Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Sempurna

 

Kelihatan gagak sedang berterbangan bersama pipit. Pokok kelapa menari-nari mesra disapa bayu. Pasir pantai yang halus berdendang sayang setiap kali angin bayu bertiup kencang. Aku berjalan di sepanjang gigian pantai sambil mengimbas kembali masa silamku 15 tahun yang lalu. Di pantai ini, di bawah pohon yang rendang itulah aku belajar membaca dan menulis atas tunjuk ajar Amira. Iaitu sahabat yang telah menjadi guru kepadaku. Dia jugalah yang telah membimbing aku dalam pelajaran. Memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa baik dan murninya hatinya sewaktu itu.

Di sekolah aku sering diejek oleh rakan-rakan kerana merangkak-rangkak ketika membaca,tulisanku pula seperti cakar ayam. Oleh kerana itu aku tidak mempunyai kawan. Kawanku cuma satu, iaitu ibuku yang amat kusayangi di muka bumi ini kerana aku sudah tidak mempunyai sesiapa lagi melainkannya. Ayahku dan adik perempuanku pula telah meninggal dunia ketika aku berusia 10 tahun kerana mereka hilang di laut. Pada waktu itu, ayahku telah mengajakku ke laut untuk menemaninya menangkap ikan kerana rumah kami telah kehabisan makanan. Oleh kerana tiada duit, ayah telah membuat keputusan untuk turun ke laut menangkap ikan. Katanya akan pulang sebelum malam. Aku tidak mahu mengikut ayahku aku pada waktu itu kerana aku sedang sibuk belajar membaca. Tetapi, adikku yang berusia 8 tahun merengek-rengek untuk mengikut ayahku turun ke laut. Untuk menyedapkan hatinya, ayahku telah membawanya pergi bersama.

 Petang itu, Kelihatan ibu sangat gelisah kerana risau akan ayah dan adikku yang masih belum pulang. Aku cuba untuk menenangkan hatinya. Malangnya, kerisauan ibu bertambah setelah malam melabuhkan tirainya. Jauh di sudut hati ada sedikit perasaan gusar dihatiku tetapi aku tetap mendoakan agar mereka selamat pulang ke rumah. Ketika aku sedang leka membantu ibuku melipat pakaian, tiba-tiba terdengar suara teriakan orang dari luar rumahku. Aku bingkas bangun mendapatkan milik siapakah empunya suara itu. Rupa-rupanya, Pak Mail iaitu sahabat baik ayahku dalam keadaan yang basah kuyup akibat hujan malam itu meminta kami bersabar lalu menyampaikan satu berita yang telah mengubah hidupku buat selama-lamanya. Katanya ayah dan adikku telah hilang dilaut akibat ombak besar yang melanda di laut ketika air mulai pasang. Berita ini amat menyayatkan hati kami dua baranak kerana dikatakan mayat kedua-dua adik dan ayahku tidak dapat dijumpai ekoran keadaan laut yang bergelora. Tiba-tiba ibuku jatuh terjelepok ke atas lantai papan rumah kami yang usang sambil memanggil-manggil nama ayah dan adikku. Pada waktu itu aku sudah tidak dapat berkata apa-apa lagi kerana lidahku telah menjadi kelu dan tidak menyangka bahawa perkara ini berlaku dengan begitu pantas sekali. Tanpa disedari mutiara jernihku jatuh berguguran kerana sudah tidak dapat menahan sebak di dada.

Sejak dari peristiwa itu, ibukulah yang telah menguruskan semuanya. Ibuku juga terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan kami dua beranak. Ibuku bekerja di sebuah kedai runcit di pekan dengan menaiki basikal usang peninggalan arwah ayahku. Setiap pagi dia terpaksa keluar sebelum mentari menunjukkan wajahnya kerana jarak rumah kami dengan pekan itu sejauh 5 kilometer. Kadang-kadang jika ibu cuti atau ada masa lapang dia akan membuat kerja sambilan iaitu dengan mengambil upah membasuh kain jiran-jiran atau menghantar nasi lemak ke warung Pak Mail. Cuma dengan cara itu sahajalah yang ibuku mampu lakukan. Dengan gaji bulannya sebanyak RM 300 itulah ibuku telah membelikan aku buku-buku sekolah dan daftarkan aku di salah sebuah sekolah di kampung. Walaupun aku telah lewat beberapa tahun mendaftar masuk sekolah, aku tetap diterima di sekolah itu.

Suatu petang ketika aku sedang belajar membaca di pangkin luar rumah, tiba-tiba kelihatan sebuah kereta Waja berwarna hitam berhenti dihadapan rumah sewa Pak Mail. Lalu keluar sepasang suami isteri bersama seorang anak perempuannya. Mereka meninjau-ninjau kawasan rumah itu. Dan pada waktu yang sama lelaki itu terlihat aku sedang duduk di luar rumah lalu dia datang ke arahku.

“Assalamualaikum!” kata lelaki yang seusia dengan ayahku barangkali.

 

“Waalaikumussalam..” jawabku ramah lalu bersalaman dengan lelaki itu sambil melemparkan senyuman kepada anak dan isterinya yang berada di sebelah.

Lalu, lelaki itu menghulurkan kepadaku secebis kertas yang mengandungi alamat rumah seseorang. Aku mengamati alamat itu dan menunjukkan arah rumah yang dicari mereka. Lelaki itu menganguk-angguk dan mengucapkan terima kasih kepadaku. Setelah meminta izin untuk pulang, anak perempuannya yang berbaju kurung hijau tiba-tiba memperkenalkan dirinya.

“Hai! Kenalkan, saya Amirah…Amirah Binti Rosli.” Katanya dengan ramah lalu menghulurkan tangan kepadaku untuk bersalaman.

“Saya Khairul Afzan Bin Ariffin.” Aku menyambut huluran tangannya tetapi cepat-cepat menariknya kembali kerana segan bersalaman dengan perempuan. Merah padam muka aku pada waktu itu.

Ketika sedang malu-malu itu, kami dikejutkan dengan panggilan ibunya yang memanggil untuk pulang kerana hari sudah senja. Disebabkan rumah mereka jauh dari sini, kemungkinan malam baru mereka akan sampai ke destinasi. Dan sebab itulah mereka harus memanfaatkan masa secukupnya. Sekelip mata sahaja Amirah sudah berada di dalam perut kereta bapanya. Dia melambai-lambai ke arahku. Aku membalas lambaiannya sehinggalah kereta mereka hilang dari pandangan aku.

Tiba-tiba. “Hah,Rul! Kamu bercakap dengan siapa tadi tu?” kata ibuku yang datang dari dapur sambil menatang air teh O panas bersama biskut kering.

“Tak, tadi ada orang datang nak sewa rumah. Jadi dia mintalah Rul tunjukkan yang mana satu rumahnya. Rupanya bu, mereka akan menjadi jiran kita tak lama lagi.” Kataku sambil mencapai sekeping biskut lalu mencecahkannya ke dalam air teh O panas tadi.

“Oh…tak lama lagi kita dah ada jiran baru la ye?” kata ibuku sambil menjahit sarung bantalku yang telah koyak dan lusuh itu.

Keesokan harinya, selepas solat zohur, aku ke luar rumah untuk belajar membaca di atas pangkin di hadapan rumahku. Cuaca agak baik hari ini berbanding semalam kerana langit kelihatannya cerah sekali. Matahari juga kelihatan tidak segan silu lagi untuk melimpahkan sinarnya yang terik membakar itu. Tidak berapa lama kemudian, aku terlihat sebuah kereta dan di belakangnya terdapat sebuah lori yang penuh dengan perabut dan perkakas rumah, seperti mahu berpindah rumah gayanya. Ketika itu baru aku teringat bahawa itu adalah keluarga Mira yang akan menjadi jiranku sekarang. Aku tersenyum sebaik sahaja ternampak Mira. Dia melambai-lambaikan tangan ke arahku. Aku bingkas bangun dan pergi ke arahnya.

Setibanya aku di hadapan rumah baru Mira itu aku bersalaman dengan Mira dan ibu bapanya. Setelah bertanya khabar aku menolong mereka mengangkat barangan masuk ke dalam rumah. Setelah beberapa jam bertungkus-lumus mengangkat barang-barang Mira mengajakku ke kerusi batu yang terdapat di bawah pokok kelapa yang rendah itu.

“Terima kasih awak..sebab tolong kami angkat barang semua…kuat rupanya awak ye, badan je kecil!” lalu tertawa.

“Erm, tak mengapa. Sikit je, kita kan jiran apa salahnya tolong menolong kan..?”

“Yela..jiran..hurm..saya nak panggil awak apa ye, Khairul atau Afzan?” kata Mira cuba menukar topik perbualan kami.

“Dua-dua nama saya..terpulanglah pada awak nak panggil saya dengan nama apa sekali pun.” Lalu aku melemparkan senyuman kepadanya. Tersipu-sipu Mira yang berada di depanku ini.

“Mak awak selalunya panggil awak dengan nama apa?”

“Kadang-kadang Rul dan kadang-kadang Zan.”

“Erm ok..kalau macam tu saya panggil awak Afzan boleh?”

“Boleh je.” Tiba-tiba..

“Hah…di sini rupanya kamu berdua ya..amboi..borakkan apa tu?” kata ibu Mira.

“Bual-bual kosong je mak cik..nak lepaskan penat lelah angkat barang.” Jawabku lalu bangun ingin minta izin untuk pulang.

“Eh! Sekejap je dah nak balik? Duduk la dulu..nanti mak cik buatkan air ya.”

“Tak apalah mak cik..lagipun dah lewat petang ni..kesian ibu saya tinggal keseorangan di rumah.” Lalu bersalaman dengan Mak Cik Tipah dan Mira.

Pagi keesokannya aku bangun agak lewat. Mungkin kerana penat membantu keluarga Mira mengangkat barang semalam. “Aduh, penatnya..! Rasa malas pula nak ke sekolah.” Desis hati kecilku.

Kelas dimulakan seperti biasa. Usai ketua darjah membaca doa guru akan memulakan mukadimah paginya. Seperti biasa ceramah pagi oleh guru muda itu amat membosankan aku. Tiba-tiba aku terdengar satu ketukan di pintu bilik darjahku. Aku memandang ke luar. Alangkah terkejutnya aku tetamu yang datang itu adalah Pak Cik Rosli dan Amirah! “Eh, dia buat apa di sini?” fikirku di dalam hati.

Setelah Amirah memperkenalkan dirinya kepada kami semua, cikgu Faridah menyuruh Mira duduk di sebelahku. Kebetulan Aina tidak hadir ke sekolah hari ini. Aku terkedu sebaik sahaja cikgu Faridah berkata begitu. Merah telingaku seketika kerana menahan malu. Argh! Buat apa nak malu, dia hanya jiran aku..tapi sekarang dia sudah menjadi temanku di kelas pula! Pening..pening..

Rupa-rupanya, Pak Cik Rosli yang juga ayah Mira adalah guru yang menggantikan tempat cikgu Bakri yang telah bertukar ke sekolah lain. Dan sejak detik itu kami berdua rapat sekali. Kami akan ke sekolah bersama dengan menaiki kereta ayahnya cikgu Rosli yang kini telah menjadi guru matapelajaran Bahasa Inggeris di kelas kami. Di sekolah, hanya Mira yang menjadi sahabat aku. Seperti biasa teman-teman yang lain tidak mahu berteman dengan aku. Malahan semakin cemburu kepadaku kerana rapat dengan anak cikgu yang cantik lagi bijaksana itu, Amirah.

Pada suatu hari, ketika aku sedang menunggu Mira di Taman Sains sekolah, Amran, iaitu budak paling nakal di sekolahku datang menghampiriku. Tanpa disedari, dia merampas buku di tanganku lalu dicampakkannya ke dalam kolam ikan yang berada berhampiran. Aku terkedu.

“Amran!! Kenapa kau buang buku aku??” kataku berang. Bulat mataku memandangnya tepat ke arahnya.

“Buku? Buku apa? Bila pulak aku buang buku kau?” katanya dengan selamba.

“Itu..! Buku yang dah basah dalam kolam ikan tu..” kataku sambil menudingkan jari ke kolam ikan yang kotor dan berlumut itu.

“Eh! Itu buku ke? La…aku ingatkan makanan ikan tadi..” lalu ketawa terbahak-bahak. “Lagipun, kau nak buat apa lagi dengan buku tu, kau kan pandai..opss,salah..bodoh! tak perlulah nak baca buku-buku ni  semua..terima sajalah hakikat yang otak kau tu memang tak berguna langsung!” kata Amran dengan bongkak lalu menolakku. Aku berganjak sedikit ke belakang. Hampir sahaja terlanggar pasu bunga di situ. Tiba-tiba. Amirah muncul lalu menampar muka Amran. Merah padam mukanya. Mungkin menahan kesakitan dan rasa malu kerana telah ditampar oleh perempuan di hadapan kawan-kawannya dan pelajar yang lain. “Kau….kau..hush..!!” lalu berlalu pergi dengan perasaan yang tidak puas hati kerana ditampar secara tiba-tiba.

“Afzan, awak okay?” Tanya Mira selepas mengambil buku latihanya yang diletakkan di atas tangga perpustakaan. Aku tidak menjawab pertanyaannya, sebaliknya terus terpandangkan sebatang kayu lalu mengait buku yang sudah lencun dan kotor itu. “Saya okay.” Jawabku ringkas lalu berlalu meninggalkan Mira keseorangan di situ.

“Afzan! Nak kemana tu? Hei..tunggu saya!” jerit Mira tetapi aku tetap tidak menghiraukannya.

Setibanya di rumah aku terus berlalu ke dalam bilik. Aku duduk di birai katil. Aku berasa tertekan kerana sering dibuli oleh teman-teman sekolahku. Aku merenung gambar arwah ayahku. Tiba-tiba perasaan sayu mengambat hatiku. Aku sebak. Sedih kerana aku tiada ayah yang sebijak ayah Amirah. Tambahan pula arwah ayahku hanya seorang nelayan yang dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Aku tidak menyalahkan arwah ayahku kerana tidak mengantarku ke sekolah sejak dari tadika kerana aku tahu keluarga aku miskin dan tidak cukup duit untuk mengantarku ke sekolah seperti kanak-kanak lain yang sebaya aku kerana hidup kami serba kekurangan. Kais pagi makan pagi dan sebaliknya. Kadang-kadang hendak makan pun tidak cukup dan sesekali terpaksa berlapar, inikan pula untuk aku pergi ke sekolah seperti orang lain. Aku tidak kisah itu semua. Dan aku faham keadaan keluarga aku yang serba naif dan serba kekurangan. Aku sudah cuba belajar mengeja dengan lebih pantas, tapi keputusannya aku tetap merangkak-rangak ketika membaca. Aku tidak sempurna seperti kanak-kanak lain. Walau apapun aku tetap tidak berputus asa. Aku tiada abang atau kakak yang boleh mengajarku membaca dan menulis. Nak harapkan ibuku, ibuku sendiri tidak pernah bersekolah, bagaimana untuk aku menghadapi semua itu. Aku tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini, tapi aku juga seperti kanak-kanak lain yang punya impian dan cita-cita. Aku mahu menggapai impian aku, aku mahu berjaya dan mengubah nasib keluarga aku. Aku mahukan kehidupan yang sempurna, mahu ramai teman dan kenangan yang indah. Malahan, aku juga bercita-cita untuk menggenggam segulung ijazah sebelum ibuku menutup mata. Aku sangat-sangat bersyukur kerana kadang-kadang di sekolah, guru-guru sendiri memandang serong kepadaku, tapi ada juga yang baik kepadaku dan mengajar aku membaca dan menulis tanpa meminta sebarang bayaran. Alhamdulillah.

Petang itu, seperti biasa aku duduk di pangkin rumahku. Buku peninggalan arwah ayahku yang telah dicampak ke dalam kolam ikan masih lembap dan belum kering. Tetapi aku masih membacanya walaupun ada beberapa helai muka surat yang sudah hilang dan terkoyak sewaktu aku memcuci buku itu selepas pulang dari sekolah tadi. Dengan bersusah-payah aku cuba membaca supaya pembacaanku lebih lancar.

“Assalamualaikum!” kata satu suara.

“Waalaikumussalam, Mira maaflah pasal tadi. Saya tinggalkan awak. Sebenarnya saya perlukan masa bersendiri tadi.” Lalu tunduk memandang kearah daun-daun kering yang berguguran. Aku malu untuk memandang wajahnya. Kerana telah meninggalkannya tanpa sebarang kata apa-apa.

“Tak mengapa, saya faham. Erm…nah!” lalu menghulurkan kotak hadiah bewarna merah yang berbalut kemas.

“Eh! Apa ni Mira?” kaget sebentar.

“Hadiah untuk awak..”

“Tapi…”

“Hari lahir awak dah lepas kan..? Ambillah, saya ikhlas ni. Amik ya.” Lalu melemparkan senyuman yang penuh makna kepadaku. Merah telingaku menahan malu. Tapi aku tetap menyambut hadiah itu.

“Terima kasih Mira.”

“Sama-sama..erm apa tunggu lagi tu? Bukalah hadiah tu.” Amirah mendesakku supaya membuka hadiah itu di depannya. Tanpa banyak bicara aku membukanya dengan berhati-hati. Dan alangkah terkejutnya aku tatkala terpandangkan sebuah buku yang hampir sama seperti buku yang arwah ayahku belikan suatu ketika dahulu. Aku terkesima. Tidak menyangka bahawa Amirah telah mencari buku yang serupa dengan peninggalan arwah ayahku. Aku tersenyum puas. Akhirnya aku mendapat buku baru yang serupa! Syukur Ya Allah..! Alhamdulillah.

Sejak petang itu, Amirahlah yang mengajarku membaca dan menulis. Dialah guruku di rumah. Dan dialah segala-galanya. Jika bosan, kami akan ke pantai dan belajar bersama di sana. Di sana pembelajaran akan lebih tenang dan santai kerana berpeluang mendengar deruan ombak, kicauan burung, merasai angin pantai dan segalanya yang membuatkan jiwa menjadi tenang. Bijak sungguh Mira, kerana dia telah berjaya membuatku lebih lancar dalam pembacaan dan sudah makin mahir membina karangan. Aku berterima kasih kepadanya. Tanpanya aku tak tahu apa nasib yang bakal aku tempuhi kelak.

Sedar tak sedar, aku akhirnya telah berada di tahun enam. Tahun ini kami akan menduduki peperiksaan yang besar dalam hidup kami, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Berdebar-debar rasanya untuk menunggu detik itu. Aku dan Amirah juga sudah semakin rapat dan susah mahu berenggang. Setiap hari kami pergi dan pulang dari sekolah bersama, belajar bersama dan makan bersama. Aku sudah makin mengenali apa itu dunia dengan segala pembacaanku selama ini atas tunjuk ajar Mira yang berkeupayaan saling tidak tumpah seperti seorang guru mengajar anak muridnya.

Akhirnya, tibalah detik sukar yang kami nantikan sejak sekian lama. UPSR . Ujian yang amat menggerunkan bagi kanak-kanak seusia kami. Dengan segala ilmu yang ada di dada, aku menjawab segala ujian dengan lancar dan tenang sekali. Alangkah gembiranya aku kerana kurasakan sangat senang sekali menjawab segala soalan yang diberikan. Sekarang cuma hanya menunggu keputusannya sahaja. Sama ada cemerlang atau sebaliknya. Banyakkan berdoa sahajalah.

Setelah 4 bulan menunggu, tibalah detik di mana aku akan mengambil keputusan peperiksaan aku. Bermacam-macam perasaan yang timbul, takut, resah, gelisah. Argh! Tiba-tiba pintu bilikku diketuk.

“Rul, Mira dah sampai ni, kamu dah siap ke belum?” kata ibu dari luar bilikku. Aku bingkas bangun dan membuka pintu.

“Dah siap dah..” lalu ibu membetul-betulkan bajuku. “Terima Kasih, bu..” dan melemparkan senyuman kepada ibu.

Tiba sahaja di perkarangan sekolah, kelihatan sudah ramai yang telah melihat dan mengambil keputusan peperiksaan masing-masing. Pelbagai keadaan yang menyelubungi kawasan kantin itu, sedih, gembira, malahan yang tiada perasaan pun ada. Amirah menyentuh bahuku. “Afzan dah bersedia?”

“Erm…dah…kot!” lalu aku mencubit pipi Amirah seraya ketawa melihat gelagat Amirah yang kegelian apabila dicubit pipinya..

“Eii, nakal ae..Mira Tanya betul-betul ni.”

“Dah sedia la..awak?” belum pun sempat Amirah menjawab soalanku, tiba-tiba namaku dipanggil. Berderau darahku. Aku melangkah perahan ke arah cikgu Borhan.

“Tahniah Khairul! Awak lulus. Dengan cemerlang sekali. Cikgu berbangga dengan kamu.” Lalu menghulurkan sehelai slip keputusan peperiksaanku. Aku menarik nafas dalam-dalam. Alangkah terkejutnya aku. Aku mendapat 5A! Betul ke ni? Atau sekadar mimpi?? Aku melihat sekali lagi..sah! aku tidak bermimpi! Ya Allah..syukur Alhamdulillah.

Pulang sahaja ke rumah, aku membuat wajah muram. Saja mahu membuat suspens kepada ibuku. “Bu, Rul..Rul..minta maaf bu!” aku melutut di kaki ibu. Ibu terperanjat. Cepat-cepat dia meletakkan kembali baju yang ingin dijemur ke dalam bakul.

“Kenapa ni ? Kenapa minta maaf?” ibu hampir mengalirkan air mata. “Rul tak perlu minta maaf, walau apapun keputusan Rul tu ibu akan terima seadanya.” Seraya itu, ibu memeluk erat tubuhku. Amirah yang menyaksikan drama itu turut tersentuh kerana aku ternampak dia mengelap air matanya. Lalu aku melepaskan pelukan ibu.

“Bu…Rul lulus bu! 5 bintang!” sambil menunjukkan tapak tanganku kepada ibu. Air mata ibu mengalir deras.

“Betul ke Rul? Ya Allah..syukur Alhamdulillah..Mira? Mira 5 bintang juga?” lantas memandang ke arah Amirah. Amirah menganggung dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibirnya sedari tadi. Ibu mendepakan tangannya, Amirah datang kepada ibuku. Mereka berpelukan. Termasuk aku. Gembira sungguh ibu waktu itu. Aku dapat melihat wajah kegembiraanya yang tidak pernah ku lihat sebelum ini. Aku tersenyum puas. Puas kerana berjaya membuat ibuku gembira.

Bebarapa tahun kemudian, aku tamat belajar. Begitu juga Amirah. Kami telah berjaya menggenggam segulung ijazah. Itulah impianku selama ini. Hubungan aku dan Amirah pula semakin rapat dan mesra daripada kebiasaannya sejak kami tamat belajar. Tanpa disedari, aku telah jatuh cinta kepadanya. Dan cinta itu kami layari bersama dan dikurniakan cahaya mata yang jelita dan tampan belaka. Alhamdulillah.

Sedang aku mengimbau kenangan silam. Satu suatu menegurku. Aku tersentak. Bahuku disentuh. Dan kepalaku dikucup. Pinggangku dipeluk dari belakang. Dan.. “Happy Birthday sayang..” lembut dan halus suara itu memasuki ruang telingaku. Aku menoleh. Seraya mengucup dahi Amirah. “Thanks..” kami bangun dan beriringan pulang ke rumah. Rumah kami berdua yang telah dibina berhadapan rumah ibuku dan rumah keluarga Amirah. Anak-anakku menerpa ke arah kami.

“Papa, mama..nanti..bila Wan dan Anis dah besar,kami nak buat rumah sebelah rumah papa mama boleh?

Aku tersenyum senang. “Boleh sayang…” jawabku dan Amirah serentak. Kami tersenyum bahagia. Ya, sekarang hidupku telah cukup sempurna. Sempurna kerana mempunyai isteri yang amat memahamiku dan juga anak-anak yang bijak dan cerdas. Malahan, tidak lupa juga kepada ilmu dunia dan akhirat yang aku miliki kini. Syukur Alhamdulillah Ya Allah…!

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) salam ezzajoe!
    tahniah di atas karya yang pertama.

    saya kira, ezzajoe ni sekitar belasah tahun ya?

    tulisan yang menarik! dapat ungkapkan imaginasi di dalam cerita. ke kisah betul ni? ehem ehem ehem!
  • 2) Hanyut sekejap membacanya hehe

  • (Penulis)
    3) wasalam cahatomic..
    terima kasih..tp ini bukan karya sy yg pertama..cuma sy baru je join kapasitor ni, sy tahu pasal kapasitor ni dari ziggof..

    tidaklah..umur sy 20 tahun..

    imaginasi je..haha

    terima kasih juga kepada 26life..hanyut ke? huhu...
  • 4) Kronologi plotnya kemas. Imbas kembali juga tersusun. Cerita yang baik.

Cerpen-cerpen lain nukilan EzzaJoe

Read all stories by EzzaJoe