Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

tabir rindu

 

Aku segan. Seriously speaking. Tak tipu langsung. Pandanganku hanya mampu ditalakan ke lantai simen. Berdiri di sini lama-lama mampu membuatkan aku sesak nafas. Pandangan itu. Aku takut. Pandanganku beralih ke arah bangunan usang di sebelah kanan. Tidak semena-mena langkah kakinya menuju ke arah itu. Aku gusar. Tidak tentu arah dibuatnya.

Kenapa perasaan ini mesti hadir? Pada saat aku cuba untuk lari jauh daripadanya.

Pantas kupalingkan wajahku ke kiri. Lagak yang tidak ubah bagai anak sekolah yang mahu melintas jalan. Tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan. Sungguh. Aku tidak mengerti makna di sebalik semua ini. Dia kembali ke posisi asal. Di sebelah kiriku. Tidak larat untuk bermain permainan bisu seperti ini lagi,aku pula yang mundar-mandir di situ. Sikapnya yang aneh tanpa apa-apa bicara membuatkan aku takut untuk beranggapan. Takut salah faham.

Memang selama ini aku dan dia tak pernah buka mulut setiap kali kami bersua. Meskipun dalam kelas yang sama. Dengan orang lain tidak pula begitu. Ah! Aku juga sama sebenarnya.

“Dya!” Laungan dari kejauhan itu membuatkan aku tersentak.

Hampir tersembur susu coklat yang baru sahaja berura-ura mahu sampai ke trachea. Pantas aku mengelap saki baki susu di pinggir bibir. Saat aku ingin membuka penutup tong sampah, tangannya terlebih dahulu mencapainya.

“Bagi sini kotak kemik tu,” Tegas suaranya membuatkan mataku bergenang. Sedaya upaya aku cuba mengawal perasaan.

Untuk apa dia melakukan semua ini? Membantu?

“Tak apa. Saya ada tangan sendiri.” Balasku. Mendatar. Tidak beriak.

Aku perhatikan riak wajahnya yang berubah tiba-tiba. Perasaan bersalah mula menerpa.

Salahkah aku?

 Terasakah dia?

“Err…terima kasih. Tapi, saya boleh buat sendiri.” Aku cuba membetulkan keadaan. Berharap agar dia terpujuk.

Kotak minuman di tanganku direnggut kasar. Dibuangnya ke dalam tong sampah. ‘Huh! Ada jugak manusia macam ni’ dengusku. Mengeluh kecil. Pantas langkah kakiku terarah ke dalam dewan kuliah yang baru sahaja kosong. Dia sekadar memandangku dengan pandangan kosong. Mengharapkan aku mengucapkan terima kasih buat kali kedua? Boleh jalan daa.. Bukan aku yang mintak tolong pun?

Hisy, tak pernah dibuat dek orang mintak tolong buang sampah yang seciput itu.

Ikutkan hati,mahu sahaja aku suruh dia tolong mak cik cleaner buangkan sampah kat kolej aku tu. Baik sangat nak tolong orang tak bertempat. Tapi, tak terluah.

“Dya, kau pergi mana tadi?” Soal Lyn,teman kuliahku merangkap roommate aku. Lyn a.k.a Cik Chumeyl. Nama gelaran paling sweet yang abang ‘terchenta’ dia hadiahkan sebab kecomelan dia yang dah sampai tahap maksimum. Aku tergelak sendiri. Irsalina. Sahabat pertama yang aku kenal di kampus ini.

Lamunanku terhenti tatkala terdengar garau suara milik Prof. Akmal memberi salam. Cuak.

“Okay, class. I’ll revise on the previous topic about Legal maxims. Definition of legal maxims, please?” Aku sudah tertunduk. Mana tidaknya, semalam Prof. dah pesan supaya baca pasal topik ni, aku sahaja yang lupa. Konon-konon nak layan cerita korea sekejap. Akhirnya, terlena mimpikan mamat korea tu.

Lyn menyiku lenganku. “Dya, Prof. tanya kau la…” Perlahan tuturnya.

Mulutnya terkumat-kamit mengatakan sesuatu yang kurang jelas di pendengaranku. Wajah Lyn yang gelisah itu sudah cukup membuatkan aku faham. Seisi dewan kuliah sedang memandangku.

“Sorry, Prof. What’s the question again?” Lyn sudah menepuk dahi. Aku mengetap bibir. Malu.

Sebaik sahaja soalan itu selesai diutarakan kembali kepadaku, aku sudah tertunduk tanda tidak tahu. Itulah yang sering kali aku lakukan. Tiba-tiba, segumpal kertas dari belakang terkena kepalaku. ‘Untung stickpad, kalau tidak memang dah benjol kepala geliga aku ni’. Aku mengomel sendirian. Perlahan-lahan aku buka gumpalan kertas itu.

maxims = principles

Tertera tulisan tangan yang tercoret kemas di atas kertas kumal itu. Aku meninjau keadaan di belakang. Tertanya-tanya gerangan arjuna yang sanggup membantu aku. Betul ke lelaki? Entah-entah member perempuan yang baik hati. 

Ya! Baru aku teringat akan tajuk yang Prof. sebutkan tadi . “Prof?” Aku melambai-lambai tatkala melihat Prof. Akmal sudah tidak lagi fokus kepada aku. Dengan penuh semangat, aku menerangkan definisi legal maxims kepada lelaki separuh abad itu. Usai kelas, aku tersenyum puas.

“Nasib baik ada stickpad yang entah dari mana datangnya tadi. At least, tak adalah aku ‘goreng dengan kuali tak berisi’, kan?” Ujarku kepada Lyn sambil tanganku pantas mengemas buku dan nota-nota di meja.

Dewan kuliah sudah hampir kosong. Nota kecil yang bergumpal itu melayang-layang di hadapanku tatkala terjatuh dari meja. Cepat-cepat aku selitkan ke dalam buku rujukan.

Lyn masih terpinga-pinga dengan frasa ‘goreng dengan kuali tak berisi’ yang aku sebutkan barangkali. Dahinya berkerut-kerut.

“Apa lagi yang kau fikir tu, Lyn?” Aku sekadar berbasa-basi meskipun sudah jelas. Sengaja.

“Apa maksud kau, goreng dengan kuali tak berisi tu? Tak faham. Tak pernah jumpa pun dalam peribahasa.” Omel Lyn. Budak sastera. Semua peribahasa dia hafal.

“Cik Chumeyl yang comel, maksud aku tadi, aku jawab tu dengan fakta bukan dengan auta semata-mata la. Susah sangat ke nak faham?” Aku mengusik. Dia mengangguk.

“Baru faham. Ya, aku tahu lah aku ni ‘lampi’. Tak macam kau, senang pick-up.” Hatinya mudah benar terasa. Sensitif. Kalau dah namanya perempuan, memang lumrah. Aku memujuk. Menceriakan hatinya agar berbunga kembali.

“Ala, Lyn. Aku gurau. Saja nak manja-manja dengan kau. Janganlah ambik hati ya? Jom aku belanja kau bola-bola api. Nak?” Pantas senyumannya kembali mekar.

Bola-bola api. Bebola ikan yang berwarna oren. Tunang merangkap cik abang tersayang selalu belikannya bebola untuk memujuk. Sebab itu lah aku gelarkan bebola itu bola-bola api. Asal Lyn marah atau merajuk, bebola itu yang memujuk. Memang rajuknya tidak mampu berpanjangan.

Langkah kami seiringan menuju ke kafeteria.

Hadwan Qayyum. Tag nama di lab coat itu mengganggu tumpuanku. Peristiwa petang tadi menyerbu fikiranku yang sedia kusut.

Kuliah yang bermula jam dua petang membuatkan aku kalut. Mana tidaknya, usai solat Zuhur, aku bercadang untuk baring seketika tapi terlelap sehingga jam 2.10 minit petang. Laju sahaja langkahku tanpa menghiraukan orang sekeliling. Sudahlah petang itu ada trial di moot court lagi.

‘Nur Damia. Relax. Jangan gelabah. Lecturer masuk lambat hari ni.’ Aku cuba menenangkan perasaan sendiri. Buat masa ini, itu yang terbaik.

            “Aduh!” Aku terjerit kecil tatkala bahuku dirempuh seseorang. Dari arah bertentangan. Sama kalut seperti aku lagaknya.

 “Sorry.Sorry.” Hanya itu yang mampu aku ucapkan sambil mengutip segala barang yang berselerakan di atas lantai.

Laju sahaja kau menghayun langkah pergi. Dia pun sama.

Sewaktu masuk ke dewan kuliah, beberapa pasang mata memandangku aneh. Meskipun aku lewat, itu bukan persoalannya kerana lecturer masih belum tiba. Ada sesuatu yang mereka lihat padaku.

Comot lipstick? Tidak sempat langsung untuk aku calitkan tadi.

Bedak tebal? Tidak juga.

Baju terbalik? Aku memeriksa segenap inci pakaianku. Tiada yang pelik.

Sudah itu, apa yang mereka pandangkan? Lyn pantas melambai-lambai ke arahku. Sebaik sahaja aku duduk, teguran Lyn membuatkan aku terkedu.

Diam seribu bahasa.

“Cantik robes nak masuk moot court? Dah tukar dengan doktor mana ni? Tiba-tiba je jadi lab coat.” Aku menepuk dahi. Alamak! Macam mana boleh tertukar?

Aku memeriksa segenap poket lab coat milik lelaki itu. Tiada apa-apa dokumen berkaitan melainkan bungkusan NIPS yang kosong.

Aku mengeluh. Bagaimana nak pulangkan kalau tak kenal?

Malam semakin larut. Mataku masih tidak dapat lelap. Semuanya gara-gara khuatirkan robes kesayanganku itu. Satu-satunya. Hadiah pemberian arwah ibu yang merupakan bekas hakim mahkamah syariah. Aku mampu tersenyum bangga tatkala pakaian itu disarungkan ke tubuh.

Hadwan Qayyum. Nama itu berlegar-legar di fikiranku. Mustahil untuk aku mencarinya dalam puluhan ribu manusia di sini. Argh! Makin difikirkan, makin stress aku dibuatnya. Sudahnya, aku tertidur entah jam berapa malam itu.

“Lain kali jangan lewat. Nanti semua orang kau langgar.” Omel lelaki itu sambil menghulurkan robes yang tertukar semalam.

Khairul Anam. Nama itu yang sering kali melewati bibir setiap lecturer kerana kepetahannya berbicara. Seolah-olah segalanya dibaca.

Hebat. Aku kagum dengannya tapi, sikapnya terkadang membuat aku menyampah.

Aku masih terpinga-pinga.

“Macam mana boleh ada pada kau?” Soalku tanpa sempat mengucapkan terima kasih atas bantuannya.

Seandainya  dia tahu, pakaian itu bagaikan nyawa buatku. Dia diam buat seketika. Masih berkira-kira untuk membuka cerita. Sedetik kemudian, dia melangkah pergi. Aku cuma mampu ternganga.

Bengang.

Dia memang tak ada perasaan. Kalau boleh digambarkan dalam matematik, dia adalah linear graph, barangkali.

Aku tersenyum senang. Hatiku berbunga riang. Siang tadi, aku terima chocolates bar. Kiriman Hadwan, sebagai tanda maafnya kepadaku.

Khairul Anam yang menjadi pak cik posmen.

Nota sisipannya tidak bermadah, sekadar sepatah tulisan berangkai indah menyatakan maaf. Tetapi, jiwaku terasa lapang. Minda yang kusut dengan masalah  seolah dileraikan.

Lab coat miliknya masih dalam simpananku. Aku berura-ura untuk menyerahkannya sendiri.

“Bagi sini lab coat tu. Nanti aku pulangkan pada tuan dia,” Mendatar nada suaranya. Sudahlah bercakap tidak pandang orang. Seolah-olah aku ini tunggul kayu pula tercegat di situ.

“Aku nak bagi sendiri. Kau cakap pada dia, aku jumpa kat kafe pukul 3 petang nanti.” Dia sekadar mengangguk lemah. Pantas tangannya menghantar SMS kepada Hadwan. Sempat juga aku curi-curi tengok.

Minah senget tu nak jumpa kau pukul 3 petang kat kafe

Minah senget? Suka hati dia kutuk aku. Apa dia ingat, dia tu betul sangat?

Kurang asam jawa, asam boi, asam masin punya mamat.” Aku mengomel sendirian sambil mengemas nota-nota yang baru selesai difotostat petang itu.

            Tiba-tiba terdengar suara orang berdehem. Aku tersentak. Telan liur.

“Banyak asam yang awak sebut. Nak beli buat aiskrim ke, Damia?” perli suara itu. Aku buat muka kosong. Segan. Mamat yang kerja di kedai fotostat ini tak pernah pula aku lihat. Mungkin baru.

“Boleh minta pulangkan lab coat saya? Esok saya nak guna. Ada eksperimen,” ujarnya sambil membetulkan kaca mata. Sesekali dia tersenyum manis. Ini Hadwan rupanya. Secara kebetulan pula. Matanya yang kuyu dan pandangannya yang redup membuatkan aku terpesona. Lab coat sudah bertukar tangan.

“Dari mana awak kenal Khai? Maksud saya Khairul Anam.” Kali ini not berwarna merah kuberikan kepadanya. “Baki awak RM 4. Erul maksud awak? Saya pun tak berapa kenal dia, tapi sejak kejadian dia datang bilik ke bilik cari robes yang tertukar dengan lab coat, keadaan kecoh sekejap.” Aku ternganga. Namun cepat-cepat aku hentikan tindakan di luar sedar itu.

“Dia tanya semua orang dalam satu malam?” Pertanyaanku itu sekadar dibalas dengan anggukan Hadwan. Ternyata tanggapanku terhadapnya selama ini khilaf. Terlalu banyak aku berprasangka yang bukan-bukan. Istighfar sejenak.

Tetapi, entah mengapa hati ini sukar untuk menerima hakikat itu. Dalam bayanganku kini, Hadwan hanya mangsa keadaan. Malah, pertemuan singkat itu sememangnya aturan Tuhan. “Saya ada cuba cari awak, dan kebetulan masa tu, dia datang bilik saya. Terus saya serahkan robes itu kepada dia.”

“Tapi, thanks juga sebab dah bagi saya coklat and sorry note tu. Black forest memang saya punya fevret.” Aku tersenyum simpul.

Tindakan Hadwan sebaliknya mengejutkan aku.

“Coklat black forest? Nota? Saya tak faham.” Dia terpinga-pinga. Dahinya berkerut-kerut. Membuatkan aku bertambah hairan. “Bukan awak ke yang bagi saya coklat dan nota tu? Ada lagi saya simpan nota tu.” Aku hulurkan nota bertinta kata maaf itu kepadanya. Ternyata itu bukan tulisannya. Dia mengakui bahawa pertemuan antara mereka cuma sekali.

Maknanya selama ini aku ditipu hidup-hidup oleh dia? Bodohnya. Mengapa dia lakukan semua ini tanpa pengetahuanku? Egonya terlalu tinggi!

Aku dah tahu segala-galanya. Kau reka semua cerita, kan? Kenapa kau buat macam tu?” Aku menghampirinya lewat tengahari itu dengan soalan bertubi-tubi sewaktu dia sedang menikmati makan tengahari. Aku sudah tidak kisah pada mata-mata yang memandang. Dia sudah keterlaluan.

Kafeteria yang kebiasaannya riuh-rendah, tiba-tiba sunyi sepi. Tubir mataku sudah digenangi dengan air mata.

“Ya, aku buat semua tu sebab aku sayangkan kau.” Buat kali yang kedua dia mengulangi kata-katanya. Aku kelu. Mahasisiwi di kafe sudah berteriak tidak tentu arah. Mana tidaknya, hero pujaan mereka jatuh hati pada gadis kampung sepertiku.

“Aku tak ditakdirkan untuk kau. Carilah gadis lain yang boleh buat kau bahagia,” perlahan tuturku antara dengar dan tidak. Langkahku diteruskan seiring dengan keluhan dan air mata.

“Tak. Aku tahu di Luh Mahfuz, telah tercatat nama kau untuk aku. Cincin di jari kau itu membuktikannya.”

Langkahku terhenti. Cincin di jari manisku dipandang sekilas. Patutlah ibu beria-ia mahu aku menyarungkannya sewaktu pulang bercuti semester lalu. Katanya sebagai hadiah. Rupa-rupanya ini cincin tanda. Ya, tanda dia nekad mahu menjadikan aku suri hidupnya.

Andai ini ketentuan-Nya, aku reda. Jika ini jawapan kepada doa-doaku, aku terima. Kiranya ini petunjuk setelah istikharahku, aku rela.

“Adam dan Hawa saling melengkapi. Khai cuma minta kehadiran Dya untuk mengisi kekurangan diri, membuat Khai lebih berani untuk terus berjuang di jalan-Nya.” Tenang suara itu membuatkan aku tersentuh. Ijab dan kabul yang termeterai membuka tirai kehidupan baru. Semoga Allah merahmati. Insya-Allah.

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Tabir? Khai? huhu...bagus cerpen ni..teruskan menulis...saya tak pandai buat cerpen...mintak tunjuk ajar ye
  • 2) awal-awal baca sy kurang faham sikit. tapi nice. mintak tunjuk ajar jugak ye.

  • (Penulis)
    3) thanks.saya pun masih baru.setahun jagung
  • 4) 1. pengalaman sendirikah?
    2. saya pun suka bebola.
    3. tulisan yang kemas dan berhati-hati.
    4. sangat perempuan tulisannya.
    5. emm.. pengalaman sendirikah?

  • (Penulis)
    5) pengalaman sendiri?part awak-awal ada lah sikit.yang last tu,fiksyen dan imaginasi semata..
  • 6) best.
    tapi masa baca prof. akmal tu asyik berhenti lepas prof, dan sambung balik akmal. hihi
    tapi memang best

  • (Penulis)
    7) hatikidal,
    maaf atas typing error tu ya..
    saya akan cuba lebih baik lain kali
    terima kasih
  • 8) terima kasih kembali
    ini kira ok lagi. saya memula masuk sini dulu lagi lah. guna bahasa mesej. semua tak faham. nak kata jawa tak jugak
    kapasitor ni lah yang ajar saya menulis mengeja. hihi

Cerpen-cerpen lain nukilan irislavend

Read all stories by irislavend