersiap selepas itu dengan diam meski sebenarnya dalam hati merusuh melihatkan tindak balas abah. Panas hati aku. Mahu membentak? Aku takut. Nak mati membentak depan abah!
2)
"Apa yang kau menungkan Man?" soal Halim. Dia kawan baik aku, sama-sama belajar di kolej. Susah senang aku, dia selalu ada. Dah aku anggap dia macam abang sendiri memandangkan Halim berusia lebih beberapa tahun dari aku.
"Saya teringat kenangan masa arwah abah tanyakan saya nak jadi apa-- Saya nak jadi jaguh sukan!" jawab aku.
"Dah tu, kenapa tak kau realisasikan cita-cita kau tu?"
"Masa dapat tawaran ke sekolah sukan, abah sakit tenat. Aku jaga abah siang malam. Siapa lagi nak diharapkan. Tinggal aku dan abah je. Sekarang ni, aku sebatang kara. Lagipun, masa kecil-kecil dulu, aku kata nak main guli. Mana ada sukan cecehan begitu!" sanggah aku.
"Tapi sukan yang seakan-akan begitu kan ada?" pangkas Halim pula. Aku mengerutkan kening. Tidak pula aku tahu wujud sejenis sukan yang seakan-akan main guli. Sukan kampung, apalah sangat.
"Sukan apa tu?" soal aku sangat berminat.
"Sukan Petanque. Sukan ini dikesan kewujudannya semenjak zaman Mesir Purba dalam tahun 7000 sebelum masihi. Malah dipercayai tentera Islam ketika zaman Khulafa' Arrasyidin juga bermain permainan ini ketika senggang waktu perang sekaligus mengaturkan barisan ketenteraan pada waktu itu. Oh, Napoleon juga turut bermain permainan ini dengan menggunakan peluru meriam sebagai bola permainan." Terang Halim. Ternganga aku mendengar penjelasan dia.
...
...
...
3)
Entah sejak bila Azwan berada di belakang aku. Kertas kajang bertulisan separuh itu dirampas kasar. Azwan sudah berubah koordinat di sebelah, ketawa berdekah membaca tulisan aku.
"Kau tulis pasal aku je lah. Kan aku wakil Malaysia. Oh, jangan lupa puji aku banyak-banyak. Biar gadis-gadis yang membaca jatuh cinta pada aku. Lagipun, akukan kacak!"
Aku jeling dia. Tak guna. Sempat juga dia puji diri. Aku rebut kembali kertas di tangannya. Aku renyukkan dan campak ke tong sampah. Gol!
Tak jadi mahu menulis. Biarkan ia tergantung begitu.