Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

telahan jiwa

Cerpen sebelumnya:
Kalau Boleh Aku Puaskan Hati Sendiri
Cerpen selanjutnya:
mentari sebalik gerimis

“Ujian itu diberi Allah untuk menguji sejauh mana sabar kita…” masih terngiang-ngiang lagi di telingaku kata-kata hikmat itu. Cukup untuk membuatkan aku terus berjuang di jalan-Nya. Insya-Allah.

Benih cili yang baru kusemai beberapa hari lalu akhirnya bertunas. Terima kasih kepada Afa. Dia yang ajar aku menanam segala. Sebelum ini, hanya memerhati dia buat semua ini. Sekarang, aku mampu tersenyum puas apabila kebun miniku sudah dipenuhi dengan bermacam-macam pohon kecil. Tembikai yang menjalar di tanah terletak indah. Tidak sabar untuk menikmati isinya.

“Afa, menjadi lah petua yang Afa ajar pada Dya minggu lepas. Tengok ni, pokok cili Dya dah ada tunas.” Ujarku girang. Senyumku melebar. Jari telunjukku mengarah tepat ke arah batas pokok cili.

“Sama-sama. Mana tidaknya, hari-hari Dya jaga dengan penuh kasih sayang. Memang cepatlah pokok tu bertunas. Apa-apa pun, segala pujian itu dikembalikan kepada Allah jua.” Afa tersenyum manis. 

Lesung pipit di pipinya jelas kelihatan. Seringkali juga aku suakan perasaan cemburuku kepadanya kerana memiliki lesung pipit yang mengindahkan senyumannya. Namun, cepat-cepat Afa membalas. Katanya, setiap ciptaan Allah itu istimewa.

“Dya, lesung pipit ini anugerah Allah untuk Afa. Dya, Allah bagi kelebihan kat lain. Mungkin pada manisnya tahi lalat di bawah bibir tu.” Aku tergelak kecil. Afa memang tahu memujuk dan menceriakan hariku.

“Kalau Allah buat kita semua sama, bosanlah nanti. Kalau kita berbeza macam ni kan, seronok. Allah kan ada berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud ‘Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Panjang lebar Afa mentafsirkan makna ayat itu. Aku mengangguk-anguk tanda bersetuju.  Mungkin aku bukanlah si alim ulama’ yang mampu meneliti segenap ayat al-Quran dengan terperinci beserta maknanya sekali. Tetapi, sekurang-kurangnya aku bersahabat dengan seorang muslimah yang jernih hatinya. Hidupnya penuh tawaduk dan sentiasa tenang. Yang akan sentiasa memperingatkan aku tika aku lupa akan kewajipan kepada-Nya mendahului yang lain. 

Pernah suatu ketika, solat Asarku hampir sahaja terlepas gara-gara terlalu sibuk dengan assignment yang tidak putus-putus hari itu. Tambah pula, dateline adalah hari esok.

“Dya, belajar ini fardhu ain, kan?” Perlahan bahuku disentuhnya. Aku tersentak. Beristighfar sejenak. Pantas aku mengangguk. 

“Tapi, nak berjaya kena dapatkan redha Allah dulu, betul tak?” perlahan dalam senyuman dia menegur.  Allah! Aku menepuk dahi. Baru teringat Asarku masih belum tertunai. Leka. Aku tertunduk. Malu pada diri sendiri. Malu pada Afa. Dan yang paling utama, malu pada Allah. Laju langkah kakiku dihayun ke arah bilik air. Jarum jam sudah menunjukkan jam 6.45 petang. Istighfarku tiada henti.

Dalam kegelapan, ada sinar. Dalam kelam malam, ada rembulan. Dalam bahang siang, ada cahaya menumpang. Dalam hati saya, cuma ada awak seorang. Uhibbuki fillah.

Nota merah jambu  yang bertinta pena berdakwat biru itu aku temukan di dalam buku rujukan yang aku pinjam dari sahabat tersayang, Afa. Fikiranku tiba-tiba diserbu beribu persoalan. Yang pasti, ini bukan tulisannya. Ingin ditanya terus, aku bimbang dia salah sangka. Menyangka bahawa aku cemburukannya. Hendak dipendam, ada rasa tidak enak yang bermain di jiwa. Akhirnya, aku kelukan bicara. Sudahnya, aku lebih banyak berdiam diri tika bertemu dengannya.

“Dya, kenapa Afa tengok sejak kebelakangan ni Dya macam senyap. Dya ada masalah? Ataupun Afa ada kecilkan hati Dya?” lembut suara itu mengutarakan pertanyaan. Aku jadi serba salah. Cepat-cepat aku menggeleng. Tidak mahu Afa mengesyaki sesuatu yang aku sembunyikan.

“Betul?” Afa menyoal lagi. Menginginkan sebuah kepastian. Aku jadi keliru. Adakah ini masa yang sesuai untuk bertanya soal itu?

“Afa..” tuturku perlahan. Aku tunduk. Takut untuk memandang ke dalam anak mata coklat hazel miliknya yang bundar itu. Berkali-kali aku menarik nafas. Melepaskan keluhan, cuba untuk mencari kekuatan untuk bemula.

“Ya, Dya nak cerita sesuatu?” Senyumnya segaris. Sekejap-sekejap, air Nescafe dihadapannya dihirup perlahan.  Dalam keadaan gelisah, aku suakan jua ke arahnya. Nota itu. Nota merah jambu. Afa memandangnya dengan perasaan tenang. Tiada langsung riak takut jauh sekali perasaan bersalah. Bahkan, aku pula yang jadi hairan.

“Nota ni Afa punya kan?”soalku takut-takut. Afa sekadar mengangguk ringkas. Lama dia diam, akhirnya bersuara.

“Kalau disebabkan nota ni, Dya salah faham pada Afa, Afa faham. Dan Afa mintak maaf. Afa tak ada niat pun untuk sembunyikan perkara ni daripada Dya.” Aku makin pelik dengan bicara Afa.

“Amirah Nur Syifa, sampai hati. Kalau ya pun, ada secret admirer, ceritalah kat Dya. Kecik hati ni,”balasku pura-pura merajuk. Sangkaku,dia punya teman lelaki.

“Dya, nota ni dah lama. Setahun lepas.” Ringkas jawapannya. Matanya tidak lepas memandang ke arah matahari terbenam yang jelas kelihatan di kawasan berdekatan kafeteria itu.

“Oh, kiranya dah lama la Afa ada teman istimewa ni? Mak Afa tahu? Bila Dya dapat makan nasi minyak Afa ni?”ujarku teruja.  Nota merah jambu itu kutatap kembali. Saat itu baru akan perasan akan catatan di belakang nota itu. Nyata ada sesuatu yang membuatkan hatiku seolah mahu berkecai. Bagai direntap tiba-tiba.

(2:216) Tabahlah hati. Dia milik Ilahi.

Bersahaja catitan itu. Kecil, muat-muat di sudut bawah nota. Kini, baru dia mengerti. Memori yang selama ini tersimpan erat sedikit demi sedikit dia rungkaikan.

“Afa selalu baca ayat 216 dalam surah al-Baqarah ni bila hati Afa sesalkan sesuatu. Ayat ni istimewa.” Ya! Sekarang aku ingat. Inilah ayat yang Afa selalu baca. Ayat inilah yang dia kongsikan kepadaku apabila aku bersedih hati tika kucing kesayanganku mati.

“Afa? Kalau Dya tanya sesuatu boleh?” Afa mengangguk pantas. Aku menghela nafas kelegaan.

“Kenapa ada catitan ni? Apa maksud Afa dia milik Ilahi? Siapa yang dah pergi?” soalku bertalu-talu sambil menunujukkan catitan itu kepadanya.  Serta merta air matanya gugur. Titik-titik jernih yang mengalir mula membasahi pipinya yang mulus itu.  Sendunya perlahan namun aku dapat rasakan ada kesedihan dan keperitan yang sekian lama dipendamkan di situ. Moga Allah memberikannya kekuatan.Tabahlah duhai hati.

“Dia… rijal yang pernah menjadi teman sehidup dan semati Afa…” Aku tercengang. Bingung dengan kata-kata Afa. Teman sehidup dan semati itu punyai banyak makna untuk ditafsir. Aku bimbang andainya tersalah tafsir. Bertafakur sejenak.

“Suami?” aku cuba meneka. Setahun lalu aku pernah melihat inai merah di jarinya. Namun, aku buat tidak tahu kerana sangkaku dia sekadar mahu menghiasi kukunya. Inai mampu menyihatkan kuku. Itu yang aku tahu.

Afa mula membuka cerita. Cerita perkenalan antara dia dan arwah suaminya. Perkahwinan mereka pada usia muda. Afa punyai suami pada usia dua puluh dua tahun? Aku hampir-hampir tidak percaya.

“Semuanya dalam sekelip mata. Afa minta maaf kalau Afa rahsiakan hal ni daripada Dya. Family Afa yang nak perkara ni dirahsiakan. Mereka tak nak Afa terganggu dengan cakap-cakap orang nanti.” Afa meluahkan segala yang terbuku di hati. Aku mengangguk tanda faham. Itu permintaan ibu bapa dan suaminya juga.

“Habis tu, Afa memang tak pernah kenal dengan arwah suami Afa sebelum kahwin? Macam mana boleh kahwin kalau tak kenal?”  Ah, mulutku memang tidak mampu ditapis. Mengungkit kisah peribadi orang pula. Sesal tiba-tiba berkunjung, ingin ditarik semula kata-kata itu, namun Afa terlebih dahulu memintas. Pasti dia dapat mengesan sesalanku. Dia tergelak kecil.

“Dya…Dya. Islam ni indah. Tak perlu nak bercinta dulu baru boleh kahwin. Ada ta’aruf, dari situ Afa kenal Haikal. Tapi, keluarga ada sekali. Bukan berdua. Selebihnya, Afa cuma belajar kenal Haikal selepas kahwin.” Aku sekadar mendengar. Memang itu sifatku. Lebih selesa menjadi pendengar setia.

Perjalanan kami petang itu melewati padang bola. Mentari sudah hampir terbenam. Jam 6.30 petang. Aku mengambil tempat di bangku berdekatan.

“Haikal, suami Afa meninggal sakit apa ya? Kalau Afa sudi, kongsilah dengan Dya. Tapi, kalau Afa tak sedia, tak mengapa.”

Dia menggeleng. “Tak ada apa yang nak disembunyikan lagi, Dya. Haikal kemalangan. Kereta dia kena langgar dengan orang mabuk. Masa tu, dia dalam perjalanan nak ke masjid.”

“Orang Cina mabuk?” soalku inginkan kepastian.

“Afa ingatkan macam tu jugak pada mulanya, tapi bila soal siasat selesai, semua orang terkejut. Pemandu yang langgar Haikal tu Melayu. Muslim. Dan memang dia consume arak,” ujar Afa.

Sebak. Aku beristighfar sejenak. Memandangkan hari semakin gelap, cerita Afa terhenti di situ. Aku cuma mampu meminta maaf berkali-kali kepadanya kerana berburuk sangka.

Pandanganku tertumpu ke arah kipas siling yang ligat berputar. Malam itu, lenaku terganggu. Kisah hidup Afa sebenarnya terlalu perit untuk dihadapi. Namun, tidak pernah sekali pun aku melihat dia kesalkan apa yang terjadi. Segala-galanya diterima dengan reda. 

Matahari yang baru mula menampakkan cahaya, sempat aku lakarkan di atas kanvas lukisan. Krayon. Campuran tona dan warna. Usai siap, aku coretkan perjalanan ringkas kisah hidup Afa dan Haikal. Kata Afa, dia suka melihat mentari terbit. Banyak pengajaran daripada ciptaan Ilahi yang satu itu. Setiap pagi, dia melihat matahari yang terbit dengan ungkapan Alhamdulillah, kerana masih diberi peluang untuk terus menjadi khalifah di muka bumi-Nya. Dan dengan ciptaan Allah itu jualah dia mengutip sisa dan baki semangat yang masih tinggal untuk dia teruskan hidup tanpa arwah suami. Nampak mudah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Namun, cuma Afa yang mengerti betapa peritnya kehilangan orang yang tersayang.

Pada saat dia tidak keruan, tiba-tiba dia bagaikan tersedar dari lena yang panjang. Istighfarnya tiada henti. ‘Nyawa hanya pinjaman, bukan hak kita. Milik Allah semuanya. Itu hakikat yang harus kita terima. Suatu hari nanti, mentari yang terbit dari timur ini akan bertukar posisi dan akan musnah jua kelak.’ Bicara ustazah waktu sekolah rendah dahulu masih kuingat. Terpahat kukuh.

“Untuk Afa.” Aku serahkan lukisan itu sewaktu terserempak dengan Afa lewat sore tadi. Dia menangis kegembiraan. Terharu barangkali. Aku mungkin tidak pernah melihat Haikal, tetapi cukuplah aku tahu bahawa dia pernah menghiasi hati sahabatku ini. Sekurang-kurangnya, aku mengerti bahawa dia bangun daripada episod kelam hidupnya demi mencari redha Ilahi.

Pusara Haikal diziarahi buat pertama kali bersama Afa dan keluarganya. Alunan Yaasin dan doa kutitipkan. Moga rohnya tenang di barzakh.

“Sepupu Dya?” terpacul soalan itu dari mulut Afa pada saat dia tunjukkan foto perkahwinan mereka kepadaku. Haikal, sepupuku yang kian lama terpisah. Dan, Allah temukan kami melalui Afa.  Allahu Akbar. Sebagaimana Allah aturkan siang berganti malam, mentari dan bulan dalam aturan yang indah, seperti itu jualah DIA aturkan kehidupan ini. Adakalanya teruji dengan kegembiraan dan tidak kurang jua yang terduga dek kesusahan. Moga-moga Allah teguhkan iman dalam diri dan tabahkan hati ini menempuhi ranjau dan duri. Insya- Allah.

Usai Subuh pagi itu, aku temukan dalam tafsir al-Quran, sepotong ayat yang indah maknanya. Ayat 286 surah al-Baqarah. Antara maksudnya, Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Subhanallah. Maha Suci Allah.

 

Cerpen sebelumnya:
Kalau Boleh Aku Puaskan Hati Sendiri
Cerpen selanjutnya:
mentari sebalik gerimis

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
Penilai

Info penulis

irislavenda

 pertama kali bersua..
irislavend | Jadikan irislavend rakan anda | Hantar Mesej kepada irislavend

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya irislavend
mentari sebalik gerimis | 2525 bacaan
atas nama cinta | 3773 bacaan
tabir rindu | 2583 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

0 Komen dalam karya telahan jiwa
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik