Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Diari Mentari Jingga

  • 2
  • gelap
  • 12 years ago
  • 3,536
  • FREE

 

Petang masih hijau, dan aku telah berada di sini selama hampir satu jam yang lalu. Entah berapa batang rokok telah aku cucuh, barangkali asapnya boleh menghilangkan tekanan yang membelit jiwaku. Satu jam, tempoh yang agak lama untuk aku berada di pantai ini sambil melihat putih buih ombak, merenung biru laut, dan memanjakan jasad keringku dengan tiupan angin bayu. Rasa tenang dan terkadang sayu, menyelinap ke ruang hatiku yang sepi. Sendirian.

Cuaca semakin redup dan teduh mengundang ramai pengunjung tiba. Ada yang datang berpasangan. Ada juga yang datang bersama keluarga, mungkin ingin melepaskan penat setelah seminggu berkerja, di samping meluangkan masa bersama anak-anak tercinta. Tidak kurang pula merpati sejoli melepas rindu. Hampir setiap detik, pasti akan ada sepasang yang tiba.

Terpandang sepasang kekasih yang sedang bercanda, membuatkan aku berfikir sejenak. Apakah yang mereka cari  dalam keseronokkan bercinta. Adakah hanya menurut nafsu semata-mata atau sememangnya ingin mengakhirinya dengan satu ikatan yang sah. Sekiranya berkahwin itu dikatakan ikatan yang sah, apakah hubungan yang berlangsung sewaktu bercinta layak digelar ikatan haram? Melihat mereka berpegangan tangan, itu mungkin perkara biasa. Tetapi melihat sekujur tubuh gadis yang masih muda membonceng di belakang pasangannya dengan motorsikat yang dimatikan enjin, aku rasakan perkara seperti itu sangat jelek. Adakah ini juga perkara biasa? Sungguh memalukan.

Melihat situasi yang abnormal ini membuatkan aku tertanya sendiri, apakah maksud cinta? Adakah sebuah pengorbanan, adakah satu perkongsian rasa, dan perlukah cinta disulami dengan pertemuan pada masa terluang. Pada sebelah malamnya pula, harus diisi dengan perbualan panjang melalui telefon, atau paling kurang pun, di zaman teknologi moden ini, harus mengutus sekeping mesej mengucapkan selamat malam, kononnya sebagai lambang ingatan tulus setia. Aku mengerti, perasaan cinta dan rindu itu seperti gigi dan gusi, pasti bersatu, tidak boleh tidak mesti ada rindu.

Hati aku membantah, jiwa aku menolak semua keinginan cinta seperti itu. Aku tidak kisah seandainya ada yang menggelarkan aku berhati batu, berjiwa dingin, dan tidak romantik. Romantik? Argh…! Gelaran yang berpangkat ‘Dato’ dalam kamus cinta, tetapi aku langsung tidak mengimpikannya. Aku masih manusia normal yang mempunyai keinginan untuk bercinta, masih ada nafsu untuk bermanja dan membelai kasih. Tetapi aku ada akal yang mampu membezakan antara cinta dan nista. Aku tidak sanggup menipu diri aku sendiri, kerana hampir setiap malam, aku akan menyesal dengan perbuatanku pada siangnya.

Aku menghela nafas panjang, berdiri, cuba menghilangkan rasa lenguh di kaki dan sakit di belakangku, mungkin akibat terlalu terlalu lama duduk. Dadaku terasa lapang, namun jiwaku seperti sesawang rumah usang, yang penuh dengan sarang lelabah, berselirat dan sesak. Poket kecil di sisi kiri seluar kuseluk, kotak merah bercacahkan gambar isi rongga dada berwarna hitam lantas dikeluarkan. Sebatang lagi rokok menjadi hidangan aku di petang usai. Tanpa menghiraukan amaran yang tertera di kotak tersebut, aku menyedut dan menghembus setiap kepulan asap dengan penuh kepuasan. Sesekali aku memandang kiri dan kananku, mungkin cuba berekspirasi dengan keadaan sekeliling, atau mungkin jua aku sedang cuba meredakan perasaanku yang berkecamuk ini.

Benakku masih dibayangi persoalan, apakah definasi cinta untuk mereka ini? Adakah cara mereka ini sebenarnya betul? Adakah cinta harus diterjemahkan dengan sebegini rupa? Adakah restu daripada keluarga merupakan lesen untuk mereka membelakangi adab dan nas agama? Atau sememangnya mereka sedar akan dosa, tetapi demi cinta dan pintu taubat yang sentiasa terbuka, maka mereka tutupi hati mereka demi melunaskan rindu, demi mengecapi indah erti cinta; syurga dunia. Aku tahu apa itu cinta, aku tahu apa itu rindu, dan aku mengerti bagaimana indahnya rindu (sebenarnya lebih banyak derita dari bahagia, tetapi biasalah, orang yang sedang dilamun cinta, semuanya menjadi indah). Aku juga mempunyai keinginan seperti pasangan kekasih yang lain, keluar ’dating’ di hujung minggu, makan tengahari bersama, menonton wayang, malahan melakukan apa sahaja aktiviti dengan sentiasa ditemani orang yang aku cintai. Aku ingin lakukan semua itu. Tetapi, walaupun keinginanku begitu tinggi,jauh di lubuk hatiku, aku malu kepada Tuhanku. Ya, aku malu. Perasaan cinta dan rindu yang dianugerahkanNya adalah demi mencintaiNya, demi merinduiNya, juga supaya kita sentiasa mencintai para rasulNya. Kerana nafsu yang merajai segalanya, kita melebihkan perasaan cinta terhadap manusia biasa, makhluk yang tidak berupaya menjadikan sesuatu apa pun, waima sebutir pasir. Memang, tidak salah mencintai sesama manusia, tetapi biar berpada, biar seadanya. Kerana dengan perasaan cinta dan kasih sayang yang dianugerahkan, manusia akan hidup aman damai dan harmoni. Aku akui, cintaku terhadap pasanganku tetap utuh, tetap membara, tetap mekar, dan aku inginkan kesinambungan yang hakiki. Tetapi menjalani kehidupan seperti pasangan kekasih yang aku katakan tadi, itu tidak mungkin terjadi.

Tidak tersedar, rokok dijariku sudah hampir sebatang habis. Aku menyedut asapnya untuk kali yang terakhir, di tarik dalam-dalam nafasku, kemudian aku hembus  asapnya perlahan-lahan, seiring dengan itu, aku menjentik puntungnya ke depan tempat aku berdiri. Aku melihat sisa puntung  yang tersisa. Fikiranku bercelaru.

“Cinta itu seperti rokok, nikmatnya ada, tetapi cepat habis. Sedap tu sedap, tapi membawa padah!”

Hatiku menggerutu seolah-olah cuba memberi peringatan kepada diriku tentang persamaan bahaya cinta dan rokok. Aku hanya tersenyum.  Sinis.

“Aku tahu dan fahami akan kemahuanmu, tetapi aku tidak mampu menjadikannya realiti. Mengerti akan kekuranganku, tidak sesekali aku salahkan dirimu kerana meninggalkan aku. Semoga dirimu menemui cinta sejatimu”.

Aku tinggalkan pantai itu dengan seribu persoalan dan kekalutan. Petang itu, sekali lagi mentari jingga menjadi peneman cerita sepiku.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) mungkin lepas berhenti rokok terus, persoalan dan kekalutan 'Aku' akan terjawab hehe...

    cerita ni lebih kepada gaya esei saya rasa

  • (Penulis)
    2) hehehe..dia cuma isap sebatang jer...

Cerpen-cerpen lain nukilan gelap

Read all stories by gelap