Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Beruang Itu Tak Bersalah!

Cerpen sebelumnya:
Cari
Cerpen selanjutnya:
Lara Hannah 1

      Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Yuhana baru pulang daripada tempat kerjanya selepas lebih kurang setengah jam memandu seorang diri ke rumahnya di Serdang. Hatinya masih lagi panas kerana terpaksa balik lewat hari itu gara-gara pengurusnya yang suka memberi kerja di saat akhir.

 

      Kunci kereta dibaling ke atas meja sejurus sahaja Yuhana membuka pintu biliknya. Tudung ditarik, dan tubuh mongel Yuhana terus dilabuhkan ke atas katil. Peluh di dahi diseka, rambut panjang Yuhana masih diikat dengan gelang getah. Baju kurung yang dipakai sejak pagi dibiarkan. Rasa malas untuk mandi. Yang pentingnya Yuhana mahu berehat untuk seketika.

 

      Cahaya bulan yang menyinari daripada tingkap bilik Yuhana sudah cukup terang untuk Yuhana nampak barang-barang di sekelilingnya, maka Yuhana membiarkan lampu bilik tidak dibuka. Alat kawalan jauh untuk penghawa dingin dicapai daripada tepi bantal dan terus sahaja dihidupkan. Yuhana mengeluh. Blackberrynya senyap. Tiada apa-apa mesej daripada teman lelakinya Haris, maka pantas sahaja jari-jemari runcing Yuhana menekan-nekan punat Blackberry tersebut melepaskan kata-kata rindu.

 

      Muka Yuhana kelihatan letih dalam balam warna putih hasil lampu LED Blackberrynya. Leka melayan BBM dengan Haris, Yuhana tidak sedar ada lembaga berbulu sedang duduk di sudut biliknya; bergerak-gerak dalam gelap. Kelihatan seperti ia meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada ikatan. Seketika kemudian lembaga itu kelihatan berjaya meloloskan diri daripada ikatannya di tangan dan kaki; dan ia berdiri tegak dalam gelap. Hampir semeter tingginya.

 

      Lembaga tersebut mendekati kaki Yuhana yang terlunjur dan mengusapnya dengan tangannya yang berbulu. Yuhana masih lagi tidak sedar dan hanya menggerakkan kaki sedikit, refleks daripada efek kegelian dgn bulu lembaga tersebut. Kelihatan wajah lembaga tersebut sedikit mengerikan, dengan calar yang panjang di pipi serta mata yang hampir tercabut daripada soketnya.

 

      Perlahan-lahan beruang itu pergi ke meja solek Yuhana, dan dia ternampak dua jenis alat yang boleh dijadikan senjata. Gunting, dan pisau cukur bulu kaki. Kedua-duanya diambil dan dipegang di tangan kiri dan kanan. Ketika itulah baru Yuhana tersedar adanya sesuatu yang bergerak-gerak di meja soleknya. Cahaya daripada telefon pintar itu dihalakan ke arah meja solek..dan....

 

      “Ahhhhhhhhhhhhhhhhh!”

      Yuhana menjerit sekuat hati apabila melihatkan ada seekor beruang permainan yang hidup di dalam biliknya. Seekor teddy bear berwarna perang, berbulu lebat, dengan muka yang bercalar dan mata yang tersembul keluar, kini sedang memegang gunting bulu mata dan juga pisau cukur bulu kaki. Yuhana tidak pernah melihat teddy bear tersebut, dan dia menggigil; sehinggakan telefon pintarnya itu terjatuh daripada genggaman.

 

      Serentak dengan itu teddy bear tersebut melompat ke arah Yuhana dan menyerangnya dengan gunting. Apa yang dapat Yuhana rasakan hanyalah darah yang terpercik daripada perutnya sendiri akibat dirodok oleh gunting tersebut...

 

**************************************************************************

 

      “Urgh!!!”

 

      Yuhana terduduk. Tangannya refleks memegang perut. Tiada darah, tiada kesan rodokan. Malam masih lagi tenang. Terus Yuhana bangun dan memetik suis lampu, menyalakan lampu kalimantang. Tiada beruang berwarna perang. Gunting dan pisau cukurnya masih tercatuk elok di atas meja.

 

      “Astaghfirullah....”

 

      Yuhana hanya mengurut dada. Kenapakah pelik sangat mimpi yang tiba dalam tidurnya? Adakah petanda? Atau apa?

 

      “Sudahlah aku memang takut dengan teddy bear..” bisik Yuhana sendirian.

 

      Yuhana bangkit daripada katil dan terus ke bilik mandi untuk membersihkan diri, lalu menunaikan solat Isyak untuk menenangkan diri. Usai menunaikan tanggungjawab terhadap Yang Maha Esa, terus dia menyimpan gunting dan pencukur di dalam laci gobok. Yuhana berbaring kembali di kamar dan cuba melelapkan mata, namun kali ini lampu dibiarkan hidup. Yuhana terkebil kebil buat masa yang lama dan kali terakhir mata Yuhana tidak terkatup, jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi.

 

**************************************************************************

 

      Jam loceng Yuhana berdering pada pukul 7 pagi, namun akibat tidur lewat malam sebelumnya, Yuhana hanya bangun pada pukul 8 sambil memaki-maki diri sendiri. Jam loceng ditekan dan Yuhana bersiap sedia untuk ke pejabat dengan perasaan berat hati. Yuhana tiba pada pukul 9, lewat setengah jam daripada biasa.


      Mood Yuhana pagi itu memang tidak baik. BBM dihantar kepada Harris, tapi tiada balasan, menambahkan lagi kebengangan di pagi hari. Terasa hendak marah sahaja pagi ini. Surat yang diterima pagi itu di atas meja pejabat pun masih berlambak yang belum dibaca.

 

      Perlahan-lahan Yuhana membuka satu demi satu surat dengan pembuka surat. Sedang leka membaca surat dan mengasingkan mana yang penting dan mana yang patut ke tong sampah, satu suara menegurnya.

 

      “Cik, ada bungkusan untuk cik.” Penghantar bungkusan itu memakai baju seolah posmen, siap dengan topi besbol berlogo Federal Express. Tangan Yuhana laju sahaja menandatangan dokumen yang berkaitan, dan penghantar bungkusan itu berlalu pergi. Sebuah kotak siap dengan sekuntum bunga ros terlekat di atasnya, dengan sisipan kad kecil. Yuhana mengambil kad tersebut dan membaca isi kandungan yang ditulis.

 

      May your day become better than yesterday. Love you – Harris.

 

      Senyuman manis terukir di wajah Yuhana, dan bunga ros sekuntum itu diambil lalu dihidu. Wangi. Pembuka surat dicapai, dan kotak besar berwarna merah jambu itu dibuka. Seraya itu wajah Yuhana berubah.

 

      “Ahhhhhhhhhhh!!!”

 

      Yuhana menjerit. Tangannya yang masih memegang pembuka surat itu terus merodok isi kandungan dalam kotak tersebut berkali-kali, dan kotak itu dicampak ke tingkap. Tergolek sebuah teddy bear sebesar satu meter berwarna perang daripada kotak tersebut, dengan isi perutnya terburai mengeluarkan kapas-kapas putih.

 

      Di mata Yuhana, beruang tersebut terlalu menyerupai dengan apa yang datang dalam mimpinya semalam, walaupun beruang itu comel, tiada calar di muka mahupun tersembul biji mata.

 

      Seorang rakan pejabatnya yang kebetulan lalu di muka pintu pejabat Yuhana terperanjat melihatkan aksi Yuhana yang berserta jeritan. Beberapa orang rakan pejabat yang lain juga berkumpul di muka pintu.

 

      “Woi! Kau meroyan ke apa? Apa salah teddy bear tu kena rodok begitu?” tegur seorang rakan pejabatnya, Cik Mah.

 

      “DIAMLAH!” tempelak Yuhana, dan terus dia pergi ke pintu dan menghempasnya. Yuhana kembali ke meja pejabatnya, mencapai Blackberry dan terus BBM Harris.

 

      “Kita putus!”

 

      Dan rakan-rakan pejabat Yuhana masih termangu-mangu dengan tindak-tanduk Yuhana sebentar tadi. Ada yang mengangkat bahu, ada yang menggeleng kepala, ada yang bergossip sesama sendiri. Kesemua mereka berasa aneh dengan perangai Yuhana.

 

      Yuhana pula, terduduk di kerusi empuknya, namun nafasnya terus berderau laju tiap kali menjelingkan mata ke arah beruang yang kini tergolek dan terburai isi perutnya itu. Telefonnya berdering, panggilan masuk daripada Harris, namun tidak diangkat. Dalam hati Yuhana menyumpah seranah.

 

“Celaka punya beruang!”

 

Cerpen sebelumnya:
Cari
Cerpen selanjutnya:
Lara Hannah 1

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.5
2 Penilai

Info penulis

[re-arrange]

Easily triggered, hot - headed, stands by what I believe is right and logic man with a pride and ego. Have stands and my own principles. Logic before emotion. Emotionally cold and ignorant.Can be romantic at times (to the one whos dear for him), love to try everything new. Love to think, and take challenges as much fun. Ironic things cracks a laugh in me. Thoughtful is my forte. Follow my Twitter at @rearrange.
rearrange | Jadikan rearrange rakan anda | Hantar Mesej kepada rearrange

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya rearrange
Hilang | 3369 bacaan
Refleksi Diri | 3140 bacaan
Annoyingly Angry | 2234 bacaan
PCB#3: Saat Ginjalku Terhenti | 2882 bacaan
The Standing Ovation | 3627 bacaan
Fantasi Mental Gila | 2160 bacaan
Toyol Gendut Tali Kecapi | 3391 bacaan
Mata Hati Jiwaku | 4059 bacaan
Mahu Lekas Maju | 2421 bacaan
Monologku Seorang AA (Rewrite - Versi Sopan) | 3225 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

9 Komen dalam karya Beruang Itu Tak Bersalah!
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik