Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Kenapa Laila yang Kau Pilih?

Cerpen sebelumnya:
mentari sebalik gerimis
Cerpen selanjutnya:
Hatinya Terluka

Hari tu, Fairuz termenung lagi. Tak, Fairuz tak sakit. Fairuz tak juga lapar. Dan Fairuz tak pula mengantuk. Tapi entah kenapa, Fairuz hanya duduk di tebing sungai sebelah rumahnya dan memandang tepat ke arah air sungai yang mengalir deras itu.

 

Masuk hari ni, dah tiga hari Fairuz tak jumpa siapa-siapa. Mungkin dia masih tak boleh terima kenyataan yang Laila dipilih.

 

"Kenapa kau pilih Laila?" Fairuz asyik menuturkan ayat itu.

 

"Kenapa kau pilih Laila?"

 

Nasib Fairuz mungkin sedikit baik kerana rumahnya agak jauh daripada tempat tumpuan penduduk kampung itu. Fairuz juga tinggal seorang diri di rumahnya. Jadi, tidak ada seorang pun yang sedar dengan kelakuan Fairuz sejak tiga hari lepas. Kalau tak, tentu saja Fairuz dengan mudah akan dicop gila atau sewel - perkataan lazim yang keluar daripada mulut penduduk kampungnya jika dilihat sesuatu yang tak kena dengan salah seorang penduduk di situ.

 

Semuanya bermula lebih kurang seminggu yang lalu. Ketika itu, Laila masih tinggal dengan Fairuz. Mereka hidup bahagia walaupun dalam serba kekurangan. Namun, Laila tidak pernah kisah fasal kemiskinan yang mereka tanggung. Tetapi tidak bagi Fairuz.

 

Fairuz selalu saja mencari jalan supaya hidup mereka keluar dari kepompong kemiskinan. Itu apa yang diucapkan pada Laila. Hakikatnya, Fairuz sebenarnya yang mahu jadi kaya. Jika dia dan Laila menjadi kaya, itu tidak apa bagi Fairuz. Tetapi jika Fairuz saja yang kaya manakala Laila masih hidup dalam kemiskinan, itu pun tak apa bagi Fairuz.

 

Satu petang yang tak ada angin, Fairuz membelek surat khabar di Warung Judi. Warung itu bukanlah sebuah tempat perjudian. Cuma tauke kedainya, Encik Selamat telah selamat berkahwin dengan seorang perempuan mat saleh yang bernama Judy. Walaupun nama Islam bininya sekarang adalah Salamah, Encik Selamat berpendapat nama lama bininya nampak sedikit kelas untuk dijadikan nama warung. Jadi, dia menempah papan tanda untuk warungnya di kedai papan tanda milik Yusuf.

 

"Aku nak buat satu papan tanda. Kau letak situ nama Warung Judi. Biar orang buka mata sikit," terang Encik Selamat pada Yusuf.

 

Ya, memang nama tu telah berjaya membuka mata Yusuf menjadikannya lebih besar. Dia agak terkejut apabila mendengar permintaan Encik Selamat itu, tapi Yusuf amat menghormati pelanggannya. Lalu terciptalah papan tanda Warung Judi.

 

Pada mulanya, Encik Selamat tidak marah fasal papan tanda itu kerana dia pun menyangka ejaan nama lama bininya adalah Judi. Setelah Salamah memberitahu hal yang sebenar, Encik Selamat agak terkilan kerana papan tanda itu telah pun siap. Wang juga sudah lebur. Tapi, sekejap saja kekecewaan Encik Selamat tu datang. Sejak adanya papan tanda tu, ramai yang berkunjung. Memang betul-betul 'membuka mata' penduduk kampungnya. Fasal aktiviti berjudi yang mereka buat di warungnya, Encik Selamat hanya tutup sebelah mata. Dia malas mahu masuk campur. Asalkan kedainya maju.

 

"Aku nak cakap serba salah," Encik Selamat bersuara lalu duduk di kerusi semeja dengan Fairuz.

 

Namun, Fairuz tidak mengendahkan tauke kedai yang datang menyapa itu. Dia masih lagi sibuk membelek surat khabar.

 

"Kalau aku tak cakap, sakit pula hati aku ni," sambung Encik Selamat dengan nada suara yang lebih kuat.

 

"Apa dia, Pak Mat? Saya tengah sibuk ni."

 

Encik Selamat angguk beberapa kali. "Aku tahu kau sibuk. Aku boleh nampak. Tapi kau tengah sibuk kat warung aku. Jadi, aku kenalah tumpang menyibuk."

 

"Pak Mat nak apa ni?" Fairuz separa tengking dah cukup berjaya buat beberapa pasang mata menjadi saksi.

 

"Aku nak surat khabar tu balik. Bak sini!" Encik Selamat menghulurkan tangan sambil menggerakkan jari-jarinya.

 

"Rileklah, Pak Mat. Orang tak habis baca lagi. Tak hormat langsunglah."

 

Kali ni, Encik Selamat dah hilang sabar. Dia ambil nafas dalam-dalam hingga ke paru-paru. "Kau kalau duduk sini dan pesan makanan, aku tak kisah kau nak baca surat khabar ni. Tapi kalau kau duduk sini dari pagi sampai ke tengah hari, tak makan, tak minum, lepas tu kerja kau bukan takat baca surat khabar, sesuka hati kau conteng merata tempat, kau bulatkan iklan-iklan tu ikut dan saja, aku sebagai tauke Warung Judi dengan segala tak hormatnya boleh halau kau bila-bila masa saja!"

 

Encik Selamat sudahi ayatnya dengan merampas surat khabar dari tangan Fairuz dan menghalau Fairuz dari warungnya.

 

"Ala Pak Mat ni, kecohlah! Orang bukan kacau dia pun. Takat surat khabar berapa puluh sen tu, aku boleh beli empat tahu?" Jerit Fairuz sambil melangkah pergi dari Warung Judi.

 

"Ha! Dah tu, kenapa kau duduk sini lagi? Pergilah beli empat surat khabar ni! Yang kau nak baca surat khabar aku juga kenapa? Buat lari pelanggan aku saja kalau kau duduk sini!" Encik Selamat tak mengaku kalah. Dia masih menjerit-jerit walaupun kelibat Fairuz sudah hilang.

 

Encik Selamat akhirnya tenang juga. Dia duduk di meja Fairuz duduk tadi dan membelek surat khabarnya. Setiap helaian diselaknya. Sampai pada satu helaian yang agak tengah, Encik Selamat terkejut besar sebesar lubang yang 'ditebuk' oleh Fairuz pada surat khabarnya. Dan sepanjang hari tu, Salamah terpaksa melayan suaminya yang tak berhenti marah dan maki sambil menyebut-nyebut nama Fairuz.

 

Fairuz terus pulang ke rumahnya. Dia duduk di tangga rumahnya. Fairuz bawa keluar keratan akhbar yang dia koyak dari surat khabar di warung Encik Selamat tadi. Dia ukir senyuman.

 

"Pembantu Peribadi Dicari. Sila hubungi Dato' Jaafar untuk datang temuduga. Pengalaman dan pendidikan tidak kisah. Janji rajin. Gaji lumayan di samping boleh tinggal di rumah banglo Dato' Jaafar." Fairuz baca kuat-kuat keratan akhbar itu.

 

"Ada peluang ni. Kayalah aku nanti. Tak perlu aku duduk kat rumah buruk ni lagi." Fairuz mula pasang angan-angan. Entah kenapa, dia yakin yang dia boleh dapat jawatan tu.

 

Malam tu, Fairuz ratakan bedak gatal ke seluruh badannya.

 

"Ni dah kenapa? Dah kena sampuk jembalang bedak ke apa?" tanya Laila yang sedang menyuap nasi berserta ikan goreng yang ditangkap dalam sungai sebelah rumahnya.

 

"Kau diamlah. Kau bukan tahu apa-apa. Nilah persediaan namanya," jawab Fairuz.

 

Laila herotkan muka. "Persediaan apa? Mati? Baik simbah kapur barus saja."

 

"Eh, Laila. Mulut kau jaga sikit ya? Satu hari, kau akan menyesal kalau aku tinggalkan kau nanti."

 

"Ala, ajal maut di tangan Tuhan. Laila pasrah saja."

 

Fairuz malas mahu layan Laila. Dia tahu Laila bukannya bijak. Cuma tahu cakap saja. Membaca entah boleh, entah tidak. Fairuz lain. Dia tahu membaca. Dia juga giat berfikir. Berfikir untuk jadi kaya dengan mudah.

 

Fairuz keluarkan keratan akhbar itu dan tunjuk pada Laila. "Kau tengok ni? Sikit hari lagi, aku jadi orang kayalah. Masa tu, kau nak merayu kat aku pun tak guna tahu?"

 

Laila tak ambil pun keratan dari tangan Fairuz. Dia sebaliknya lebih suka bertanya. "Apa benda tu? Malas Laila nak baca."

 

Fairuz simpan kembali keratan akhbar di sebalik lipatan kainnya. "Tulah kau. Tahu cakap saja, fikir tak nak. Tengok macam aku. Ada wawasan. Ada cita-cita."

 

"Jadi, apa kena-mengena bedak ni dengan wawasan?" tanya Laila yang masih keliru.

 

"Badan aku ni dah mula alergi dengan kayu. Tak lama lagi, aku akan pindah ke rumah banglo. Tahu rumah banglo tu apa? Rumah besar. Rumah batu!" cerita Fairuz bersungguh-sungguh.

 

Laila tersedak. "Alergi sebab kayu?" Lepas tu, Laila ketawa kuat-kuat macam Mak Lampir.

 

"Itulah kau. Kerja gelakkan orang. Kau tunggu sajalah nanti," marah Fairuz sambil membasuh tangannya. Dia dah tak ada selera nak makan. Lagi-lagi apabila nak makan dengan Mak Lampir.

 

* * *

 

Pagi tu, Fairuz bersiap seperti pengantin. Wangi bukan main. Fairuz kelihatan betul-betul segak.

 

"Nak pergi mengorat ke?" perli Laila yang sedang mengunyah buat jambu yang diberi jiran petang semalam.

 

"Aku nak pergi temu duga kerja. Nak harap jualan kuih yang kau letak kat Mak Yam tu, sampai mati pun aku tak kaya."

 

"Baguslah kalau baru nak sedar. Laila ingatkan nak harap Laila saja yang kerja dalam rumah ni."

 

Fairuz tambah minyak wangi lagi. Tiga botol berharga sepuluh ringgit yang dibeli di pasar malam kampung sebelah. "Aku bukan baru nak sedar. Aku cuma tunggu peluang saja. Sekarang, peluang dah ada depan mata. Inilah masanya."

 

Laila hanya senyum dan sambung menjamah buah jambu.

 

"Okeylah. Aku pergi dulu. Doakan aku berjaya. Dalam rumah ni, kau seorang saja yang alim sikit. Mungkin doa kau lebih berkat daripada aku," pesan Fairuz sebelum keluar.

 

Laila hanya angguk. Fairuz hulur tangan dan Laila sambut serta mencium tangan Fairuz.

 

Fairuz panjat atas motor kapcainya. Keratan akhbar dikeluarkan dari dompetnya. Dia tengok alamat rumah Dato' Jaafar buat kali terakhir sebelum berlepas ke sana. Dia sememangnya sudah kenal benar dengan kawasan kediaman Dato' itu. Kawasan tu kawasan rumah orang-orang kaya dibina. Kawasan idaman Fairuz.

 

Belum sampai 15 minit, Fairuz sudah sampai. Dia melihat dirinya dalam cermin buat kali yang terakhir sebelum menekan loceng yang disediakan di tembok sebelah pintu pagar.

 

Seketika kemudian, seorang lelaki berbaju Pagoda dan berkain pelikat datang menyambut. Pada mulanya, Fairuz menyangkakan lelaki itu pembantu Dato' Jaafar. Tapi bukan ke Dato' Jaafar sedang cari pembantu?

 

Ah! Ini mesti Dato' Jaafar. Aku kenal benar muka orang kaya dengan muka orang miskin. Muka dia macam kaya saja, hati Fairuz berbincang.

 

"Ya?" tanya Dato' Jaafar.

 

"Assalamualaikum, Dato'. Saya datang untuk temu duga pembantu peribadi," jawab Fairuz dengan sopan dan yakinnya memanggil lelaki itu Dato'.

 

Dato' Jaafar tersenyum bangga. Dia puji Fairuz senyap-senyap. Dia tak sangka Fairuz boleh tahu yang dia sebenarnya Dato' Jaafar walaupun hanya memakai baju-T Pagoda dan berkain pelikat. Tapi mungkin juga wajahnya memang nampak kaya.

 

"Oh, silakan masuk," pelawa Dato' Jaafar. Dia menekan butang pada alat kawalan jauh di tangan. Dengan serta-merta, pintu pagar itu terbuka dengan sendirinya.

 

Fairuz mengawal diri untuk tidak kelihatan jakun. Dia kemudiannya mengikut Dato' Jaafar masuk ke dalam rumahnya.

 

Dato' duduk di salah sebuah sofa di ruang tamu dan Fairuz pula duduk di sofa yang bertentangan dengannya. Pada ketika itu, Fairuz tahu yang temu duga pasti sudah mula.

 

Fairuz terus memperkenalkan diri dan menceritakan kelebihannya di hadapan Dato' Jaafar. Dato' hanya mengangguk dan mengangguk tanpa respons verbal. Fairuz terus bercakap. Dia rasa tidak sedap dengan respons yang dia dapat.

 

Akhirnya, Dato' Jaafar bersuara. "Terus-terang saya suka awak. Dari apa yang awak cakap, saya tahu awak memang menepati ciri-ciri yang saya cari. Cuma, awak tak boleh buat satu benda. Dan ia sebenarnya cukup mengecewakan saya."

 

Fairuz berdebar-debar. Apa yang Dato' Jaafar harapkan daripadanya? Rasanya, dia sudah 'menjual' seluruh dirinya kepada Dato', tetapi tak sangka lelaki kaya itu masih nampak kekurangan pada diri Fairuz.

 

"Cakaplah, Dato'. Jangan risau, saya memang boleh buat semua benda. Saya sanggup buat apa saja demi Dato'. Cakap saja apa dia," pujuk Fairuz.

 

Wajah Dato' Jaafar seperti dalam dilema. "Susah, Fairuz. Kerja ini berbahaya dan bukan semua orang boleh lakukannya."

 

Kerja berbahaya? Maksud Dato', adakah Fairuz perlu buat kerja haram atau kerja jenayah?

 

"Beginilah. Fairuz balik dulu. Apa-apa nanti, saya telefon Fairuz balik. Okey?" Dato' Jaafar akhirnya sudah buat keputusan.

 

Fairuz tidak menjangka keputusan seperti itu yang akan dia dapat. Dia tahu sangat jika itulah jawapannya, peluang Fairuz untuk bekerja dengan Dato' Jaafar memang tipis. Tapi, dia akur. Setelah memberi salam dan meminta Dato' Jaafar supaya memikirkan fasal permohonannya, Fairuz pulang ke rumah.

 

Malam tu, Fairuz tak boleh tidur. Dia sedih. Dia malu. Malu pada Laila kerana dia terlalu yakin untuk dapat jawatan pembantu peribadi itu.

 

Laila tidak pula bertanya kenapa kerana dia semacam boleh agak yang Fairuz sedang kecewa. Lama sudah dia kenal Fairuz. Dia tahu, Fairuz pasti tidak berjaya dalam temu duga itu.

 

* * *

 

Pagi tu, Fairuz keluar awal. Mungkin ke Warung Judi untuk cari kerja lagi. Seperti biasa, Laila pulang ke rumah setelah meletakkan kuih di gerai Mak Yam. Sedang Laila mengemas bilik tidur, Laila terjumpa keratan akhbar yang dikoyak oleh Fairuz dua hari lepas.

 

"Kenapa ya dia tak dapat temu duga ni?" Laila bertanya sendirian.

 

Laila kasihan pada Fairuz. Tanpa berfikir panjang, Laila terus pergi ke rumah Dato' Jaafar untuk bertanyakan hal itu.

 

Pada mulanya, Dato' kelihatan sedikit terkejut dengan kehadiran Laila ke rumahnya. Tetapi apabila Laila memberitahu niatnya ke sana untuk bertanyakan tentang temu duga Fairuz semalam, Dato' tersenyum kembali. Kedatangan Laila disambut baik oleh Dato' Jaafar.

 

"Tolonglah, Dato'. Fairuz sangat perlukan kerja tu. Dia mungkin boleh ubah hidup kami," rayu Laila.

 

Dato' menghembus nafas panjang. "Saya tahu. Tapi, Fairuz memang tak layak."

 

Menitis air mata Laila apabila mendengar jawapan Dato' Jaafar. Dato' rasa serba salah.

 

"Dato', boleh tak Laila cuba mohon kerja ni?"

 

Pertanyaan Laila membuatkan Dato' Jaafar terkejut besar. Tapi, dia tak menolaknya. Dengan itu, sesi temu duga terus dimulakan.

 

"Tak dinafikan, kebolehan awak memang sama dengan Fairuz," jawab Dato' Jaafar setelah sesi temu duga itu berakhir.

 

Laila gusar apabila mendengar jawapan Dato' Jaafar. Jika kebolehannya sama, sudah tentu Laila juga tak layak untuk memegang jawatan yang ditawarkan.

 

Tidak lama kemudian, Dato' Jaafar akhirnya memberitahu jawapan temu duga yang amat memeranjatkan hati Laila.

 

* * *

 

Matahari semakin terbenam. Fairuz masih lagi termenung di tebing sungai itu.

 

"Kenapa kau pilih Laila? Kenapa kau pilih Laila?" Kata-kata itu berulang kali disebut Fairuz tanpa jemu, tanpa letih.

 

"Marilah ikut Laila tinggal di rumah Dato' Jaafar." Suara Laila tiba-tiba kedengaran.

 

Fairuz toleh. Dia nampak Laila kembali ke rumahnya bertemankan Dato' Jaafar. Ah! Benci sungguh aku dengan lelaki itu, marah hati Fairuz.

 

"Kenapa kau pilih Laila?" Kali ini, Fairuz tak bertanya sendirian. Dia sebaliknya berdiri menghadap Dato' Jaafar untuk mendapatkan jawapan lelaki kaya itu.

 

"Fairuz, Laila ada kelebihannya sendiri. Saya rasa Fairuz pun tahu," jawab Dato' Jaafar dengan tenang. Dia tak mahu memarakkan lagi api kemarahan Fairuz.

 

Namun, Fairuz tak menerima jawapan itu dengan baik. "Apa bezanya aku dengan Laila, hah? Dia kembar aku. Apa aku ada, dia ada. Apa aku tak ada, dia tak ada. Apa kau tengok rupa? Dia sikit pun tidak lebih dan tidak kurang cantik daripada aku. Takkan kau tak nampak betapa seirasnya kami?"

 

Dato' mengeluh. Laila sudah menangis. Keadaan Fairuz nampak teruk. Lagaknya seperti orang gila.

 

"Fairuz, saya minta maaf banyak-banyak sebab tak berterus-terang dengan Fairuz dari awal dulu. Ya, Fairuz dan Laila memang saling tak tumpah. Baik dari segi fizikal juga peribadi. Saya sebenarnya mahu cari seorang isteri. Jawatan itu hanya alasan. Mudah untuk saya kenal pasti calon yang sesuai untuk saya melalui temu duga," terang Dato' Jaafar.

 

"Apa aku tak boleh jadi isteri kau?" tanya Fairuz tanpa segan silu kerana terlalu marah.

 

Suasana sunyi seketika. Hanya kedengaran bunyi cengkerik senja. Laila juga sudah berhenti menangis.

 

"Fairuz, Fairuz tahu kan yang Fairuz dan Laila kembar berlainan jantina?" Dato' Jaafar mengerutkan dahinya.

 

Fairuz tak tahu bagaimana mahu respons. Kewarasannya kembali dengan serta merta. Dengan pantas, Fairuz terjun ke dalam sungai itu dan berenang ke seberang kerana malu.

Cerpen sebelumnya:
mentari sebalik gerimis
Cerpen selanjutnya:
Hatinya Terluka

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.5
2 Penilai

Info penulis

Dihsar Ludba Haqifa

Penulis di bawah amatur. Cerewet dalam memilih bahan bacaan. Cepat bosan dengan sesuatu benda. Dibenci kerana mempunyai \muka sombong\... lalu memilih untuk menulis saja untuk mengelakkan jumlah orang membenci. Hasil karya: Alahai Jijah!, Beruno, Kerana Basikal Biru, Jangan Tinggal Fargo! Antologi Cerpen: Kisah Cinta Seribu Wajah
DLHaqifa | Jadikan DLHaqifa rakan anda | Hantar Mesej kepada DLHaqifa

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya DLHaqifa
Bila Kau Ada Seorang Ibu | 11764 bacaan
Berkawan dengan Seorang yang Hidup dalam Penafian Umpama Digigit Charlie; Tak Sakit tapi Berbekas | 2170 bacaan
Takut Bah Tau! | 1809 bacaan
Rindu yang Tak Menggelikan | 1579 bacaan
Menipu adalah Satu Benda yang Manis | 1695 bacaan
Hormat | 2299 bacaan
Sebab Tu Aku Sayang Ali - Pengakuan Seorang Lelaki | 1937 bacaan
Suara dari Hutan | 1698 bacaan
Aku Sakit Hati | 3872 bacaan
Kisah Benar Pertama Aku Cerita | 4673 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

14 Komen dalam karya Kenapa Laila yang Kau Pilih?
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor


Kapasitor Bookstore

Granny Dan

When Granny Dan dies, all that remains is a box wrapped in brown paper, tied ...
Price: RM 5.00


Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik