Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Satu Hari Dalam Tren LRT yang Membingungkan aku

 

HARI ini aku sudah berjanji dengan Ojie nak ke kedai buku Kinokuniya KLCC. Aku pandang jam di bilik. Sudah hampir lima setengah petang. Cepat-cepat aku mengemas meja yang berselerak dengan laporan yang dihantar oleh kerani tadi.

Ojie pula satu hal. Pandai betul dia menipu. Dia tidak datang kerja hari ini. Menurut Liza, Ojie ambil cuti sakit tapi baru kejap tadi dia telefon aku nak ke Kinokuniya. Aku gelak sendiri. Memang itu alasan dia bila terasa bosan dengan HPLC. Pening katanya bila terpaksa kerja dengan mesin analisa yang penuh dengan tiub kecil yang berselirat. Boleh juling mata bila melihat keputusan analisa di monitor.  

Aku berjalan laju menaiki jejantas yang menghubungkan ofisku dengan LRT KJ. Aku melangkah semakin laju bila melihat jam sudah lima empat puluh lima minit petang. Aku janji dengan Ojie pukul enam petang. Jumpa di Kinokuniya.

Tiba di stesen, aku keluarkan kad Touch n Go. Aku tahu jika aku pakai kad biasa, aku kena beratur panjang. Tergesa-gesa aku menaiki anak tangga ke platform. Dua anak tangga aku langkah sekali gus. Tiba di platform, tren 4 koc baru saja tiba. Aku mula berebut dengan penumpang yang berpusu-pusu keluar,  bimbang pintu tren akan tertutup. Stesen terakhir di KJ memang sentiasa penuh dengan penumpang. Lega bila aku dapat tempat duduk di kerusi merah menyala yang boleh memuat tiga penumpang. Kerusi itu pula dekat dengan penyaman udara.  Aku duduk di kerusi hujung dekat dengan dinding. Peluh yang memenuhi muka, aku kesat dengan sehelai tisu.

Bila tren mula bergerak, aku seperti biasa akan melentukkan kepala aku ke dinding. Aku sudah bajet, jarak dari KJ ke KLCC cukup untuk aku melelapkan mata sekejap. Belum sempat aku pejam mata, aku terasa ada seseorang duduk di sebelahku. Rapat. Aku jeling sekilas. Lelaki!

Aku mula bengang. Bukan bengang kerana dia lelaki tetapi kerana dia merapatkan paha dan bahunya kepada aku. Bahu kami bersentuh. Paha kami bersentuh. Aku tidak senang. Aku pandang lelaki itu sambil berdehem. Lelaki itu hanya senyum. Di tangannya ada sebuah akhbar TS. Aku berdehem lagi, semakin kuat. Dia senyum semakin lebar. Aku semakin bengang.

Aku cuba mengensot ke arah dinding tapi sudah tidak ada ruang. Kalau aku beranjak ke arah lelaki itu, sah-sah aku semakin rapat dengan dia. Aku mula pening. Aku jeling pula kerusi ketiga di hujung sebelah lagi. Kosong!

“Err..encik..boleh duduk ke sana sikit?” Aku bermanis muka.

Dia hanya senyum. Sebaik saja lelaki itu hendak berganjak jauh dari kerusi aku, seorang lelaki tua pula duduk di kerusi ketiga. Aku terdiam. Lelaki itu berpaling semula ke arah aku dengan sebuah senyuman lebar.

Aku pula pandang ke arah lain sambil mencari kerusi kosong. Semua sudah penuh. Aku pandang keluar tingkap. Sudah sampai ke stesen TM. Lelaki tadi mula menatap akhbar TS. Aku pula tidak berani pejamkan mata. Mana tahu, tangan nakal lelaki itu mula merayap tidak tentu hala nanti. Rasa mengantuk aku tahan juga.

“Hmm..nampaknya dunia sekarang sudah semakin gila. Gila dengan penghuni yang rata-rata sudah tidak kenal erti agama. Sana-sini penuh dengan cerita pembunuhan kejam, rogol, rompak, buang anak..dan ini..kapak kepala ibu sendiri hanya kerana duit dua ringgit. Aku tak faham dunia sekarang.”

Aku pandang lelaki itu. Nyata lelaki itu bercakap sendiri. Dalam hati, mungkin berita yang dibaca ada kaitan dengan apa yang diluahkan sebentar tadi. Aku keluarkan buku novel yang hanya separuh sempat aku baca.

“Macam kau….ralit dengan cerita cinta. Khayalan di alam percintaan sedangkan dunia penuh penderitaan. Kita di sini penuh dengan hiburan. Tidak pernah memikirkan dunia luar yang sengsara diterjah manusia durjana.”

Aku tersentak. Macam kau?? Siapa  yang lelaki itu maksudkan?? Aku mula bingung dengan bicara itu.

Lelaki itu menyambung lagi membaca akhbar TS. Kali ini tidak bersuara. Senyap. Aku pandang pula luar tingkap kaca. Sudah sampai stesen K. Aku jeling pula lelaki tadi. Rupanya dia turut jeling ke arah aku sambil tersenyum. Ada sebatang pen di tangannya.

Aku tunduk semula sambil membaca novel.

“Ini satu lagi..tidak pernah berdamai. Satu mengaku dia saja yang betul, yang satu lagi pula masih tidak berganjak dengan pandangan dan cara pemikiran kuno. Atas alasan apa, mereka perjuangkan bangsa. Aku tidak nampak dalam al Quran mengatakan kita harus perjuangkan bangsa? Agama itu perlu diutamakan. Islam bukan untuk Melayu saja. Malah bangsa cina  paling ramai menganut Islam di dunia ni. Apa nak heboh bangsa Melayu? Macam kau..tidak pernah ambil tahu semua itu. Ralit dengan cerita lara yang entah apa boleh diambil pedoman. Manusia berlumba maju ke depan. Masing-masing inginkan kemajuan dengan cerita ke arah pembangunan sahsiah diri. Bukan cerita cinta yang melelehkan air mata sia-sia. Aku tak faham. Air mata itu untuk ditadah untuk sang pencipta. Air mata penyesalan lebih bermakna. “

Sekali lagi aku tersentak. Macam kau??? Arghhh!!!!

Lelaki itu senyum lagi. Matanya masih melekat pada dada akhbar TS. Tangannya seolah menulis sesuatu di situ. Aku cuba jeling. Berita apa yang dibaca. Sehingga hujah yang terhambur dari mulutnya menuding  menghukum macam menghala pedang. Dari tadi, aku perasan lelaki itu tidak mengalihkan mukasurat akhbar. Tapi ulasannya bukan main panjang. Aku cuba jeling lagi. Akhbar itu di angkat ke mukanya.

“Dulu hanya di dunia luar saja berita bunuh orang ni..tapi sekarang ni negara sendiri sudah tidak selamat. Ada saja berita pembunuhan sadis berlaku. Macam bunuh binatang! Aku tidak faham. Hati apakah yang telah menghasut manusia durjana begini. Setan mana yang merasuk minda.”

Aku biarkan lelaki itu berkata-kata. Aku jeling pula lelaki tua di sebelah lelaki itu. Sudah berdengkur. Maknanya hanya aku yang beria mendengar luahan rasa dari lelaki itu. Penumpang yang berdiri  pula tidak ramai. Aku tatap lagi novel.

“Manusia zaman sekarang sudah tidak segan silu lagi. Anak sendiri diratah. Rogol menjadi-jadi. Manakah minda sedar manusia seperti ini? Aku tidak faham. Yang merelakan pula semakin ramai. Apa sudah tidak ada jantan yang boleh dibuat suami? Aku tidak faham. Macam kau…hanya berpaksikan cerita cinta dan babak perkosaan, maka dengan mudah jiwa dan nafsu mula menayang babak itu di minda. Lepas tu gian tak sedar diri. Mencari jantan. “

Aku tersentap dengan kata-kata lelaki itu. Aku terasa seolah kata-katanya dilemparkan ke muka aku.

“Encik! Cakap baik-baik sikit! Apa maksud encik macam kau?”

Aku tenung mata lelaki itu. Akhbar yang berada di tangannya aku tarik kuat.

“Kalau terasa, itu maknanya kau mengaku.” Selamba lelaki itu bersuara, pertahankan hujah yang entah kepada siapa dia tujukan.

“Cakap fasal pompuan miang, gatal nak buat tut tu..yang encik rapat dengan saya ni kenapa?”

Aku tunjuk pahanya yang bersentuh dengan paha aku. Nasib baik ia berlapik dengan baju kurung aku. Kalau aku ni jenis seksi, pakai skirt pendek paras atas lutut, sah-sah dah batal air sembahyang aku. Aku jeling seluar jeans yang koyak rabak di paha lelaki itu. Fesyen konon!

“Perempuan memang macam tu..angin tak tentu fasal. Ada aku cakap kau??”

Aku diam. Hujahnya juga dipertahankan. Tindakannya yang rapat dengan aku tidak pula diambil pusing. Aku bengang. Dalam hati berkira sendiri, sampai di stesen KL S nanti, aku akan keluar dari tren. Biarlah aku ambil tren lain. Sakit jiwa.

“Entah orang gila mana aku jumpa!”

Aku membebel sendiri. Lelaki itu berpaling.

“Cik, cuba cik tengok akhbar tu..mukasurat apa yang aku baca?”

Aku malas nak layan lelaki itu. Aku jeling lagi. Dia senyum tanpa sepatah kata. Aku mula pandang akhbar TS yang aku rampas dari dia tadi. Bahagian sudoku dan teka silang kata. Ada kartun juga. Tiada berita yang seperti dihujah tadi.Aku semakin bingung.

“Aku kalau nak selesaikan sesuatu teka kata, aku kena berhujah. Jawapan tu akan datang dengan sendiri.”

Lelaki itu ambil akhbar TS dari tangan aku. Dia menghabiskan semua teka silang kata dan sudoku. Lantas akhbar itu disua kepada ku semula. Semua jawapan yang diberi betul. Aku periksa di ruangan jawapan yang diberi terbalik di bahagian bawah mukasurat.

Aku garu kepala. Manusia macam ni pun ada jugak ke???

Tiba di Stesen KLS, aku tidak jadi turun sebaliknya lelaki itu yang turun di situ. Sebelum bangun dia sempat menghulurkan sekeping kertas kepada aku.

‘It’s good to know you..maknanya kau tidak mudah digoda dan tergoda’

Aku bingung. Aku sendiri tidak kenal siapa lelaki itu.

 

TIBA di KLCC, aku segera ke tingkat empat. Ojie sudah tunggu aku di muka pintu Kinokuniya. Aku mula hulur kertas yang diberi lelaki tadi kepada Ojie sambil bercerita kisah bingung aku dalam tren LRT tadi.

“Siapa mamat ni?”

Aku angkat bahu. Cuba menafsir tulisan dalam kertas itu. Satu hari dalam tren LRT yang membingungkan otak aku.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) hahaha. apalah!
    dapat berjumpa dengan orang-orang aneh eh kak. pengalaman hidup. asal tidak diapa2kan. okeylah!

  • (Penulis)
    2) hehehe...macam-macam orang pelik akak jumpa..tp yang ni sgt pelik..

Cerpen-cerpen lain nukilan ciksal

Read all stories by ciksal