Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

PCB #6 Rendang Tok Ramadhani

 

Bahagian 1- Pertama kali..

             “Umi, sedapnya bau rendang daging ni.”

   Terliur aku memandang lauk kegemaranku itu, terhidang kemas di meja makan. Waktu iftar yang tinggal lebih kurang sepuluh minit lagi membuatkan aku tidak sabar-sabar untuk menikmati keenakan masakan tersebut.

            “Ramadhani yang masak, anak kawan umi. Dia datang sekejap tadi. Rendang tok tu, dialah yang hantar.”

   Ramadhani? Anak kawan umi yang mana? Namanya agak asing dititipkan di bibir umi. Kalau Lisa, Natasya, Deana..dan entah berapa banyak lagi nama yang umi selalu sebut, mungkin acap kali aku dengar. Tetapi Ramadhani, rasanya ini yang pertama kali namanya diucap umi.

            “Anak Hajah Zaiton, kawan umi semenjak dari sekolah lagi”. Suara umi kedengaran lagi, menerangkan gerangan ‘Ramadhani’ tatkala melihatkan wajahku yang berkerut-kerut barangkali.

   Ah, biarlah siapa pun dia. Apa yang penting, lauk dihadapanku ini kuharapkan enak, seenak namanya menampar gegendang pendengaranku.

…………………………………………………………………………

   Seusai menunaikan solat terawih berjemaah di surau Al-Falah, aku menapak lambat ke keretaku. Sengaja ingin menghirup kedamaian udara kampung yang jarang-jarang sekali dapat kunikmati di ibu kota. Kesibukan bekerja membuatkan aku tidak selalu dapat pulang ke kampung. Dan dek kesibukan itu jugalah telah menimbulkan kerisauan di benak orang tuaku berkenaan soal jodohku.

   Masakan tidak. Dengan usiaku yang sudah menjangkau 29 tahun, aku masih lagi tidak mempunyai calon-calon isteri yang kubawa pulang bertemu umi. Dan dek kerana itulah, puas juga umi cuba memperkenalkan aku dengan anak kawan-kawannya.

   Namun begitu, aku tidak pernah menghampakan hasrat umi yang tidak jemu-jemu mencari jodoh buatku. Tersenyum aku mengingatkan bait-bait lagu Wali Band-Cari Jodoh yang seakannya mengenai batang hidungku sendiri. Tetapi, sehingga kini, hatiku belum pernah sedikit pun terusik setiap kali bertemu dengan wanita-wanita yang diperkenalkan umi. Gadis-gadis yang dipertemukan denganku hanya kekal sebagai teman sahaja, tidak lebih daripada itu.

   Dari kejauhan, kulihat seorang gadis bertelekung terkial-kial menghidupkan enjin motosikalnya. Aku mulanya hanya memandang namun beberapa ketika kemudian, tatkala gadis itu masih belum berjaya menghidupkan enjin motosikalnya, aku mula menghampiri, niat untuk menghulurkan bantuan.

              “Cik, ada apa-apa saya boleh tolong?”.

   Pantas gadis itu memandangku. Jelas kelihatan percikan-percikan keringat halus di dahinya. Saat itu, mataku tertancap kejap kewajahnya. Serasa satu perasaan halus menyelinap deras kehatiku.

   Astaghfirullahalazim.. Aku melarikan wajahku dari bertatapan terus. Apakah gelodak yang bermain di benakku tatkala ini?

            “Alhamdulillah, mujurlah cik ada. Enjin motosikal saya tak boleh hidup ni,” ujar gadis itu.

   Santun bahasanya, mendamaikan jiwa yang mendengar. Aku membelek-belek sejenak bahagian-bahagian yang kurasakan tidak kena, dan beberapa minit kemudian, enjin motosikal tersebut berjaya dihidupkan.

    Tersenyum gadis itu seraya mengucapkan terima kasih kepadaku. Huluran wang RM10 daripadanya tanda penghargaan kutolak sopan. Niatku ikhlas untuk menolongnya tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

   Selesai itu, gadis tersebut berlalu pergi meninggalkan aku..setepatnya, meninggalkan sekelumit kesan di hatiku. Dalam diam, aku mengharapkan akan adanya lagi pertemuan lain antara aku dan gadis bertelekung itu, yang pastinya dengan izin yang maha Esa.

…………………………………………………………………………………..

Bahagian 2- Terlambatkah aku?

   Aku memandang ke siling bilik. Sudah lama aku tidak pulang ke rumah umi. Kesempatan cuti ini kuazam untuk menggunakan sebaiknya bersama-sama dengan keluargaku. Status sebagai anak tunggal bagi keluarga kecil ini membuatkan aku dahulunya begitu rapat dengan umi dan walid. Namun, sementelah aku melanjutkan pelajaran di luar negara dan selepas berjaya mengenggam segulung ijazah, aku seakan-akan semakin jauh daripada kedua-dua orang tuaku.

    Bukan jauh dari hati yang pastinya, namun jauh dari aspek fizikal maksudku kerana aku tidak dapat menghabiskan banyak masa bersama mereka. Namun, umi dan walid sememangnya senantiasa memahami karierku sebagai seorang jurutera kimia di sebuah syarikat yang terkemuka di ibu kota yang menuntut pengorbanan dari segi masa dan tenagaku.

   Tidak betah berbaring begitu, aku mengiring pula, memandang sisi tingkap kamarku. Saat itu juga, lintasan wajah gadis bertelekung itu bermain di anak mataku. Aneh, bukan? Hanya pertemuan kali pertama sudah mampu membuatkan aku membayangkan wajahnya dalam jaga.

    Teringat aku akan kata-kata rakan karibku, Danial, sewaktu aku bertemunya di pasar ramadhan tempoh hari.

            ‘Mana tahu jodoh kau sampai ramadhan kali ni, Qail. Kau doalah banyak-banyak dalam bulan barakah ni.’

   Pastinya, setiap gurauan rakan-rakanku kubalas dengan senyuman. Kalau jodohku sudah tiba, esok atau lusa, kahwin juga, getus hatiku dalam diam.

   Tiba-tiba pintu bilikku diketuk dari luar, suara umi memecah keheningan suasana bilikku. Tepat telahanku tatkala umi meminta aku menemaninya untuk pergi ke pasar untuk membeli bahan-bahan dapur bagi memasak juadah berbuka puasa. Walid tidak dapat ikut sama; ada gotong-royong di surau kata umi. 

………………………………………………………………….

 

            “Kita beli ayam dan ikan sahaja, boleh disimpan. Petang ni, umi nak ke bazar ramadhan sekejap, nak beli rendang tok di gerai Hajah Zainon tu lagi. Sedapkan anak dia masak. Tempoh hari, umi lihat kau makan sampai tak sedar orang sekeliling,” ujar umi sambil tangannya ligat memilih ikan-ikan yang segar.

   Aku tersenyum mendengarkan kata-kata umi. Benar, memang sedap sungguh rendang tok yang dimasak anak kawan umi tempoh hari. Barangkali, aku telah ‘jatuh cinta’ dengan rendang tok, hasil air tangan anak kawan umi ini.

   Teringat juga aku akan kata-kata umi yang menyuruh aku untuk memilih bakal isteri yang pandai memasak rendang tok kerana itu masakan kegemaranku dan tidak semua orang mahir memasaknya. Dalam hatiku menjangkakan yang kelak pasti umi akan memperkenalkan aku dengan wanita tersebut. Siapa namanya…Ramadhani? Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.

………………………………………………………………………….

   Aku cepat-cepat menuju ke keretaku seusai solat terawih berjemaah di surau yang sama semalam. Harap-harapnya si gadis bertelekung itu datang lagi ke surau Al-Falah malam ini. Namun, dalam hatiku beristighfar sebentar dengan tindakanku yang seakan-akan ke surau ini hanya untuk bertemu dengan si gadis bertelekung itu sahaja.

    Dari kejauhan kelihatan si gadis bertelekung itu bersama-sama dengan seorang lelaki. Suaminyakah? Mereka menaiki motosikal yang sama, si gadis itu menjadi pembonceng pula pada malam ini. Ah…sudah bersuami rupanya.

   Sempat juga aku melihat wajah lelaki yang kufikir suaminya itu. Kacak juga, sepadan dengan si gadis bertelekung itu. Aku meraup wajahku. Itulah padahnya kalau tidak menyiasat terlebih dahulu. Rupa-rupanya, isteri orang lain yang bermain di kotak fikiranku selama ini.

   Entah mengapa, hatiku seakan dirundung sedih. Adakah diriku sudah mula menyukai si gadis bertelekung itu. Masakan benar? Kerana aku baru sahaja pertama kali melihat wajahnya semalam. Arghhh.. parah sungguh keadaan aku ini. Aku terdiam sebentar.

…………………………………………………………………………………

Bahagian 3- Syukur padaNya

            “Qail, hari ini kita buka puasa dekat rumah kawan umi, Hajah Zaiton tu.”

   Kata-kata umi kubiar sepi. Mungkin hatiku terkesan dek peristiwa semalam. Umi memandangku. Pelik agaknya dengan tingkahku hari ini.

            “Sebenarnya, umi nak perkenalkan Qail dengan Ramadhani. Dan kalau boleh umi nak sangat pertemuan kali ini menjadi.”

   Tepat benar telahanku tempoh hari bahawa umi ingin menjodohkan aku dengan anak kawannya itu. Aku tidak menjawab pertanyaan umi. Mungkin aku perlu sedikit ruang dan masa untuk semua itu, fikirku.

   Aku hanya menggangguk perlahan seraya menuju ke bilikku. Di dalam kamar, aku mencapai al-Quran lalu bibirku mula mengalunkan kalamuallah itu, berharap mendapat sedikit ketenangan darinya. Aku yakin, jodoh itu takdir Allah, maka aku perlu redha dengan segala ketentuanNya.

…………………………………………………………………………….

            “Alhamdulillah, Sarah, datang juga kamu anak beranak  ke sini. Nanti, aku suruh, Ramadhani hidangkan lauk pauk”.

   Hajah Zaiton menepuk bahu umiku sambil tersenyum gembira menyambut kedatangan kami. Aku memandang sekeliling. Kemas dan menarik dekorasi dalaman rumah kawan umi ini.

            “Miqail, lama ke kamu cuti?”. Hajah Zaiton menyoalku pula. Aku membalas pertanyaan Hajah Zaiton itu sambil mataku tiba-tiba tertancap pada wajah seorang gadis yang seakan-akan aku kenali. Benarkah penglihatanku saat ini? Si gadis bertelekung berada di depan mataku!

            “Miqail, kenalkan, ini Ramadhani..”.  Gadis itu tersenyum ke arahku. Ah.. rupa-rupanya selama ini si gadis bertelekung itu adalah Ramadhani.   

            “Kenalkan pula anak lelaki sulung makcik, Ramzi”. Lelaki yang kulihat bersama Ramadhani tempoh hari pula melangkah masuk ke ruang tamu sambil menggangguk ke arahku.

   Aku tersenyum lebar saat itu. Indahnya takdir Allah. Besarnya kuasa Allah terhadap hamba-hambanya yang kerdil ini. Aku cepat-cepat mendekati umi sambil mengungkapkan sesuatu dengan perlahan.

  " Umi, kalau boleh sekarang juga Qail nak kahwin, umi.” Umi memandangku dengan reaksi terkejutnya. Aku tahu umi gembira saat itu. Apa yang pasti, hidangan berbuka puasa hari ini kunikmati dengan rasa syukur dan lapang di hati.

   Ya Allah, sesungguhnya ramadhan kali ini kau telah berikan aku satu anugerah yang sangat bermakna buatku. Ramadhanku berseri dengan kehadiran Ramadhani dalam hidupku.

-TAMAT-

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) tahniah untuk karya pertama di sini
    terima kasih juga sudi sertai PCB! big claps!!

    kemas tulisan ceritanya .. sangat keperempuanan lenggok bahasa

  • (Penulis)
    2) Slm. Alhamdulillah,, Ramadhan kareem.!
    terima kasih juga atas komen yang diberikan.
    Moga karya yang ditulis memberi sesuatu yang positif untuk dikongsikan bersama pembaca di luar.
  • 3) dari part 1 dah bleh agak apa jadi last-last. nontheless.. cerita yang bes. idealistik. happy ending.

  • (Penulis)
    4) hehe,, alhmdulillah xckp dri tjuk da bley agk. =)
    thanks for the comments.
  • 5) Kemas dan penuh dengan bunga cita-cita mekar..
    lakar lebih banyak tulisan 'happy ending' kamu
  • 6) kemas dan happy ending

  • (Penulis)
    7) terima kasih.! masih banyak yang perlu diperbaiki lgi tentunya,,
  • 8) Terima kasih atas kiriman cerpen yang menghiburkan ini. Ia sebuah cerpen yang lengkap dari segi strukturnya. Tahniah!

Cerpen-cerpen lain nukilan wamie_pie

Read all stories by wamie_pie
No stories.