Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Jenaka

Temanku si mamat hitam

Cerpen sebelumnya:
Perang Tetikus
Cerpen selanjutnya:
dan akhirnya

SURAYA pandang pokok padi yang meliuk lentuk ditiup angin.  Perasaannya turut sama terbuai-buai bersama angin yang meniup daun padi. Sesekali dia mendongak melihat langit yang mula mendung.  Daun pokok kerian yang jatuh melekat atas rambutnya ditarik perlahan.

Puas memandang sawah, matanya beralih pula ke arah sekawan burung yang terbang rendah  dan bertenggek di batas sawah.  Burung –burung itu kembali terbang dan singgah pula di batas lain.

“Kalaulah aku jadi burung…alangkah indahnya..ke sana ke mari..terbang sesuka hati..” Suraya senyum sendiri.

Dia merenung pula ke kiri. Padi yang menguning mula tunduk. Sayup mata memandang. Tunggu masa dituai.

“Kalaulah aku jadi padi …alangkah indahnya..semakin tunduk semakin berisi..” Suraya senyum lagi.

Matanya melekat pula pada sekumpulan itik yang terkedek-kedek berjalan. Seekor itik putih berada di hadapan sekali, diekori beberapa ekor itik yang lain berjalan berbaris di sepanjang batas sawah.  Itik putih mula berenang di petak sawah. Berangkai-rangkai itik lain mengekori itik putih.

“Kalaulah aku jadi itik..alangkah indahnya..ke mana pergi..sentiasa ditemani…” Suraya mula gelak sendiri.

Puas melihat itik berenang, dia merenung pula sederet semut hitam yang merayap di batang kerian. Deretan semut merayap membawa sebutir padi ke atas pokok.

“Kalaulah aku jadi semut..alangkah indahnya..sama-sama berkongsi rezeki..” Suraya tenung semut lagi.

Matanya mula tertancap pada sekumpulan lembu yang memagut rumput. Petak sawah yang terbiar dipenuhi lalang dan rumput, menjadi tempat mencari makanan.

Suraya diam. Dia hanya memerhati dari jauh.

“Ah! Aku tak mungkin jadi lembu..tak ada yang boleh dibanggakan..”

Lenguh duduk, Suraya berdiri. Pinggangnya digerakkan  ke kiri dan ke kanan. Ah! Lega….

“Hish! Lambat pulak mamat ni!” Suraya berpaling ke suatu sudut. Mamat berkulit hitam sedang leka menikmati makanan.

Suraya tidak berani dekat. Sejak dulu dia memang tidak berani mendekati mamat hitam itu. Namun setiap petang juga dia kena menemani mamat itu di situ. Balik sekolah, selesai kerja sekolah, dia akan bersiap ke sawah bersama mamat hitam itu. Entah kenapa suka benar mamat hitam itu padanya. Apa yang pasti ayahnya merestui dia keluar bersama mamat hitam itu. Itu yang penting!

“Aku ni manis kut….sweet seventeen..” Suraya ketawa terkekeh-kekeh.

Dia renung lagi mamat hitam yang masih leka menikmati makanan.

“Hmm..kau sungguh gagah! ” Suraya mula bangga.

Dilihatnya awan semakin mendung. Angin pula semakin kuat bertiup. Dia mula merapati temannya dan pulang bersama.

 

 

BEGITULAH setiap hari yang dilalui Suraya. Hatinya puas. Rasa sakit hati dengan Zaki di sekolah lenyap bila saja dia dapat bersama mamat hitam. Setiap petang mereka akan bersama ke sawah. Mamat hitam itu sibuk dengan kerjanya dan Suraya pula hanya tunggu sambil menikmati keindahan sawah yang terbentang luas ditemani burung dan itik. Kadang-kadang dia sanggup membawa sekali buku sekolah semata-mata ingin bersama mamat hitam.

Sehinggalah satu petang…Suraya dan mamat hitam  mula tidak sehaluan. Entah apa yang merasuk otak mamat hitam itu. Mamat hitam itu mula marah-marah. Jenuh Suraya pujuk tapi tidak dihiraukannya.

Suraya mula pening. Hanya mamat hitam itu saja yang menjadi teman di kala petang.  

“Apa salah aku?” Suraya pandang mamat hitam itu.

Mata mamat hitam itu mula tajam. Suraya masih tidak puas hati. Entah apa yang tak kena mamat hitam hari itu. Tiba-tiba menyinga! Dia mula merenung mamat hitam. Mereka bertentang mata sejenak.

Suraya masih bingung. Buku sekolah di tangannya masih digenggam kemas. Selalunya mamat hitam itu tidak begitu sikapnya. Dia mula resah. Mata mamat hitam itu semakin tajam merenungnya.

“Kau jangan mengada-ngada...selama ini aku jadi teman setia kau!” Suraya mula cekak pinggang. Bimbang mamat hitam itu naik minyak dan terus menerkamnya. Aku tau la aku ni sweet! Getus hatinya sendiri.

Mamat hitam seolah tidak ambil pusing kata-kata Suraya. Dia terus merenung tajam batang tubuh Suraya yang montok.

“Kau jangan gatal! Aku lempar batu ni baru kau tahu!” Suraya semakin gelisah. Dia masih mencari punca sebenar yang terjadi. Tiba-tiba mamat hitam itu merenungnya begitu, seolah ingin meratah tubuhnya.

Dilihat sekeliling. Semuanya seperti biasa. Apa yang tak kena??

Dipandang pula dirinya sendiri. Dari hujung kaki hingga hujung rambut.

“Ya Allah!” Suraya mula gelisah. Seluar pendek paras lutut dan baju kemeja ketat  tersarung indah di tubuh gebunya. Dia renung semula mamat hitam yang tidak berkelip melihatnya dari tadi. Jaraknya hanya seratus meter saja dari mamat hitam itu.

“Kau jangan rapat! Aku tahu aku pakai macam ni tapi aku bukan sengaja nak goda kau..aku  tak sengaja!” Suraya mula undur setapak demi setapak bila mamat hitam itu mula bergerak ke arahnya.

Setapak mamat hitam itu melangkah, dua tapak Suraya undur ke belakang. Semakin laju mamat hitam mendekati Suraya, semakin laju Suraya melangkah. Kali ini dia terus berpaling dan mula langkah seribu berlari.

 

 

SURAYA termengah-mengah menahan nafas. Penat berlari masih belum reda. Dia segera ke pangkin yang terletak di bawah pokok ketapang.

“Kenapa ni Su?” Pak Husin pandang Suraya.

“Mulai esok Su tak nak temankan mamat tu lagi! Dia dah naik minyak!” Suraya duduk di pangkin.

“Kenapa? Apa yang dia dah buat kat kamu?” Pak Husin ternyata kurang senang dengan jawapan Suraya.

“Dia nak terkam Su. Su cabutlah!” Suraya letak buku yang masih tergenggam kemas di tangannya.

Pak Husin pandang Suraya atas bawah. Dia mula ketawa.

Suraya bingung tiba-tiba ayahnya ketawa terbahak-bahak.

“Su..lain kali jangan pakai macam tu. Mamat tu memang miang!” Pak Husin masih ketawa.

Suraya semakin bingung. Ingatkan ayahnya nak marah sebab dia pakai seksi tapi sebaliknya dia ketawa pula.

“Yang Su pakai warna merah menyala tu kenapa? Ingat! Memang padanlah mamat tu naik minyak!” Pak Husin ketawa lagi.

Suraya masam. Nasib kaulah kerbau! Aku dah tak hingin jadi teman kau lagi!

Cerpen sebelumnya:
Perang Tetikus
Cerpen selanjutnya:
dan akhirnya

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
4 Penilai

Info penulis

ciksal

Hidup biarlah berlandasan..
ciksal | Jadikan ciksal rakan anda | Hantar Mesej kepada ciksal

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ciksal
Suku Suku | 9065 bacaan
Aku Tak Nak Mati Lagi! | 9506 bacaan
Dan Ku Cari Kamu | 2592 bacaan
Sebuah Harapan | 2800 bacaan
Kau Jodohku | 4609 bacaan
Mencari Jalan Pulang | 3789 bacaan
Kerana Biji Gajus | 3387 bacaan
Begitukah? | 2667 bacaan
Dendam Hani | 10479 bacaan
It\\\'s Too Late To Apologise | 2866 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

9 Komen dalam karya Temanku si mamat hitam
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik