Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Merah darah rakyat.

  • 5
  • PETAK
  • 13 years ago
  • 3,339
  • FREE

 

“Cukuplah, Li. Bersyukur apa yang ada,” kata Puan Rashidah, seorang ibu yang sedang menyuluh hari tuanya perlahan-lahan.

 

 Ali yang ketika itu sedang memanjat anak tangga, berhenti sendiri dan memandang ke arah Puan Rashidah. Matanya sayu memandang ibu, dan beberapa ketika setelah nafas pendeknya dihembus perlahan, dia berkata ;

 

“Kita memang perlu bersyukur, bu. Tapi dalam masa yang sama, kita kena cari kehidupan yang lebih sempurna,” dan kemudiannya, dia menyambung baki-baki anak tangga yang sedang lama menunggu masa untuk dijejaki lagi, lagi dan lagi.

 

“Perjuangan, tak kenal darah daging,” dia teringat kata-kata Usman. Ali membaringkan dirinya sendiri di atas katil bujang. Dia menghadap ke atap dan memikirkan pelbagai perkara. Dan selalunya pada waktu dan tabiat sebegitu, dia pasti akan pantas mengelirukan fikiran dengan berfikir semula tentang perkara-perkara yang lampau, tapi terkesan dalam jiwanya.

 

“Kau tengok sejarah Rasulullah. Abu Lahab tentang perjuangan dia. Tentang dakwah dia. Tapi, Rasulullah ada matikan perjuangannya?” bilang Usman lagi.  Dan dalam sokongan seorang rakan, dia teringat pula kata-kata rakannya yang lain. Sebuah kata-kata yang seperti muncung senapang, membuah kan butir-butir timah dan membunuh pada siapa yang mendengarnya.

 

“Kau tahu pengerusi dia tu Li? Kau tahu apa yang dia buat tentang Islam?” dan sebenarnya kata-kata itu ingin disambung lagi. Tapi kerana sudah terlalu lama menahannya, Ali akhirnya bersuara dan cuba menyekat kata-kata.

 

“Apa yang dia buat tentang Islam, memang aku tak setuju. Dan aku sendiri sangat marah kalau dia menyokong orang Islam untuk murtad. Tapi, itu hal lain. Ini bukan hal yang cuba kau cakapkan. Ini hal negara. Hal negara. Perkara yang lama dalam subjek yang berbeza, kau tak boleh nak sama kan dengan perkara yang baru dalam subjek yang juga berbeza,” Ali memandang ke hujung deretan kedai-kedai. Dan selepas itu, dalam beberapa minit mereka menyepi, rakannya menyambung lagi.

 

“Tapi cara dia salah,”

 

“Apa yang salah? Dalam Perlembagaan Persekutuan, artikel 10 ada menerangkan bahawa setiap rakyat Malaysia bebas untuk mempunyai hak berhimpun secara aman. Apa yang salah?” dengan dada yang berombak, sedang mengawal emosi, Ali bercakap dengan hampir kuat sambil menekan kan perkataan – bebas.

 

“Perkara ni hanya akan menimbulkan kesusahan, Ali. Akan menyebabkan kesesakan. Akan menimbulkan huru-hara,”

 

“Selama ni, bermacam-macam aktiviti yang diadakan melibatkan jalanraya. Perarakan, atau lumba basikal misalnya. Waktu itu, jalan ditutup. Dan kenapa baru sekarang kena timbulkan hal kesesakan lalu lintas? Dan tentang huru-hara. Huru-hara berlaku hanya apabila pihak berkuasa muncul ke depan dan mula menyerang peserta demonstrasi. Kalau mereka tak serbu, pukul, asak  dan buat macam-macam perkara pada peserta, peserta tak akan buat apa-apa dan hanya akan berarak secara aman. Tapi, mereka yang mulakan. Mereka memutuskan tali demokrasi yang menjadi pegangan rakyat selama ni. Rakyat turun ke jalan dan menunjuk perasaan adalah perkara  biasa untuk sebuah negara demokrasi. Itu hak rakyat. Dan rakyat berhak. Tapi, Malaysia tidak. Demokrasi Malaysia adalah demokrasi lara, kata Pak Samad,”

 

“Berhimpun dan turun ke jalan adalah perkara biasa untuk sebuah negara demokrasi? Huh?”

 

“Kenapa?”

 

“Ini bukan perkara biasa. Ini perkara sakit jiwa. Perkara yang berlaku tanpa berfikir panjang dan melakukan sesuatu tanpa tahu risikonya,”

 

“Jadi, kau nak cakap tentang berhimpun dan turun ke jalan tak sepatutnya berlaku?” mereka semua diam. Ali memandang setiap wajah rakan-rakannya satu per satu.

 

“Masa sekolah menengah, kita ada belajar sejarah. Sejarah ada bilang, bahawa pada suatu ketika dahulu, rakyat Tanah Melayu pada ketika itu, turun ke jalan dan membuat tunjuk perasaan. Mereka menunjuk perasaan dan terang-terang untuk membantah Malayan Union. Jadi sekarang, siapa yang mulakan? Kita, atau mereka? Atau sepatutnya sekarang kita masih perlu berada di bawah tadbiran Malayan Union kerana kita tidak patut turun ke jalan dan menunjuk perasaan?”

 

“Ali. Apa sahaja pegangan kau, apa sahaja prinsip kau, kami tak kisah. Tapi kami ni kawan-kawan kau. Kau pelajar, Ali. Kalau kau kena tangkap, kau akan terus dibuang universiti. Jangan lah pergi. Sayanglah status kau sebagai pelajar,” rayu seorang dari rakannya, yang semenjak dari tadi, membeku bisu.

 

“Tugas mahasiswa bukannya hanya pergi kuliah, balik kuliah, belajar, kumpul markah dan akhir semester dapat anugerah dekan. Bukan. Tugas mahasiwa, besar. Sangat besar. Suara mahasiswa adalah suara rakyat. Kita ini mahasiswa. Kita ini rakyat. Dan sepatutnya kita tahu hak kita apa. Dan kita harus tahu bahawa kita ini patut diam atau bersuara. Dan bersuara, sudah tiba masanya,” Ali menghirup airnya yang terakhir. Dan sesudah itu, dia mengambil beg galasnya di kerusi sebelah, dan menyambung ;

 

“Aku sayang status aku sebagai pelajar. Tapi, aku lebih sayangkan negara aku,”

 

Ali melelapkan matanya sebentar. Dia masih di situ, memandang kipas yang sedang berkejar-kejaran tiga bilahnya. Dadanya masih berkocak dengan segala halangan yang sengaja dibuat untuk mengkaburkan mata masyarakat. Dia kecewa, dengan apa yang terjadi.

 

Kecewa dengan semua manusia yang mencipta keadaan, yang menjadi mangsa keadaan, dan yang tidak menghiraukan keadaan. Dia kecewa.

 

Tapi, dia sedar. Bahawa perasaanya bukan dia sahaja yang merasa. Dia sedar, bahawa jiwanya masih sama dengan semuanya. Dia bersabar, dan berharap, bahawa esok pagi, jikalau dia masih bernyawa, demokrasi yang dia cintai, akan terus terjaga.

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) argumen dan justifikasi yang matang.
    ungkapan perspektif yang jelas dan mencapai maksud.

    sayangnya negara kita terlalu banyak yang taboo buat yang berpetir di genggaman.
  • 2) tak takut ke kalau pengganti nanti lg bwk kemudaratan...

  • (Penulis)
    3) Abang Jo, apa salahnya mencuba, kan?
  • 4) Bukan masalah mencuba, Masalahnya yang sekarang ni dah terlalu lama menipu rakyat dan mencilok khazanah negara untuk anak beranak mereka. Rakyat merana dah cukup lama. Itu saja. Kalau sanggup di tipu dan di kencing lagi, jangan tukar.

  • (Penulis)
    5) Memang betul, bang Kurusawa. Tapi, orang/rakyat/masyarakat tak sedar untuk menerima kenyataan tu. Sebab media dah dipaksa bagitahu rakyat bahawa mereka ni sudah banyak berbakti pada rakyat dan negara. Jadi, rakyat kita yang akur dengan kenyataan tu, tak nak meludah pada orang yang dah ber'jasa' pada mereka.

    Dan untuk jawapan pada orang yang selalu takut dengan perubahan itu, perubahan yang disangka baik ke yang benar-benar baik, itu saja jawapannya.

Cerpen-cerpen lain nukilan PETAK

Read all stories by PETAK