Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Suami Isteri

Adam + Hawa

Cerpen sebelumnya:
Elemen
Cerpen selanjutnya:
Suatu Malam...

HAWA merenung ikan kelisa dalam kolam. Begitu seronok ikan-ikan itu berenang ke sana ke mari. Lama dia merenung ikan-ikan peliharaannya bermain sesama sendiri. Namun hatinya masih resah. Tidak seperti ikan kelisa itu yang seronok berenang. Sesekali muncul di permukaan air menangkap butiran makanan yang ditabur tadi.

Wajah Hadi mula bermain di ruang mata. Mungkin hidupnya tidak seperti sekarang jika Hadi menjadi suaminya. Dia begitu mengharapkan lelaki seperti Hadi menjadi suaminya. Wanita baik untuk lelaki baik. Namun dia perlu akur ketentuan Tuhan. Jodoh pertemuan adalah di tanganNya.

'Wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik pula.'

(An Nur: 26)

Fikirannya melayang jauh mengenangkan kehidupan yang dilalui tidak seperti orang lain. Kehidupan yang dirasakan sungguh jijik.  Sungguh hina.  Namun tiada siapa yang tahu gejolak jiwa, hati dan perasaannya.

Tiga tahun dia  melayari bahtera bersama Adam. Tiga tahun juga dirasakan dia berada di alam yang sukar baginya. Kehidupannya bagaikan berada di dalam sebuah alam lain, alam menakutkan..alam neraka!

Hawa kesat air mata dengan hujung jari. Matanya melirik ke arah anak kecil yang bertatih riang bermain di sebalik pokok-pokok bunga yang menghijau di laman.  Jika bukan kerana Alisha, sudah lama dia tinggalkan tempat neraka itu. Jiwanya terseksa.

          “Hawa! Mari makan nak!”

Hawa menoleh. Ibunya sudah tercegat depan anjung rumah. Di tangannya ada dulang berisi sepinggan kuih dan teko. Dia terus mendekati Alisha dan tangan kecil anak itu memaut jari Hawa berjalan terkedek-kedek menuju ke anjung.

Datin Robiah senyum. Alisha didukung penuh sayang. Dicium pipi kiri kanan. Satu-satunya cucu yang dia ada. Hawa senyum. Kasih benar ibunya dengan Alisha.

          “Hawa..sudahlah. Mari makan.”

Hawa pandang lagi ibu tua itu yang entah ke berapa kali meluahkan rasa kesal. Kesal kerana memaksa Hawa bernikah dengan Adam. Kesal kerana tidak pernah tanya hati dan perasaannya dulu sebelum mengambil Adam sebagai menantu.

         “Hawa..maafkan mama. Tak sangka begini kesudahan rumah tangga kamu.”

Entah buat ke berapa kali ibunya memohon maaf. Hawa senyum. Bukan salah ibunya. Setiap ibu inginkan kebahagiaan untuk anaknya. Cuma setiap manusia tidak boleh meramal masa akan datang. Adakah sama seperti hari ini, atau lebih baik dari semalam. Itu semua kerja Tuhan. Manusia hanya merancang yang terbaik.

        “Mama..bukan salah mama. Bukan juga salah Hawa.”

Datin Robiah senyum tapi hambar.

Hawa pandang Alisha yang manja atas riba neneknya. Alisha galak menepuk meja. Anak sekecil itu hanya tahu seronok. Bermain. Bergurau. Menangis. ..

        “Jadi..sekarang macam mana?”

Hawa pandang pula ibunya.

        “Mama..Hawa tak akan balik lagi ke rumah tu. Rumah tu sudah seperti neraka. Esok, Hawa akan memohon cerai di mahkamah.”

Datin Robiah hanya diam. Perasaan bersalah masih menebal. Tidak sangka pilihannya sendiri membuat onar begitu. Dia sendiri tidak percaya. Berbuih mulut Hawa bercerita tapi semuanya dianggap seperti angin yang membawa cerita palsu. Cerita yang tidak masuk akal.

         “Hawa dah fikir masak-masak?”

Hawa angguk. “Hawa dah nekad!”

Kopi panas dihirup perlahan. Alisha masih menepuk meja sambil tersenyum. Alisha satu-satunya zuriat yang ada. Kenangan melahirkan Alisha seorang diri. Menahan sakit seorang diri. Semuanya masih segar di ingatan. Kenangan bersama Adam pula terasa seperti sembilu tajam. Pedih! Wajah kacak Adam ternyata palsu. Palsu segala-galanya. Nyata Hawa tidak boleh terima Adam lagi.

*************

TIGA tahun yang lalu..

          “Hawa, mama tak suka Hadi tu. Kerja apa yang dia ada! Hanya pegawai biasa. Apa yang dia boleh bagi nanti?” Datin Robiah jeling Hawa yang tunduk membisu di sofa.

Hawa dongak. “Mama..walaupun Hadi kerja biasa tapi dia padat dengan ilmu agama. Itu yang hawa cari dari calon suami Hawa.”

Datin Robiah berdiri depan Hawa yang masih duduk di sofa.

Hawa dongak lagi. Kali ini ibunya sudah bercekak pinggang. Drama mereka tak ubah seperti babak Ibu MertuaKu. Terasa diri berada pada watak Sabariah.

          “Mama tak setuju! Tak ada lagi keturunan kita berkahwin dengan anak petani! Bulan depan Hawa akan dinikahkan dengan Adam. Anak Tan Sri S. Titik!”

Begitu tegas kata-kata Datin Robiah.

Hawa hanya mampu menangis. Memang dia tidak pernah kenal siapa Adam. Seminggu dia berkurung dalam bilik. Setiap kali lepas solat dia menadah memohon dilembutkan hati ibunya.

******************************

HAWA pandang Adam yang tersenyum padanya. Dia akui Adam memang kacak. Tinggi, putih, badan sasa. Semua lengkap. Persis seorang model kacak. Ada syarikat sendiri. Segala-galanya sempurna. Nyata pilihan ibunya cukup sempurna. Tiada cacat celanya.

         “You Hawa kan?” Adam hulurkan tangan untuk bersalam.

Hawa hanya jeling. Salam tidak bersambut. Bukan dirinya untuk bersentuhan dengan bukan muhrim.

          “Ok! Fine! So, you buat apa sekarang?” Adam masih tercegat di depan Hawa.

         “Nothing to do with you!” Hawa malas layan.

         “Hmm…ok!” Adam senyum. Dia pandang Hawa atas bawah. Gadis itu diamati. Baju kurung biru gelap dan bertudung biru muda. Huh! Kolot! Desis hatinya.

Hawa jeling lagi Adam yang merenungnya tidak berkelip. Faham dengan riak Adam begitu. Adam dikelilingi gadis-gadis seksi dan moden. Memang jauh beza gadis-gadis itu jika dibandingkan dengannya. Setiap kali  Tan Sri S buat majlis, Adam begitu leka melayan gadis-gadis seksi itu dan juga kawan lelakinya yang dirasakan sepadan dengannya. Serasi dengannya. Rentak mereka sama.  Adam ralit dengan teman-temannya. Namun tidak sedikit pun dia cemburu. Kalau boleh masa itu juga dia ingin meninggalkan tempat itu.  

Adam mula pegang tangan Hawa bila melihat Datin Robiah melangkah ke arah Hawa. Senyum.

Datin Robiah bangga melihat Adam mudah bergaul dengan anaknya. Memang sudah kena dengan nama mereka berdua. Adam Hawa!

         “So, It’s good.. to know each other.” Datin Robiah senyum lagi. Dia berlalu pergi.

Hawa hanya jeling ibunya yang tersenyum bangga dengan Adam. Adam kenyit mata padanya. Hawa pandang lain. Tangannya direntap kuat. Terasa sakit digenggam tiba-tiba oleh Adam tadi. Huh! Nak muntah!

Adam hulur segelas jus guava kepada Hawa. “Come on! Take this!”

Hawa masih diam kaku. Tidak berani dia mengambil minuman itu. Entah dadah apa yang dibubuh. Bukan boleh percaya. Nanti tak fasal aku terjaga kat bilik hotel! Tergadai body!

Adam hanya senyum. Dia meneguk jus itu sampai habis. “See? Nothing happen!”

Hawa tenung Adam. Adam seolah-olah  dapat meneka apa yang ada dalam fikirannya sebentar tadi.

         “Sooner or later, you will be mine!” Adam mula berlalu pergi sambil  tersenyum.

