Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

atas nama cinta

Cerpen sebelumnya:
Pontianak
Cerpen selanjutnya:
kopi, adele dan bubur ayam mcd..

"Maafkan saya. Tolong lepaskan tangan saya sekarang. Bukan hak awak untuk pegang saya, meskipun berlapik!" tegas nada suaraku setegang perasaanku kini. Hati ini tidak boleh dibuai, dan dimanja, kelak terlebih rindu dan sayang.Susah!

Takut dan gerun bercampur baur. Bimbang andai kenangan dulu kembali menggamit rasa, lantas membuatkan aku terluka lagi. "Ann, kita jadi macam dulu? Lupakan apa yang dah jadi. We start all over again, ok?" lancar sahaja mulutnya melafazkan kata-kata. Semudah itu jua lah hati ini terluka saat dia pinta perpisahan. Lelaki. Aku bukan buat generalization. Tapi,majoritinya begitu. Mulut manis mengalahkan madu.

Aku menggeleng. Tubir mataku sudah digenangi air mata, namun kutabahkan jua hati ini. Tidak mahu sesekali terlihat lemah di hadapannya. Biar dia mengerti bahawa aku ini bukan boneka yang boleh dia permainkan sesuka hati. Yang boleh dibuang saat dia benci, dan dikutip semula tika dia mahu. Tidak! Sejuta kali kau merayu pun, tidak akan aku lupakan luka yang pernah kau tinggalkan di hati ini. Luka yang telah lama sembuh, namun parutnya masih kekal hingga kini.

Saat dia masih merayu-rayu, aku melangkah pergi dengan linangan air mata. Mengapa perlu diungkit kisah lama sedangkan dia sendiri yang pernah membuang aku daripada hidupnya suatu ketika dahulu? Untuk apa aku dirayu ke pangkuannya kembali setelah dia hamburkan segala penyesalan bersamaku dahulu?

"Ann?" teguran Mia mematikan lamunanku. Istighfar sejenak. Untung aku bukan kaki latah sepertinya. Senyumku terukir segaris. Menyembunyikan segala kedukaan yang membebani fikiran buat masa sekarang. Kisah silamku kembali dikenang gara-gara pertemuan dengannya seminggu lalu. Aku mengeluh kecil. Ruangan bilik bercat merah jambu itu kutenung lama.

"Ann, kau kalau ada problems, janganlah segan-segan nak cerita kat aku. Kau ni suka sangat pendam sorang-sorang. Sedih sikit, diary. Problems sikit, diary. Agak-agak dah boleh jadi boyfriend kau kot diary tu," tangannya masih ligat menyelesaikan tutorial math tapi, mulut tetap juga 'pop out' macam bertih jagung. 
'Aku luku jugak kepala dia ni kang. Boleh pulak dia samakan diary tu dengan boyfriend? Tak ngam langsung.'

"Akak, ada mesej!" gema suara Upin dan Ipin dari handphone Mia membuatku tergelak.

Sengaja aku cuba mengajuk. Siapa suruh letak mesej alert cute sangat? Laju tangannya membaling bantal ke arahku. Mentang-mentanglah dia banyak bantal, sampai  penuh katil tu. Siap mintak tumpang katil aku pulak tu!

"Akak, pakwe hantar mesej.." aku cuba mengajuk lagi. Kali ini, bahuku menjadi sasaran.

"Sakit?" Mia buat muka annoying yang tak berapa nak kiut.

"Best. Macam makan solitaire favourite aku! Alang-alang dah tersebut, kau kena belanja lah kan?" Aku memulangkan paku buah keras, sambil tersenyum sumbing. Macam kerang busuk pun ada. Dengan member, tak berkira sangat pun.

"Okay, aku belanja  kau bayar!" balas Mia. Muka tak bereaksi. Sah-sah minah ni tak ada perasaan.

"Mengelat lah tu. Takpe, hari ni aku baik hati sikit. Aku belanja kau aiskrim. Tapi, aiskrim malaysia cukup lah ek? 30 sen, jimat bajet aku.." laungku dari belakang sambil mengejar Mia.

Dia sekadar buat acuh tak acuh. Perangainya memang begitu. Aku pun sudah faham benar. Yang aku tahu, dia ikhlas bersahabat denganku. Cuma, kadangkala nakalnya itu terlebih.

"Ann, lambatnya kau jalan!" Mia mengeluh kecil dengan tawa yang masih bersisa. Aku buat tidak endah. Berjalan seperti itik pulang petang. Sengaja membiarkan Mia menunggu di tepi jalan. Isy, anak dara! Bertenggek tepi jalan?

"Ala, duit aku jugak nak beli aiskrim tu. Kau sampai awal pun kena tunggu jugak kat kedai tu nanti," laungku dari kejauhan.

Hobiku memang begini. Kalau boleh, nak saja aku daki puncak gunung dan menjerit puas-puas. Seronok! Mia tergeleng-geleng. Mana tidaknya, sahabat yang seorang ini dah macam speaker box. Sifat semulajadi, dah tak mampu nak ubah. Paling tidak, senang nak mintak tolong nanti.

"Ann, kau ingat lagi tak mamat poyo yang suka kacau aku dulu?" tiba-tiba Mia membuka cerita.

"Yang mana satu? Aku ni short term memory.."aku tertawa kecil.

"Alaa.. dia atlet, top student, yang orang panggil Ai. Nama dia tak silap Haikal, Haikal Marzuki,"kata-kata Mia membuat tawaku mati tiba-tiba. Namun,gelisah yang terbit di hati tidak sedikitpun aku nampakkan.Bimbang jika Mia terhidu sesuatu.

"Kenapa dengan dia? Aku macam pernah dengar nama tu, tapi ingat-ingat lupa lah muka dia. Orang yang tak hensem ni aku susah sikit nak ingat,"ujarku diselang dengan ketawa yang sengaja dibuat-buat. 

Mia menunjukkan muka tidak puas hati. "Tak hensem kau cakap? Ai tu jejaka idaman Malaya tau. Nasib baik dia junior, kalau tak, memang dah lama aku tangkap cintan dengan dia. Handsome, kaya, bijak, full package lah kata orang."

"Oh, kiranya dia pernah usha kau la ni? Mesti kau pernah text, tak pun missed call dia, kan? Kan?"sengaja aku cuba menduga. Paling tidak, untuk membuat Mia gabra sudah memadai. Yang seronoknya, rancanganku menjadi.Trick aku mengena. Umpanku dimakan ikan. Ya. Ikan bernama Damia Nasuha ni ha.

Tak tentu arah jadinya. Aiskrim di tangan belum sampai separuh, lantas disuakan ke arahku. Tudungnya yang lentok ditiup angin dibetulkan berkali-kali. Aku ketawa kecil namun sedayanya cuba ditahan.

“Erm, benda tu dah lama Ann. Lagipun, itu kes terpencil. Sekejap je dia syok kat aku. Aku pun faham yang dia ramai peminat.” Tidak semena-mena, tanpa dipaksa-paksa, Mia meluahkan segalanya.

“Ha, kan dah pecah tembelang! Tu la, awal-awal tak nak bagitau aku. Bila dah kena pancing macam ni, baru nak bagitau.” Aku pura-pura merajuk. Memuncungkan bibir panjang sedepa. Sekali-sekala mengenakan Mia. Hatinya terlalu tulus dalam bercinta. Senang-senang sahaja dia terima mamat tu couple dengan orang lain. Mia, Mia…

“Aku bukan sengaja. Aku takut kalau aku cerita, kau fikir bukan-bukan nanti. Lagipun, dia kan junior kita.” Mia tunduk. Jelas perasaan bersalah pada riak wajahnya. Mungkin jua ada air mata yang bergenang. Aku tidak pasti. Pantas tanganku mengusap lembut bahunya. Cuba menenangkan.

“Aku sikit pun tak marah kau, Mia. Itu hak kau.” Perlahan-lahan senyuman mula terukir pada wajah manisnya. Aku tersenyum lega.

“Tapi, Ann. Dia ada kat sini sekarang..” belum sempat kata-kata Mia dihabiskan, aku terlebih dahulu memotong. Kaget. Dia ada di sini? Di mana? “Ada.. kat sini..maksud kau?” aku mengangkat sedikit kening, dengan dahi berkerut-kerut aku utarakan persoalan yang kurang cerdik itu.

“Kat sini. Kat kampus kita ni. Tadi, masa keluar dari lecture Madam Ros, dia tegur aku!” Terasa seolah denyut nadiku terhenti di situ jua. Bagaikan darah terhenti daripada mengalir buat seketika.

“Kau kenapa? Tiba-tiba diam. Kau dah jumpa dia?” Aku menggeleng. Cuba kembali ke alam nyata.

Kenapa dia harus ada di sini lagi? Sejauh mungkin aku cuba lari ke bumi kenyalang ini, tapi tetap jua dia ekori. Sungguh, aku tak mengerti! Ah, fikiranku mula kusut! Kepalaku berserabut. Semuanya gara-gara dia. Aku tarik nafas dalam-dalam. Namun, kenangan itu tetap bertandang.

“Ai, saya tahu awak cuma nak kita berkawan. Dan, saya minta maaf sebab saya biarkan hati saya muncul dengan perasaan yang tak sepatutnya terhadap awak. Saya faham. Tapi, awak tak perlu hina saya seolah-olah saya tak ada harga diri. Saya ikhlas berkawan dengan awak. Dan kalau boleh, saya tak nak perasaan saya ni merosakkan persahabatan kita. Sebab tu, saya pendamkan.”

“Pendamkan? Eh, Ann. Awak mimpi? Saya berkawan dengan awak sebab nak rapat dengan Mia. Itu aje. Tak lebih daripada tu. Sampai mati pun, saya tak akan suka ataupun jatuh cinta pada awak lah!” lancar sahaja mulutnya meluahkan kata-kata. Hatiku yang terluka ibarat ditoreh pisau ini dihancur lumatkan tanpa perasaan. Mudahnya Haikal Marzuki mengukur persahabatan. Semudah itu dia buang aku dari hidupnya. Kalau tidak lama dulu, dia antara orang yang paling kerap menghantar SMS, paling rajin bertanya khabar. Berjam-jam di talian pun tidak apa.

“Banyak kredit awak call saya? Tak sayang duit?” soalan yang sering kali aku lontarkan kepadanya tiap kali dia menelefon. Akhirnya, dia cuma tertawa dengan persoalanku itu.

“Tak luak pun kalau setakat nak berbual dengan awak. Apa salahnya berhabis sedikit untuk kawan, kan?” Kata-kata itu yang sering membuat aku tersenyum sendiri.

“Ann!” suara Mia membuat aku terjaga daripada lena. Sudah subuh rupanya. Aku pantas mencapai tuala, berkira-kira untuk bersiap. Usai solat subuh berjemaah di masjid, aku duduk di kaki tangga. Menunggu Mia melipat telekung solat. Ramai yang sudah beredar. Ada suatu suara yang menyapaku tiba-tiba. Aku mendongak. Hampir-hampir ternganga dibuatnya. Istighfar di dalam hati.

“Ann..” suara yang tenang menyebut namaku itu tak akan pernah aku lupakan. Kerana suara itu jualah yang satu ketika dahulu  mengherdikku lantang.

“Nak apa? Cari Mia? Dia kat dalam lagi,” ujarku berbasa-basi. Bayu pagi yang berhembus membuat aku kedinginan. Pantas aku berpeluk tubuh. Dihulurkan baju sejuk miliknya ke arahku. Gilirannya pula yang kesejukan. Aku menggeleng tanda tidak memerlukannya. Kehadiran Mia menyelamatkan aku daripada situasi kekok itu. Sepantas kilat aku capai baju di tangannya, lantas dihulurkan kepada Mia. Wajah itu mengukir senyum.

“Terima kasih, Ai. Tapi, Mia tak sejuk pun.” Dipulangkan kembali kepada Haikal.

“Jom, Mia. Aku dah lapar. Nak balik cepat, nanti dapat breakfast cepat.” Aku sudah memulakan langkah. Dari sisi,aku dengar suaranya berbisik halus. “Jaga makan, nanti gastrik lagi..” Namun, sedikitpun tidak aku hiraukan. Itu bukan masalah dia. Bahkan bukan masalah sesiapa, kalau aku sakit sekalipun. 

“Ann, kenapa kau macam tak selesa dengan Haikal?”  Hampir sahaja aku tersedak gara-gara soalan Mia itu. Cepat-cepat aku menggeleng.

