Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

UTERO

 



Hari ini mak aku bising lagi. Mak aku bising fasal bisingnya kebisingan yang aku bisingkan. Apa lagi kalau bukan putaran kali ke lapan belas juta darab infiniti cd In Utero. Album studio rilisan ketiga kugiran yang di mata kepala hati telinga jiwa serta segala anggota deria pancaindera aku adalah kugiran paling menggoncang alam semesta pernah hidup, walau kini mati. Sememangnya aku suka berbicara menggunakan gaya bahasa hiperbola. Begitu juga ironi. Ironi adalah konsep yang paling gemar aku bencikan. Ah, itu pula sudah jadi paradoks. Gemar dan benci bertautan. Kembali ke Nirvana. Yang sudah bersemadi di nirvana sudahnya. Walaupun hakikatnya hanya vokalisnya sebagai tonggak yang telah secara harfiah meninggalkan dunia ini, kugirannya bersamanya terkubur, namun impak yang mereka tinggalkan masih marak menyala apinya di dunia. Dan aku, aku yang sewaktu album ketiga yang sedang aku putarkan untuk kali ke infiniti dalam bilik aku yang menurut ibuku serupa kandang kambing ini, sewaktu album ini baru diriliskan, aku belum lagi dilahirkan. Aku yang hanya berusia hingusan satu tahun semasa dunia digemparkan dengan berita tragis yang telah membunuh Nirvana. Pembunuhan yang telah membunuh mereka. Pembunuhan diri. Tunjang kumpulan yang aku yakin atau mungkin hanya sekadar harap seantero semesta kenal jika aku katakan namanya Kurt Cobain. 5 April 1994, dia – beliau – ditemui dengan lubang berisi peluru berlumuran darah hampir pecah ranah di kepalanya. Dan senapang patah di tangannya yang sudah tidak bernyawa selama enam belas jam. Dan serbuk putih yang namanya beritma sama dengan nama penghidunya, kokain. Dan waktu itu, di bilik bawah tanah rumah agam Kurt Cobain itu, sedang berkumandang tersekat-sekat dari cakera padat, lagu kumpulan R.E.M. Ramai yang cuba menafikan hakikat bahawasanya orang sehebat Kurt Cobain telah menamatkan riwayat sendiri. Walhal hidupnya cukup gah, cukup gah untuk dijadikan subjek hasad dengki insan lain. Insan lain yang dispekulasikan telah membunuh Kurt Cobain tetapi cuba memberikan gambaran seakan Kurt Cobain yang telah mencabut nyawanya sendiri. Insan lain itu, menurut spekulasi-spekulasi insan-insan dalam penafian, adalah isteri Kurt Cobain sendiri, Courtney Love.  Aku tak percaya ini. Aku tak percaya pada penafian. Dan disebabkan itulah, hari ini, sedekad selepas pemergian insan hebat wira aku itu, Kurt Cobain, hari ini hari aku. Aku enggan menafikan lagi, enggan menanti tanpa pasti perkara yang paling pasti dalam kehidupan. Sebab itulah, cd R.E.M kini sudah berada dalam tanganku, berjaya aku temui setelah sekian lama mencari. Begitu juga serbuk putih. Cuma senapang patah tidak berjaya aku dapatkan. Tak mengapa, hidup (dan mati) perlukan improvisasi. Aku sudah sedia setelah sekian lama membuat persediaan. Ini perkara paling penting dalam seluruh hidup aku, hidup yang bakal ditamatkan sebentar lagi. Signifikannya bagi aku untuk melakukannya pada tarikh dan waktu yang sama, dalam keadaan yang hampir sama, cuma bezanya, sedekad lewat. 5 April 2004, jam 4.23 petang, itu masa yang dinanti-nantikan. Warkah terakhir, tidak aku coretkan, melainkan tulisan menggunakan Colgate di cermin bilik air, ini yang aku tuliskan, “Sejak usia tujuh tahun, aku sudah menjadi benci pada semua yang umumnya bergelar manusia.”. Itu petikan pernyataan Kurt Cobain sendiri, dialih bahasa. Aku harap ayat 14 perkataan itu dapat menyimpulkan perbuatan aku ini, semudah itu. 2.23 pm, dua jam lagi. Aku turun ke dapur, aku duduk, aku makan hidangan terakhir air tangan mak aku. Waktu itu mak aku bising mengenai In Utero. Aku diamkan saja, aku tersenyum. Dia berang. Dia rampas pinggan berisi daging masak merah yang terhidang di depanku, dia lempar ke mukaku. Merah mukaku terkena kuah masak merah. Bukan merah kerana aku marah, tidak. Aku tenang, aku tersenyum, aku bangun berdiri, aku meninggalkan mak. Tanpa sepatah kata. Buat selama-lamanya. Dalam hatiku, aku wasiatkan In Utero itu buat mak. Ironi lagi. Insan yang pernah meng-in utero-kan aku. In utero itu menggambarkan keadaan manusia semua sebelum dilahirkan. Sembilan bulan dalam rahim ibu yang menggendong kita kepenatan – dan mungkin bagi mak aku, kebencian. Satu jam setengah sudah aku di tingkat teratas rumah pangsapuri dua puluh lima tingkat di tengah bandaraya kota berlumpur ini. Dekat dengan matahari yang semakin rendah, jauh dari ketenangan. Bingit kota di bawah. Namun aku pujuk diri aku, selepas ini bakal aku bersemadi dengan ketenangan selama-lamanya. 4.15 pm. 4.16 pm. 4.17 pm. 4.18 pm. Aku tekan on pada pemain cakera padat yang telah aku bawa naik bersama. CD R.E.M. sudah sedia untuk diputarkan. Trek yang sama dinikmati oleh corong telinga Kurt Cobain sebelum dia dipekakkan selama-lamanya. Automatic. 4.19 pm. Aku masih mencakar langit. 4.20 pm. Aku di penjuru hujung bumbung. 4.21 pm. Aku tutup mata. 4.22 pm. Aku burung terbang melayang tanpa payung terjun. 4.23 pm. Aku berperang melawan hukum fizik. 4.24 pm. Ada daging segar tenggelam dalam kuah merah di atas tanah bahagian paling bawah bangunan mencakar langit itu. Jeritan dan hiruk pikuk kenderaan di jalanan tidak lagi kedengaran. Hanya Automatic – R.E.M. di gegendang, selama-lamanya. Senyuman yang sudah terjahit berkekalan di wajah yang kini umpama lempeng merah. Dan aku harap, seperti nasib Kurt Cobain, turut bagi aku, ada insan-insan yang berspekulasi dalam penafian. Aku harap, orang yang menjadi mangsa spekulasi penafian itu, adalah manusia yang begitu bertaut dengan In Utero itu. Mak aku. Yang suka bising itu.

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Salam Ezralsya!
    Selepas 2 tahun, mengorak langkah menghantar karya pula. Tahniah!

    Tulisan sealiran dengan Kamalia. Hehe.

    Pemerengganan perlu diperbaiki. Mungkin akibat skripting dalam format yang dicopy.
  • 2) Ini noir. Mmg cukup noir.
  • 3) IN UTERO.

    tulisan ni lagi elok tak ada perenggan rasanya. pendapat saya la.

Cerpen-cerpen lain nukilan ezralsya

Read all stories by ezralsya
No stories.