Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Cinta Dunia Akhirat

  • 5
  • gelap
  • 12 years ago
  • 4,465
  • FREE

 

dalam hening dingin pagi

doa kukalungkan di titis embun

bersinar indah suria mentari

membawa pergi sekalian tangis

dalam gelap pekat malam

derita kusemadikan di sebalik rembulan

demi kasih cinta sejati

menemanimu setia aku sampai mati.

 

“Jangan risau Milah. Selagi nafas abang dikandung badan, abang akan menjagamu sebaiknya. Abang akan temanimu walau dalam apa jua keadaan sekalipun.” Lembut dan sayu bisik suara Halim ke telinga Milah. Seraya itu juga, dia mengucup kedua-dua pipi dan dahi isterinya.

 

Begitulah rutin Halim setiap hari setelah isterinya mengalami kemalangan jalan raya ketika pergi ke tempat kerja. Akibat dari kemalangan itu, seluruh tubuh Milah lumpuh setelah tulang belakangnya patah akibat terhentak dengan kuat ketika jatuh dari motorsikalnya. Kemalangan itu bukan sahaja meragut keupayaan Milah untuk bergerak, malah turut meragut kebahagiaan dan kegembiraan keluarga Halim selama ini.

 

Setiap hari, selepas Halim siap memandikan dan menghias isterinya, dia akan membisikkan kata-kata tersebut ke telinga Milah. Dia tidak mahu isterinya berputus asa dan berasa susah hati melihat dia melakukan segala tugas tersebut. Halim yakin, hanya jasad Milah sahaja yang lumpuh, tetapi tidak perasaannya sebagai seorang wanita dan isteri. Oleh sebab itu, dia tidak mahu Milah merasai kekurangan itu. Cukuplah sekadar jasadnya yang menderita, Halim tidak mahu isterinya merasai lebih dari itu.

 

“Sabarlah Milah, kita harus redha dan menerima semua ini sebagai satu ujian dari Yang Maha Esa. Percayalah, tidak sesekali abang menyesal terpaksa menjagamu dalam keadaan begini. Malah abang bersyukur kerana dapat menunaikan segala tanggungjawab abang terhadap kamu.” Kata Halim sambil tersenyum dan merenung wajah isterinya.

 

Diusap kepala Milah dengan penuh kasih dan sayang, sambil sebelah lagi tangannya mengenggam dan meramas lembut jemari halus Milah. Sayu hati Halim melihat jasad Milah yang semakin mengurus, jari jemarinya juga semakin mengecut. Begitu juga dengan kulit Milah, semakin hari semakin mengendur. Sedaya mungkin , Halim cuba menyembunyikan kerisauan dan kesedihan yang menyelubungi hatinya. Dia tidak ingin isterinya yang sedang terlantar itu melihat sebarang tanda duka di wajah kelakiannya. Dia sedar, dalam keadaan sekarang, kekuatan dan kesabarannya sangat teruji. Dia tidak mahu hati Milah terusik tatkala dia sedang berada di sisinya.

 

“Abang mencintaimu lebih dari segalanya. Hati abang tak pernah berubah sejak dari kali pertama abang mencintaimu. "Abang juga telah berjanji dengan diri abang, walau apa pun yang berlaku, kamulah isteri dunia akhirat abang…” kata-kata Halim terhenti di situ, air matanya mengalir apabila dia melihat ada takungan di mata isterinya. Perlahan-lahan, takungan itu pecah dan manik-manik jernih mengalir dari hujung mata Milah dan sebelum sempat ia menitis di pipinya, Halim menyeka dengan jarinya. Di usap-usap pipi Milah yang kebasahan tadi dengan penuh kelembutan.

 

“Jangan menangis sayang, abang tidak berniat melukai hatimu. Maafkan abang…” diangkatnya jemari Milah, lalu diletakkan ke pipinya. Rindu benar hatinya dengan belaian Milah. Dikucupnya berkali-kali telapak tangan Milah, kemudian dialihkan ke pipinya kembali.

 

Halim tidak pasti mengapa begitu berat hatinya di pagi itu. Seakan mahu diluah segala kerinduan yang telah dia pendam selama ini.

