Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Ayuh! rapatkan saf (Bahagian akhir)

  • 0
  • toti
  • 12 years ago
  • 4,243
  • FREE

 

Aku menyoroti wajah mereka. Airmuka Imran dan Dani terlihat kosong tanpa reaksi. Sedang raut Syahmier gagal menyembunyikan kekusutan yang bersarang dibenak. Aku mengambil kesempatan untuk melegakan postur badan sambil mengalih pandang ke dada langit yang didominasi awan mendung hingga berjaya memudarkan pancaran suria.

“Tapi ada pendapat yang mengatakan ancaman serangan Israel ke atas Iran ini adalah sandiwara semata-mata. Israel tidak akan menyerang Iran. Ini kerana di Iran terdapat begitu ramai bangsa yahudi yang bermastautin di sana. Sekaligus ini adalah salah satu bukti yang menunjukkan bahawa Iran mempunyai hubungan akrab dengan Israel dan semua ini mungkin satu lagi bentuk konspirasi”.

Mendengar hujah Syahmier itu aku jadi takjub serta menjelma bermacam-macam pertanyaan di dalam kepala. Bagaimana orang sebijak Syahmier ini boleh ikut percaya dengan dakwaan yang langsung tidak mempunyai asas ini. Dan lebih menyedihkan tidak sedikit yang telah melahap bulat-bulat cerita dangkal seperti ini tanpa ada usaha untuk meneliti keabsahannya terlebih dahulu.

“Memang benar di Iran terdapat minoriti warganya berbangsa yahudi. Tetapi mereka ini bukan Zionis. Mereka adalah ahli zimah yang bernaung dibawah daulah Islamiyyah. Maka telah menjadi kewajiban kepada pemerintah Islam untuk mempertahankan hak dan keamanan mereka”.

“Mereka tidak boleh disakiti dan dizalimi sepertimana yang telah diperingatkan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya:

“Barangsiapa yang melakukan kezaliman terhadap orang kafir yang ada perjanjian dengan pemerintah Islam, atau membatalkan haknya, memberatkan kepadanya lebih dari kadar kemampuannya, mengambil daripadanya dengan cara yang tidak baik, maka aku akan mempertahankanya di hari Kiamat”.

“Adalah sangat-sangat tidak rasional jika kita berpijak dengan alasan seperti ini lalu menuduh Iran berkomplot dengan zionis Israel. Mungkin saja kita tidak bersetuju dengan mereka dalam beberapa perkara agama namun itu bukan lesen untuk kita melabel mereka dengan tuduhan yang tidak-tidak sehingga kita menjadi tuli dalam membezakan antara kebenaran dan kebatilan”.

“Kenapa kau beria-ia betul mempertahankan Iran?” , Dani mula bersuara.

“Jangan-jangan kau pun dah terpesona dengan Wilayatul Faqih ciptaan si Khomieni tu?”.

Syahmier cuba melancarkan provokasi sambil diperhatikan oleh Imran yang masih nyaman menjadi pendengar. Mulanya aku agak tersentap sedikit, namun aku tahu perkara seperti ini perlu ditangani dengan kepala dingin. Perselisihan tidak mungkin mereda dengan nyalaan emosi.

“Kita perlu menjadi umat yang praktikal. Dalam erti kata lain meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan adil mengikut hukum, nilai dan perlaksanaan. Kita harus memahami kepentingan urutan keutamaan mengikut neraca syarak. Ini sangat penting agar kita tidak dirusuhkan dengan perbuatan yang bukan utama dan mengabaikan perbuatan yang utama”.

“Maksud kau?”, soal Imran semacam berminat.

“ Prioriti hukum bagi sesuatu perbuatan itu boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan masa. Terkadang sesuatu perbuatan itu pada satu masa dinilai sebagai utama tapi menjadi kurang utama di masa yang lain. Atau pada satu keadaan sesuatu perbuatan itu dinilai rajih (kuat) dan menjadi marjuh dikondisi yang lain”.

“Maka tidak timbul isu terpesona dengan Wilayatul Faqih atau tidak. Pendirian aku dalam hal ini sangat jelas!”.

Aku melontarkan pandangan tepat ke mata Syahmier. Sebelum beralih ke arah Dani dan Imran. Suasana bening sejenak. Mungkin semuanya sedang larut dalam lautan fikir masing-masing.

“Dalam isu ini kita sepatutnya bermuafakat dan mendiamkan sebentar perselisihan kita supaya dapat kita bersama menggembling seluruh kekuatan yang ada pada umat ini untuk bersiap-siaga berdepan dengan rencana musuh yang cuba untuk melakukan perlecehan terhadap kaum muslimin”.

“Tuduhan yang dilemparkan Amerika terhadap Iran adalah sekadar usaha mengolah persetujuan dunia agar merestui niat jahat mereka untuk meluluh-lantakkan sesiapa jua yang enggan tunduk pada telunjuk mereka. Seperti yang kita maklum, sejak runtuhnya pemerintahan boneka pimpinan Shah kerajaan revolusi Iran telah memutuskan hubungannya dengan Amerika. Dengan berbekalkan simpanan minyak dan gas yang besar, Iran telah berjaya bangkit sehingga ke tahap bebas hutang sepenuhnya walaupun cuba ditekan oleh Amerika dan sekutunya.”

“Hubungan perniagaan yang dulunya berkiblatkan rumah putih telah berubah arah. Iran telah memutuskan untuk menjalin hubungan perniagaan dengan blok komunis seperti Russia dan China. Russia juga ikut membantu dalam membekalkan kelengkapan dan memberi latihan kepakaran dalam memperkembangkan teknologi nuklear Iran. Ini sekaligus meresahkan zionis Israel yang merasakan upayanya untuk menjadi penguasa ditimur tengah akan tergugat”.

Jeda.

“Aku juga pernah terbaca tentang konspirasi Israel dan Amerika ni. Sebenarnya projek menyerang Iran telah dimulakan pada tahun 1997 oleh sekumpulan puak kanan yang menggelarkan diri mereka sebagai neokonservatif. Kumpulan neokonservatif itu menamakan projek tersebut dengan nama Project for the New American Century (NCAP). Objektif utama penubuhannya adalah memperkukuhkan sistem kapitalisme liberal dan menghancurkan rejim yang enggan menerima nilai-nilai Amerika atau neo-wilsonisme”.

Semua bola mata tertumpu pada susuk Imran yang sedikit gempal itu. Suaranya yang halus dan nyaring seakan tidak sepadan dengan bentuk badannya. Sejujurnya aku sedikit kaget mendengar hujah tadi. Aku tidak menyangkakan Imran yang diawal perbincangan tadi begitu keras menentang kini beransur lunak. Mungkin kini dia telah memahami permasalahan yang sebenar.

“Tambahan pula selepas kejatuhan Irak, Iran adalah antara negara Islam yang paling lantang mengutuk zionis Israel yang didokong Amerika di atas kerakusan mereka menjarah tanah rakyat Palestin. Iran juga secara terbuka tanpa sekelumit rasa gentar menyokong penuh perjuangan Hamas dengan memberi sumbangan dalam pelbagai aspek  termasuk membekalkan senjata”.

“Fenomena ini sangat mengusarkan Israel. Demi untuk merealisasikan cita-cita besarnya mereka telah melakukan pelbagai rancangan dan provokasi untuk meyakinkan dunia bahawa Iran sedang membangunkan sektor persenjataan nuklear walaupun telah dinafikan berkali-kali oleh Iran. Propaganda seperti ini tidak susah untuk difahami kerana formulanya hampir sama dengan WMD yang pernah diguna pakai untuk melenyapkan pengaruh Saddam Hussein di Irak”.

Aku berhenti sejenak sambil mengamati persekitaran. Gumpalan awan mendung beransur hilang. Matahari yang bersinar lesu makin condong ke ufuk barat. Angin pula berhembus tenang dengan sesekali disela kicau unggas yang berterbangan bebas dilangit lepas.

“Kita merasa pelik mengapa Iran ditekan sebegini rupa padahal mereka telah berulangkali menyatakan bahawa program nuklear mereka ini adalah untuk menjana tenaga elektrik bukan untuk persenjataan. Sedangkan Korea Utara secara terbuka mendakwa memiliki senjata pemusnah berskala besar serta melakukan beberapa ujian peluru berpandu dan senjata nuklear tidak pula segera diserang?”.

“Dimanakah rasionalnya bila Iran sebagai sebuah negara berdaulat dinafikan hak untuk membangunkan teknologi nuklearnya sementara Israel yang tidak pernah diiktiraf kewujudannya dibenarkan berbuat demikian? Semua telah maklum bahawa Israel mempunyai 300 hingga 500 simpanan nuklear yang telah dibangunkan dikompleks nuklear Dimona yang terletak ditengah gurun Negev. Dan mengikut maklumat perisikan, Israel dipercayai telah melakukan ujian nuklear diluar persisir Afrika Selatan pada tanggal 22 September 1979”.

“Sebenarnya Israel bimbang jika umat Islam mula menguasai ilmu dan teknologi ini nanti pastinya kedudukan mereka terancam dan segala usaha untuk menakluk dunia akan gagal. Oleh itu kita sebagai umatan wahidah yang berjumlah 2 bilion ini perlu bahu membahu mempertahankan kaum muslimin lainnya dari ancaman musuh yang cuba membinasakan. Ini bukan kerana Iran adalah Iran, tapi kerana Iran adalah bahagian daripada daulah Islamiyyah”.

“Rentetan dari hal ini Syeikh Abdul Hamid al-Atrash, mantan ketua komisi fatwa Al-Azhar telah memfatwakan setiap negara Islam yang bekerjasama dengan Amerika dan Israel dalam melawan Iran, maka negara tersebut telah melakukan dosa dan pengkhianatan terhadap agama. Tegas beliau lagi, melawan musuh yang cuba menghancurkan umat Islam adalah kewajipan pokok bagi seluruh kaum muslimin sedang setiap muslim yang hanya bungkam dan berpeluk tubuh turut terjerumus ke dalam dosa tersebut”.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti