Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Apa Itu?

 

Amran cuma mampu geleng kepala.

' Cerita hantu, Anis? Lagi sekali?' Amran bertanya sambil tunduk sedikit supaya mukanya sama paras dengan wajah Anis.

Tidak mahu kalah, Anis juga angkat wajahnya tinggi sedikit dan mengangguk.

' Awak tak bosan tengok cerita begini?' Anis memberi senyuman sebagai jawapan pada soalan Amran. ' Tadi baru sahaja kita beli kompilasi cerita seram luar negara. Sekarang nak tonton cerita hantu pula?'

' Takut?' Anis sengaja menguji. Dia tahu bahawa Amran tidak takut tetapi dia sengaja ingin mengusik, mempermainkan ego lelaki yang sudah jadi teman rapat sejak kecil.

' Tidak, saya tak takut. Cuma ini bukan genre kesukaan saya. Maaf, saya nak tonton filem lain. Itupun kalau awak tak kisah.' Amran memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam kocek, tanda bahawa dia sedang risau kalau-kalau Anis tidak mahu terima cadangannya.

Senyum Anis senget sedikit. Ini bukan permintaan yang mudah.

' Awak nak tonton cerita apa?' Anis bertanya, bunyinya sedikit kurang pasti. Mungkin ragu-ragu dengan pilihan mahu meneruskan niat menonton kisah seram.

' Fast and Furious.' Amran membongkokkan tubuhnya yang tinggi lampai. Risau juga Amran kalau Anis tidak setuju dengan cadangannya. Sekali-sekala, Amran juga mahu tonton sesuatu yang dia suka.

' Bolehlah. Kita tonton cerita lain-lain,' Anis bersetuju sambil mula melangkah ke arah panggung wayang. Amran ketinggalan ke belakang sedikit dan dia masih tersenyum.

Hati Anis jadi tidak tenteram. Ini kali pertama dia akan menonton cerita seram seorang diri.

Dia teringat akan kata-katanya sendiri tidak berapa lama dulu: ' kalau betul nak tonton cerita seram, tonton cerita Thai.' Dan hari ini, Anis akan tonton cerita hantu dari Thailand.

' Nah!' Amran menghulur air teh sejuk kepada Anis. Anis sambut dengan pantas sambil sebelah tangannya sibuk menekan butang-butang pada telefon bimbit. Anis cuba menyembunyikan rasa takut yang mula dirasai.

 Anis tidak mahu mengaku bahawa dia takut tetapi sebenarnya. Bukan takut tetapi lebih kepada...ah entahlah! Kalau tonton cerita hantu dari Barat, tidaklah begitu terkesan tetapi setiap kali menonton cerita bergenre seram dari Asia, sedikit-sebanyak emosi Anis akan terganggu. Cerita seram dari Asia begitu dekat dengan Malaysia, membuatkan Anis sedikit terpengaruh.

 ' Awak, cerita saya dah nak mula,' Amran kuis kaki Anis. ' Awak ok ke tidak?' Pelik Amran jadinya bila Anis hanya memegang minuman di tangan. Selalunya, Anis akan hirup juga air sebelum masuk ke panggung. Paling tidak pun mulut, Anis macam bertih digoreng.

 ' Ok sahaja. Saya lapar lagi. Awak pergi dulu, saya nak beli makanan.'

 Dengan langkah longlai, Anis melangkah ke kaunter jualan makanan ringan. Dia cuba menghipnosis dirinya sendiri, mengulang kata-kata yang kerap dilontarkan kepada rakan-rakan sekuliah bila mereka bercerita tentang hantu.

' Hantu tiada tubuh fizikal. Mereka tak boleh usik kau,' kata Anis ketika itu. Bukan sekali Anis berkata begitu, berkali-kali sebenarnya. Anis memang terkenal dengan minatnya terhadap genre seram hingga dia digelar taksub dengan cerita sebegitu.

 ' Apa yang membuatkan kau suka sangat cerita hantu?' soal Lina, teman kuliah Anis pada satu hari.Waktu itu, mereka dalam perjalanan ke Pulau Besar bersama rakan sekuliah yang lain.

 ' Aku ingin tahu apa yang membuatkan masyarakat begitu takjub dengan cerita hantu. Aku pun mahu tahu juga sekiranya hantu mampu mendatangkan mudarat pada kita.'

 Tanyalah rakan-rakan dan keluarga Anis tentang kegemaran gadis itu. Pantang ada cerita hantu, Anis akan terlebih dahulu korek tentang cerita itu samada tentang Volkswagen kuning, orang sebelah ataupun makcik keropok; semuanya ada di dalam simpanan. Kegilaan itu kemudian disimpan di dalam bentuk blog. Tetapi, tiada siapa yang tahu sebenarnya ada rasa takut di dalam diri Anis. Dia cuma berani selama ini kerana dia sentiasa berteman samada di rumah ataupun di luar. Ini merupakan kali pertama Anis akan menonton cerita hantu seorang diri. Cerita dari Thailand bertajuk Haunted Universities. Membaca tajuk cerita itu sahaja sudah membuatkan hati Anis gundah-gulana. Dalam hati, dia berdoa supaya teman serumah ada di rumah malam ini. Maklum sahaja, pensyarah sudah mula memberikan kerja kursus malah ada yang sudah mula menduduki ujian. Ada kemungkinan teman-teman serumah Anis yang bertiga itu akan bertapa di perpustakaan.

Di dalam gelap, Anis hanya berdoa tidak henti-henti sambil mengulang kembali bahawa filem yang sedang ditayangkan cuma cerita fiksyen.

                                                                    * * *

 Dari kejauhan, Anis terlihat bilik teman-teman cerah dengan bantuan lampu. Dengan pantas, Anis melambaikan tangan pada Amran.

' Terima kasih!' lalu Anis berlari ke dalam rumah teres yang disewa dengan teman-teman. Lega sungguh hati gadis itu bila mengenangkan yang dia tidak akan keseorangan malam ini.

 Buka sahaja pintu rumah, terlihat Sharina di sofa.

 ' Waalaikumussalam,' sapa Sharina sambil mengangkat kening.

Terasa tersindir, Anis beri salam sambil tersengih.

 ' Macam mana cerita tadi?' Sharina berkalih duduk dan kini mengadap Anis.

 ' Memang seram. Semuanya cerita tentang budak kolej ataupun universiti,' jawab Anis sambil menanggalkan beg sandang. Belum sempat Sharina muka mulut untuk bertanya lebih lanjut, Anis pantas mencelah dengan pertanyaan ' Kau tengok cerita apa?'

 Ada beberapa kelebihan yang tidak dapat disangkal jika teman serumah tidak ramai. Rumah lebih sunyi, lebih kemas dan teman serumah dijanjikan lebih privasi. Bukan itu sahaja, Anis juga bertuah kerana tidak perlu berkongsi bilik. Cuma malam ini, Anis berasakan hal itu sudah jadi semacam satu sumpahan. Dia sengaja tidak mahu berbual dengan Sharina akan filem yang ditonton petang tadi. Masih terbayang-bayang bagaimana salah seorang watak di dalam cerita itu mampu berkomunikasi dengan bekas teman sebilik yang sudah mati dibunuh. Watak yang sama juga sudah tidak boleh membezakan antara hantu dan manusia sebenar.

 Bukan kali ini sahaja Anis terkesan dengan cerita seram. Sebelum ini juga sama tetapi kali ini lebih lagi kerana Anis tidak dapat berlawak dengan Amran tentang jalan cerita seram. Jenaka, bagi Anis, adalah satu cara untuk menutup rasa takut yang dirasai.

 Sesudah mandi, badan yang penat jadi segar semula. Anis yang daripada tadi cuma fikir tentang katil, turun ke ruang tamu bawah. Sharina entah ke mana, diganti pula Yanti yang sedang menonton Cerekarama di dalam gelap. Sudah lebih kurang empat bulan tinggal bersama, Anis sudah kenal benar dengan kelibat Yanti.

 ' Hai Yanti!' sapa Anis sambil menuju ke dapur untuk mengambil air.

 ' Hai. Marilah Anis. Seronok cerita ini.'

 ' Sekejap.' Anis mula membancuh air. Batu-bata khayalan yang terasa menghempap kelopak mata telah hilang. Akhirnya, Anis ambil keputusan untuk menonton televisyen pada malam Sabtu. Kerja kursus

 Anis boleh tunggu hingga esok.

 Memang sudah jadi kegemaran Anis baring di atas sofa panjang kalau menonton televisyen di ruang tamu. Teman serumah juga tidak boleh berkata apa-apa kerana sofa itu pemberian keluarga Anis. Mahu tidak mahu, selalunya kalau Sharina, Yanti atau Ida berada di ruang tamu, mereka pasti akan beralih untuk beri tempat pada Anis. Tidak terkecuali malam ini. Yanti bangkit dari duduk bila dilihat Anis membawa segelas cawan ke arah ruang tamu.

 Cawan yang masih berasap diletakkan ke atas meja. Telefon bimbit pula Anis letakkan ke atas meja kecil yang berada di kepala sofa sebelum berbaring. Di dalam gelap, mereka menonton Cerekarama dengan begitu fokus sekali. Takut yang dirasai Anis mula hilang perlahan-lahan bila dia semakin menghayati drama di kaca televisyen. Sekali-sekala, Anis bergerak untuk menghirup air atau meraba-raba telefon yang berada di atas kepala. Sesudah melihat skrin telefon, tumpuan Anis kembali pada kaca televisyen.

 Cerekarama habis lalu ditukar pula saluran. Kali ini, Anis tonton pula siri dokumentari. Yanti sudah lama meninggalkan ruang tamu, mengantuk katanya. Sedang fokus menonton siri tersebut, tangannya dihulurkan ke belakang kepala untuk mencapai telefon bimbit.

 Yang tersentuh dek jari Anis adalah sesuatu yang lembap dan kenyal, tidak ubah seperti tangan yang basah. Anis tersentak. Terasa 'benda' aneh itu menyentuh tangan Anis dan Anis terpaku.

 ' Ah sudah!' bisik Anis dalam hati. Dengan perlahan, Anis ambil telefon bimbit dan letak di sisi, berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku. Jantung Anis masih kuat menghentam bilah-bilah rusuk di dada tetapi dia cuba buat selamba. Dan telinga Anis seperti terdengar erangan halus, seperti suara seorang perempuan.

 ' Tidak. Ini semua khayalan,' Anis berbisik sambil mencapai alat kawalan dengan tangan yang sedikit menggeletar.

 Dalam gelap, Anis memaki-maki diri sendiri. Menyesal rasanya baca cerita-cerita seram dan tonton cerita-cerita hantu selama ini. Memang menyesal sungguh-sungguh.

 Seminit..dua minit...dan Anis lupa untuk mengira minit-minit yang berlalu. Dengan tenang, Anis matikan televisyen, angkat gelas dan hantar ke dapur. Dengan langkah yang semakin laju, Anis pantas meninggalkan ruang tamu namun sempat dikerling meja di kepala sofa. Tiada apa-apa.

                                                                        * * *

 ' Awak rasa apa?' Amran bertanya waktu sarapan pagi.

 ' Macam tangan yang basah,' jawab Anis sambil menghirup teh panas.

 ' Lepas itu?'

 ' Tak ada apa-apa. Saya pun tak nampak apa-apa' Anis mengoyakkan roti bakar. Dipicit-picit roti supaya jadi mampat, jelas Anis sedang bermain dengan makanan.

 ' Otak kita hebat. Kalau kita percaya akan kewujudan sesuatu, kita memang boleh nampak dan rasa. Lagipun awak dah selalu sangat dengar cerita begitu sehinggakan seluruh jiwa awak, awak dah laburkan untuk cerita-cerita seram.'

' Tapi...' Amran angkat tangan, mahu Anis berhenti bercakap.

' Bila saya baca tulisan awak dapat blog, saya dapat rasa 'jiwa' awak dalam cerita-cerita itu. Tak mustahil awak berkhayal saja,' Amran pandang wajah Anis yang sedikit pucat.

Anis hanya tunduk dan disebabkan dia sudah kehilangan kata, jari-jemari Anis hanya mampu menghantar roti bakar ke dalam mulut.

' Lagipun, awak juga yang cakap bahawa hantu tidak boleh mencederakan kita tetapi ketakutan kita pada hantu yang boleh tinggalkan kesan pada kita,' selamba sahaja Amran bersuara sambil membetulkan kaca mata.

Anis rasa terpukul. Selama ini, dia megah berhujah. Sekarang, Anis sendiri terpaksa menggunakan pengalaman peribadi untuk menilaikan pendapat sendiri.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) orang kata, kalau masa kita baca cerita seram dan tiba2 bulu roma berdiri, maknanya 'benda' tu ada dekat2 situ. orang katalah. nasib baik saya baca cerita ni sambil mendengar nyanyian dari Britney Spears (nasib baik jugalah lagu Britney Spears tak tukar ke suara mengilai)
  • 2) ah sudahh .. apa ittew?

    Akhirnya, Anis ambil keputusan untuk menonton televisyen pada malam Sabtu. Kerja kursus

    ada ayat yang tak tersambungkah?
  • 3) Oho, pertama kali baca cerita berunsur seram dari Ucu. (Atau saya ada terlepas pandang sebelum ini?)

    Deskripsi penceritaannya jelas. Fokus pada jalan cerita.

  • (Penulis)
    4) kamalia: ceh saba je

    cahatomic: oke bole tak baru nak komen skang? nnt ai tukar oke?

    ridh: terima kasih sudi baca. bole tulis cite seram lagi la lps ni.

Cerpen-cerpen lain nukilan uculer

Read all stories by uculer