"Mana ada, aku okey. Cuma, awkward sikit sebab dah lama tak jumpa. Aku pun tak rapat sangat dengan dia, kawan biasa.”

Ternyata, Mia tetap tidak berpuas hati dengan penjelasan yang aku berikan. “Kalau cuma kawan, habis tu, ini apa?” Mia menghempaskan diari hijau lumut milikku. Itu diari tahun terakhirku di sekolah dulu! Aku telan liur. Sebak bercampur geram. Di situ, aku coretkan segala-galanya. 

“Mia! Kau geledah barang aku? Kau tak berhak nak ambil tahu tentang aku!” Laju sahaja kakiku melangkah tanpa arah. Aku tahu, Mia mengekori dari belakang. Namun, sedikitpun tidak aku hiraukan. “Maafkan aku, Mia. Aku berbohong pada kau selama ni. Aku bukan kawan yang baik…” luahku sendirian berselang seli dengan tangis dan sendu.

Mia memelukku dari belakang. Aku dengar tangisnya yang cuba disembunyikan. “Maafkan aku, aku pentingkan diri. Aku khianati kau, Ann. Aku biarkan kau korbankan perasaan kau pada dia..”

Aku beralih duduk. Menghadap Mia. “Mia, kau tak salah. Hati aku memang patut dihukum. Orang tak sudi, aku yang hidung tak muncung tapi pipi tersorong-sorong!” Mia tergelak kecil. 

“Awak tak perlukan semua tu untuk dapat tempat di hati saya, Ann. Sebab awak dah pun mengisi carta hati saya sejak sekian lama. Cuma saya yang menafikan hakikat itu dulu. Sekarang saya sedar, hidup tanpa awak ibarat burung tanpa sayap.” Suara yang tiba-tiba menjengah entah dari mana itu membuatkan tawaku mati. Itu semua madah pujangga. Mulut manis, janji seorang lelaki. Kata-kata itu jua yang dicapkannya bertahun-tahun lalu. Hakikatnya, dia tetap Haikal Marzuki yang sama. Hatiku menidakkan segalanya. 

“Haikal. Saya tak layak. Saya bukan bidadari yang awak impikan selama ini. Saya juga tak punyai senyuman yang awak perlukan untuk mengganggu lena awak setiap malam. Itu yang awak cakap dulu, kan?” sengaja aku mengungkit kisah lalu. Mia sudah berundur. Namun, sempat aku pegang tangannya erat. Tidak mengizinkan dia berlalu dari situ. Ini masalah dia jua. Aku yang sepatutnya menjadi pemerhati. Haikal masih juga mendiamkan diri. Aku berkira-kira untuk melangkah pergi pada saat dia memanggil namaku. 

“Nurul Anneesa!” Langkahku terhenti. Sekian lama namaku tidak meniti di bibirnya.

“Maaf kalau selama bertahun-tahun ini, hati awak terkesan dengan kata-kata saya dulu. Dulu, saya keliru kerana kita berbeza usia. Saya bimbang dengan cakap-cakap orang kelak. Tapi, hari ini saya sedar, sayang saya pada awak melebihi segalanya. Biarlah dunia tahu. Saya tak akan peduli. Sebab saya yakin Allah ciptakan awak untuk saya. Sama seperti Dia ciptakan Hawa untuk Adam.”

Air mataku menitis laju. Aku menangis semahu-mahunya. Aku peluk Mia erat-erat.

“Mia..aku sayang dia..” perlahan kata itu kuucapkan pada Mia. Haikal tersenyum manis. Bersyukur. Hasrat hatinya termakbul atas nama cinta yang dititipkan Ilahi buat hamba-Nya.

 

Cerpen sebelumnya:
Pontianak
Cerpen selanjutnya:
kopi, adele dan bubur ayam mcd..

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
Penilai

Info penulis

irislavenda

 pertama kali bersua..
irislavend | Jadikan irislavend rakan anda | Hantar Mesej kepada irislavend

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya irislavend
mentari sebalik gerimis | 2524 bacaan
telahan jiwa | 2387 bacaan
tabir rindu | 2583 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

0 Komen dalam karya atas nama cinta
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik