Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Sebab Aku Tak Kerja

Cerpen sebelumnya:
Malaon cuba memahami
Cerpen selanjutnya:
Hidup Umpama Jaukal

Semalam, aku minta mak duit lagi. Entah berapa kali aku minta duit pada mak. Mak pun aku rasa dah tak larat nak kira. Dulu, ada juga dia selitkan berapa kali aku pinjam duit daripada dia setiap kali dia membebel fasal aku minta duit. Tapi sejak dua minggu lepas, dia dah berhenti mengira. Mungkin dia dah sedar kut yang tak ada gunanya kalau dia kira. Tak ada faedah. Duit tetap keluar. Aku pula tetap akan minta lagi.

Pagi ni, dia ajak satu keluarga makan sekali. Katanya, dah lama tak makan beramai-ramai. Lebih meriah, lebih ramai katanya. Nampak sangat terjemah daripada lirik lagu Britney Spears. Macam aku tak tahu. Urban juga mak aku. Jadi, aku dan Gugu duduk di kerusi masing-masing sambil memandang ke arah makanan yang terhidang. Nampak berasap. Teori aku mudah; makanan yang berasap semestinya sedap.

Mak berjalan masuk ke ruang makan sambil bawa satu jag air sirap selasih dan letakkannya di atas meja. Dia hulurkan Gugu semangkuk makanan 'biji-biji' dan susu. Gugu mesti kecewa sebab ingat makanan berasap yang ada atas meja tu dia ada peluang untuk makan. Mungkin dia belum sedar yang dia bukan manusia. Tapi duduk di meja makan, adabnya kalah manusia. Gugu tanpa aku dengar dia baca bismillah terus melahap.

Aku ni pula yang masih lagi kena tunggu mak duduk di meja untuk mula bersantap. Masa ni juga mak sibuk nak nyalakan lilin aroma terapi. Apalah niat mak aku malam ni ya? Aku harap tak adalah dia nak bagi kejutan apa-apa sebab aku ni lemah semangat sikit.

Mak akhirnya duduk. Dia mula tadah tangan dan aku mula baca doa makan dengan lancarnya. Selesai saja baca doa, aku terus makan dengan lahapnya. Satu, aku memang lapar. Dua, aku memang gelojoh. Tak boleh nak buat apa. Tapi dalam gelojoh-gelojoh aku, aku sempat kerling ke arah mak. Mak duduk umpama patung lilin yang tak cukup sempurna sebab muka mak agak berkedut. Tak bercakap, tak bergerak. Hanya duduk dan pandang ke arah aku.

"Mak, makan." Aku cuba ingatkan mak. Mana tahu tiba-tiba mak lupa apa yang perlu dia buat sekarang.

"Bila kau nak cari kerja ni, Wahid?"

Aku dah agak. Soalan sama yang juga diselitkan ketika membebel pada aku setiap kali aku minta duit. Aku pun macam biasa akan jawab benda yang sama. Baru adil.

"Nanti."

Dan mak terus membebel.


* * *


"Kau  ni asyik-asyik lepak kat kedai aku? Cuba kau pandang sekeliling. Ada ke budak muda macam kau ni yang tengah lepak?" tanya Pak Teh tengah hari tu waktu aku datang lepak di warung dia.

Aku geleng. Dengan tenang, aku hirup teh tarik buih lebih.

"Kau tahu sebab apa tak ada budak muda macam kau lepak kat warung aku tengah-tengah hari rembang macam ni?"

Aku geleng. Aku gigit pula karipap pusing buatan tangan Mak Teh. 

Pak Teh tampar meja depan aku dengan kuat. "Sebab dia orang semua pergi kerja! Tahu?"

Aku angguk. Aku hirup kembali teh tarik buih lebih.

"Aku tak fahamlah dengan kau. Kesian aku tengok mak kau kat rumah tu. Setiap hari dia mengadu pada Mak Teh kau tu fasal kau yang tak nak kerja. Apa kena dengan kau ni, Wahid oi?" Pak Teh lap meja yang ada kesan tumpahan teh tarik buih lebih aku lepas dia tampar meja tadi.

"Nanti orang carilah."

Dan aku terus angkat kaki.


* * *


Dengan mudah, bola yang aku sepak masuk gol. Aku nak sorak pun rasanya tak perlu sebab malam ni saja, markah aku dah cecah angka 20. Mudah. Kacang. Aku bukan hebat sangat main bola sepak, tapi aku perasan, kawan-kawan aku macam tak bermaya saja malam ni.

"Rehat kejap," kawan aku jerit dari jauh.

Aku ikut dia orang pergi ke tepi padang. Aku tengok bergelen-gelen air mineral dia orang minum. Kalah pemain bola sepak kebangsaan gayanya. Aku juga yang belum minum-minum dari tadi.

"Esok pulalah sambung main. Aku kena balik ni," kata Ghani.

Aku kerling jam di tangan. "Kau biar betul, Ghani. Baru pukul 10 kut. Aku berpeluh pun tak."

"Penat ah." Ghani kibas-kibaskan bajunya. "Lagipun, esok aku kena masuk pejabat awal sikit."

Aku lihat yang lain turut angguk setuju dengan Ghani. Aku tak puas hati sebab aku tak ada siapa nak sokong. "Tapi awal lagilah..."

"Bagi kau. Bagi kami, dah lewat ni." Ghani dah mula berdiri. "Kau bila nak kerja? Hari tu, syarikat yang aku kerja ada nak pakai orang. Kau tak nak. Apa masalah kau sebenarnya ni?"

Buat kali yang ketiga dalam hari ni, aku dah tak larat nak jawab benda yang sama pada soalan yang sama. Baik aku tulis atas dahi aku saja jawapannya. Mungkin orang tak akan tanya aku dah soalan tu.

Tapi aku rasa, kalau aku tulis 'Sebab aku takut ditemuduga' kat dahi, sumpah aku akan jadi bahan gelak orang kampung.

Lalu aku pun jawab, "Nantilah." 

Cerpen sebelumnya:
Malaon cuba memahami
Cerpen selanjutnya:
Hidup Umpama Jaukal

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
2 Penilai

Info penulis

Dihsar Ludba Haqifa

Penulis di bawah amatur. Cerewet dalam memilih bahan bacaan. Cepat bosan dengan sesuatu benda. Dibenci kerana mempunyai \muka sombong\... lalu memilih untuk menulis saja untuk mengelakkan jumlah orang membenci. Hasil karya: Alahai Jijah!, Beruno, Kerana Basikal Biru, Jangan Tinggal Fargo! Antologi Cerpen: Kisah Cinta Seribu Wajah
DLHaqifa | Jadikan DLHaqifa rakan anda | Hantar Mesej kepada DLHaqifa

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya DLHaqifa
Bila Kau Ada Seorang Ibu | 18950 bacaan
Berkawan dengan Seorang yang Hidup dalam Penafian Umpama Digigit Charlie; Tak Sakit tapi Berbekas | 3183 bacaan
Takut Bah Tau! | 2526 bacaan
Rindu yang Tak Menggelikan | 2207 bacaan
Menipu adalah Satu Benda yang Manis | 2314 bacaan
Hormat | 3368 bacaan
Sebab Tu Aku Sayang Ali - Pengakuan Seorang Lelaki | 2600 bacaan
Suara dari Hutan | 2362 bacaan
Aku Sakit Hati | 4996 bacaan
Kisah Benar Pertama Aku Cerita | 6141 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

7 Komen dalam karya Sebab Aku Tak Kerja
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik