Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

PCB#5 Segenggam Tabah

 

Ina gemar meluangkan masanya di tepi pantai, bertemankan sebuah buku nota dan gitar peninggalan arwah bapanya. Di situlah tempat dia mendapat ilham untuk mencipta lagu baru. Sejak berusia 6 tahun lagi, Ina sudah menunjukkan bakatnya dalam bidang muzik, dan sejak itulah dia telah dididik oleh bapanya yang merupakan seorang gitaris yang terkenal pada abad 80-an. Kini, sudah lebih 5 tahun bapanya pergi dijemput Tuhan, dan tinggallah dia bersama ibunya, Mak Cik Fadzleen, serta adik-beradiknya, Marissa, Amir Izzat dan Farhan.

Tangan yang sedari tadi memetik tali gitar terhenti. Ina menoleh ke belakang apabila menyedari kehadiran seseorang. Dia tersenyum apabila melihat susuk tubuh yang sangat dikenali menghampirinya sambil membawa dua kole minuman panas.


“Assalamualaikum Ina…” Kata Faishal sambil menghulurkan air tersebut kepadanya.

“Wa’alaikumsalam Faishal, duduklah. Terima kasih, buat susah-susah aja,” jawab Ina, menjemput Faishal untuk duduk di hadapannya.

“Ina buat apa kat pantai pagi-pagi ni? Tak takut ke duduk seorang diri?”

“Faishal ni… Macam tak biasa pula. Bukankah setiap hari memang Ina akan duduk kat sini? Pagi-pagi beginilah yang paling aman buat Ina, tiada gangguan daripada orang lain. Baru senang nak menghayati keindahan alam ciptaan Tuhan.”

“Sedap bunyi muzik tadi, Ina buat lagu baru, ya?” Tanya Faishal.

“Eh, mana Faishal tahu sedap ke tak, boleh makan eh?” gurau Ina.

“Ina ni kan, Faishal serius ni, dia main-main pula.”

“Ala, Faishal, janganlah marah. Bukan selalu Ina dapat jumpa Faishal, masa cuti panjang aja Faishal balik rumah. Faishal kan sekolah asrama, kat Kuala Lumpur pula tu, jauh!  A’ah, Ina tengah buat lagu baru. Tiba-tiba aja tadi ada idea datang, terus mula menulis!”

“Boleh Ina mainkan untuk Faishal tak?”

“Nanti bila lagu ni dah siap, Ina mainkan untuk Faishal, ya?”

“Kenapa tak boleh main sekarang?”

“Malu!”

“Ina ni, macamlah Faishal tak pernah dengar Ina main gitar tu. Bolehlah, ya?”

“Satu rangkap aja, ya?”

“Satu rangkap pun jadilah, asalkan dapat dengar!”


Mereka berdua tertawa gembira, dan Ina mula memainkan alunan muzik yang mendamaikan hati Faishal.


**********************************


“Faishal! Tunggulah Ina!”

“Cepat Ina! Nanti kita tertinggal bas pula! Ina tahu kan Pakcik Azmi tak suka orang yang lambat!”

“Faishal, tunggu!” Kaki Ina tersadung pada akar pokok dan dia terjatuh,  buku yang dipegangnya bertaburan. “Faishal!”

“Ina!” Faishal lari mendapatkan Ina. Dia mengutip buku-buku Ina dan membantu Ina untuk bangun semula. “Ina okey tak ni?”

“Aduh, sakit!” Ina mengerang kesakitan, menahan pedih di tangannya.

“Ina, tangan Ina berdarah!” Faishal ternampak kesan tompokan darah di lengan baju Ina.

“Faishal, sakit!” Ina memegang erat lengan Faishal.

“Jom, Faishal bawa Ina balik rumah. Kita tak payah pergi sekolah hari ni, nanti Faishal telefon cikgu bagitahu.”


Sambil membawa buku-buku Ina, Faishal memimpin Ina pulang ke rumahnya yang terletak hampir 2km daripada tempat perhentian bas. Setibanya mereka di rumah Ina, Faishal tercari-cari Mak Cik Fadzleen, ibu Ina, tetapi tidak kelihatan. Melihat keadaan Ina yang kelihatan seperti mahu menangis, Faishal membawa Ina pulang ke rumahnya untuk membersihkan luka di tangannya. Ketika Faishal sedang meletakkan ubat di lengan Ina, ibunya pulang dari pasar tani.


“Eh, Faishal, apa jadi ni?” Tanya Mak Cik Atikah, risau melihat kesan darah di baju putih Ina.

“Ina jatuh tadi umi, tangannya berdarah ni, Faishal nak bersihkan sekejap,” jelas Faishal.

“Masya-Allah! Mari sini Ina, biar mak cik letakkan ubat yang selalu mak cik guna bila si Faishal luka,” kata Mak Cik Atikah sambil berlalu ke kamarnya. Ina mengikut sambil mengelap air matanya.

“Ina... Ina…” keluh Faishal perlahan.


***************************************


“Faishal!” Suara Ina mengejutkan Faishal yang sedang mengelamun jauh.

“Opocot!” Faishal melatah, terkejut. “Eh, Ina ni… Janganlah terkejutkan Faishal, boleh kena sakit jantung tau!”

“Faishal lah, siapa suruh mengelamun jauh sangat. Faishal yang beriya-iya nak Ina mainkan lagu tu untuk Faishal, tapi Faishal yang tak dengar,” kata Ina, memuncungkan bibirnya.

“Ala, Ina, I’m sorry, tapi tadi Faishal teringat sewaktu kita kecil dulu, Ina comel sangat! Tapi sekarang Ina dah berisi sikit, tak comel macam dulu!” Usik Faishal.

“Faishal!” Ina mencubit lengan Faishal dengan geram.

“Sakitlah Ina…”

“Hah, tu lah, siapa suruh usik Ina lagi? Dah lah, Ina nak balik!” Ina bangun serta berlalu pergi membawa buku dan gitarnya.

“Ina, janganlah merajuk… Faishal gurau aja lah!” Faishal bangun dan berlari mengikuti Ina.

“Dah lah Faishal, balik rumah. Mak Cik Atikah tengah tunggu Faishal tu,” kata Ina, sambil menahan air matanya.

“Ina… Janganlah macam ni… Ina tahu kan Faishal gurau aja tadi…” Faishal berusaha memujuk Ina, namun pujukannya tidak diendahkan. Ina berlari pulang ke rumahnya, meninggalkan Faishal termangu-mangu di pantai bersendirian. “Ina…” keluh Faishal. Dia berpatah balik untuk mengambil bekas minuman mereka sebelum berlalu pulang ke rumahnya.



“KAK INA!” Suara Amir Izzat memecahkan kesunyian di rumah mereka.

“Yang kau menjerit malam-malam buta ni kenapa pula?” marah Ina yang baru sahaja selesai menyiapkan kerja sekolahnya.

“Tadi saya pergi rumah Aarif, nak pinjam buku dia. Saya terserempak dengan Abang Faishal, dia suruh bagitahu Kak Ina yang dia nak balik sekolah malam ni,” jelas Amir Izzat.

“Ha? Malam ni? Pukul berapa, dia ada cakap tak?” Ina terkejut mendengar khabar tersebut.

“Tak cakap pula, tapi rasanya, dia nak balik dah, sebab tadi saya nampak beg baju dia kat halaman rumah.”


Tanpa berkata apa-apa, Ina terus mencapai tudungnya yang sudah tersedia di belakang pintunya dan memakainya dengan terburu-buru.


“Bagitahu mak, Kak Ina pergi rumah Abang Faishal sekejap,” pesannya sebelum meninggalkan rumah. Dia hampir sahaja berlari ke rumah Faishal, namun kain yang dipakainya mengehadkan pergerakannya.


Dia tiba di rumah Faishal dalam masa seminit. Suasana di rumahnya sunyi sepi, seperti tidak berpenghuni.


“Assalamualaikum, Mak Cik Atikah,” Ina mengucapkan salam sambil memerhati keadaan sekelilingnya.

“Waalaikumsalam,” jawab Mak Cik Atikah, kepalanya terjenguk di tingkap. “Oh, Ina, kenapa datang malam-malam ni?”

“Faishal ada tak mak cik?” tanya Ina tanpa menyembunyikan tujuannya.

“Oh, Faishal baru je bertolak dengan Pak Cik Aarif dalam 5 minit yang lepas. Tadi Faishal tunggu Ina, tapi Ina tak datang. Bas dia ke Kuala Lumpur pukul 10 malam, jadi dia tak boleh tunggu lama sangat, terpaksa pergi dulu,” jelas Mak Cik Atikah.

“Oh…” Ina tidak mampu berkata apa-apa lagi. Hajatnya untuk berjumpa Faishal sebelum Faishal pulang ke sekolah tidak kesampaian.

“Tapi dia ada tinggalkan sesuatu untuk Ina, sekejap ya, mak cik pergi ambil dulu,” kata Mak Cik Atikah sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Seketika kemudian, dia keluar membawa satu sampul surat. “Nah. Faishal minta mak cik berikan pada Ina.”

Ina mengambil sampul surat tersebut. Kelihatan namanya tertera di sampul tersebut. “Terima kasih mak cik. Kalau tak ada apa-apa, Ina balik dulu, ya?”

“Jaga diri baik-baik Ina, dah gelap ni,” pesan Mak Cik Atikah.

“Baik mak cik. Assalamualaikum…”

“Waalaikumsalam…”


Ina berlalu pulang ke rumah, tangannya erat memegang sepucuk surat pemberian Faishal. Dia tidak sabar untuk pulang dan membaca warkah tersebut.


Buat saudari Ina yang dikasihi,

Pertama sekali, maafkan Faishal kerana tidak memberitahu Ina bahawa Faishal akan bertolak pada malam ini. Faishal bercadang ingin meluangkan masa bersama Ina pagi ini, tetapi Ina merajuk dengan Faishal. Faishal minta maaf atas kata-kata Faishal yang mungkin menyakitkan hati Ina pagi tadi, Faishal tak sengaja.

Ina,

Maafkan Faishal kerana terpaksa pulang ke bandar seawal ini, namun tugas pengawas telah memanggil Faishal pulang ke sekolah untuk mengendalikan suatu program. Sebolehnya Faishal ingin bersama Ina di pantai, mendengar Ina bermain gitar sambil mengimbas kembali kenangan lalu, tetapi apakan daya. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang, namun Dia yang menentukan segalanya.

Ina kena belajar bersungguh-sungguh. Bukankah dulu Ina berjanji pada abah Ina yang Ina akan menjadi seorang pensyarah di universiti tempatan? Berbekalkan azam yang kuat, serta usaha yang gigih, Faishal tahu Ina boleh mengecapi semua impian Ina itu. Tiada apa yang mustahil di dunia ini sekiranya kita berusaha. Faishal selalu mendoakan agar Ina berjaya dalam apa jua yang Ina lakukan.

Jaga diri Ina baik-baik. Dengar cakap ibu Ina. Jangan jadi anak yang derhaka kepada ibu. Ina sebagai kakak sulung kena selalu tabah dan sabar menghadapi dugaan hidup ini. Ujian Allah SWT datang dalam pelbagai jenis, tetapi Ina jangan sesekali pun berputus asa. Faishal tahu Ina kuat dan mampu menghadapi segala dugaan dan cabaran yang melanda. Tabahkan hatimu, kuatkan semangatmu, lapangkan fikiranmu dan tenangkan jiwamu.

Sekiranya Ina merasakan bahawa dugaan yang tiba itu terlalu berat, ingatlah bahawa Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya (surah al-Baqarah, ayat 286). Ina jangan pernah berputus asa atau bersedih dengan apa jua yang berlaku. Ingatlah firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran, ayat 139 yang bermaksud, ‘Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.’

Ina yang dirindui selalu,

Faishal berjanji akan pulang untuk berjumpa dengan Ina suatu hari nanti. Ina tunggulah kedatangan Faishal, ya? Tetapi andai kata ini kali terakhir Ina mendengar khabar daripada Faishal, Faishal ingin memohon maaf atas segala kesalahan Faishal terhadap Ina. Maafkan segala ketelanjuran Faishal, segala tingkah laku Faishal yang mungkin tidak menyenangkan Ina, segala tutur kata Faishal yang melukakan hati Ina sepanjang persahabatan kita. Inalah satu-satunya sahabat Faishal yang tahu segala rahsia Faishal. Inalah tempat Faishal mengadu masalah Faishal. Inalah tempat Faishal melepaskan tekanan apabila ditimpa musibah.

Faishal bersyukur kerana telah dikurniakan seorang sahabat sebaik Ina. Inalah satu-satunya sahabat yang mengambil berat tentang Faishal. Inalah satu-satunya sahabat yang memberikan dorongan kepada Faishal. Tanpa Ina, tentu Faishal dah jatuh tersungkur dek dugaan hidup yang pelbagai. Dengan kehadiran Ina dalam hidup Faishal, Faishal mendapat sumber kekuatan.

Terima kasih Ina, kerana menjadi seorang sahabat yang Faishal sayangi. Moga persahabatan kita ini diredhai Allah dan kekal selamanya. Faishal akan selalu mendoakan kesejahteraan hidup Ina, walau di mana pun Ina berada.

Yang selalu mengingatimu,

Muhammaad Faishal

 

Air matanya gugur tatkala membaca tulisan Faishal. Ina melipat semula surat tersebut dan menyimpannya di dalam laci mejanya. Dia teringat kembali  saat perkenalan mereka 10 tahun yang lalu.


***********************************************


“Mak! Kenapa orang kat rumah depan tu angkat kotak-kotak besar tu mak?” Ina yang ketika itu berumur 6 tahun bertanya kepada ibunya.

“Tu lah jiran baru kita, Ina. Mereka baru pindah dari Kampung Dusun,” jelas ibunya.

“Oh… Mak, Ina nak pergi tengok, boleh?”

“Pergilah, tapi jangan lama sangat, ya?”

“Terima kasih mak!” Ina memakai seliparnya dan berlari ke arah rumah tersebut.


Kelihatan pekerja-pekerja sedang mengangkat kotak yang berisi barang perhiasan serta perabot ke dalam  rumah. Mata Ina melilau mencari sesiapa sahaja yang boleh diajak bermain, dan pandangannya terjatuh atas kelibat seorang kanak-kanak lelaki yang kelihatan sebaya dengannya. Kanak-kanak tersebut sedang duduk di bangku di bawah pokok yang lebat.


“Hai!” kata Ina, menghulurkan salam perkenalan.

“Hai…” jawab Faishal, malu-malu.

“Nama saya Ina, awak pula?”

“Faishal...”

“Awak nak pergi ke taman dengan saya tak?”

“Sekejap ya, saya tanya mak saya dulu.” Faishal berlalu ke arah Mak Cik Atikah yang sedang bercakap dengan beberapa orang pekerja. Seketika kemudian, Faishal kembali kepada Ina. “Mak saya cakap tak boleh lama-lama, tau.”

“Jom, saya bawa awak jumpa kawan-kawan yang lain!” Ina segera menarik tangan Faishal.

“Kawan?” Faishal terpinga-pinga.

“Yalah, kita kan kawan? Jom lah!”


*******************************************


Persahabatan yang terjalin dalam masa yang singkat itu menjadi erat. Kini segalanya sudah berubah. Sekiranya dulu Ina yang sering menjaga Faishal, melindungi Faishal daripada pembuli di sekolah, kini Faishal yang melindunginya, menjaganya seperti seorang abang menjaga adiknya.



Dua bulan kemudian


“Ina …”

“Ya Faishal?”

“Maafkan Faishal, Ina…”

“Kenapa ni?”

“Maafkan Faishal kerana Faishal terpaksa pergi dahulu…”

“Faishal nak pergi mana?”

“Ina jaga diri baik-baik, ya? Jaga ibu dan adik-adik Ina,” pesan Faishal. “Bila Faishal dah tak ada, Ina jangan lupa doakan Faishal, ya? Ina jangan lupakan Faishal tau.”

“Faishal, Faishal nak pergi mana ni?” Ina pelik dengan perlakuan Faishal.

“Faishal pergi dulu, ya? Assalamualaikum Ina…” Faishal berpaling lalu pergi meninggalkan Ina.

“Faishal! Faishal nak pergi mana?” Ina berusaha untuk mengejar Faishal, tetapi Faishal seolah-olah telah lenyap ditelan kegelapan malam. “Faishal!”

“Ina… bangun nak…”

“Faishal! Faishal!”

“Ina… Bangun nak… Kan mak dah cakap, tak elok tidur lepas Subuh…”


Ina membuka matanya dan ternampak ibunya yang sedang duduk di sebelahnya, matanya merah seperti baru lepas menangis.


“Astaghfirullah… Mak, Ina baru aja mimpi Faishal. Dia cakap dia nak tinggalkan Ina. Ina tak tahu dia nak pergi mana, tapi cara dia cakap macam dia nak pergi selama-lamanya. Ina takut mak…” luah Ina, memeluk Mak Cik Fadzleen.

“Itu semua mainan syaitan aja Ina, Ina jangan risau ya?” Mak Cik Fadzleen berusaha memujuk Ina.

“Bila Faishal nak balik lagi, ya? Dah dua bulan Ina tak jumpa dia. Lagipun bukankah cuti sekolah nak dekat dah? Ina rindu dia lah mak…”

“Ina…” Air mata Mak Cik Fadzleen bergenang di matanya.

“Mak, kenapa mak nangis ni?” Ina pelik melihat air mata ibunya.

“Faishal dah tak ada nak…” suara Mak Cik Fadzleen perlahan dan sayu.

“Apa?”

“Faishal tak kan kembali lagi… Bas yang dinaikinya terjatuh ke dalam gaung dalam perjalanan pulang ke sini. Faishal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian…”

“Mak tipu! Mak tipu!”

“Ina…”

“Faishal berjanji dia nak pulang berjumpa dengan Ina! Dia janji mak!”

“Ina… Dengar cakap mak…”

“Mak tipu Ina! Faishal dah balik, kan? Dia nak buat kejutan untuk Ina ya?” Ina tidak dapat menerima kenyataan bahawa Faishal telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Ina… Mak minta maaf sangat-sangat… Mak tak tipu… Mak baru aja balik dari rumah Mak Cik Atikah. Jenazah dia baru sampai dari hospital.”


Ina tidak mampu berkata-kata. Berita yang diterima mengejutkannya. Dia terasa bagaikan masih berada di alam mimpi, di dalam tidur yang nyenyak. Mimpi yang disangkakan mainan tidur rupa-rupanya kenyataan hidup. Air matanya keluar bercucuran di pipi. Dia memeluk ibunya dengan erat, menangis teresak-esak. Kenangan bersama Faishal memenuhi fikirannya. Suaranya, gelak tawanya, sikap tanggungjawabnya. Esakan Ina bertambah kuat.


“Kenapa dia kena pergi seawal ni mak? Kenapa??”

“Ina… sabar ya?”

“Dia pergi tanpa jumpa Ina dulu. Dia tak cakap selamat tinggal pun kat Ina… Hari tu dia balik sekolah, tak jumpa Ina dulu… Mana boleh macam ni!”

“Ina…”

“Faishal tipu! Faishal janji nak jumpa Ina dulu! Faishal tipu! Ina benci Faishal! Ina benci!” esak Ina. “Ina nak jumpa Faishal! Ina nak jumpa Faishal, nak minta maaf dengan Faishal! Kenapa dia kena pergi sekarang? Dia muda lagi. Tak sampai 16 tahun. Kenapa mak, kenapa?!”

‘Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan menggembalikan kamu dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi…’ Ina ingat lagi firman Allah dalam surah Thaahaa, ayat 55, kan? Semua yang hidup pasti akan pulang kepada-Nya… Semua yang hidup pasti akan mati… Ina kena terima kenyataan ini…” nasihat Mak Cik Fadzleen.


Ina terdiam mendengar ayat tersebut. Hatinya tersentuh dengat kalimah Allah SWT. Cepat-cepat dia beristighfar dan meminta ampun kepada Allah kerana mempertikaikan takdir Yang Maha Berkuasa. Sudah tentu Dia tahu apa yang terbaik buat hamba-hambanya. Siapalah dia jika mahu menyoal suratan Ilahi? Dia hanyalah hamba yang lemah, seorang insan yang kerdil jika mahu dibandingkan dengan para sahabat Rasulullah SAW dan para ulama’.


“Ina… Ina bersiap, ya nak? Kita pergi rumah Mak Cik Atikah. Mereka mahu mengebumikannya selepas Zuhur nanti. Kita pergi melawat jenazahnya, ya Ina?” kata ibunya.


Ina hanya mengangguk, menahan esakannya. Dia bangun dan berlalu ke bilik air. Dia membuka paip dan mencuci matanya yang mulai merah. Selepas membersihkan dirinya, dia memakai sepasang baju kurung pemberian Faishal sewaktu ulang tahun kelahirannya pada tahun lepas. Air matanya gugur sekali lagi ketika ingatannya kembali kepada hari terakhir dia berjumpa Faishal. Kini segalanya tinggal memori. Tiada lagi gelak tawa yang boleh menghiburkannya ketika dia berduka, tiada lagi pendengar setia yang menilai lagu-lagu barunya. Semuanya hilang begitu sahaja dengan pemergian Faishal.

Selesai bersiap dan memakai selendang putih, Ina keluar dari biliknya dan menunggu ibunya di ruang tamu. Sepuluh minit kemudian, mereka berdua berjalan menuju ke rumah Mak Cik Atikah.


“Mak, Marissa, Amir dan Farhan mana?”

“Mak hantar pergi rumah Mak Cik Liyana, minta dia tolong jagakan. Mak nak jaga Ina, sebab mak tahu Ina susah nak terima kenyataan ni…”

“Mak… Ina sayang mak!” Ina memeluknya erat-erat. “Mak jangan pergi tinggalkan Ina macam Faishal tinggalkan Ina tau…”

“InsyaAllah mak akan ada dengan Ina. Tapi kalau mak terpaksa pergi dulu, Ina janganlah sedih. Sudah suratan nasib, semua yang hidup akan mati. Ina kena ingat tu…” nasihat Mak Cik Fadzleen.

“Doakan Ina tabah, ya mak? Ina tak sanggup lagi kehilangan seseorang yang Ina sayang…”

“Mak sentiasa doakan anak mak bahagia dunia dan akhirat…”


Mereka meneruskan perjalanan ke rumah Mak Cik Atikah. Kelihatan rumah tersebut sudahpun dipenuhi dengan penduduk kampung tersebut. Berita kematian Faishal telah tersebar luas dan semua kenalannya datang bagi memberikan takziah kepada keluarganya.


“Assalamualaikum…” Mak Cik Fadzleen member salam ketika mereka tiba di muka pintu.

“Waalaikumsalam… Oh, Kak Fadzleen… Ina… Masuklah… Atikah ada kat dalam dengan Faishal,” kata Pak Cik Aarif lalu menjemput mereka ke dalam bilik.


Kelihatan sekujur badan terbaring di atas kain kapan putih. Mukanya suci dan bersih, dan dia kelihatan seperti sedang tersenyum. Ina menghampiri jenazah Faishal lalu duduk di sebelahnya. Ibunya mengetahui perasaan anaknya itu lalu mengajak Mak Cik Atikah dan Pak Cik Aarif ke luar untuk memberikan peluang kepada Ina berbicara dengan Faishal buat kali terakhir.


“Assalamualaikum Faishal…” Ina berkata dengan perlahan. Dia merenung muka Faishal bagaikan menunggu salamnya disahut. “Ina harap Faishal gembira di sana. Ina tahu Faishal akan bahagia berada di sisi-Nya. Ina doakan agar Faishal selalu tenang dan aman di sana.” Ina menyeka air matanya yang mula mengalir. “Ina cuma nak berterima kasih kepada Faishal. Faishal dah banyak bantu Ina. Semua masalah Ina, walaupun sekecil mana, Faishal tetap setia mendengar. Faishal dah banyak beri dorongan kepada Ina untuk sabar dalam hidup ni. Ina janji, Ina akan ingat pesanan Faishal. Ina akan belajar bersungguh-sungguh. Ina akan penuhi janji Ina pada abah. Suatu hari nanti, Ina akan menjadi seorang pensyarah. Ina akan jaga mak dan adik-adik Ina. Ina akan ubah hidup kami sekeluarga. Ina janji. Faishal jaga diri baik-baik, ya? Tunggu Ina, suatu hari nanti kita akan berjumpa lagi…”


Air matanya gugur menyembah bumi. Dia tidak mampu menahan kesedihan hatinya. Meskipun dia tahu bahawa dia perlu tabah menghadapi dugaan ini, hatinya tersangat sedih atas pemergian Faishal.


7 tahun kemudian…


“Assalamualaikum para hadirin yang dihormati sekalian. Selamat datang saya ucapkan kepada semua yang sudi hadir pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia.”


Tepukan gemuruh kedengaran. Dewan Utama UTM dipenuhi dengan kehadiran ibu bapa serta kaum keluarga para graduan. Ina yang sedang beratur bersama para graduan yang lain mencari kelibat ibu dan adik-adiknya dalam kalangan hadirin yang hadir pada hari itu. Setelah beberapa minit mencari, akhirnya dia ternampak ibunya yang sedang duduk di barisan kedua bersama-sama Mak Cik Atikah dan keluarganya. Hatinya tersentuh kerana mereka sanggup datang walaupun kedudukan UTM di Skudai, Johor agak jauh daripada rumah mereka yang terletak di Pahang.

Ucapan canselor UTM, Sultanah Hajjah Zanariah binti Almarhum Tunku Ahmad telah berakhir. Para graduan telah dipanggil seorang demi seorang untuk menerima ijazah masing-masing.


“Sekarang dipersilakan siswazah terbaik pada tahun ini, saudari Faghira Afrina binti Mat Tarmizi untuk tampil memberikan ucapan beliau.”


Para hadirin bertepuk tangan ketika Ina melangkah ke podium. Hatinya bergelora, namun perasaan gementarnya dilupakan buat seketika. Ketika dia mahu memulakan ucapannya, dia merenung ke arah ibunya untuk mendapatkan kekuatan. Buat seketika, dia terasa seperti ternampak kelibat Faishal di sebelah ibunya, tersenyum sambil memandangnya. ‘Faishal, Ina tujukan kejayaan Ina ini buatmu. Semoga rohmu bahagia sentiasa…’ bisik hati kecilnya. Dia teringat sebuah lagu yang pernah dinyanyikan oleh Faishal sewaktu mereka sedang bersantai di pantai suatu masa dahulu.


Segenggam Tabah - InTeam

Bertali arus dugaan tiba

Menanggung sebak air mata

Namun tak pernah pun setitis

Gugur berderai di pipi

Tidak ditempah hidup sengsara

Suratan nasib yang melanda

Menongkah badai bergelora

Diredah bersendirian

 

Bagaikan camar pulang senja

Patah sayapnya tetap terbang jua

Sekadar secicip rezeki

Buat yang sedang rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan

Buat bekalan di perjalanan

Kau bebat luka yang berdarah

Kau balut hati yang calar

 

Telah tertulis suratan nasibmu

Derita buatmu ada hikmahnya

Terlukis senyum di bibir lesu

Tak siapa tahu hatimu

Biar keruh air di hulu

Mungkinkah jernih di muara

Biarpun jenuh hidup dipalu

Pasti bertemu tenangnya

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) salam ina .. eh syaza.
    tahniah di atas karya pertama di sini.

    tahun ni form 4? 5?

    cerita yang baik. gaya tulisan kemas dan tertib. plot agak meleret dan boleh dikompakkan lagi. dengan banyak latihan, akan gradually okey lepas ni
  • 2) oh ya, lupa nak cakap. karya ni layak untuk bertanding dalam PCB.
    just edit title nya kepada "PCB#5: Segenggam Tabah"
    dan masukkan fail audio lagu tu sama ada melalui Youtube. Guna tutorial ini:
    www.kapasitor.net/community/post/3988

  • (Penulis)
    3) @cahatomic

    Wassalam, terima kasih ya. InsyaAllah, sy cuba memperbaiki lagi. Terima kasih atas nasihat dan komen ya Masa tulis ni pun tengah rushing sebab masa tu exam, tak sempat nak edit balik.

    Untuk PCB tu, insyaAllah akan dibuat
  • 4) Tahniah untuk karya pertama di sini. Sebuah cerpen yang ada manis dan romantisnya cuma sedikit kurang emosi. Yang lain, bagi saya ia sudah cukup memuaskan. Teruskan menulis, kelak hasilnya akan lebih baik.
  • 5) hurmmm...hurrmm...jangan malu-malu, hantarlah lagi..

  • (Penulis)
    6) @ridhrohzai;
    Terima kasih InsyaAllah akan dibaiki lagi

    @26life;
    InsyaAllah, nanti akan dihantar lagi

Cerpen-cerpen lain nukilan nazu2308

Read all stories by nazu2308
No stories.