 

SEBULAN berlalu. Hawa terpaksa mengikut kehendak ibunya. Dia selamat dinikahkan dengan Adam siang tadi. Dia pandang sekeliling. Ramai kawan Adam yang hadir. Lelaki perempuan, semuanya dengan perangai gila-gila. Bertepuk bertampar sesuka hati. Memang dia akui, yang perempuan cantik-cantik dan lelaki pula tampan lagak model iklan. Namun sedikit pun dia tidak bangga bila melihat perangai dan sikap begitu. Dia terus berkurung dalam bilik. Tidak kuasa melayan manusia hipokrit begitu.

Dan buat pertama kalinya dia berada di bilik itu, dia dapat merasakan satu perasaan takut. Mahu saja dia terjun dari tingkap rumah dua tingkat itu. Lari sejauh mungkin. Tidak seperti di Jabal Rahmah, Nabi Adam  memohon doa bertahun untuk bertemu kembali dengan isterinya Hawa. Pertemuan yang begitu dinantikan.  Padanya pula, biar Adam tidak bertemu dirinya, Hawa. Tapi itu hanya ilusi saja. Realitinya dia masih duduk termangu atas katil. Tudung masih tersarung indah di kepala. Dirinya kini seperti tidak keruan.  

Jam di dinding sudah dua belas tengah malam. Dia ambil bantal dan terus tidur di sofa sebelah katil pengantin. Adam dan kawan-kawannya masih bersuka ria di bawah.

Entah bila dia terlelap bila tersedar bahunya disentuh seseorang. Dia genyeh mata. Adam sudah tersengih di depannya.

         “Kenapa tidur kat sini?”

Hawa mula takut. Adam semakin dekat. “ Kau jangan rapat dengan aku!”

Adam senyum lagi. “Rapat? Buat apa I nak rapat?”

Secepat itu juga Adam tarik tangan Hawa. Dihempasnya Hawa kuat ke atas katil. Malam itu Hawa menangis semahunya. Dan bermula saat itulah kehidupannya berubah.

 

KINI Hawa dibawa tinggal bersama di sebuah banglo di Damansara Heights. Rumah besar tiga tingkat lengkap dengan perabot mewah dan orang gaji. Kehidupannya lengkap. Segala-galanya tersedia. Tukang masak, pemandu dan tukang kebun semua nya tersedia.  Dirinya ditabur dengan wang ringgit. Namun hatinya pedih. Jiwanya terkurung.

         “Kak Kiah, dah lama kerja sini?”Hawa pandang tukang masak.

Kak Kiah angguk. “Dah setahun, err..kenapa dengan lengan Cik Hawa?”

Cepat-cepat Hawa labuhkan lengan baju kurungnya yang terselak tadi. Dia mula tunduk. Menggelabah.

         “Tak ada apa..semalam terjatuh dalam bilik air.”

Hawa terus ke bilik. Sakitnya masih terasa. Dia perhati dirinya sendiri di  cermin besar. Perlahan dia selak kain baju kurungnya hingga  menampakkan pahanya yang putih melepak. Sekali lagi dia menyapu ubat. Giginya diketap kuat menahan pedih. Itulah hadiah yang selalu dia dapat setiap kali Adam ingin bersamanya.

         “Kau kejam Adam!” Hawa mengetap bibir.

Kini hidupnya terasa seperti seekor burung yang dikurung dalam sangkar emas. Tak boleh terbang sesuka hati. Sudah enam bulan dia hidup menderita begitu. Hari-hari yang dilalui terasa seperti hidup dalam sebuah penjara walaupun segala-galanya tersedia. Siang Adam bersikap biasa, sama seperti seorang suami yang lain, seolah-olah  tiada apa yang berlaku. Namun bila malam menjelma, sikap Adam akan berubah. Dia seperti singa lapar yang rakus menerkam mangsanya. Tidak pernah dia mengecap kasih sayang seorang suami.

 “Sesungguhnya, apabila seorang suami memandang isterinya (dengan kasih & sayang) dan isterinya juga memandang suaminya (dengan kasih & sayang), maka Allah akan memandang keduanya dengan pandangan kasih & sayang. Dan apabila seorang suami memegang jemari isterinya (dengan kasih & sayang) maka berjatuhanlah dosa-dosa dari segala jemari keduanya”

(HR. Abu Sa’id)

 

Hawa menangis semahunya. Hingga terasa tiada lagi air mata yang tumpah. Diperhatikan lagi seluruh badannya. Berbirat, Sakitnya tuhan saja yang tahu. Namun dia takut pada Allah jika hak suami ditidakkan. Teringat satu hadis yang pernah dibacanya dulu..

 Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Hak suami atas isterinya (tanggungjawab isteri terhadap suaminya), bahawa isteri tidak boleh meninggalkan hamparan (tilam) suaminya, hendaklah menerima dengan baik pemberian suaminya, hendaklah taat pada perintah suaminya, tidak boleh keluar dari rumahnya kecuali dengan izin suaminya, dan tidak boleh membawa (membenarkan) orang yang dibenci oleh suaminya masuk ke dalam rumahnya.”

(riwayat Al-Tabrani)

Hawa menangis lagi. Dari dulu lagi dia mendambakan rumah tangga yang aman dan membina impian untuk menjadi seorang isteri yang boleh dibanggakan suami.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga."

(riwayat Abu Hurairah)

 

ADAM mula berubah bila mengetahui Hawa hamil tiga bulan. Dia tidak lagi seperti singa lapar. Hawa menarik nafas lega. Hidupnya mula terasa aman. Namun itu semua tidak lama. Adam mula mengulangi sikapnya. Hawa hanya mampu  menangis bila diperlakukan begitu. Nyaris kandungannya hampir gugur. Nyata Adam bukan manusia!

Hawa mula tidur di bilik berasingan. Dia tidak mahu membahayakan anak dalam kandungannya. Dengan sikap Adam begitu, tidak mustahil dia akan kehilangan anaknya. Kali ini dia nekad.

         “Kenapa you tidur bilik lain?” Sergah Adam.

         “Adam..please..kali ini aku merayu. Kesian anak kita. Please..” Hawa merayu sambil menangis teresak-esak.

Sekali lagi Adam tarik tangan Hawa ke biliknya.  Hawa meraung kesakitan.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Takutlah kepada Allah, di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang ada disampingmu, barangsiapa tidak memerintahkan agar isterinya mengerjakan solat, dan mengerjakan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya.

 

 

HAWA lega. Anaknya selamat lahir ke dunia. Tiada cacat cela. Dia cium Alisha berkali-kali. Air matanya jatuh lagi.  Dua bulan dia berpantang  di rumah ibunya. Hidupnya terasa aman. Jiwanya mula tenang.

       “Tulah..mama dah cakap. Adam tu baik orangnya. Segala-galanya tersedia. Hawa cuci kaki saja. Sekarang ni Hawa dah ada anak. Mama gembira sangat dapat cucu.”  

Hawa pandang ibunya. Betapa ibunya begitu bangga dengan Adam. Tidak sampai hati dia beritahu ibunya tentang sikap Adam. Mati hidup semula ibunya tidak akan percaya. Luka-luka di  badannya yang jelas kelihatan pun dikatanya dia sendiri sengaja menolak ajakan Adam. Sebab itu Adam beri pengajaran begitu. Air matanya tumpah lagi. Biarlah. Suatu hari nanti ibunya akan tahu juga siapa Adam sebenarnya.

Sepanjang dia berpantang, hanya beberapa kali saja Adam datang menjenguk mereka dua beranak. Sibuk katanya. Ah! Dia pun tidak kisah. Tak datang langsung pun tak apa. Sakit hati. Nyata Adam pandai berlakon depan ibunya. Dia berubah sekelip mata menjadi seorang suami penyayang. Lembut dengan isteri. Dengan lakonan itulah ibunya tidak pernah percaya kata-katanya. Adam dipuji melambung.

        “Habis pantang nanti, Adam nak bawa Hawa balik semula ke rumah.” Adam senyum sambil memandang Datin Robiah di sebelah Hawa.

Hawa mula gementar. Bermakna hidupnya kembali ke alam neraka. Jelas di wajah Adam  senyuman yang diukir hanya pura-pura.  Terbayang pula tubuhnya yang akan menjadi mangsa Adam.

         “Eloklah tu Adam. Tempat seorang isteri di sisi suami.” Datin Robiah senyum.

Hawa tunduk. Nyata ibunya begitu menyayangi Adam. Baginya Adam cukup sempurna sebagai seorang suami.

 

 

HAWA terpaksa mengikut kehendak Adam dan ibunya.  Ibunya mula mengemas barang-barangnya. Petang itu mereka mula berkemas. Sejak pagi lagi, Datin Robiah mengharapkan Adam datang menjemput Hawa. Namun kelibat Adam tidak kelihatan.  Datin Robiah terpaksa menyuruh pemandunya menghantar Hawa. Dia turut sama menemani Hawa sambil mendukung Alisha.

       “Tak apa..Adam sibuk kat ofis tu agaknya.”

Hawa pandang ibunya yang masih mempertahankan Adam. Dari mula lagi, ibunya selalu menyebelahi Adam. Hawa mengeluh. Terasa dirinya pula seperti menantu dan Adam pula anak kandung Datin Robiah. Terkadang ingin saja dia menyuruh ibunya tinggal sekali dengannya di rumah neraka itu. Biar ibunya tahu siapa Adam sebenarnya. Ingin saja dia luahkan apa yang sebenarnya berlaku di rumah itu. Namun ternyata semuanya bagaikan tersekat di anak tekak. Orang gaji semuanya tidak berani angkat muka dengan Adam. Masing-masing kunci mulut.

Seminggu sekali Adam akan membawa kawan lelakinya bermalam di rumah itu. Setiap malam minggu, mereka akan menonton bersama di ruang tamu sehingga tertidur di situ. Itulah yang selalu Adam lakukan setiap hujung minggu. Kadang-kadang sampai penuh di ruang tamu dengan botol arak. Baunya sungguh meloyakan. Sepanjang dia menjadi isteri Adam, tidak pernah sekalipun dia melihat Adam solat. Bila diungkit, ringan saja penampar singgah di pipinya. Sejak itu dia tidak lagi menegur Adam. .

       “You jangan nak memandai suruh itu ini!”

Hawa diam. Dia tidak berani bila melihat Adam mula menyinga begitu sedangkan masa Adam inginkannya pun dia sudah pucat muka.

 

 

        “SENYAP je rumah ni. Adam kat ofis kut..” Datin Robiah mula melangkah masuk bersama Hawa.

Hawa tidak hiraukan kata-kata ibunya.  Baginya Adam hanyalah seorang suami di atas sekeping kertas yang  menghalalkan perhubungan antara Adam dan Hawa. Sama sepertinya…Adam…Hawa. Namun untuk menghormati Adam sebagai suami jauh sekali. Dulu masa mula-mula menerima lamaran Adam, dia nekad untuk menjadi seorang isteri yang taat pada suami dan cuba melupakan Hadi. Tapi ternyata Adam tidak layak untuk digelar suami apatah lagi dihormati.

        “Apa yang bersepah ni?” Datin Robiah pandang sekitar ruang tamu.

Hawa hanya pandang sepi. Dia sudah biasa dengan pemandangan begitu. Kini giliran ibunya sendiri melihat dengan mata kepalanya sendiri keadaan rumah neraka itu.

        “Mama..inilah yang Hawa lalui sepanjang Hawa berada di sini..” Hawa akhirnya bersuara.

Datin Robiah mula tidak selesa. Dia pandang lagi sekitar rumah. Alisha diletakkan dalam bilik atas yang sudah dihias  indah dengan barangan mainan.

         “Adam mana?”

Hawa hanya diam. Waktu begini Adam bukan ada di pejabat. Dia sudah hafal jadual harian Adam. Adam akan masuk ofis pukul sepuluh pagi. Tengah hari pula pulang ke rumah. Petang sambung semula ke ofis sampai pukul empat. Dia jeling jam di dinding. Sudah lima setengah petang.

Rumah besar itu ada enam buah bilik. Dua bilik di tingkat bawah. Tiga bilik di tingkat dua dan satu bilik di tingkat paling atas. Dia dan Adam tidur di bilik utama di tingkat dua.  Bilik bawah, kak Kiah dan tukang kebun yang duduk di situ. Masih ada tiga bilik kosong.

         “Mama..tidur sini ya malam ni.” Pujuk Hawa.

Dia sebenarnya tidak sanggup lagi tidur sebilik dengan Adam. Malam begitu gerun baginya.

        “Hmm..baiklah. Malam ni mama tidur sini. Err..yang mana satu bilik mama?”

Hawa senyum. Lega. Akhirnya ibunya sudi bermalam di situ. Dia segera menarik tangan ibunya ke bilik kosong di tingkat dua.

         “Ni bilik mama!” Hawa senyum.

Tombol pintu dipulas perlahan. Sebaik saja pintu terbuka, Hawa terkedu. Tergamam. Tidak sanggup melihat. Wajahnya dipalingkan ke arah lain. Dia pandang pula ibunya yang masih terdiam di situ. Mata ibunya terbuka luas. Mulutnya ternganga. Tidak percaya.

Hawa terus menarik tangan ibunya. Mereka terus masuk ke bilik utama. Pintu ditutup rapat. Datin Robiah hanya mengikut rentak Hawa.

Hawa mula mengeluarkan baju dalam almari dan dimasukkan ke dalam beg besar. Tidak sanggup lagi berada di situ.

        “Hawa..betul ke apa yang mama nampak tadi?” Datin Robiah menepuk pipinya berkali-kali.

Hawa diam. Dia juga tidak sangka begitu keji sikap Adam. Jijik!

        “Hawa! Cakap dengan mama! Alisha ni anak Hawa dengan siapa???” Datin Robiah mula curiga. Bahu Hawa digoncang kuat.

Hawa hanya mampu menangis. Sampai begitu sekali ibunya menuduh dirinya.

        “Cakap Hawa!!”

        “Mama! Alisha tu anak Hawa dengan Adam! Sampai hati mama tuduh Hawa curang!” Makin laju air mata Hawa menitis. Dalam keadaan begitu pun ibunya masih menyalahkan dirinya.

Datin Robiah mula keliru. “Kalau Adam macam tu..takkan dia ada nafsu nak sentuh Hawa!”

Hawa tidak menghiraukan kata-kata ibunya. Tangannya laju mengeluarkan semua baju dari almari. Segugus kain jatuh berselerak atas lantai. Dia pandang ibunya yang duduk di birai katil.

Datin Robiah melangkah perlahan ke arah Hawa. Dia mengambil baju yang berselerak atas lantai. Satu persatu baju itu diamati.

        “Hawa..kenapa semuanya koyak sampai macam ni sekali?” Datin Robiah bingung.

Hawa masih tidak menghiraukan kata-kata ibunya. Dia cepat-cepat mengemas.

         “Hawa! Bagi tahu mama!”

         “Kalau mama nak tahu..itulah yang selalu terjadi bila Adam ingin bersama Hawa. Hawa dilayan dengan kasar mama!” Hawa mula menangis. Dia duduk semula di birai katil sambil menekup muka.

         “Ya Allah! Jadi selama ini..Hawa..” Kata-kata Datin Robiah terhenti. Dia beristighfar panjang.

Hawa masih menangis. Biarlah ibunya tahu. Kali ini dia tidak boleh berselindung lagi. Bukti sudah ada depan mata. Dan tadi…ibunya nampak sendiri kecurangan Adam. Kecurangan yang paling jijik!

Perlahan Datin Robiah mendekati Hawa. Lengan baju kurung Hawa diselak.  Kain yang dipakai Hawa pula diselak. Dia menekup muka. Lama. Kesan lebam dan luka di merata tempat.

         “Hawa..maafkan mama.”

 

**************

 

HAWA terkejut bila bahunya disentuh. Dia pandang ke arah ibunya yang masih meriba Alisha.

        “Hawa..apa yang Hawa fikirkan. Lama termenung tadi.”

Hawa mula tersedar dari lamunan. Kini dia yakin dengan keputusannya. Adam bukan lagi suaminya! Sikap Adam nyata membunuh jiwanya. Selama ini dia boleh terima layanan kasar Adam terhadapnya tapi dia tak boleh terima nafsu songsang Adam, hatinya telah mati untuk Adam. Untuk semua lelaki!!

Nyata Adam bukan hanya bernafsu pada perempuan. Kejadian di bilik itu yang membuktikan segala-galanya kehidupan songsang Adam.

Selamat tinggal Adam. Hawa takkan bertemu  Adam lagi.

-

-

-

-

Note: Semoga mendapat pengajaran dari kisah benar ini....

Cerpen sebelumnya:
Elemen
Cerpen selanjutnya:
Suatu Malam...

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
2 Penilai

Info penulis

ciksal

Hidup biarlah berlandasan..
ciksal | Jadikan ciksal rakan anda | Hantar Mesej kepada ciksal

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ciksal
Suku Suku | 9061 bacaan
Aku Tak Nak Mati Lagi! | 9501 bacaan
Dan Ku Cari Kamu | 2584 bacaan
Sebuah Harapan | 2796 bacaan
Kau Jodohku | 4606 bacaan
Mencari Jalan Pulang | 3784 bacaan
Kerana Biji Gajus | 3386 bacaan
Begitukah? | 2663 bacaan
Dendam Hani | 10419 bacaan
It\\\'s Too Late To Apologise | 2864 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

8 Komen dalam karya Adam + Hawa
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik