Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Lelaki Kacuk Bermuka Melayu

Cerpen sebelumnya:
Hatinya Terluka
Cerpen selanjutnya:
Ayuh! rapatkan saf (Bahagian akhir)

Mata sepet. Kulit sawo matang. Rambut 'M' bak rambut depan Usagi. Pakai kaca mata. Rangka badan besar. Tinggi tak berapa tinggi.

Comelnya.

Aku senyum sendiri. Mungkin cinta pandang pertama. Macam bodoh. Umur baru 12 tahun, ada hati nak jatuh sana, jatuh sini. 

Tapi... comelnya. 

Dia sedang jungkitkan kerusi ke belakang, ke depan. Tanpa sedar, kini gilirannya memperkenalkan diri.

"Alamak!" Keluar dari mulutnya. 

Satu kelas ketawa. Termasuk aku, ketawa kecil. Bukan mengada, tetapi pemalu. Pemalu teramat. Aku bukan jenis cakap dengan lelaki. Nak pinjam pemadam pada pelajar lelaki pun bergetar satu badan.

"Nama saya Sean."

Tolong! Hati aku baru saja kena 'pijak'!

Remuk.

Dia bukan Melayu, tapi kacukan. Kacuk Cina dan India. Chindian. Macam Nescafe dan Milo. Neslo.

Ya, dan tentu dia bukan Islam.

Titik.

Sepanjang hari, aku tak ada mood. 

 

* * *

 

Tingkatan 1 Unggul. Aku duduk di barisan depan sekali sebelah pintu. Memang tempat 'terbaik'. Cikgu kelas kenal aku. Bau minyak wangi aku pakai pun dia boleh kenal. Mana taknya. Dia pun pakai jenama dan bau yang sama. Impulse Alive. Warna hijau. Botol tin tinggi dan kurus.

Aku pandang belakang. Sean duduk barisan paling belakang sekali. Sorang-sorang. Aku pun duduk sorang-sorang di depan. Sebenarnya, susunan meja kelas Tingkatan 1 Unggul jarak-jarak. Macam dalam peperiksaan. Tak ada jiran, tak ada laci tambahan untuk buang plastik roti.

Aku bukan gatal sangat toleh ke belakang untuk pandang muka dia. Aku pusing belakang sebab kawan aku, Pei Cher panggil. Hari ni, aku belajar bahasa Cina lagi. Memang kegemaran aku untuk terpacak depan televisyen tepat pukul enam petang. Cerita Cina kung fu. Zaman 'dinasti-dinasti'. Rambut ikat sanggul serupa pau. Dan memang menjadi tempat simpanan pau pun di situ.

Hari ni, Pei Cher ajar aku nyanyi lagu cerita Cina pukul enam dengan sebutan yang betul. Siap eja lirik dalam tulisan rumi. Baik, kan? Dia memang baik. Dalam kelas, dia kawan aku paling baik. Sudahlah pandai, cantik pula. Aku pula macam pantulan muka dia dalam cermin retak. Sudahlah bodoh, hodoh pula.

Sekali dua, aku pandang juga Sean. Mana boleh elak! Sean rancak berbual dengan Shazlan, kawan baik dia. Mulut becok. Tak ada adab. Ya, aku mungkin berat sebelah dalam menilai Shazlan sebab aku benci dia. Bising, kepoh, tak kacak, menyakitkan mata dan hati. Kenapa dalam ramai-ramai pelajar, Shazlan juga Sean pilih untuk jadi kawan baik dia? Mungkin Sean juga macam Pei Cher - cari kawan baik macam pantulan dalam cermin retak.

Sean pandang aku. Aku pandang Pei Cher. Gila apa aku nak tatap mata dia. Bersilau. Berkilau. Jentik-jentik hati aku. Sakit!

Sebenarnya, aku ada tabiat buruk. Apabila aku cerita tabiat aku tu pada Afifah, kawan baik aku, dia akan 'hadiahkan' aku satu perkataan saja - bodoh. Hmmm...

Tabiat tu datang apabila aku terserempak dengan orang yang aku suka. Suka maknanya jatuh hati. Untuk waktu ni, dah tentu orang yang aku suka adalah Sean. Apabila ditakdirkan mata aku dan mata Sean bertembung, aku akan automatik rasa benci dan meluat. Lalu aku akan pandang tempat lain sambil buat muka yang menjengkelkan. Aku hanya mampu pandang dia dari jauh tanpa dia sedar kehadiran aku di situ. Bodoh ke? Sikit mungkin. Hmm...

 

* * *

 

Sekolah aku atas bukit. Nama sekolah pun ada bukit. Untuk hari-hari biasa, aku benci sekolah aku sebab setiap kali aku nak ke kelas, aku kena naik bukit. Aku penat membawa badan yang berat. Sepanjang jalan ke 'puncak', ada beberapa kerusi batu. Memang aku rasa khas direka untuk orang penat macam aku. Lebih malang lagi, hari ni aku demam. Aku cuba jalan pelan-pelan, tapi masih penat. Jadi, aku rehat dan duduk atas salah sebuah kerusi batu untuk ambil nafas.

Tengah aku tercungap-cungap ambil nafas sambil tudung senget dan muka basah akibat rembesan air peluh, Sean lalu dengan kawan-kawan dia, betul-betul belakang kerusi batu yang aku duduk. Benda yang paling aku rasa tak seronok apabila dia pandang ke arah aku. Sudahlah hodoh, tudung pula senget dan muka berpeluh. Aku dengan wajah yang menjengkelkan terus angkat kaki dari situ laju-laju. Dah hodoh, bodoh pula. Hmm...

 

* * *

 

Hari ni, cikgu suruh hantar kerja rumah. Sebagai orang yang paling depan sekali dalam barisan, aku kena kutip semua buku dari pelajar-pelajar yang ada dalam barisan aku. Aku tak kisah sangat sebab barisan aku semua perempuan. Tapi macam mana pula hari tu, Sean duduk di belakang sekali dalam barisan aku. 

Aku bergetar satu badan. Kenapa dia ubah tempat duduk? Aku hanya berdiri di meja dia. Tak terkata sambil tangan memegang buku aku dan kawan-kawan lain untuk dihantar pada cikgu.

Sean pula buat tak tahu. Entah apa dia buat, aku tak pasti. Otak aku beku waktu tu. Jadi, aku tinggalkan meja dia dan hantar buku-buku yang ada dalam tangan aku saja. Maaf, Sean. Ampun!

 

* * *

 

Beg sekolah aku pakai yang abang aku punya. Jenis bertali dan perlu 'dicocok'. Tak, tak bunyi dia. Semua orang dah balik tinggalkan aku dalam kelas yang baru selesai simpulkan tali beg. Di luar, aku nampak Sean jalan di koridor ke arah tangga A. Dia pun dah balik tinggalkan aku. Apa nak buat, bas dia datang tepat pukul enam petang.

Perlahan-lahan aku keluar dari kelas sorang-sorang. Bas aku bukan boleh percaya sangat. Kadang-kadang datang awal, kadang-kadang datang lambat. Tapi, aku harap dia datang lambat hari ni. Sebab aku tiba-tiba nampak sesuatu di luar dugaan aku kat hujung koridor.

Okey, itu Sean. Sean!

Apa dia buat kat hujung koridor belum balik-balik lagi? Penyakit ketar aku mula serang. Hati degup laju macam bunyi kuda berlari. Aku cuba tenang. Aku mula turun tangga senyap-senyap. Lebih memeranjatkan, Sean ikut sekali turun tangga dengan aku.

Masa ni, memang aku dah tak boleh nak bertenang. Gila! Lelaki idaman menuruni tangga seiring sejalan dengan aku. Aku turun perlahan, langkah dia pun perlahan. Aku turun laju-laju, dia ikut laju-laju. Aku jadi tak selesa. Tak keruan. Dia pula tak ada cakap apa-apa. Tiba-tiba, dari mana entah datang kuasa nitro dalam badan aku, aku terus turun tangga dengan kelajuan yang tinggi tinggalkan dia. Waktu tu, aku dah tak toleh belakang. Jadi, aku tak tahu reaksi dia. Mungkin sekarang, dia dah yakin yang aku ni mungkin benci dia.

 

* * *

 

Loceng terakhir bunyi. Aku terkejut, fobia mengenangkan kejadian petang semalam - dikejar orang yang dicintai. Lebih fobia, aku masih ditinggalkan sorang-sorang dalam kelas seperti petang semalam juga. Dalam dok fobia, mata aku gatal juga pandang ke arah luar tingkap. Ah! Jodoh aku ke lelaki ni? Sean lalu lagi di luar kelas, tetapi menghala ke arah bertentangan dengan hujung koridor semalam - ke tangga B.

Jadi, aku keluar kelas dan menuju ke arah tangga semalam. Entah kenapa, aku nak juga toleh ke belakang, toleh ke arah Sean lalu sebentar tadi. Niat aku kononnya nak tengok bayang Sean buat kali terakhir untuk hari tu.

Ah! Jodoh aku ke lelaki ni? Sean dengan tiba-tiba patah balik dan berjalan menuju ke arah aku. Macam biasa, dengan pantas, aku cabut.

 

* * *

 

Petang tu, suram betul. Aku tak pernah menjangka yang ini akan terjadi dalam masa yang terdekat. Sesungguhnya, aku belum bersedia. Aku belum bersedia untuk hadapi kejutan yang besar seperti ini. Malangnya, aku tak ada pilihan. Hari ni, hari terakhir sekolah. Sean masih tak tahu yang aku suka padanya. Dan aku juga seperti dia, masih belum tahu apa perasaan dia terhadap aku. Yang aku tahu, hari ni bukan saja hari terakhir sekolah. Hari ni juga adalah hari terakhir aku di sekolah itu. Hari ni juga adalah hari terakhir aku akan nampak wajah Sean. Mungkin bukan jodoh kami. Allah memang sayangkan aku. Sebab itu, Allah pisahkan aku dengan dia.

Mustahil untuk aku berjumpa lagi dengan dia.

Mustahil untuk aku berjumpa lagi dengan lelaki kacuk bermuka Melayu yang bernama Sean.

 

* * *

 

Okey, sekolah baharu ni tak ada lelaki. Janggalnya...

Cerpen sebelumnya:
Hatinya Terluka
Cerpen selanjutnya:
Ayuh! rapatkan saf (Bahagian akhir)

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
4 Penilai

Info penulis

Dihsar Ludba Haqifa

Penulis di bawah amatur. Cerewet dalam memilih bahan bacaan. Cepat bosan dengan sesuatu benda. Dibenci kerana mempunyai \muka sombong\... lalu memilih untuk menulis saja untuk mengelakkan jumlah orang membenci. Hasil karya: Alahai Jijah!, Beruno, Kerana Basikal Biru, Jangan Tinggal Fargo! Antologi Cerpen: Kisah Cinta Seribu Wajah
DLHaqifa | Jadikan DLHaqifa rakan anda | Hantar Mesej kepada DLHaqifa

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya DLHaqifa
Bila Kau Ada Seorang Ibu | 11764 bacaan
Berkawan dengan Seorang yang Hidup dalam Penafian Umpama Digigit Charlie; Tak Sakit tapi Berbekas | 2170 bacaan
Takut Bah Tau! | 1809 bacaan
Rindu yang Tak Menggelikan | 1579 bacaan
Menipu adalah Satu Benda yang Manis | 1695 bacaan
Hormat | 2299 bacaan
Sebab Tu Aku Sayang Ali - Pengakuan Seorang Lelaki | 1937 bacaan
Suara dari Hutan | 1698 bacaan
Aku Sakit Hati | 3872 bacaan
Kisah Benar Pertama Aku Cerita | 4673 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

23 Komen dalam karya Lelaki Kacuk Bermuka Melayu
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor


Kapasitor Bookstore

Fantastic 4

Scientific genius Dr. Reed Richards\s lifelong dream is close to being realized--a trip to space ...
Price: RM 5.00


Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik