Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

PCB#6 : Ramadhan di hati Borhan.

Cerpen sebelumnya:
Fillus Eden - Part III
Cerpen selanjutnya:
Mandi Jodoh

            Borhan diam depan televisyen menanti pengumumun tarikh mula puasa. Dia hulur jari telunjuk ke butang kuat bunyi televisyen.

            “...anak bulan ramadhan telah kelihatan...”

            Pap. Borhan tampar lantai. –Aduh... Esok puasa. Lapar la siang-siang mak tak masak nasi.

            Borhan bangun dari duduknya di depan televisyen. Dia membetulkan lipat kain pelikat yang hampir terlucut dari pinggang.

            Tutup tv kalau nok keluor,nyaring suara ibu dari dapur memekakkan telinga Borhan. Dia terus menutup televisyen.

            Terus dia ke bilik.

            Borhan capai seluar jeans yang tergantung pada paku di dinding. Dia sarung seluar jeans lusuh itu ke kaki, warna asal seluar itu biru tapi sudah tak macam warna biru lebih ke warna kelabu asap. Kemudian dia kebas-kebas sikit sawang dan habuk papan yang melekat pada pinggang seluar.

            Borhan raba poket belakang berisi dompet. Dia ambil dompet dari poket belakang belah kirinya. Kemudian dia buka dompet itu. – Apelah ye, seposen habuk pun tak ada dalam wallet ni.

            Borhan masukkan semula dompet itu dalam poket belakangnya.

            Dia keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Di ruang tamu dia membelek kain alas televisyen, bukannya kain alas juga sebenarnya, kain batik emaknya buat mengalas televisyen itu. Borhan selak kain alas televisyen itu. – Ah ye orang tua ni, tak ada pulak simpan duit sen dekat sini, mane pulak simpannya.

            “Mok....,” jerit Borhan dari ruang tamu.

            “Ooooii...” suara ibunya menyahut belakang rumah. Entah benda apa dibuatnya di belakang rumah itu Borhan malas menjenguk. Entah ke membalut buah cempedak, entah ke membakar daun kering.

            “Mok....,” tempik Borhan lagi sekali.

            “Ah ye, hamende hantunya awok ni,” perlahan suara ibu Borhan sedang berdiri di muka pintu pembahagi ruang tamu nak ke dapur. Pada tangan kanannya ada dua pucuk bunga kantan baru nak kembang.

            “Mok, nak dua ringgit beli rokok,” kata Borhan tersengih-sengih menghulur telapak tangan terbuka di depan ibunya.

            “Itulah dengan ye nye, hisss awok ini,” keluh si tua itu. Dia mencabut sesuatu yang terikat di pinggangnya. Sesuatu seperti tali pinggang, dibuat dari kain.

            Ibu Borhan buka zip kecil pada kain yang serupa tali pinggang itu. Dalam zip yang dibuka itu ada segulung duit, bercampur-campur seringgit, lima ringgit dan sepuluh ringgit.

            Borhan jeling sikit poket beg pinggang ibunya ambil tersenyum-senyum.

            “Hamendenye awok ini, ah ye,” kata ibu Borhan sambil ikat semula kain serupa tali pinggang yang ada poket zip kecil tadi pada pinggangnya.

            “Bale mok, gone kalau rompok dek orang nanti habih kene kerat perut,” kata Borhan kepada ibunya sambil tersengih-sengih menampakkan gigi yang sudah berkarat hitam dan susunan berterabur.

            “Rompok mendenya, awok sorang je tahu koi simpan duit di sini,” kata si tua itu sambil membetulkan alas televisyen yang sengat sedikit ditarik Borhan tadi. “Ni hamende kenenya menarik alas tb ni?”

            Borhan tersengih-sengih lagi. Tangan kanannya menggaru-garu perut tak gatal dalam baju.

            “Awok usoh sengeh gitu gaya, tak serupa orang koi menengoknya gigi awok tu Borhan, nah,” Borhan menyambut wang seringgit dua keping yang dihulur ibunya masih tersengih-sengih menggaru perut.

            “Awok ini, kalau anok kucing lame dah koi buang ke pekan sane Borhan,” kata Ibunya dengan nada bergurau menahan gelak.

            Borhan terus buat muka gaya orang terasa hati.

            “Ah, awok tak payoh buat muka begitu, awok berasa hati pun nok lari kone?” cebik ibunya sambil berpaling dan terus kedapur. Sambil berjalan Borhan tengok ibunya sedang mengikat kain serupa tali pinggang yang ada poket zip kecil itu pada pinggangnya semula. Borhan geleng kepala.

            Borhan terus ke muka pintu, menyarung selipar jepun jenama Tat Sing di anak tangga kedua.

            “Awok nok kone Borhan?” tempik ibunya dari dapur.

            “Kedei MatNor, beli rokok,” sahut Borhan dari tangga sambil terus berlalu menuju ke kedai. – Gelap jugek malam ni, rugi pulok tak bawok lampu tadi.

            Pap! Borhan tampar nyamuk menggigit yang hinggap di belakang bahu belah kirinya. Entah kena entah ke tidak. Borhan melihat telapak tangannya. Tiada kelihatan bangkai nyamuk. ­– Pandai betul nyamuk ni kalau nak mencari makan.

            Dalam kegelapan, Borhan melangkah berhati-hati. Jalan di kampung bukannya elok sangat serupa di bandar. Ada kaki lima, siap simen corak berbunga-bunga. Kalau kaki lima di kampung tersalah langkah mencari tahi lembu, bongkah kayu atau lubang adalah.

            Dalam kegelapan malam, Borhan melangkah berteman cahaya lampu dari rumah orang yang tersasar sampai ke bahu jalan sikit-sikit.  Cuma cahaya sedikit itulah yang menolong Borhan memandu jalan menuju ke Kedai Runcit MatNor. Tujuannya cuma nak membeli rokok surya dua batang.

            Bunyi katak paya sahut menyahut. Burung kuang paya pun tak kalah sahut menyahutnya. Cengkerik pun ikut sama sahut menyahut.

            Fuuu... fuu.. fu.... Borhan bersiul perlahan. Entah benda siulnya, gaya bunyi orang meniup unggun api. Borhan tersengih-sengih sendiri. Memang sejak dari kecil dia tak pandai bersiul. Puas Rapi mengajar dia bersiul masa kecil-kecil dulu balik dari mengaji rumah Arwah Atok Usop, tapi sampai sekarang tak pandai-pandai. Borhan geleng kepala perlahan.

            Dari jauh, lampu gasolin kuning kedai MatNor sudah nampak berkelip-kelip. Borhan melajukan sedikit langkah.

            Lambaiiian tanganmu, masihku ingat selalu...

Itu yang terakhir... ku melihat dirimu....

            Borhan menyanyi kecil mengubat kebosanan berjalanan kaki. Kedai MatNor yang baru nampak lampu gasolin berkelip-kelip gayanya jauh sangat lagi.

            Entah benda balanya, tiba-tiba jantung Borhan berdetap laju. Dari dahinya menitik peluh jantan terus ke pipi. Borhan tak sedap hati. ­­­– Mok.

            Piiiiinnnnnnnnnnn...

            Borhan pandang ke belakang. Sekali imbas cahaya lampu lori tanah itu menyilaukan penglihatannya. – Lori.

            Borhan terus melompat ke dalam semak di tepi jalan.

            Dush... Jatuh dia ke dalam longkang kecil bersemak itu. Sedikit air membasahi seluar jeans dia.

Hantu betei lori tanah ni. Padan la dengan nama orang panggil lori hantu. Bawok lori serupa hantu.

            Menyumpah-nyumpah Borhan kepada pemandu lori tadi. Bukannya tak nampak ke dia tengah berjalan di tepi jalan. Lampu bukan main cerah. Tadi dia silau ke lampu sampai berpinar sekejap, itu yang dia terus terjun ke longkang tu.

            Borhan berdiri sambil mengibas-ngibas baju dan seluarnya yang sedikit basah.

            -Setan betul drebor lori, esok tahu la awok kene ikat. Kata hati kecil Borhan.

            Hm.... Borhan melepas keluh di hati. ­– Mungkin ini bendanya yang koi tibe-tibe berdebor tadi.

            Borhan meneruskan langkah yang terbantut sekejap tadi. Terus dia menuju ke kedai MatNor. Entah benda ajaibnya Borhan rasa juga entah berapa langkah sahaja di sampai di kedai MatNor.

            “MatNor... Ooooo... MatNor....,” jerit Borhan dari luar kedai. Borhan menggoyang-goyang papan yang ada tanda nombor lima itu. “MatNor...” teriak Borhan lagi.

            “Wooooiii..,” sahut MatNor dari dalam kedai. – Ha, baru dia tahu kuasa koi macam mana.

            “Ah ye Borhan, nok mende?” tanya MatNor sambil tangan kiri pegang pelipat kain pelikat tangan kanan menggosok mata.

            “Surya dua batang,” kata Borhan sambil menghulur wang dua ringgit dalam lubang di celah papan yang tersedia muat-muat tangan orang dewasa.

            “Hantu betei awok ni Borhan,  bapok jauh berjalan beli rokok, koi ingat nak membeli tepung nak buat lempeng buat bersahur,” kata MatNor sambil dia menghulur rokok surya dua batang melalui lubang yang sama.

            Heeeee... Borhan menyeringai. Dia terus melangkah pulang menuju ke rumahnya kembali. Entah apa benda yang ajaibnya, kali ini lagi Borhan terasa ajaibnya. –Peh, entah-entah koi dapat kuasa masa mengelak kena langgar lori tadi, macam cerita superman tu.

            Heeeeee.. Borhan menyeringai sendirian lagi.

            Entah baru berapa langkah sahaja tiba-tiba dia sudah sampai di depan rumahnya. Berjalan serupa terbang. Entah ke terbang, entah ke ghaib. Borhan menggaru-garu belakang kepala yang tak gatal dengan tangan kirinya.

            Ah ye. Getus hati kecil Borhan.

            “Moookk.. Ooooo Mookk..” jerit Borhan di muka pintu.

            “Kejak, kejak...” kedengaran suara ibu Borhan dari dalam rumah.

            Kunci pintu di buka. Terus Borhan menolak pintu sebelah.

            “Ah ye awok ngape? Kene rasuk?,” tegur Ibunya bila menengokkan Borhan kelam kabut masuk ke rumah.

            Borhan duduk di lantai, bersandar di tiang seri bertentang dengan televisyen. Dia cucuh sebatang surya di bibir.

            “Mok, tadi koi cemas tak kene langgor dek lori,” adu Borhan dengan suara tersekat-sekat kepada ibunya.

            “Aduh.... Silap jugek drebor lori tu kenapa tak dilanggornye terus.. keh keh,” jawab ibu Borhan dengan sedikit ketawa.

            “Ah ye mok ni, koi ni dah la sorang anak jantan mok, sakit demam mok koi jugek..” Borhan bersuara sebak.

            Ibunya tersenyum mengeluarkan dua batang gigi kapak terjojol di bibir bawah.

            “Aih, kemain berasa sangat pulok,” sambung ibunya lagi dalam senyum.

            “Ah ye mok ni, nok sangat koi mati gayenye,” Borhan mencebik bibir lalu bangun dari duduknya dan terus menuju ke katil.

            “Mok... kejut koi sahur, esok koi nok puase hari pertama,” jerit Borhan dari dalam bilik sambil tanggal seluar yang basah terkena lecah masa dia mengelak lori tadi. Seluar kotor dicampaknya dalam raga, bercampur dengan baju-baju kotor yang semalam dan kelmarin.

            “Ye... ye.. koi kejut...” sahut ibunya pula. Entah dari mana.

            Siap berkain pelikat, Borhan baring di atas toto yang dihampar atas lantai. Dia tarik selimut nipis yang sudah kelabu asap warnanya. Bau pun memang sudah kenal, bau si Borhan. Kalau letak sebelah orang buta mata, tahulah itu di situ ada Borhan.

            Sahaja aku berpuasa esok hari di bulan ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

            Borhan memasang niat puasa di dalam hati. Dia sudah berniat mahu berpuasa esok dari tadi lagi, lepas dia terselamat mengelak lori hantu tadi.

            Borhan menyanyi di dalam hati, mendodoi diri sendiri untuk tidur.

Lambaiiian tanganmu, masihku ingat selalu...

Itu yang terakhir... ku melihat dirimu....

            ***

            “Borhann... Borhan... Bangun la. Borhan..” tangan tua itu menggoncang-goncang tubuh kurus Borhan.

            “Borhan bangun la...,” ibunya bersuara dekat sedikit sedikit dengan telinga Borhan.

            Borhan dengar sayup-sayup suara ibu. – Mok koi kejut nak bersahur ni.

            Borhan celik mata perlahan-lahan. Ulas matanya terasa pedih dipancar cahaya lampu dalam biliknya yang terpasang.

            “Borhan.. awok bangun Borhan.. Borhan..” tubuh kecil tua itu terus memeluk Borhan yang baru bangkit. Borhan terpinga-pinga.

            “Ah ye mok ni ngape?” Borhan membiarkan sahaja ibunya yang sedang teresak-esak memeluk tubuhnya.

            “Ngape mok ni?” Borhan memeluk ibunya pula sambil berbisik di telinga ibunya perlahan.

            Allahuakbar.. Allahuakbar... Allahhhhhuakbar..

                        Laaaaailaaahaillallahhhh... huallahuakbar..

            “Aih, hamende mengigaunya radio ni, mok mende pulok takbir ni dah masuk waktu ke? Tak dan la koi nok bersahur,” kata Borhan menyapu-nyapu perutnya sendiri. Ibunya masih teresak-esak tersenyum melihat Borhan yang sedang duduk bersandar di dinding papan dalam biliknya itu.

            “Awok nok bersahur mende laginya, sebulan awok tak makan tak minum puasa siang malam, esok dah raye dengor takbir tu,” suara ibunya tersekat-sekat dalam esak tangis. “Alhamdullillah.. Allahamdullillah..” Ibunya menadah tanya membaca doa kesyukuran. Borhan ikut tadah tangan juga.  

            “Ha?” Borhan menggaru belakang telinga kirinya.

            “Pak Lang Seli jumpe awok di tali air dekat stop bas dekat kedai MatNor tu...,” ibunya menyambung cerita.

            “Lepas tu mok,” Borhan dengan muka serius tak sabar-sabar mahu ibunya bercerita.

            “Kepala awok pecoh terantuk di bucu lantai stop bas tu, bejahit sembilan, awok raselah sendiri atas telinga kanan awok tu,” sambung ibunya lagi.

            Borhan meraba kawasan yang dikatakan ibunya tadi. Terasa pedih-pedih bila di sentuh.  -Luka jahit belum elok lagi gayanya ni.

            “Lepas tu? Lepas tu mok ?”

            “Awok pengsan dari hospital tu tak sedor-sedor, tapi doktor kata awok sihat sangat, bukan koma, tapi serupa tidur saja, ce tengok pelipat awok tu hancur doktor masuk ke air pasal awok tak makan tak minum,” sambung ibunya lagi terus memeluk Borhan lagi sekali sambil teresak-esak menahan tangis gembira.

            “Dah la tu mok, esok raye ke?”

            “A’ah,” jawab ibunya sambil mengangguk sambil mengukir senyum di bibir tua.

            “Baye, sebulan tidur tak bangun-bangun dari belum puasa sampai esok raya,” kata Borhan tersengih-sengih sambil tangan kirinya merasa parut luka berjahit di kepala.

            Ibunya tersenyum lagi  mencium dahi Borhan.

            “Buruk-buruk awok, awok la anok jantan mok sorang Borhan...” ibunya mengusap dahi Borhan. “Dah, pergi mandi sendiri, tak daye dah koi mengelap badan orang tua,” sambung ibunya lagi sambil tersengih.

            Borhan tersengih sama.

 

 

Cerpen sebelumnya:
Fillus Eden - Part III
Cerpen selanjutnya:
Mandi Jodoh

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.4
5 Penilai

Info penulis

Fiqri Fauwaz

Belajar jadi orang.
Sekopi | Jadikan Sekopi rakan anda | Hantar Mesej kepada Sekopi

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Sekopi
Sepuluh Ringgit | 3704 bacaan
Puisi untuk si cantik yang sering rindukan saya | 3476 bacaan
Cari | 1591 bacaan
Cerkas : Surat Khabar | 2816 bacaan
PCB#2 : Aku sebuah cerpen | 3234 bacaan
10 Hari Mencari Cinta | 3948 bacaan
Gua, Saiber dan Mistik | 2542 bacaan
Rempit | 5416 bacaan
Ini cerita rakyat - Mat Rempit | 4315 bacaan
Ikram dan Kg. Paya Rambai yang hilang. | 2546 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

4 Komen dalam karya PCB#6 : Ramadhan di hati Borhan.
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik