Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Refleksi Diri

Cerpen sebelumnya:
Gadis genit tingkat 14
Cerpen selanjutnya:
Kerana seekor lembu dan sebatas sayur

      Nathalia duduk di tepi tasik seorang diri sambil membaling batu-batu kerikil halus membentuk pusaran kecil di dalam air. Setiap batu yang dibaling masih tidak melegakan air mata yang terus-terusan mengalir keluar. Pipinya masih basah dengan air mata; matanya sudah mula bengkak dan merah. Geramnya hati Nathalia apabila buat sekelian kalinya, dia ditinggalkan teman lelaki yang baru dikenali beberapa bulan yang lalu.

 

      Ini bukanlah kali pertama dia bercinta dan hatinya retak seribu ditinggalkan tanpa sebab yang kukuh, tapi entah kenapa, kali ini hatinya paling terusik sehinggakan dunia rasa tak bermaya. Nathalia mengeluh lagi, melepaskan berat dalam hati. Gadis Melayu dengan nama moden itu masih lagi tidak dapat menerima hakikat sudah dua jejaka yang menolak cintanya, dalam jangka masa yang terlalu singkat.

 

      Mamat, teman rapatnya yang masih tidak jemu meneman Nathalia setiap kali jiwanya kacau, memilih untuk duduk di bawah pokok sambil menghisap rokok. Nathalia tidak tahan dengan bau rokok, namun Mamat memerlukan dos nikotinnya setiap kali tamat Nathalia bercerita dengannya. Bagi Mamat, cerita Nathalia, walaupun menarik untuk didengar, boleh menjadi mual apabila setiap kali diulang benda yang sama. Bagi Mamat, Nathalia memerlukan masa untuk hadam sendiri pengajarannya.

 

      “Biarkan dia melayan perasaan dahulu, lepas ini baru aku berbicara..” detik hati kecil Mamat.

 

      Nathalia mula berbaring di tepi tasik. Orang ramai yang lalu lalang di sekitar tidak diendahkan. Tudung Nathalia sudah mula senget benget. Mamat mematikan puntung rokok kedua yang sudah habis dan pergi duduk memeluk lutut di sebelah Nathalia. Nathalia mengesat air mata dan berpura-pura seperti tiada apa-apa. Setiap perlakuan Nathalia diperhatikan Mamat dengan senyuman terukir di wajah.

 

      “Apa?” bentak Nathalia apabila sedar Mamat tersenyum sambil memerhatikannya.

 

      “Tak ada apa-apa. Puas dah awak menangis?” ujar Mamat.

 

      “Diamlah.”

 

      Suasana hening seketika. Nathalia melayan perasaan sendiri, dan mata Mamat masih lagi terpaku pada seraut wajah Nathalia yang mulus, putih, dan sungguh ayu.

 

***********************************************************************

 

      “Nath..”

 

      Nathalia hanya mengangkat kening sebagai respons. Matanya masih terkatup rapat, terlelap buat sementara tadi apabila dibuai angin petang sepoi bahasa. Apa pulak lah Mamat ni nak...

 

      “Kenapa awak menangis pasal Hairul tinggalkan awak? Awak baru sahaja kenal dia kot. Benda yang sama macam apa yang jadi bila Amrul pun buat tak layan dengan awak, tapi masa Amrul...tak ada pulak awak menangis tersedu-sedan begini..”

 

      “Entahlah Mamat. Hal hati saya tak tahu nak kata. Waktu saya perang dingin dengan Amrul, Hairul ada di sisi saya. Amrul tiba-tiba merajuk pada saya tanpa saya tahu apa sebab sebenar, dan kitorang masih tak rapat. Berperang ego saya dengan dia. Tapi dengan Hairul, entah apa silapnya. Kitorang dah rapat dan setiap pagi ada mesej selamat pagi...jadi bila tiba-tiba dia menjauhkan diri...” Nathalia mengeluh sekali lagi.

 

      “Kenapa, awak rindukan dia? Mesej selamat pagi dia setiap hari yang hilang tu awak rindu ye?” tembak Mamat.

 

       Senyum tawar dan hambar terlukis di wajah Nathalia.

 

      “Bolehlah kata macam tu kot..perhatian yang dia bagi tu yang saya rindu..”

 

      Mamat cuma tergelak kecil mendengarkan jawapan Nathalia.

 

      “Attention seeker jugak awak ni kan.. aduh!” Mamat mengaduh kecil apabila tangan Nathalia terus sahaja mencubit lengan Mamat apabila mendengarkan gelak kecil Mamat.

 

      “Sakitlah awak! Hish, dalam manja-manja pun garang! Tau-tau menyengat je macam kala jengking!” rungut Mamat.

 

      “Diamlah! Orang tengah jiwa kacau awak suka nak mengusik saya gak tau! Geram!” Nathalia mengalih pandangan sambil menjeling Mamat. Mamat cuma tersenyum simpul melihatkan telatah comel Nathalia yang seakan-akan merajuk.

 

***********************************************************************

 

      “Nath, kalau saya beri pandangan saya, jangan marah eh?” Mamat bersuara selepas mendiamkan diri melayankan rajukan Nathalia.

 

       “Taknak dengar. Merajuk.”

 

      Mamat tergelak besar. Sebatang rokok dikeluarkan daripada kotak dan terus dinyalakan. Nathalia cuma mengerutkan hidung tanda tidak suka, namun tidak pula dihentikan perbuatan Mamat.

 

       “Alah, angin tak tiup hala awaklah, tak kena asap kat baju awak tu. Wangi je awak ni.” celah Mamat melihatkan reaksi kerut hidung Nathalia. Nathalia hanya mencebik. Mamat menyedut asap rokok dalam-dalam sebelum meneruskan kata-kata.

 

       “Awak salahkan Hairul, awak salahkan Amrul, sebab tinggalkan awak tanpa kata, merajuk tanpa sebab, sebab tak faham isi hati awak kan?”

 

        Nathalia hanya mengangguk.

 

       “Pernah tak awak salahkan diri sendiri? Cuba untuk melihat refleksi awak sendiri dalam cermin, dan tanyakan adakah awak punca segalanya berlaku? Awak kenal dengan diri awak sendiri tak agak-agak?” sambung Mamat.

 

       Nathalia tersentak. “Maksud awak? Saya yang jahat ke camne?”

 

      “Tidak, saya tak kata awak jahat. Jauh sekali nak kata awak nakal, main-main atau apa-apa. Tapi, bagi saya, mungkin awak yang tak bersedia untuk hubungan yang serius kot? Awak meminta layanan yang hebat seperti puteri, tapi mungkin cara awak seperti menganggap mereka seperti hamba abdi.”

 

      “Mana ada....” lemah sahaja jawapan yang diberikan oleh Nathalia.

 

      “Apa yang awak harapkan daripada sebuah perhubungan, sebenarnya?”

 

     “Saya tak harapkan apa-apa. Biarlah dia tak ada harta, rupa, atau apa-apa, cukuplah kalau dia menyayangi saya..” jawab Nathalia.

 

      “Cliche sangat jawapan awak tu. Jangan menidakkan naluri manusia, Nath. Kita semua mahukan yang terbaik untuk diri sendiri. Mungkin awak kata cukup jika dia boleh menyayangi awak, buat awak gembira, tapi katakanlah, jika awak berkahwin hanya atas dasar gembira, boleh buat perut awak kenyang kalau si dia tak bekerja?”

 

      “Alah...orang kata kalau dah suka, mestilah sanggup buat apa saja kan? Susah senang bersama. Takkanlah bila kahwin nanti, dia tak hendak berkerja langsung?” bentak Nathalia.

 

       “Jadi awak memang harapkan perhubungan awak biar sampai ke jinjang pelamin lah kan? Pernah tak awak terfikir, selepas kahwin, macam mana?” Mamat meneruskan perangkapnya.

 

        Nathalia terdiam.

 

       “Fasa bercinta ni memang sedap, Nathalia. Orang kata, rindu tu sakit, tapi dalam sakit tu ada sedapnya. Perasaan manusia memang aneh. Kalau boleh hendak dibelai selalu. Kalau boleh hendak dimanja selalu. Sedangkan apabila Hairul senyap pun awak dah rasa sakit dan tersisih kan?”

 

       Nathalia mengangguk perlahan.

 

      “Hati itu tiada logika. Tapi logik akal tetap kena ditanya. Itu yang awak kena ingat Nath. Jangan terlalu mengikut perasaan, takut nanti terbenam ke gelandangan.”

 

      “Amboi. Apsal ayat awak ni berbunga-bunga sangat ni? Gelandangan bagai. Haha! Straight to the point please!” Nathalia tergelak mendengarkan puitis ayat Mamat.

 

       Mamat ikut sama tergelak. “Cis, babi, apsal ayat aku macam jiwang sangat ni” getus hati kecil Mamat.

 

       “Okeylah, maksud saya macam ni Nath. Pada sayalah, awak dambakan perhatian. Awak perlukan seseorang untuk melayan awak setiap masa, mengikut mood awak yang turun naik sentiasa. Dalam masa yang sama, awak lupa yang awak masih lagi dalam fasa berkawan – fasa mengenal hati budi. Mungkin ada sesuatu yang awak buat yang boleh membuatkan Hairul atau Amrul berkecil hati?”

 

      “Mungkin jugalah. Hari itu Hairul datang daripada jauh untuk makan sekali dengan saya, tapi saya sibuk melayan kawan-kawan yang lain. Tapi...kalau diikutkan, kitorang masih lagi belum couple atau apa, kenapa dia nak terasa hati?” Nathalia masih lagi melawan dan merasa tidak puas hati.

 

      “Itulah apa yang saya cuba nak katakan. Korang ni kadang-kadang saya lihat macam terlalu cepat untuk melangkah ke fasa seterusnya sampaikan lupa dunia. Memanglah ayat dan segala kind gestures dia boleh buat awak terbuai, tapi janganlah sampai terlalai. Itu yang boleh terbabas nanti. Expectation masing-masing dah lain. Tak ada give and take kadang-kadang. Awak asyik nak take sahaja..” bebel Mamat.

 

       “Dah mula nak membebel lah tu..” Nathalia memuncungkan bibirnya.

 

       Mamat tergelak besar sekali lagi. Nathalia memang pantang jika ada yang membebel. Rasa ego dalam diri femininnya amat kuat. Tidak mungkin Nathalia akan membenarkan seseorang itu merendahkan kastanya. Nathalia, tipikal seperti wanita sebaya dengannya; yang masih lagi belum mencecah suku abad, amat mudah terbuai dengan layanan baik seorang lelaki dan akhirnya bertindak mengikut hati dan perasaan sendiri. Kemudian, sendiri yang rasa peritnya apabila tidak dilayan walau sehari.

 

      Mamat mencampakkan puntung rokoknya yang sudah sampai ke penghujung dan mengeluarkan rokok seterusnya untuk dinyalakan. Bebelan Mamat diteruskan apabila bara mula menyala di hujung rokok.

 

      “Macam ni lah Nath, bagi saya, jangan jadi terlalu desperate untuk mempunyai seorang boyfriend. Cinta itu akan datang apabila tiba masanya. Awak tu memang manja, itu amat obvious. Tak salah untuk bercinta, tak salah untuk mempunyai seorang boyfriend, tapi pilihlah dengan lebih berhati-hati. Tak salah juga untuk kita mengambil masa mengenal hati budi seseorang kan?”

 

      “Hmm..yelah.. eh kejap, awak nak kata saya desperate ke macam mana ni?” terus sahaja jari-jari runcing Nath mencubit lengan Mamat lagi.

 

      “Adoii adoii! Tak, bukan desperate macam tu maksud saya, tapi awak terlalu mengejar cinta. Usaha memang perlu, tapi kalau terlalu nakkan sesuatu tu, bila tak dapat, apa awak rasa?” Mamat masih lagi menggosok-gosok lengannya yang dicubit.

 

       “Hisyh, kala jengking betul la dia ni!” kata Mamat dalam hati.

 

       Nathalia cuma terdiam apabila mendengarkan hujah Mamat.

 

      “Tak boleh la Mamat...itu bukan saya...kalau saya nakkan sesuatu...memang itu la yang saya nakkan...tidak boleh tidak...”
 

      Dan Mamat hanya menggeleng-gelengkan kepala mendengarkan jawapan ikhlas Nathalia. Rokok disedut perlahan-lahan. Asap rokok terus dihembus seperti naga.

 

***********************************************************************

 

      Matahari sudah mula hendak menyembunyikan diri. Orang ramai di sekeliling tasik sudah mula surut. Kanak-kanak sudah mula dihambat untuk pulang ke rumah masing-masing oleh ibu bapa. Warna jingga sudah mula menyinari permukaan tasik. Nathalia kini hanya merenung ke permukaan tasik, dengan mata yang menyembunyikan seribu satu rasa. Cuba untuk memandang refleksi diri sendiri yang kini sudah bengkak mata akibat menangis sebentar tadi.

 

      “Entahlah Nath...sukar untuk berbicara soal hati..” ujar Mamat tanpa dipinta.

 

      “Hmmm....”

 

      “Sudahlah Nath, jomlah kita gerak.”

 

      “Kejap lagilah....”

 

      Mamat mengeluh. Perlahan-lahan dia mendekati Nathalia dan meletakkan tangan di bahu Nathalia.

 

      “Nath...ini nasihat terakhir saya untuk hari ini. Do not stare too long at the closed door, until you missed the sight of another door opened for you...” seraya itu Mamat berdiri di sebelah Nath.

 

      “Is there another door?” tanya Nath.

 

     “Yes, dan kadang-kadang awak yang tak perasan ada orang lain sayangkan awak, sedangkan ia ada di depan mata awak..”
 

      Nathalia terpana dan terus menoleh memandang Mamat. Mamat hanya tersenyum, dan menghulurkan tangan untuk menarik Nathalia berdiri. Tangan Mamat tidak bersambut. Rambut Mamat terbuai ditiup angin menyerlahkan kekacakan wajahnya yang tersembunyi selama ini.

 

      Mata Nathalia masih lagi buntang merenung mata Mamat, cuba merungkai enigma kata-kata Mamat sebentar tadi. Mamat cuma mengangkat kening turun naik.

 

      “Siapaaa?” rengek Nathalia, dengan muka penuh blur dan innocent; masih tidak faham. Dan Mamat cuma mampu menepuk dahi mendengarkan jawapan Nathalia... 

Cerpen sebelumnya:
Gadis genit tingkat 14
Cerpen selanjutnya:
Kerana seekor lembu dan sebatas sayur

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
5.0
2 Penilai

Info penulis

[re-arrange]

Easily triggered, hot - headed, stands by what I believe is right and logic man with a pride and ego. Have stands and my own principles. Logic before emotion. Emotionally cold and ignorant.Can be romantic at times (to the one whos dear for him), love to try everything new. Love to think, and take challenges as much fun. Ironic things cracks a laugh in me. Thoughtful is my forte. Follow my Twitter at @rearrange.
rearrange | Jadikan rearrange rakan anda | Hantar Mesej kepada rearrange

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya rearrange
Hilang | 3240 bacaan
Beruang Itu Tak Bersalah! | 2430 bacaan
Annoyingly Angry | 2169 bacaan
PCB#3: Saat Ginjalku Terhenti | 2771 bacaan
The Standing Ovation | 3494 bacaan
Fantasi Mental Gila | 2071 bacaan
Toyol Gendut Tali Kecapi | 3292 bacaan
Mata Hati Jiwaku | 3953 bacaan
Mahu Lekas Maju | 2341 bacaan
Monologku Seorang AA (Rewrite - Versi Sopan) | 3088 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

5 Komen dalam karya Refleksi Diri
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik