Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

FANTASIA ALYA

 

Alya memisat-misat pelupuk mata. Sejenak Alya terkebil-kebil. Sembari menancap pada skrin televisyen besar dihadapan. Kedua belah kaki yang masih bersarung seluar panjang tidur itu dilunjur rapat. Jemari tangan kanan dengan pantas menyibak-nyibak kasar helaian anak rambut dari terus menutupi sebahagian wajah

Sesekali ulas bibir Alya menganga luas. Meluah rasa kantuk yang utuh bersisa. Turut menempias riak jemu lewat rancangan yang ditonton. Dari arah bilik tidur, sayup-sayup terdengar jeritan nyaring suara adik memecah keheningan suasana. Bersambut suara lunak emak yang tak lelah membujuk.

Alya berpaling sejenak sambil mencibir bibir. Bersambut helaan panjang. Setiap pagi, sebaik sahaja Alya terjaga dari tidur, emak pasti akan menuntunnya ke ruang tamu itu. Membukakan siaran televisyen yang sama. Yang mana sering diulang-ulang tayang. Hingga mampu dihafal jalan ceritanya.

Alya bosan. Semenjak kehadiran adik, emak seakan tidak mengendah dirinya lagi. Emak sering meninggalkannya saban waktu. Malah sentiasa sibok melayan adik yang tak putus berkarenah. Kerap inginkan perhatian. Tanpa mengenal masa. Lantas terkadang menimbul rasa iri di hati kecil Alya dalam diam.

Alya menguap lagi. Hujung kaki sengaja menguis-guis botol susu miliknya yang terkeletak kosong di atas karpet berbulu tebal. Berseiring dengan bunyi kecil di perut yang mulai berkumandang minta diisi. Bersela rasa tidak selesa di bahagian punggung semakin ketara lewat kesan melekit dari kain lampin yang dikenakan

Perlahan-lahan alya bangun dari dudukan. Botol susu yang masih belum berbasuh itu dicapai dengan tangan kiri. Kaki bingkas terkedek-kedek menuju ke muka pintu bilik tidur yang sedikit terkuak. Bersela kuping telinga semakin jelas terdengar suara emak mendodoi perlahan. Disamping adik yang berbaring mengereng.

Dengan lagak terkial-kial, Alya menguak daun pintu itu lebar-lebar. Langkah kaki digorak perlahan merapati tubuh emak yang sedang membelakangi. Sebelum dia duduk bertinggong di sisi kanan emak yang masih ralit menepuk-nepuk mesra belakang tubuh adik. Lantas botol susu kosong itu disua ke arah emak.

“Ishh! Nak apa? Senjaga kacau adik hendak tidur tau! Nanti terbangun, aku jugak yang susah! Pergi tengok tv diluar tu!” Halau emak dalam paras mencuka.

Alya terpinga-pinga tidak mengerti. Rasa gemen tar lewat herdikan emak membuat Alya tidak jadi menyua tangan. Perlahan-lahan botol susu itu terus dilepas ke atas riba emak. Dengan payah, si kecil berusia tiga tahun itu kembali berdiri tegak. Berlalu dalam paras bercemberut kecewa. Membawa pikulan berat kain lampin yang masih lembap serta menyukarkan membuka langkah.

Alya diselubungi sebal. Dahulu semasa adik masih belum ada, emak tidak pernah meninggikan suara seperti itu. Apatah lagi mengherdik di setiap kali Alya ingin mengendeng pada tubuh emak. Emak kerap mendukungnya di mana sahaja. Emak juga selalu menyuapnya ketika hendak makan.

Emak sungguh berubah. Kini, emak hanya meletak makanan di atas pinggan dan menyuruh Alya menghabiskannya sendiri. Langsung tidak menemani. Jauh sekali hendak melayani. Sedangkan Alya masih belum pandai hendak menyuap sendiri. Makanan juga sering bersepah tanpa kawalan. Akibat itu, Alya turut menjadi habuan kemarahan emak. Alya kecil hati.

Petang itu, Alya perasan emak agak berlunak sedikit padanya. Emak pakaikan baju baru berona merah muda yang menjadi kesukaan. Emak juga sarungkan sehelai skrit kembang bercorak kartun idola. Malah sebelum itu emak sudah memandikan tubuhnya bersih-bersih. Mengantikan lampin baru yang tidak berlembap lagi seperti pagi tadi. Tak lupa menyemerbak haruman bedak bayi ke sekujur tubuh Alya.

Setelah itu, Alya sama-sama dipimpin menaiki kereta putih mulus ayah. Dari penampilan  emak serta wajah ceria ayah, Alya tahu mereka pasti akan pergi keluar ke mana-mana.  Dimana Alya akan didudukkan di bahagian lapang di ruang belakang kereta. Dibiarkan menggorak ceria. Sambil mata berkeliar menatap alam luar yang amat jarang dijengok.

Rupanya di waktu itu, ayah membawa mereka sekeluarga ke sebuah kompleks membeli belah. Disitu, emak menyorong sebuah kereta kecil yang dihuni adik. Sementara Alya dan ayah mengekor dari arah belakang. Terkadang Alya sengaja mencelah di sisi emak. Merengek mahu duduk sekali di sisi adik. Lebih-lebih lagi tatkala melihat reaksi seronok adik menghuni kereta kecil yang pernah dia muati dulu.

“Ishh! Apa ni! Mana boleh muat hendak duduk dua orang. Pergi jalan dengan ayah tu!” Herdikan tegas emak membuat Alya behenti dari terus menggendeng diri.

Alya mencemik. Sempat dikerling paras adik dalam lototan iri. Sebelum dibenarkan ayah memimpin tangannya semasa sedang berjalan. Sembari menahan lenguh di kedua belah kaki gara-gara langkah lebar ayah yang sukar disaingi. Bahkan menghalang dia untuk berleka sambil menebar pandang pada suasana sibok di perut kompleks membeli belah itu.

Alya disibak teruja. Dinikmati puas-puas seluruh hiasan cantik yang diperaga di kawasan sekitar. Namun, langkah ayah yang kian bergerak pantas, membuat tubuh Alya langsung terheret dalam reaksi tergesa-gesa. Akhirnya, aAya rentap pengelangan tangannya dari pautan ayah. Hendak berjalan sendirian.

Tiba-tiba tumpuan Alya terpaku pada sebuah anak patung berwarna biru yang terletak di dalam sebuah rak almari tinggi. Ingatan alya langsung tercerna. Alya yakin. Anak patung itu serupa dengan watak kartun yang selalu ditontonnya saban hari di kaca. Alya gembira. Tubuh gadis kecil itu melonjak-lonjak sambil segera meluru ke arah rak yang berada di ruang peralatan permainan itu.

“Wahhh! Itu pocoyo! Itu pocoyo!” Hati Alya terdetak kagum

Alya kerling kelibat emak yang sedang ralit melayan telatah adik di salah sebuah rak kasut di sosok kiri. Alya paling sejenak pada gelagat Ayah yang tampak sibok dengan talian telefon bimbit di tepi sebuah selekoh ruang tidak jauh darinya. Sebelum diberanikan diri merapati rak yang menempati anak patung bersaiz tubuhnya itu. Tergapai-gapai menarik sang idolanya itu agar jatuh ke dalam pangkuan. Alya gagal. Biar sudah beberapa kali cuba berbuat sedemikian.

Alya berketus hampa. Alya berlari anak mendekati ayah. Tidak diperduli lintasan lincahnya mengejutkan sekelompok pelanggan yang sedang berlalu-lalang. Segera dicuit-cuit hujung baju di pinggang ayah. Telunjuk tangan kiri menuding lurus pada anak patung yang masih kaku tidak terusik. Alya papar muka kasihan.

“Alya! Ayah sibok ni! Pergi dekat emak, ya!” Ngomel ayah dalam posisi sambil lewa padanya.Tumpuan ayah terus menekur pada panggilan telefon bimbit yang utuh dilayan. Alya pamer wajah bungkam. Kaki kecil yang bersarung sepasang kasut berona merah samar itu dihentak-hentak dalam lagak memprotes.

Tanpa berlengah, Alya bergegas pula merapati emak. Emak yang sedang menyorong kereta kecil yang dihuni adik, turut dicuit-cuitnya dalam gelagat yang sama. Telunjuk tangan  kiri  utuh menuding pada anak patung pocoyo yang gerah bersenyum. Alya tahu. Anak patung itu sedang menanti untuk dia bawa pulang ke rumah. Anak patung itu juga berharap untuk segera dia miliki.

“Kenapa ni? Alya hendak apa?” Soal emak dalam reaksi sedikit terganggu. Lipatan kerut di pangkal dahi emak begitu jelas terpapar. Namun, tatapan emak tetap berlunak padanya.

“Tuuuu! Tuuu!”

Alya terus tuding telunjuk ke arah yang sama. Alya merengek kecil. Alya kebil-kebilkan mata sambil pamer raut berharap. Sehingga mata emak yang sedang menekur pada longgokan baju di dalam sebuah rak pakaian bingkas tersangkak. Lantas ikut memandang ke arah yang sama. Berlanjut dengus kasar emak terdengar ketara di gegendang telinga Alya.

“Sudah berlambak anak patung kat rumah itu. Mainnya tak juga! Takkan hendak beli lagi. Nanti emak belikan ais krim untuk Alya, ya!” Berbujuk nada suara emak, menolak lembut.

Telapak tangan emak mengelus mesra ubun-ubun kepala alya. Sinis reaksi emak rapi dilitup dengan tona suara yang sengaja direndahkan. Berharap Alya segera mendengar kata. Mudah-mudahan Alya tidak terus meminta-minta lagi. Tak lupa bagai memberi isyarat agar Alya tidak buat perangai di depan khalayak yang sarat di sekeliling mereka.

“Tuuuu! Tuuuu!”

Alya tetap tidak hilang asa. Kali ini, kedua kaki ikut seragam dihentak-hentak kuat ke muka lantai berkarpet merah itu. Utuh memprotes. Wajah berkerut Alya lewat tingkah lewa emak mulai memerah padam disimbah kekecewaan. Bucu kain baju kurung hijau pucuk pisang emak direntap-rentap kasar.

“Ishh! Cuba jangan mengada-ngada! Emak sedang sibok ni!” Tegas emak dengan paras separuh menyinga.

Alya kecut perut. Acahan tangan emak hendak mencubit di peha, buat Alya spontan menjauhkan diri. Alya terjeda dalam sentap perasaan. Hanya mampu memerhati hambar gelagat emak yang sibok menyarung sepasang stokin kecil ke kaki adik.

 

Tubuh alya segera berpaling arah. Terkedek-kedek menuju ke rak anak patung itu semula. Sesekali anak mata Alya menjeling penuh awas pada kelibat emak yang langsung tidak memperduli. Sejenak pandangan Alya turut menjilat telatah ayah yang masih alpa dengan telefon bimbit di tangan.

Alya dongak kepala. Ditenung anak patung itu dalam-dalam. Dicuba menjengket kedua kaki. Berusaha meraih salah satu kaki anak patung itu dengan tangan kanan. Namun usahanya tetap gagal. Ternyata kedudukan anak patung itu terlalu tinggi untuk dijangkau.

Tak semena-mena Alya ternampak sebuah kotak kayu kecil bersaiz seketul batu bata di bawah salah sebuah rak baju yang berdekatan. Alya garis sengih. Badan dibongkokkan. Tangan menggenggam dan cuba mengangkat kotak berona coklat muda itu. Alya hampa. Ternyata berat kotak itu diluar kemampuannya.

Alya kumpul semangat diri. Ditenggungkan tubuh serapi mungkin. Diheret sedikit demi sedikit dengan segenap kudrat kedua belah tangan. Beberapa kali tubuh montel Alya jatuh terduduk di atas karpet merah gara-gara pegangan terlepas. Namun Alya tetap berkeras mengalihnya sekuat hati.

“Fuhhh!” Alya mengetus kecil penuh riak lega

Akhirnya, kotak kayu itu berjaya dialih betul-betul dibawah rak tinggi yang memuatkan anak patung. Alya kesat kasar renik peluh di bucu dahi. Jurai anak rambut yang melekap di sebahagian muka, Alya kesat sekaligus. Dengan termengah, dibangunkan tubuh sambil kepala tetap mendongak pada kelibat sang idola yang berduduk tinggi dihadapan.

Dengan lagak terkial-kial, Alya memanjat naik ke atas seketul bongkah kecil itu. Kedua kaki diteguhkan berdiri sambil tangan memaut erat pada dinding rak. Dengan keyakinan jitu, tangan kiri bingkas ditegakkan lurus ke atas. Kaki anak patung itu berjaya digenggam.

Alya tarik kuat pautan pada kaki patung biru itu. Badan anak patung itu sedikit bergerak dan berkalih letak. Alya tarik sekali lagi dengan kudrat seluruh tubuh. Anak patung itu berhasil direntap kasar. Namun imbangan tubuh Alya ikut tergugah. Alya panik. Wajah spontan memucat. Jejak kaki hilang kawalan tapak.

‘Bukkk!”

Punggung Alya terhempap keras ke atas lantai. Kedua belah kaki ikut terlonjak ke atas. Alya geleng-geleng kepala. Perasaan membungkam. Belum pun sempat Alya kembali bangun sambil mengurut-urut muka pinggul yang terkecap perit, badan patung montel itu menimpa tubuhnya pula. Alya sekali lagi rebah terbaring.

“Pocoyooo! Hehehe!”

Gelak kecil Alya terhambur dalam reaksi girang. Rasa sakit di belakang tubuh langsung melenyap bila sang idola berada dalam dakapan. Wajah patung dari watak kartun itu ditenung lama. Pelukan pada patung empok itu semakin dipererat. Sebelum Alya segera bangkit berdiri. Boneka besar itu dipangku menuju ke arah emak.

“Masyallah! Budak ni! Pergi letak balik patung tu. Jangan hendak mengada-ngada!”

Tanpa belas, emak terus melampias marah. Wajah emak menyinga merah padam. Cerlungan mata emak ikut membulat. Ibarat ingin menelannya hidup-hidup di saat itu juga. Tangan gempal emak sudah mengacah-ngacah hendak membidik hala cubitan. Alya terdadak memucat lesi. Sengihnya tersangkak.

Dalam raut yang beransur-ansur mencuka, Alya gorak hala langkah mendekati ayah yang masih tegar dengan telefon bimbit di tangan. Cuma kali ini pinggul ayah sudah berlabuh santai diatas salah sebuah bangku panjang yang terdapat di sepanjang kompleks itu. Tidak lagi bersandar di tepi selekoh berpagar seperti tadi.

Alya bingkas menggendeng di sisi ayah. Disua muka anak patung itu ke ribaan ayah sambil bermanis muka. Ayah kerling tajam lalu segera berkalih posisi duduk. Mengelak dari diganggu. Telefon bimbit tampak masih berlekap kukuh di kuping telinga kiri ayah. Bersela suara ayah yang sayup-sayup terdengar lembut melayani si pemanggil.

Alya berdengus geram. Berasa diri tidak diendah. Alya angkat anak patung itu lalu bergerak ke posisi mendepani ayah pula. Menyua muka simpati pada ayah sekali lagi tanpa jera. Bersama sengih tegar disungging. Namun mata ayah tetap menyahut dengan kerlingan tajam. Tubuh ayah turut berubah posisi ke sebelah kanan pula.

Sengih alya lenyap indera rasa. Digaru-garu kasar ubun-ubun kepala dalam riak memprotes. Akal bercelaru lewat tingkah lewa ayah. Kedua kaki sempat dihentak-hentak keras buat ke sekian kali,  melampias rajuk hati.

Ruang permainan, tempat naungan asal anak patung itu dijamah jejaknya semula. Dalam lagak ragu, patung kartun itu cuba diletakkan di bawah rak tinggi yang asal dihuni. Namun rasa keberatan terus menokak di hati Alya. Bersela cebisan rasa gerun tatkala mengimbas raut galak emak andai arahan tegar diingkar.

Alya serba salah. Andai diturut jentikan nekad, Alya ingin terus memiliki patung mongel itu. Namun Alya yakin emak tidak akan beralah semudah yang disangka. Larangan tetap larangan. Bila putih kata emak, putihlah yang akan dipupuk. Tidak akan ada hitam. Apatah lagi rona warna-warni.

Anak patung lengkap berkaki dan bertangan itu utuh didekap kemas. Muka Alya langsung menyembam ke pipi gebu patung idolanya itu. Rasa keberatan untuk berpisah kian melonjak-lonjak di benak Alya. Alya mati kutu. Ulas bibir bawah diketap kuat. Pelupuk mata di kerdip-kerdip beberapa kali. Ibarat cuba mengusir rasa sayu dari terus rakus bertandang.

“Tidak! Tidak! Aku hendak bersama pocoyo! Hendak juga!” Rintih Alya bersipongang di segenap nubari kecilnya.

Alya duduk bertinggong. Hujung kasut menguis-guis muka lantai. Anak patung didekap kemas dalam pangkuan tangan kiri. Sementelah tubuh berangkak sigap memasuki ruang kolong dibawah sebuah rak permainan. Lantas berselit diri di celah susunan kotak-kotak kosong yang terdapat di situ.

 

Gerak laku Alya menjeda. Hati menyibak gembira bila diyakini diri jauh dari pandangan jengkel emak. Benak menggoras aman tatkala disedar anak patung itu bebas dilayani tanpa sebarang gangguan. Alya dudukkan boneka itu di hadapan tubuh. Memeluk secara bersemuka. Muka Alya berlaga mesra dengan kepala si patung.

“Sekarang aku sudah bebas hendak bermain-main dengan kau. Kau suka tak, pocoyo?”

“Ye lah! Aku suka!”

“Aku suka main dengan kau! Kau suka main dengan aku tak, pocoyo?”

“Aku suka! Kau hendak ikut aku tak?”

“Ikut kau pergi mana, pocoyo?”

“Kita bermain-main di tempat aku. Marilah!”

“Wah! Gembiranya! Aku hendak ikut! Aku hendak ikut kau, pocoyo!”

Alya bertepuk tangan dalam reaksi seronok. Patung pocoyo yang sudah bijak berkata-kata itu membuat Alya teruja tidak terhingga. Senyum lucu boneka itu dibalas dengan sengihan kecil Alya. Tangan pocoyo yang tidak berjari itu segera disentuh dan digenggam kemas. Ketawa manja Alya mengerikik diluar batasan.

“Marilah!” perlawa sang pocoyo. Manis dalam keletah manja

Tiba-tiba muncul sebuah lubang cahaya yang mulai membesar di celah deretan kotak-kotak kosong itu. Di sambut semilir angin yang menerpa dingin ke sekujur tubuh. Mulut Alya terlopong kekagetan. Mata Alya ikut membuntang dalam riak sukar mempercaya. Benak juga kian meronta-ronta mengamat adegan ajaib itu.

Pocoyo memimpin Alya menembusi lubang yang bersemerbak cerah itu. Dengan lagak yakin, Alya turuti dalam liang dada sedikit berdebar. Namun kegusaran Alya spontan menghilang sebaik sahaja sekujur tubuh melepasi lubang raksasa itu. Mata mulai berkeliar terpesona. Paras ikut melongo ketakjuban.

“Indahnya!” Hati Alya sarat bergemerlapan.

Sebuah taman hijau menghampar seluas saujana memandang. Padang berumput itu dibungai gula-gula bersalut emas. Yang mana berkilauan liuk tatkala di belai angin. Disela pepohon berdaun rendang yang sarat berbuah pelbagai warna. Langit pula tulus kebiruan tanpa calitan awan. Hanya tampak beraneka species burung bertebaran bebas. Ibarat tinta warna gerah bercorak.

Alya diajak bersiar-siar di sekitar taman itu. Mengutip putik gula-gula dari serata rumput dan mengunyahnya tanpa henti. Memetik gugusan buah yang beraneka warna pada dahan pohon rendang. Lantas saling berlemparan sesama sendiri dalam aura girang yang tidak berpenghujung. Justeru berkejar-kejar di hamparan hijau yang agak lembut serta lembap dipijak kaki.

“Alyaaa! Alyaaa!”

“Alyaaa! Mana kau pergi niii! Masyallah!:

Tiba-tiba lengkingan tinggi suara emak serta ayah yang saling bersahutan menyeru namanya, terdengar keras ke halwa telinga.

Alya tersentak. Wajah yang menyembam santai di muka patung bingkas terdongak. Pelupuk mata yang memejam turut dikuak besar. Gambaran taman beraneka warna itu melenyap sekelip mata. Patung pocoyo yang bergerak lincah serta petah berkata-kata itu juga, tampak kembali kaku sepersis sediakala. Lantas Alya kembali tersedar di landasan kenyataan. Di bawah rak baju. Bertinggong di sebalik kotak-kotak kosong.

“Alyaaa! Alyaaa!”

Jeritan cemas emak sekali lagi bergema ke gegendang telinga Alya. Wajah panik emak yang berlarian ke sana-sini ditatap Alya dengan riak curiga. Paras memucat ayah yang bergegas dalam langkah hilang arah membuat jiwa Alya terdesis serba salah. Ditambah beberapa jejak kaki kelibat manusia-manusia lain yang sibok mencari sesuatu di seluruh kawasan di hadapannya itu. Alya disungkup bingung lewat perihal yang telah terjadi.

Alya yakin. Andai dia keluar menyapa emak, pasti boneka itu akan dipisahkan darinya. Alya tidak sanggup hendak bercerai kasih dengan pocoyo. Hati sudah menaruh sayang pada patung biru itu. Tapi Alya juga sedar. Sekiranya terus menyorok diri, amarah emak tak mustahil tambah berlarutan kelak. Tak semena-mena benak Alya turut disergap gerun.

“Alyaaa! Alyaaa!”

Suara lantang emak terus melengking luar biasa. Alya sedar. Suasana di sekitar sudah serba menggelabah. Ramai yang turut berselerak mencari-cari sesuatu. Emak yang erat memangku adik terus berlarian dalam raut memerah disibak tangis. Ayah juga utuh berkeliar dengan kereta sorong adik tanpa diketahui butir punca. Semuanya dalam panik. Segalanya terkocak tenteram.

Perlahan-lahan Alya merangkak keluar dari bawah kolong rak. Rasa pegal di kaki bahana bertinggung lama, buat Alya tidak sanggup hendak terus bersembunyi. Sekujur tubuh yang panas berpeluh ikut mengoyah selesa diri. Namun patung idolanya itu tetap kemas dalam lingkaran tangan.

Dengan lagak takut-takut Alya mulai mengorak langkah. Tak diperduli pada situasi kacau bilau yang melanda di kiri-kanan laluan. Tak diendah pada sebahagian penghuni kompleks yang memerhatinya penuh curiga. Tumpuan Alya terus terhadam pada kelibat emak yang sudah duduk menekup wajah dengan tangan kanan. Sementara tangan kiri erat mendukung adik yang sudah melena di atas bahu. Alya ketap bibir penuh waspada.

“Adik! Itu emak adik, ya? Mari kakak bawakan adik pada emak adik, ya!” Sapaan mendadak seorang wanita beraut manis serta berpakaian serba jingga, membuat Alya terpinga-pinga dalam reaksi separa bingung.

Sebelah tangan wanita muda itu ramah menghulur. Isyarat memperlawa untuk memimpin. Tangan kecil Alya segera akur menyambut. Sebelum diekori langkah santai kaki wanita itu mendekati emak yang masih menekup wajah. Malah mata emak utuh menekur ke muka lantai.

“Puan! Inikah anak perempuan yang puan cari-cari itu?”

Emak angkat kepala perlahan-lahan. Kerutan di wajah emak bertukar menjadi riak terkejut. Merah padam di paras itu juga spontan berona jernih. Namun jejeran air bening di pipi emak tetap bergenangan semu. Esak sedu juga terus gerah meladeni.

“Alya!! Anak mak!”

Emak spontan meraih tubuh Alya ke dalam pangkuan. Pelukan emak erat sungguh. Sehingga tubuh Alya serta badan adik yang sedang digendong emak langsung terlekap kuat. Alya sedikit tercunggap kehilangan nafas

“Alya pergi mana? Emak risau tau! Takut Alya hilang dari emak!”

Cumbuan emak menerpa ke seluruh wajah Alya. Bertalu-talu. Alya sedikit kelemasan. Tangan kiri bingkas mengelak-ngelak lekapan bibir emak dari terus bertemu di pipi. Sementara tangan kanan utuh memeluk boneka pocoyo yang sukar direnggang.

Sekilas Alya sua patung biru itu pada emak buat ke sekian kali. Paras comel Alya menghangat. Mata bundar si gadis cilik itu spontan berkaca dalam takungan cecair jernih. Mempapar reaksi gerun bercampur was-was. Ibarat terlalu gusar dipisahkan dari sang idolanya itu.

“Baiklah! Alya boleh ambil anak patung itu! Emak belikan untuk Alya!”

Wajah emak gerah berlunak. Emak beralah dalam sehela nafas. Alya beransur-ansur menayang sengih. Pelukan emak kian dipadu. Barisan gigi kecil ditayang lebar tanpa cemar. Menyahut senyum manis patun g pocoyo yang turut mencambah ceria. 

 Jauh di sudut hati, Alya disergap rasa asing akan dakapan emak yang satu itu. Pelukan yang agak lain dari kebiasaan. Pelukan yang sudah lama tidak dikecap. Pelukan yang selalu Alya rindui juga, saban waktu dulu

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) jrg-jrg dapat baca karya kualiti mcm ni kat sini. tulisan adreena bestlah. kesian dengan alya... uhuhuh. tapi itulah, lumrah kasih ibu. bkn x syg ye dak.. hehehe.
  • 2) kesiannnyaaaaa alyaa.. huhu.
    pocoyo!

    ibu bapa perlu lebih berhati-hatilah thanks kak share karya yang baik begini!

  • (Penulis)
    3) terima kasih sudi membaca mas joko dan caha
  • 4) a simple story that is told beautifully.. kudos

  • (Penulis)
    5) thaNKS ABG JO
  • 6) rasa mcm betul-betul mengembara bersama alya. kemas betul ceritanya.

  • (Penulis)
    7) terima kasih sudi membaca... uculer
  • 8) Terurai rindu membaca tulisan Kak Riesna. Seperti biasa, sangat lancar penceritaannya. Emosinya juga bersenandung kemas.

  • (Penulis)
    9) terima kasih ridh..
    melepas rindu berkarya di sini...

Cerpen-cerpen lain nukilan adreena

Read all stories by adreena