Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Dia Sesat Di Tempat Itu

  • 6
  • Choco
  • 12 years ago
  • 4,504
  • FREE

 

Waktunya 11.56 malam. Sepatu lusuh disarungkan, mula-mula di sebelah kanan, kemudian di sebelah kiri. Kelakuannya kelihatan tertib walau penampilannya sedikit selekeh, dengan rambut panjang separas bahu menggerbang dan seluar jeans pudarnya menampakkan sedikit kulit lututnya. Sangkanya, malam-malam begini siapa mahu kisah dia selekeh atau tidak. Bukannya dia hendak menghadiri mesyuarat penting bersama bos besar, atau bertemu buah hati tercinta.

Selesai sepatu disarung, dia berdiri dan terus berjalan. Niat di hatinya sekadar ingin merayau-rayau. Katanya mahu mencari pengertian hidup orang asal kota yang sibuk itu. Kota itu kini menjadi tempat tinggal barunya. Kisah orang asal kota itu selama ini didengarinya banyak tersasar jauh dari norma agama dan budaya mereka. Banyak kisah-kisah mereka terpampang di muka-muka akhbar terkemuka negara.

Di tempat asalnya, kisah-kisah tersebut adalah tragedi, dianggap amat memalukan sampai ada yang ingin memutuskan hubungan jika tragedi tersebut berlaku dalam kelompok mereka. Ada kisah yang terlalu pelik sehingga tersebar ke saentero dunia dek dunia tidak bersempadan ini sangat berminat dengan kisah aib orang lain. Sesungguhnya dia teramat mahu tahu, benarkah kisah-kisah yang didengarinya, atau segalanya sekadar momokan orang tempat asalnya supaya anak-anak muda mereka tidak berhijrah ke kota sibuk itu?

Puas berfikir, kotak rokok pek 20 dikeluarkan dari dalam kocek belakang seluar jeans lusuhnya. Sambil berjalan, dicarinya pemetik api berwarna hijau gelap. Pemetik api itu memang setia berada dalam kocek kiri seluar menunggu berkhidmat untuk manusia yang tidak betah duduk lama tanpa menyalakan batang beracun itu, lebih-lebih lagi tatkala digigit dingin angin malam.

Dia terus berjalan sambil menghembus keluar asap rokok, mencemarkan udara yang sememangnya Tuhan ciptakan bersih. Sungguh, tidakkah dia (dan manusia lain sepertinya) rasa bersalah mengubah kondisi alam yang asalnya diciptakan selamat untuk didiami semata untuk keasyikan sendiri yang sementara? Manusia dikatakan haiwan yang suka bersosial tetapi mengapa mereka bersikap individualistik begitu? Punah! Punah dunia dibuat mereka!

Saat dia menyedut dalam-dalam segala racun rokok, matanya tertancap di satu kawasan yang meriah dengan kegiatan manusia. Dahulu disangkanya, tempat itu entah siapa mahu menghabiskan masa mereka di situ, lebih-lebih lagi setelah mentari terbenam. Dari jauh dia memerhatikan mereka. Rasa ingin tahu memaksanya terus terpacak di kedudukannya di bawah pokok besar kira-kira 10 meter dari tempat itu. Selepas habis rokok yang dihisapnya, dinyalakan lagi yang lain (ah, semakin tercemar udara yang Tuhan ciptakan bersih!) sambil terus memerhati keadaan tempat itu.

Pada siang hari, tempat itu tidak sudi dikunjungi siapa pun. Mungkin, pekerja premis kedai kopi Ah Teck atau kedai-kedai sederet dengannya sekali-sekala ke situ untuk membuang sampah atau, pengutip sampah datang melaksanakan tugasnya demi sesuap nasi. Mungkin gaji mereka lebih sedikit berbanding mereka yang membuang sampah tersebut tetapi hanya itu yang mereka mampu lakukan demi meneruskan kehidupannya di kota sibuk itu. Tentu sukar hidup begitu tetapi hidup harus diteruskan bukan?

Kini waktu malam. Tidak mungkin pekerja kedai kopi Ah Teck atau kedai-kedai sederet dengannya hendak membuang sampah di tempat itu. Pengutip sampah juga pasti tidak bekerja malam-malam begini. Bagaimana mahu melihat yang mana sampah yang perlu dikutip dalam kegelapan malam begini? Jadi, siapa yang berlegar-legar di tempat itu? Dia masih ingin tahu. Dimatikan rokoknya. Tangannya dimasukkan ke dalam kocek baju panas berhudnya lalu langkah demi langkah diorak ke tempat itu.

Semakin dekat dia dari tempat itu, semakin suram tempat itu. Lama-lama yang tadi dilihat berlegar-legar di tempat itu, langsung tiada. Gelap.

Dia pelik.

Dari kejauhan tempat itu tadi seakan-akan meriah. Baru tadi dia nampak beberapa susuk tubuh perempuan berlegar-legar di sana. Mungkin ada lima orang – tiga susuk tersebut agak gempal tetapi rambut mereka panjang, seorang sangat kurus seperti rangka manusia dan seorang lagi bentuk tubuhnya menggiurkan mana-mana lelaki sejati yang memandang. Yang pasti, lenggok susuk-susuk tubuh perempuan tersebut sama gemalainya, beberapa kali juga tangan mereka menepuk manja teman mereka, mesra sungguh!

Dia juga terlihat ada kepulan asap keluar dari mulut dan hidung tiga susuk tubuh perempuan tersebut. Mereka berbual sesama mereka. Butiran perbualan tidak pula didengari, tetapi yang pasti sekali-sekala ia diselangi gelak tawa lelaki membuatkan dia hairan. Susuk tubuh mereka seperti perempuan tetapi gelak tawa mereka persis lelaki. Dia garu kepala yang tidak gatal. Pelik!

Tidak lama selepas itu ada empat lagi susuk tubuh perempuan memasuki tempat itu. Tiga dari mereka berambut panjang, seorang lagi mempunyai rambut separas bahu. Mereka semua mengenakan kasut bertumit tinggi. Di tempat asal dia, mak dia pernah bilang, kasut begitu boleh bikin terseliuh kaki tetapi boleh juga dibaling ke arah anjing Mr. Siva yang suka mengejar anak-anak yang lalu di hadapan rumah Mr. Siva – ada kegunaannya walau ada mudaratnya, barangkali bergantung kepada keadaan.

Susuk-susuk tubuh perempuan berempat itu sekadar berlegar-legar di tempat itu, seperti menunggu seseorang (atau sesuatu). Salah seorang dari mereka menyandar malas dan berpeluk tubuh, seolah-olah tidak berminat menunggu seperti teman-temannya yang lain. Mereka seperti tidak berminat berbual, berlainan dari empat susuk tubuh perempuan dengan gelak tawa seperti lelaki tadi.

Tadi juga dia ternampak tiga susuk tubuh lelaki menuju ke arah tempat itu. Apabila tiba di tempat itu, mereka menoleh ke kiri dan kanan sebelum menoleh ke kiri semula. Kemudian seperti mengambil giliran, mereka masuk ke lorong tersebut seorang demi seorang. Salah satu menyapa empat susuk tubuh perempuan tadi lantas memasuki bangunan usang di tempat itu bersama salah seorang dari mereka. Yang lain setia menunggu di luar. Yang menunggu dengan malas, masih menyandar, tidak menunjukkan dia berminat dengan apa-apa yang berlaku di situ.

Manakala satu lagi susuk tubuh lelaki tadi menuju ke arah susuk tubuh perempuan yang gelaknya seperti lelaki. Setelah beberapa minit berbual dengan mereka, susuk tubuh lelaki itu berlalu membawa dua susuk tubuh perempuan yang gelak tawanya seperti lelaki.

Satu lagi susuk tubuh lelaki tadi menuju terus ke hujung tempat itu, lantas lenyap langsung ditelan gelap malam, entah ke mana perginya, entah apa ceritanya.

Lebih kurang 30 minit kemudian, terdapat satu susuk tubuh lelaki keluar dari bangunan usang tadi. Susuk tubuh itu ketawa besar. Sepertinya dia girang kerana apa yang dicarinya berjaya dijumpai. Tidak lama selepas itu rakannya pulang ke tempat itu bersama dua susuk tubuh perempuan yang gelak tawanya seperti lelaki. Dia juga ketawa. Mereka bersandar di dinding rumah usang mungkin menunggu rakan mereka yang seorang lagi.

Tiba-tiba ada satu susuk tubuh lemah berjalan menuju ke arah dua susuk tubuh lelaki yang gembira tadi. Mereka bangun mendapatkan rakan mereka yang seperti orang sedang khayal entah mengapa. Rakan mereka menghulurkan sesuatu kepada mereka berdua sebelum kedua-duanya turut khayal di dalam dunia fantasi mereka.

Dari kejauhan, kelihatan dua susuk badan kecil berlari-lari menuju ke tempat itu. Mula-mula mereka sekadar bermain kejar-kejar sesama mereka. Apabila penat, mereka menuju ke arah salah satu susuk tubuh perempuan dan menarik tubuh itu keluar namun mereka ditampar. Dia yang melihat tergamam. Apa salah mereka?

Baru tadi juga bunyi tikus berdecit-decit keluar mencari sisa-sisa makanan. Sesudah berjaya mendapatkan apa yang dihajati, laju tikus-tikus tersebut menyelusup di celah-celah longgokan sampah lantas hilang di dalam lubang-lubang hitam. Kemudian keluar lagi tikus-tikus lain. Mungkin berhajat yang sama seperti kawannya tadi.

Sunyi.

Sekarang tiada lagi kepulan asap, tiada juga perbualan yang diselangi gelak dan ketawa persis lelaki. Empat susuk tubuh perempuan yang dilihatnya tadi juga lenyap. Susuk tubuh lelaki dan kanak-kanak ghaib. Tikus-tikus yang galak mendecit sebentar tadi juga sudah tiada. Segalanya seolah-olah tidak pernah wujud di tempat itu.

Dia memandang sekelilingnya. Dia terus mempercepatkan derapan langkahnya, berharap dia berpeluang berjumpa seseorang yang boleh menerangkan segala yang dilihatnya tadi. Di hujung jalan, dia melihat ke kiri dan kanannya lalu mengorak langkah, mencuba untuk berpatah balik ke tempat dia berdiri memerhati susuk-susuk tubuh di tempat itu tetapi dia tersedar, dia kini sesat di tempat itu.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Satira

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) merapat-merapat, lalu hilang jalan keluar?
    banyak pakai kiasan juga.

    idea dan plot dah ada, tapi penceritaan tu boleh murnikan lagi
  • 2) Ideanya menarik dan kronologi ceritanya ada. Cuma, pada saya, terlalu banyak sub-plot yang mendesak pembaca membayangkan latar yang ada. Mungkin boleh diperincikan atau dikurangkan.

    Namun secara keseluruhan, saya faham cerita dan mesejnya. Bagus!
  • 3) bagi saya, choco berjaya berteka-teki dgn pembaca. maka maksud 'sesat' agak sampai.

  • (Penulis)
    4) Huda memang rasa ada yang perlu diperbaiki tapi tak tahu tang mana, rasa macam sedikit kucar kacir cerita ini.

    Caha, Ridh, Kuru - tq di atas komen-komen anda
  • 5) saya puji susunan ayatnya yang cantik
  • 6) hurm....sesat jugak aku...

Cerpen-cerpen lain nukilan Choco

Read all stories by Choco