Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kalau Boleh Aku Puaskan Hati Sendiri

 

Telefon Hairi berbunyi. Hairi buka mata dan meraba-raba telefon bimbit yang diletakkan atas meja sebelah katilnya. Oh, ia bukan satu panggilan. Hairi lupa yang dia kunci jam pukul 7 pagi semalam.

Lambat-lambat Hairi matikan alarmnya. Dia pandang ke arah katil teman sebilik. Kosong. Tidak berkemas. Bilik air pula tertutup rapat dan lampu di dalamnya menyala. Hairi tahu teman sebiliknya mungkin masih lagi mandi. Atau basuh baju.

Hairi lentokkan kepala kembali di atas bantal sambil tangannya masih memegang telefon bimbit. Dia kunci jam untuk berbunyi lagi 10 minit. Hairi sudah biasa dengan teman sebiliknya yang memang ambil masa yang panjang untuk bersiap ke kerja.

Tepat 7.10 pagi, alarm Hairi berbunyi semula. Hairi buka mata dan meraba-raba telefon bimbit yang diletakkan atas meja sebelah katilnya. Tak ada. Oh, silap. Hairi lupa yang dia letakkan telefon di sebelah bantalnya saja. Dia matikan alarm. Teman sebiliknya sedang menggosok baju kemeja dan seluar slack. Hairi capai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi.

Sebelum sempat berbuat apa-apa, Hairi hampir tergelincir ketika melangkah masuk ke dalam bilik air. Hairi syak kerana dia mamai. Rupa-rupanya lantai di bilik air penuh dengan air sabun. Hairi geleng kepala. Teman sebiliknya lupa untuk menjirus lantai kembali selepas cuci baju tadi.

Hairi tutup pintu bilik air dan menjirus lantai sebelum mandi. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, Hairi keluar dari bilik air hanya bertuala. Hairi lihat teman sebilik sedang bersiap di hadapan cermin. Meletakkan gel rambut sebelum menyikatnya, memakai minyak wangi dan sebagainya.

Hairi tak ambil pusing. Hairi sarung baju kemeja yang tidak bergosok dan seluar jeans. Perlahan-lahan hujung kemeja Hairi masukkan dalam seluar untuk tampak lebih kemas. Untuk persiapan sempurna, Hairi hanya perlu sikat rambut.

Tapi teman sebiliknya masih menggunakan cermin. Jadi, Hairi duduk dulu atas lantai bilik sambil scroll timeline Twitter. Banyak yang sudah keluar ke kerja. Ada yang masih tersangkut dalam trafik jam.

Hairi kerling pada jam di dinding. 7.30 pagi. Hairi masih punya lagi setengah jam untuk selamatkan diri daripada dimaki majikan.

Tepat 7.40 pagi, teman sebilik sudah siap dan bergegas keluar dari bilik. Selalunya, dia akan terus pergi ke pejabat sebab dia dah siap awal.

Hairi bangun dari lantai dan sikat rambut depan cermin. Seminit kemudian, rambut Hairi dah tersisir rapi. Hairi keluar dari bilik dan duduk di atas motor pula. Hairi tunggu teman serumah untuk ke pejabat sekali.

Hairi semak jam di telefon bimbitnya. 7.45 pagi. Hati Hairi berdebar. Sempatkah 10 minit untuk rempuh jalan raya yang sibuk untuk sampai ke pejabat? Hairi mengalah. Hairi pujuk hati. Mungkin sempat, sayang.

Tepat 7.50 pagi, teman serumah Hairi keluar dari rumah dan bertenggek atas motor Hairi. Dengan laju, Hairi bawa motosikal tetapi masih dibawa dengan cermat. Dia masih sayang nyawanya. Dan nyawa teman serumahnya.

Alhamdulillah, Hairi dan teman serumah berjaya sampai di pejabat tepat jam 9 pagi. Hairi bukan saja baru selamatkan dirinya, tapi juga teman serumahnya daripada dimarahi majikan.

Hairi pandang mejanya. Kosong. Tak ada kerja. Kerja semua dah habis Hairi buat. Hairi tak suka melengahkan kerja sampai teman-teman sekerjanya asyik lihat Hairi tidur atau layan Facebook di mejanya. Majikan Hairi pula tak berhenti bagi Hairi kerja. Dan Hairi tak pernah berhenti buat kerja.

Hairi hidupkan komputer dan layan Facebook. Banyak betul teman-teman Facebooknya yang mengadu fasal masalah sendiri. Hairi hanya baca. Jika Hairi suka, dia tekan butang 'Like'. Jika tak, Hairi terus scroll ke bawah. Dan begitulah Hairi menghabiskan masa di pejabat jika semua kerjanya sudah siap.

Tepat pukul 5 petang, Hairi diberi kerja yang perlu dihantar segera. Segera dalam erti kata lain, hari ini. Jadi, Hairi tekun menaip di komputer kerja yang baru diberi oleh majikan. Teman serumah Hairi sudah siap untuk pulang. Oleh sebab Hairi kelihatan masih sibuk, teman serumah Hairi bercadang untuk pulang ke rumah dengan teman sebilik Hairi saja.

Telefon Hairi berbunyi. Hairi buka mata dan meraba-raba telefon bimbit yang diletakkan atas meja sebelah katilnya. Oh, ia bukan satu panggilan. Hairi lupa yang dia kunci jam pukul 7 pagi semalam.

Lambat-lambat Hairi matikan alarm. Dia pandang ke arah katil teman sebilik. Kosong. Tidak berkemas. Bilik air pula tertutup rapat dan lampu di dalamnya menyala. Hairi tahu teman sebiliknya mungkin masih lagi mandi. Atau basuh baju.

Hairi lentokkan kepala kembali di atas bantal sambil tangannya masih memegang telefon bimbit. Dia kunci jam untuk berbunyi lagi 10 minit. Hairi sudah biasa dengan teman sebiliknya yang memang ambil masa yang panjang untuk bersiap ke kerja.

Tepat 7.10 pagi, telefon Hairi berbunyi semula. Hairi buka mata dan meraba-raba telefon bimbitnya yang diletakkan atas meja sebelah katilnya. Tak ada. Oh, silap. Hairi lupa yang dia letakkan telefon di sebelah bantalnya saja. Dia matikan alarm. Teman sebiliknya sedang menggosok baju kemeja dan seluar slack. Hairi capai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. 

Sebelum sempat berbuat apa-apa, Hairi hampir tergelincir ketika melangkah masuk ke dalam bilik air. Hairi syak kerana dia mamai. Rupa-rupanya lantai di bilik air penuh dengan air sabun. Hairi geleng kepala. Teman sebiliknya 'lupa' lagi untuk menjirus lantai kembali selepas cuci baju tadi.

Hairi tutup pintu bilik air dan menjirus lantai sebelum mandi. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, Hairi keluar dari bilik air hanya bertuala. Hairi lihat teman sebilik sedang bersiap di hadapan cermin - meletakkan gel rambut sebelum menyikatnya, memakai minyak wangi dan sebagainya.

Hairi tak ambil pusing. Hairi sarung baju kemeja yang tidak bergosok dan seluar jeans. Perlahan-lahan hujung kemeja Hairi masukkan dalam seluar untuk tampak lebih kemas. Untuk persiapan sempurna, Hairi hanya perlu sikat rambut.

Tapi teman sebiliknya masih menggunakan cermin. Jadi, Hairi duduk dulu atas lantai bilik sambil scroll timeline Twitter. Banyak yang sudah keluar ke kerja. Ada yang masih tersangkut dalam trafik jam.

Hairi kerling pada jam di dinding. 7.30 pagi. Hairi masih punya lagi setengah jam untuk selamatkan diri daripada dimaki majikan kerana lewat ke pejabat.

Tepat 7.40 pagi, teman sebilik sudah siap dan bergegas keluar dari bilik. Selalunya, dia akan terus pergi ke pejabat sebab dia dah siap awal.

Hairi bangun dari lantai dan sikat rambut depan cermin. Seminit kemudian, rambut Hairi dah tersisir rapi. Hairi keluar dari bilik dan duduk di atas motor pula. Hairi tunggu teman serumah untuk ke pejabat sekali.

Hairi semak jam di telefon bimbitnya. 7.45 pagi. Hati Hairi berdebar. Sempatkah 10 minit untuk rempuh jalan raya yang sibuk untuk sampai ke pejabat? Hairi mengalah. Hairi pujuk hati. Mungkin sempat, sayang.

Tepat 7.50 pagi, teman serumah Hairi keluar dari rumah dan bertenggek atas motor Hairi. Dengan laju, Hairi bawa motosikal tetapi masih dibawa dengan cermat. Dia masih sayang nyawanya. Dan nyawa teman serumahnya.

Alhamdulillah, Hairi dan teman serumah berjaya sampai di pejabat tepat jam 8 pagi. Hairi bukan saja baru selamatkan dirinya, tapi juga teman serumahnya daripada dimarahi majikan.

Hairi pandang mejanya. Kosong. Tak ada kerja. Kerja semua dah habis Hairi buat. Hairi tak suka melengahkan kerja sampai teman-teman sekerjanya asyik lihat Hairi tidur atau layan Facebook di mejanya. Majikan Hairi pula tak berhenti bagi Hairi kerja. Dan Hairi tak pernah berhenti buat kerja.

Hairi hidupkan komputer dan layan Facebook. Banyak betul teman-teman Facebooknya yang mengadu fasal masalah sendiri. Hairi hanya baca. Jika Hairi suka, dia tekan butang 'Like'. Jika tak, Hairi terus scroll ke bawah. Dan begitulah Hairi menghabiskan masa di pejabat jika semua kerjanya sudah siap.

Tepat pukul 5 petang, Hairi diberi kerja yang perlu dihantar segera. Segera dalam erti kata lain, hari ini walaupun waktu kerja sudah tamat. Jadi, Hairi tekun menaip di komputer kerja yang baru diberi oleh majikan. Teman serumah Hairi sudah siap untuk pulang. Oleh sebab Hairi kelihatan masih sibuk, teman serumah Hairi bercadang untuk pulang ke rumah dengan teman sebilik Hairi saja. Hairi hanya mengangguk sebelum kembali fokus pada kerjanya semula.

Setibanya Hairi di rumah, teman sebilik Hairi belikan Hairi nasi Arab. Hairi rasa tak sedap hati sebab seperti selalu, teman sebilik akan minta Hairi untuk bayar nasi yang telah dibeli walaupun Hairi tak minta untuk dibelikan. Dia sedar yang dia tak mampu nak makan makanan mahal hari-hari. Semalam pun teman sebilik beli nasi Arab. Tapi nak buat macam mana. Orang dah belikan, Hairi terpaksa bayar dan makan nasi Arab tu.

Malam tu, Hairi rasa sejuk semacam. Selalunya, kipas siling di bilik tak mengeluarkan angin selaju ni. Oh, ada kipas baru rupanya dalam bilik Hairi. Teman sebilik belikan sebab katanya, cuaca sekarang ni panas. Hairi tak gaduh. Memang betul pun katanya. Sebelum sempat Hairi lelapkan mata atas katil, teman sebilik minta Hairi duit untuk bayar separuh daripada harga kipas baru yang dia beli. Nak tak nak, terpaksa juga Hairi bayar walaupun bagi Hairi, kipas siling tu sudah cukup untuk buat Hairi tidur lena.

Hairi tak boleh pejam mata. Dia tahu, kalau dia bangun untuk hari esok, perkara yang sama akan berulang kembali. Entah sampai bila. Entah bila akan berakhir.

Hairi pantas bangun. Dia renung mata teman sebiliknya yang terkejut dengan tindakan Hairi yang tiba-tiba. Nekad, Hairi capai penggosok dan menghentaknya tepat pada kepala teman sebiliknya. Teman sebilik terbaring kaku atas katil tanpa sempat menjerit meminta tolong.

Tidak cukup dengan itu, Hairi kemudiannya melangkah keluar dari bilik dan membuka pintu bilik teman serumahnya. Teman serumah yang sedang bermain game di komputer peribadinya menoleh serta merta apabila tersedar pintu biliknya dibuka dengan tiba-tiba tanpa diketuk.

Belum sempat teman serumahnya bertanya mengenai darah yang mengalir dari penggosok yang digenggam Hairi, Hairi menghentak pula penggosok itu pada kepala teman serumah. Teman serumahnya tercampak dan melekat di skrin komputer. Darah mula membasahi seluruh skrin yang masih menyala itu.

Hairi rasa puas. Dia ketawa begitu kuat tanpa menghiraukan jiran yang mungkin terganggu. Dia sedar tak ada apa yang lebih baik selain daripada perasaan yang dialaminya sekarang. Hidup Hairi kini bebas. Hairi akan menjalani kehidupannya seperti orang normal. Tak perlu menanggung rasa sakit hati. Segala-galanya telah berubah.

Telefon Hairi berbunyi. Hairi buka mata dan meraba-raba telefon bimbit yang diletakkan atas meja sebelah katilnya. Oh, ia bukan satu panggilan. Jam yang dikunci dah bunyi. Hairi pandang ke arah katil teman sebilik. Kosong. Hairi senyum. Memang itu yang Hairi jangka.

Hairi capai tuala untuk mandi. Tapi bilik air berkunci. Lampu di dalam menyala. Oh, tidak! Aku benci mimpi yang seakan-akan benar. Lalu Hairi baring semula atas katil, dan kunci jam loceng pada telefon bimbitnya pukul 7.10 pagi - seperti biasa.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) jangan main2 tau dengan i punya feeling...he he. eh eh...gnileef aynup i nagned uat 2niam nagnaj

Cerpen-cerpen lain nukilan HairiBNS

Read all stories by HairiBNS
No stories.