 

“Abang halalkan segala kasih sayang abang. Tidak sesekali abang mengeluh atau bersedih dengan ujian yang menimpa kita. Abang nak Milah kuat. Jangan bersedih melihat abang sebegini. Ini adalah tanda Allah menyayangi kita. Dia sedang menguji kita demi sebuah syurga yang sama-sama kita impikan.” Halim menarik nafas sedalamnya, di tahan gelora air mata yang semakin meronta untuk melimpah. Dia menengkupkan mukanya ke buju katil Milah, mengelak dari dikesan Milah bahawa dia sedang menangis.

 

Milah tetap kaku. Walaupun hati kecilnya memahami penderitaan batin suaminya, dia tidak lagi mempunyai kekuatan untuk memujuk tangisan Halim. Hatinya meronta-ronta ingin memeluk suami tercintanya. Dia ingin mendakap Halim seperti mana yang pernah dia lakukan ketika cinta mereka bersatu dulu. Dia ingin mengucup Halim seperti mana hangatnya cumbuan di malam pertama mereka dahulu. Itulah cinta pertama dan terakhir baginya. Seperti Halim, dia juga tidak ingin menitiskan air mata di depan suaminya itu. Tetapi mendengar luahan Halim yang begitu ikhlas, kelopak matanya bergenang. Hatinya menjerit-jerit memujuk Halim.

 

“Abang… jangan menangis. Milah juga menyayangi abang. Milah juga mencintai abang dunia akhirat. Percayalah abang, tidak sekalipun Milah rasakan kekurangan kasih sayang abang. Tidak sekalipun Milah rasakan cacat celanya layanan abang. Sepanjang Milah terlantar begini, Milah dapat melihat setiap pengorbanan abang. Milah dapat rasakan penderitaan abang. Tidak kira siang atau malam, abang sentiasa menemani Milah. Sesungguhnya abang adalah suami yang terbaik di atas muka bumi ini. Milah adalah antara orang yang bertuah kerana mempunyai suami yang baik seperti abang.”

“Abang… Milah ingin abang tahu, sekiranya Milah tiada nanti, usahlah abang bersedih hati. Derita Milah sudah ditebus dengan kasih sayang dan pengorbanan abang. Tak pernah Milah sesali menjalani hidup dengan menjadi kekasih dan isteri abang. Inilah nikmat yang tiada tolak bandingnya, dan memiliki abang sebagai suami Milah, adalah anugerah yang paling indah pernah Milah miliki.”

“Abang... Izinkan Milah mengakhiri semua penderitaan yang abang pendamkan. Relakanlah Milah pergi mengadap Tuhan Yang Maha Mengasihi dengan aman. Yakinlah, setiap doa yang abang lafazkan di setiap hari itu akan Tuhan makbulkan. Setiap kali abang bersolat dan berdoa, Milah sentiasa mengaminkan doa-doa abang. Milah mengerti betapa sucinya cinta abang pada Milah. Milah mengerti betapa deritanya hidup abang melihat Milah sebegini rupa. Ampunkan segala dosa dan kekurangan Milah pada abang. Semoga di syurga nanti kasih kita akan bertaut kembali.”

 

Tangisan Halim terhenti apabila dia mendengar deruan nafas Milah yang semakin kuat. Dia tersentak melihat Milah seperti tercungap-cungap ingin bernafas. Dia juga perasan ada lelehan air mata di pipi Milah. Halim panik.

 

“Kenapa sayang?!” Tanya Halim yang masih terkejut dan mengelabah. Dia mengurut dada Milah yang masih tercungap-cungap. Kemudian dikesatnya air mata Milah yang masih bercucuran. Halim kebingungan. Dia tidak tahu apa yang telah berlaku dengan isterinya.

Halim mengambil semangkuk air di atas meja kecil di sebelah katil Milah, lalu disapukan air itu ke seluruh muka hingga ke ubun-ubun Milah.

 

bersambung agaknya.....hahaha

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) maaflah,aku tak buat ending. jangan marah..

  • (Penulis)
    2) aku paste kat sini tanpa aku edit kt mana2 lagi...sebarang kesalahan, minta ditegur.
  • 3) wow. drama yang menarik. kenalah bubuh ending, kalau tidak hilang seri cerita. hehehe.

    monolog yang bagus, tapi agak meleret.
  • 4) Aaaaa potong! Nak ending!

  • (Penulis)
    5) hehehe...bior le stakat tu...ending dia simpan dalam hati yer..kan sedih si Halim tu.

Cerpen-cerpen lain nukilan gelap

Read all stories by gelap