Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Aku dan BMW

Cerpen sebelumnya:
Tengok IC sekejap?
Cerpen selanjutnya:
Ayam Hutan Berbulu Pelangi

 

BAYAR LAGI!

Sejak menjadi mahasiswa di salah sebuah universiti di ibu kota, aku teruja menjalani kehidupan di kampus. Jarak antara kolej kediaman dan fakulti tempat aku belajar agak jauh. Nak tak nak aku terpaksa menunggang motosikal meredah kawasan kampus yang luas. Namun ketika itu aku hanya berani bawa motor dalam kawasan kampus saja.

Hujung minggu pula aku memerap di bilik. Tiada aktiviti menarik untuk aku ikuti. Teman satu asrama pernah ajak aku meronda-ronda sekitar bandar KL. Aku tak yakin. Maklumlah anak kampung. Takut terpengaruh benda-benda tak elok. Banyak cerita aku dengar tentang KL. Masa itu, telinga aku disumbat dengan cerita  buruk tentang KL. Jadi atas dasar itu aku takut untuk keluar berjalan-jalan hatta bersama teman.

Tapi perasaan ingin tahu dunia luar kampus mula membuak-buak. Teman sekolej ramai yang keluar berseronok di bandar KL bila tiba saja hari minggu. Bukan berseronok apa, hanya pusing-pusing bandar KL dan jika ada duit lebih, singgah membeli belah di Kota Raya, Petaling Street atau Jalan TAR. Bosan duduk di asrama akhirnya aku terpengaruh juga dengan ajakan teman.

“Alah..bukannya kita buat apa pun..kalau takut naik motor, kita naik je la BMW. Apa susah! Rugi kau tak tengok bandar KL ni!”

Itulah kata-kata yang selalu teman sekolej aku war-warkan. Canang-canangkan. Aku pun mula berfikir. Mengiakan kata-kata itu.

“Betul juga..takkan nak terperap je kat asrama ni..” Hati aku mula berbisik.

Maka, buat pertama kali aku mula keluar bersiar-siar dengan teman sebilik meronda sekitar KL. Aku hanya ikut saja. Dengan hati berdebar, aku mula menunggu BMW bersama teman aku di luar kawasan universiti. BMW itulah yang menjadi pengangkutan utama pelajar universiti macam aku di bandar KL waktu tu. Murah untuk seorang bergelar pelajar.

BMW tiba. Aku ikut belakang teman ku menaiki BMW.

“Berapa?” Aku mula bertanya kepada seorang konduktor berbangsa Cina yang siap dengan tas duit yang kemas di pinggang.

“Enam puluh sen!”

Aku hulur duit syiling dan terus ikut teman aku mencari tempat duduk. Kebetulan hari itu tidak ramai penumpang. Aku dan teman aku duduk di bahagian tengah. Hajat kami hendak ke stadium.  Teman aku dengan yakin menaiki BMW itu. Jadi aku pun turut yakin dengan keyakinan teman aku.  Aku pandang teman aku. Dia senyum.

“Jangan bimbang, aku tahu kat mana. Bila dah dekat nak sampai nanti, aku tekan loceng.”

Aku senyum bila teman aku berbicara dengan penuh yakin. BMW itu terus meluncur laju  dan beberapa kali berhenti mengambil penumpang. Aku yang tidak tahu  sekitar bandar KL bergantung seratus peratus kepada teman aku. Aku memang tidak tahu di mana stadium merdeka. Aku mula menikmati pemandangan bandar KL yang  sibuk dengan hiruk pikuk kenderaan yang tak henti-henti menjalar di jalan. Dengan bunyi hon yang bingit, cukup membuka minda aku mengatakan KL adalah memang bandar sibuk! Aku jeling teman aku di sebelah. Sudah berdengkur. Aku mula menggelabah bila melihat penumpang mula semakin kurang. Aku cuba kejutkan teman aku. Dia tidur mati!

“Adoi! Macam  mana ni? Aku dahlah tak tahu KL ni!” Aku merungut sendiri.

Aku pandang keluar tingkap yang terbuka separuh. Angin kuat menerpa akibat BMW yang dibawa laju begitu mendamaikan dalam keadaan cuaca panas di KL. Aku mula panik bila melihat bangunan di sekeliling aku. Aku kejutkan lagi teman aku. Aku goncang kuat. Tiba-tiba..

“Aku tidur la bongok!”

Aku pandang teman aku yang masih berdengkur. Tidur ke mimpi??? Aku bingung. Aku pandang lagi keluar tingkap. Alamak!

“Ha! Mana mahu pigi? Semua olang sudah tulun ma! Bayar lagi sekali lo!”

Perempuan Cina tadi sengih. Aku pandang sekeliling dalam  BMW. Tinggal aku dan teman aku saja. Aku pandang pula keluar tingkap. Rupanya tempat itu tempat yang sama kami mula-mula naik tadi. Maknanya kami dah naik BMW itu satu pusingan.

Aku tepuk dahi! Sekali lagi aku kejut teman aku.

“Hoi! Bangunlah! Kita dah sampai!”

Teman aku terpinga-pinga. Dia cepat-cepat tekan loceng. Aku gelak sendiri.

“Amoi aa! Ini tempat sama jugak ! Mahu tulun ka mahu  naik? Bayar lagi kalau mahu  naik!”

Konduktor itu mula pandang teman aku yang termangu-mangu. Mimpi agaknya!

“Hah?? Ni tempat aku naik tadi ni! Apasal kau tak kejut aku?”

Aku sengih. Agaknya teman aku lupa yang aku tak tahu sangat bandar KL ni.

“Err..ni BMW no berapa?” Tiba-tiba teman aku tanya pada konduktor itu.

“Nombor sebelas maa!”

Teman aku tepuk dahi. Rupanya dia tersalah naik BMW. Tak fasal-fasal hari tu kami bayar lagi sekali.

 

 *****************

 

 U TURN

 

Aku mula biasa dengan BMW. Tapi aku masih ingin berteman jika keluar bersiar atau ada kerja di luar kampus. Kadang-kadang aku terpaksa keluar seorang diri bila teman aku ada hal. Hujung minggu itu pula aku ada hal penting di bandar KL. Aku kena pergi kedai cenderahati untuk menempah medal buat hadiah pertandingan sketsa pada malam kesenian Islam minggu depan. Nak tak nak aku sebagai AJK cenderahati, aku kena bereskan segala kerja yang diberi.

Tak berani aku bawa motor kapcai aku meredah hutan KL yang berliku. Maka dengan penuh yakin aku beranikan diri menaiki BMW seorang diri. Masa sudah semakin suntuk. Aku perlu tempah pada hari itu juga.

Aku menunggu BMW dengan penuh sabar. BMW akan datang setiap setengah jam sekali. Aku pandang ke kiri. Dari jauh aku sudah nampak warna merah jambu pudar mula mendekati aku. Aku angkat tangan. BMW betul-betul berhenti di hadapan aku.

“Ada lalu itu jalan raja laut ka?”

Perempuan yang agak gemuk dengan seluar legging hanya angguk.

“Kompleks pertama!” Aku hulur enam puluh sen sambil menaiki BMW.

BMW meluncur laju melalui jalan Bangsar menuju ke Jalan Raja Laut. Kali ini aku sudah hafal laluan BMW. Aku sudah periksa betul-betul nombor BMW tadi sebelum naik. Aku lihat jam tangan. Sudah hampir pukul sebelas pagi. Ngam-ngam dengan waktu kedai dibuka nanti. Aku lihat semua tempat duduk di bahagian hadapan sudah penuh. Terpaksa aku duduk di tempat duduk belakang. Tempat duduk panjang. Aku terus duduk di sebelah kanan dekat dengan tingkap. Tingkap yang separuh terbuka menyebabkan angin meniup kuat ke arah aku. Tudung yang aku pakai terangkat. Aku terpaksa pegang supaya tidak menggerbang. Beg sandang pula aku letak atas riba. Aku pandang lelaki yang duduk di hujung kerusi sebelah kiri. Dia senyum.  Aku agak dia juga seorang pelajar macam aku memandangkan gaya dan lagaknya begitu. Aku pandang pula keluar tingkap. Baru sampai di Bangsar. Aku panjangkan tengkuk melihat arah depan. Jalan sesak teruk.

Bunyi hon mula bertalu-talu melantun dari kenderaan yang  mula tidak sabar. Aku mula berfikir. Inilah yang dinamakan kehidupan KL. Bingit! BMW bergerak perlahan. Aku dengar dengan jelas suara pemandu yang membebel dalam bahasa Cina. Satu apa pun aku tak faham. Yang pasti, dia marah-marah. Aku pula hanya duduk sambil memegang beg sandang aku dengan erat. Bimbang dalam keadaan sesak begitu, tiba-tiba ada perompak masuk dan merompak. Aku kena berhati-hati. Aku jeling lelaki di hujung kiri tempat kerusi panjang yang aku duduk. Dia juga mula rimas bila keadaan jalan semakin sesak. Dari bergerak perlahan yang aku agak 20km/j, kini sudah jadi statik. Sesekali lelaki itu melihat jam rolex yang dipakai di tangan kirinya. Aku senyum. Mungkin beli di Petaling Street. Aku gelak sendiri. Begitu jahat fikiran aku menuduh mamat itu. Setahu aku, jenama rolex mahunya dalam lima ribu ke atas. Aku fikir lagi, kalau lelaki itu anak orang kaya takkan dia naik BMW macam aku ni. BMW nya jauh lebih baik.

“Er..saudari senyum-senyum ni kenapa?”

Aku tersedak kecil. Rupanya dia perasan yang aku curi-curi tengok jam yang dipakainya. Aku mula pandang keluar tingkap. Tidak hiraukan tegurannya tadi. Tapi dalam hati aku mula rasa bersalah. Menganggap lelaki itu begitu. Aku diam tanpa apa-apa jawapan.

Tiba-tiba BMW itu mula buat U Turn. Aku tak sempat berpaut pada tingkap. Mata aku pejam rapat-rapat. Takut dengan tindakan pemandu brutal itu. Aku masih pejam mata. BMW masih bergerak laju. Aku terasa ada sesuatu yang tidak kena. Kali ini tangan aku memeluk erat sesuatu. Takut aku jatuh terjelepok bawah kerusi. Aku mula buka mata perlahan-lahan bila terasa benda yang aku peluk tadi seperti tubuh seseorang.   Tiba-tiba aku dengar suara lelaki berdehem. Dekat dengan cuping telinga aku. Sah! Aku terpeluk lelaki di hujung kiri aku.

“Mak!” Aku menjerit kuat. Penumpang lain semua memandang ke arah aku. Mereka senyum-senyum. Ah! Mungkin mereka ingat aku menggatal dengan lelaki itu atau lelaki itu memang pakwe aku!

Rupanya masa BMW buat U Turn tadi, aku juga turut sama bergerak laju membuat U Turn. Sedar-sedar saja, aku sudah rapat dengan lelaki tadi. Perkara yang tidak diingini berlaku juga pada aku. Kali ini lain.  Aku lihat dia hanya senyum. Senyum yang pada tafsiran aku, senyum seorang yang gatal. Seolah aku sengaja datang merapati dan memeluk dia. Argghh!!!!

Perlahan aku bangun sambil memegang kerusi hadapan untuk berpaut. Aku duduk semula di hujung kanan. Kali ini aku pegang dengan kuat tingkap di sebelah aku. Aku jeling lelaki di sebelah. Dia masih senyum. Malunya tuhan saja yang tahu. Jelas yang aku terpeluk dia tadi. Bukan sengaja!

BMW meluncur laju ke arah pusat bandar. Tiba di jalan Raja Laut, aku mula tekan loceng. Aku segera turun tanpa memandang ke arah lelaki tadi. Malu!

Tergopoh-gopoh aku menuju ke kedai cenderahati yang terletak di aras satu Kompleks Pertama. Aku segera mengeluarkan contoh cenderahati yang aku nak tempah nanti. Aku lihat jam, sudah hampir satu tengah hari. Aku bergegas semula ke tempat menunggu BMW.

“Hah! Mamat ni lagi! Adoi! …”

Aku masuk semula ke dalam Kompleks pertama. Tidak sanggup bertembung dengan lelaki itu lagi. Tidak!!

 

 *****************

 

ORANG GILA

 

Aku sudah berjanji dengan teman serumah untuk membantunya mencari  bahan-bahan untuk tesisnya nati. Aku mula mengemas beberapa nota dan mula melangkah ke arah tempat menunggu BMW. Teman aku sudah menunggu aku di AU Keramat. Sebelum bertolak tadi, aku telah tanya nombor BMW yang lalu di AU Keramat. Aku menunggu penuh sabar.

Sebaik BMW tiba, aku terus naik dan membayar tambang. Aku jenguk tempat duduk kosong. H anya tempat duduk di bahagian hadapan saja yang kosong. Nak tak nak, aku duduk juga di belakang pemandu. BMW mula bergerak semula. Tiba di perhentian Pasar Seni, aku lihat ramai yang sudah menunggu di situ. Masing-masing berebut menaiki BMW. Penuh.

BMW menuju pula ke arah Jalan Bangkok Bank. Penumpang yang ramai tadi mula turun. Aku lihat ada yang bertukar ke BMW lain yang menuju ke Bukit Bintang. Aku masih di tempat duduk. Penumpang baru mula naik.

“Err..cik..ada orang kat sini?”

Aku pandang seorang lelaki agak muda bertanya teragak-agak kepada aku tempat duduk sebelah aku yang sudah kosong.

Aku senyum. Kalau nampak ada orang tu..bukan manusia la namanya! Aku sengih sendiri. Aku lihat lelaki itu duduk setelah melihat aku sengih begitu.

BMW bergerak laju. Seperti biasa, lajunya mengalahkan kereta sport! Aku dah bersedia dengan memegang pada tingkap. Takut pisang berbuah dua kali! Mana tahu tiba-tiba pemandu buat lagi U Turn!

“Err..cik ni tak pernah naik ke?” Lelaki itu pandang aku yang berpaut kuat pada tingkap.

Aku pandang sekilas. Hanya senyum, malas nak jawab. Nanti banyak pula soalnya. Lelaki itu mula diam bila soalannya tidak berjawab.

Tiba-tiba BMW berhenti mengejut. Pemandu brek dengan kuat. Hampir tersondol kena tiang di belakang pemandu. Lelaki itu sengih. Aku ketap bibir. Aku panjangkan tengkuk melihat ke arah depan. Rupanya seorang lelaki tua dengan kemeja lusuh dan berseluar hitam mula menaiki BMW yang aku naik.

Lelaki tua itu pandang ke arah penumpang lain sambil tersenyum. Agaknya mengintai tempat duduk kosong. Aku turut berpaling ke belakang. Semua penuh! Aku jeling lelaki sebelah aku dengan harapan dia bagi ruang tempat duduk kepada lelaki tua itu.

“Encik..kesian pakcik tu. Bagilah kat dia duduk.” Aku mula senyum terpaksa.

Lelaki itu turut senyum. Dia mula bangun dan mengajak lelaki tua itu duduk. Lelaki tua itu mula duduk di sebelah aku dan lelaki tadi mula berdiri di hadapan dekat dengan pemandu. Aku sedikit lega sambil tersenyum kepada pakcik yang baru duduk sebelah aku.

“Anak dah kahwin?”

Tiba-tiba pakcik itu bertanya.

Aku geleng. “Saya masih belajar lagi pakcik.”

Aku perasan lelaki tadi merenung dan mendengar perbualan aku dengan pakcik. Dia kelihatan tersenyum-senyum.

“Kenapa tak kahwin?”

Aku mula pening. “Pakcik..saya masih belajar..baru 21 tahun.”

“Yalah..tapi kenapa tak kahwin??”

Aku mula menggelabah. Pakcik tua itu asyik bertanya soalan yang sama. Aku semakin gelisah. Nak lari dari lelaki tadi, dapat pula pakcik tua yang banyak tanya.. soalan yang sama!

“Nanti saya kahwin.” Aku akhirnya menjawab selamba.

“Dengan sapa?”

La…pulak dah! Aku semakin pening. Pakcik tua itu tidak berkelip memandang aku.

“Err..” Aku tak tahu nak jawab apa.

“Dengan saya pakcik!”

Aku dongak kepada lelaki yang berdiri tadi. Tergamam dengan kata-kata lelaki itu. Adoi!!! Haru!!!

“Ohh…” Panjang pakcik itu  berkata sambil mengangguk-angguk.

Tiba-tiba pakcik tua itu berdiri dan menyuruh lelaki tadi duduk semula di sebelah aku. Pakcik itu mula berdiri di depan dekat dengan pemandu sambil memandang ke arah semua  penumpang.

“Selamat bersanding…pengantin baru!!”

Aku terkejut. Tiba-tiba saja pakcik tua itu menyanyi lagu pengantin baru! Siap berjoget lagi! Aku pandang lelaki sebelah aku. Dia juga turut tercengang dengan gelagat pakcik tua itu yang tiba-tiba menyanyi lagu pengantin baru.

“Selamat pengantin baru..semoga berkekalan…lalalala…”

Pakcik itu masih menyanyi dengan nyaring. Penumpang di bahagian belakang mula bersorak dan bertepuk tangan, menggalakkan pakcik itu meneruskan nyanyiannya. Aku mula menggelabah. Aku jeling pula lelaki sebelah. Dia turut menggelabah.

“Pakcik! Dah sampai rumah pengantin baru!”

Tiba-tiba pemandu berhenti dan menyuruh pakcik tua itu turun sambil tersenyum. Pakcik itu terus turun sambil melambai-lambai ke arah pemandu dan kepada aku dan lelaki itu. Sempat dia membuat ‘flying kiss’.

“Jangan takut. Pakcik tu memang begitu. Dia suka tengok amoi cantik! Mesti dia tanya fasal kahwin!” Pemandu itu menoleh ke arah aku dan tersenyum.

Aku terdiam. Rupanya pakcik tua itu penumpang tetap BMW itu.

Tiba di kawasan AU Keramat, aku terus tekan loceng dan cepat-cepat turun. Aku lihat lelaki tadi juga turut turun di situ.

“Cik..maafkan saya ya. Tak sangka pulak pakcik tu buat macam tu! Saya melawak je tadi fasal awak kahwin dengan saya tu!”

Lelaki itu beria meminta maaf.

“Tak pa..” Aku tergopoh-gopoh berjalan laju menuju ke tempat teman aku menunggu di seberang jalan.

 

-

-

-

-

Bas Mini Wilayah...kini hanya tinggal kenangan

Cerpen sebelumnya:
Tengok IC sekejap?
Cerpen selanjutnya:
Ayam Hutan Berbulu Pelangi

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.3
4 Penilai

Info penulis

ciksal

Hidup biarlah berlandasan..
ciksal | Jadikan ciksal rakan anda | Hantar Mesej kepada ciksal

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ciksal
Suku Suku | 9063 bacaan
Aku Tak Nak Mati Lagi! | 9501 bacaan
Dan Ku Cari Kamu | 2585 bacaan
Sebuah Harapan | 2796 bacaan
Kau Jodohku | 4609 bacaan
Mencari Jalan Pulang | 3785 bacaan
Kerana Biji Gajus | 3387 bacaan
Begitukah? | 2664 bacaan
Dendam Hani | 10426 bacaan
It\\\'s Too Late To Apologise | 2865 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

7 Komen dalam karya Aku dan BMW
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik