Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Ayam Hutan Berbulu Pelangi

 

Matahari terik memancar tembus ke celah-celah pokok-pokok. Suara burung  berkicau jelas kedengaran. Sekawan burung riang berterbangan dan hinggap di dahan pokok yang  lebat berbuah di hujung dahan.

“Hamba sungguh tenang melihat burung mematuk buah di atas dahan sana..” Daeng Kenut mendongak melihat burung asyik mematuk buah di atas pokok.

“Benar bagai dikata wahai tuan hamba. Penat meredah hutan bagai sudah tidak dirasa” Daeng Kesut turut mendongak.

Bila merasa penat sudah semakin reda, lalu mereka berdua pun segera menyambung kembali meredah hutan belantara. Tombak dan keris turut dibawa bersama. Sesekali Daeng Kesut betulkan tengkolok lusuh yang sudah semakin senget melurut. Semak samun di kiri kanan ditebas dengan keris. Peluh keringat di dahi dikesat dengan hujung baju Melayu yang disingsing hingga ke pangkal siku.

Setiba di hujung hutan, masih belum tampak kelibat ayam hutan  berbulu pelangi sebagaimana yang diidamkan oleh permaisuri Sultan.

“Hamba rasa elok kiranya kita berehat barang sekejap di sini wahai  Daeng Kesut.” Daeng Kenut mula melabuhkan punggung di tebing sungai.

Daeng Kesut hanya menurut langkah Daeng Kenut yang kelihatan sudah tidak bermaya. Sudah sepagi mereka meredah hutan mencari ayam hutan berbulu pelangi seperti yang dititahkan Sultan. Sudah banyak ayam hutan dijumpai namun masih belum ada tanda-tanda ayam hutan berbulu pelangi muncul di depan mata.

“Tuan hamba rasa ayam hutan  berbulu pelangi itu masih wujudkah di hutan sebegini?” Daeng Kesut pandang Daeng Kenut yang mula membasahkan badan dengan air sungai yang mengalir perlahan.

“Hamba pun tidak berapa pasti wahai  Daeng Kesut. Pada firasat hamba, ayam hutan berbulu pelangi memang payah ditemu. Err..apakah tuan hamba tahu warna pelangi itu bagaimana?”

Daeng Kesut mula menggaru kepala. Dia sendiri tidak tahu bagaimana rupa warna pelangi. Terkial-kial dia mencari jawapan. Sesekali dia memandang Daeng Kenut yang kelihatan serius merenungnya. Permintaan permaisuri Sultan dirasakan begitu pelik. Dia merenung air sungai yang mengalir perlahan menuju ke muara hilir. Sesekali air sungai berkocak bila menghempas batu dengan kuat di hujung sungai.

“Apa yang tuan hamba sedang fikir?” Daeng Kenut mula pandang Daeng Kesut yang masih menggaru kepala dari tadi.

“Hamba masih memikirkan permintaan  permaisuri yang  hamba rasa memang tidak munasabah. Seumur hidup hamba, tidak pernah hamba lihat warna pelangi. Hamba hanya tahu warna biasa-biasa sahaja. Pada hemah hamba, permaisuri Sultan mungkin sudah tidak siuman. ” Tutur Daeng Kesut  penuh yakin.

Daeng Kenut angguk-angguk tanda setuju. Dia juga sebenarnya merasa begitu sejak dipanggil mengadap Sultan di istana kelmarin.

“Sungguh benar kata-kata tuan hamba. Hamba juga merasa tidak munasabah. Ayam hutan berbulu pelangi tidak pernah hamba jumpa seumur hidup hamba. Warna pelangi juga hamba tidak pernah lihat! Apakah warna pelangi benar-benar wujud atau hanya khayalan permaisuri sultan semata? Memang benar. Permaisuri Sultan sudah tidak siuman!”

Daeng Kesut dan Daeng Kenut meneruskan memburu ayam hutan berbulu pelangi. Mereka meredah lagi hutan belantara sambil mencari kelibat ayam hutan berbulu pelangi. Matahari masih terik memancar yang menembus ke celah-celah ranting pokok yang tinggi. Daeng Kesut dan Daeng Kenut mula berlari untuk berteduh di bawah pokok yang rimbun bila hujan renyai mula turun.

“Wah! Cantiknya!” Daeng Kenut pandang ke arah langit.

Daeng Kesut turut mendongak ke langit bila melihat Daeng Kenut mendongak begitu.

“Sungguh cantik! Warna apakah itu wahai Daeng Kenut?”

“Hamba juga tidak pasti wahai Daeng Kesut! Tetapi warnanya sungguh cantik! Inilah pertama kali hamba melihat warna pelik sebegini!” Daeng Kenut masih melihat warna pelangi yang terbentuk akibat biasan cahaya matahari yang masih memancar terik dalam hujan renyai begitu.

“Benar sungguh bagai dikata! Sungguh cantik walaupun warnanya sungguh pelik!”

Mereka meneruskan lagi perjalanan memburu ayam hutan berwarna pelangi bila hujan sudah mula reda.

“Nampaknya hari pun sudah semakin senja. Hamba rasa elok kita bermalam di sini sahaja. Biarlah pemburuan itu kita teruskan sahaja sebaik matahari menjenguk esok.” Daeng Kesut pandang langit yang sudah mula kelihatan berbalam-balam menandakan hari sudah semakin merangkak senja.

Maka, bermalamlah keduanya di tepi sungai. Unggun api dibuat di celah batu untuk menghalau nyamuk dan unggas yang hinggap menyengat.

“Hamba hairan sungguh! Jika benar bagai dikata, mengapa masih belum ketemu ayam hutan berbulu pelangi di hutan ini? Masih ingatkan tuan hamba akan pesan sultan pada memanda menteri?” Daeng Kenut masih berkerut kening memikirkan segala kehendak permaisuri Sultan.

“Ya! Hamba masih ingat! Sultan telah memerintah memanda menteri mencari ayam hutan  berbulu pelangi di hutan belantara ini. Disuruh pula kita berdua meredah hutan ini demi memenuhi  kehendak permaisuri sultan. Tidakkah memanda menteri tahu, kita hanyalah orang biasa-biasa sahaja?” Daeng Kesut turut berfikir sambil menggosok-gosok dagu. Keris dan tombak diletak di tepi. Jika musuh datang menyerang, senjata sudah tersedia menyodok.

Daeng Kenut juga mengangguk. “Ya! Benar kata-kata tuan hamba! Kita bukan hulubalang yang gagah, bukan juga pemburu yang berani! Hamba sungguh hairan!”

“Hmm…hamba juga turut hairan. Apakah kelebihan kita hingga memanda menteri memberi kita tugas ini?” Daeng Kesut menoleh Daeng Kenut.

“Itu yang hamba tidak mengerti. Sepengetahuan hamba, hamba hanyalah seorang pengawal istana. Tuan hamba pula bagaimana?” Daeng Kenut pandang pula Daeng Kesut.

“Hmm..jika tuan hamba pengawal istana, maka hamba pula hanyalah penjaga taman bunga di istana!” Daeng Kesut juga turut hairan.

Masing-masing diam memikirkan titah memanda menteri. Keduanya tidak pernah memburu binatang di hutan apatah lagi keluar berperang. Daeng Kesut hanya pandai membela dan menjaga pokok-pokok bunga di taman istana. Daeng Kenut pula hanya pandai tercegat di depan pintu besar istana. Sultan juga tidak pernah tahu kewujudan mereka di istana.

“Apa..tuan  hamba pernah melihat ayam hutan berbulu pelangi?” Daeng Kenut pandang Daeng Kesut yang berbaring di sebelah berbantalkan lengan kanan.

Daeng Kesut hanya geleng. “Rupa ayam jantan hamba tahulah! Tuan hamba bagaimana pula?”

Daeng Kenut turut menggeleng. “Hamba pula hanya tahu terpacak di depan pintu istana sahaja!”

Kini kedua-duanya termangu-mangu memikirkan rupa ayam hutan berbulu pelangi. Hari sudah semakin gelap. Sultan memerintahkan mereka berdua memburu ayam hutan berbulu pelangi di hutan itu dan diberi tempoh hanya dua hari.

“Pelik sungguh permaisuri Sultan mengidam. Isteri hamba tidak pernah mengidam benda yang pelik-pelik begini.” Daeng Kesut teringat isteri yang ditinggal di hujung kampung.

“Hmm…isteri hamba pula hanya mengidam buah kelapa muda” Daeng Kenut turut merasa pelik dengan kehendak permaisuri Sultan.

Daeng Kesut dan Daeng Kenut mula memikirkan cara terbaik untuk memburu  ayam hutan berbulu pelangi. Malam itu mereka berdua mula mencari jalan bagaimana untuk memerangkap ayam hutan berbulu pelangi.

“Hamba bingung wahai Daeng Kenut, apa yang kita boleh buru dengan hanya sebilah keris dan sebatang tombak! Ayam hutan pula lajunya begitu sukar dikejar. Hamba tidak berpuas hati!” Tiba-tiba Daeng Kesut mula merungut.

“Huh! Hamba juga begitu! Permintaan Sultan sudah keterlaluan rasanya. Elok jika kita batalkan sahaja memburu ayam hutan berbulu pelangi itu!” Daeng Kenut mula merengus sambil membelek keris pendek dan tombak kontot.

“Benar bagai dikata wahai Daeng Kenut! Ayuh! Kita buru sahaja ayam hutan yang ada! “ Daeng Kesut mula teringat ayam hutan berbulu hitam yang dijumpai banyak berkeliaran di dalam hutan.

“Ayuh!”

Daeng Kesut dan Daeng Kenut mula memburu ayam hutan di sekitar sungai. Berpeluh mereka mengejar dan mengepung ayam hutan yang mula berkeliaran di situ.

“Liar juga ayam hutan ini. Apa kata kita tunggu sahaja waktu malam?” Daeng Kenut mula semput mengejar ayam hutan yang begitu laju berlari.

“Waktu malam? Biar benar tuan hamba! Bukankah waktu malam tidak nampak?” Daeng Kesut menggaru-garu kepala.

“Apa yang hamba tahu, ayam akan bertenggek atas dahan pokok bila malam menjelma!” Daeng Kenut senyum.

Daeng Kesut angguk. “Jika benar, baiklah! Kita tunggu saja malam nanti!”

Mereka berdua mula berehat di perdu pokok tualang di tebing sungai sambil menanti hari gelap. Sebaik sahaja matahari mula terbenam, Daeng Kenut dan Daeng Kesut mula memerhati di atas dahan pokok.

“Ha! Itu dia ayam hutan bertenggek atas dahan sana!” Jerit Daeng Kesut sambil menuding ke arah dahan pokok di sebelah kanan.

Maka bermulalah mereka menangkap ayam hutan yang bertenggek di atas dahan pokok di tepi sungai. Beberapa ekor ikan juga turut ditangkap menggunakan tombak. Daeng Kesut dan Daeng Kenut mula memanggang ayam hutan dan ikan. Seharian mereka meredah hutan, perut mula terasa kosong. Permintaan permaisuri sudah tidak dihiraukan lagi.

“Hmm..hamba rasa, agaknya daging ayam hutan berbulu hitam ini sama sahaja rasanya dengan daging ayam hutan berbulu pelangi. Kita bawa sahaja ayam hutan yang sudah siap dipanggang. Tidakkah tuan hamba setuju?” Daeng Kenut mula beri cadangan.

“Hamba setuju dengan cadangan tuan hamba. Jika kita bawa pulang ayam hutan yang masih hidup, tentu kepala kita dipancung nanti! Di hutan belantara seperti ini, mana hendak dicari ayam hutan berbulu pelangi?” Daeng Kesut senyum.

“Hamba rasa elok kita makan sahaja ayam hutan ini. Seekor lagi kita tambat di pokok sana. Perut  hamba teringin  benar menikmati daging ayam hutan ini. Jika tidak cukup, ikan di sungai juga kita boleh tangkap. Apa pandangan tuan hamba?” Daeng Kenut mula terliur dengan rasa enak ayam hutan.

“Hmm..bagus juga cadangan tuan hamba itu. Hamba juga teruja menikmati keenakan daging ayam hutan.” Daeng Kesut turut senyum.

Mereka berdua mula senyum sambil meratah daging ayam hutan yang sudah siap dipanggang tadi bersama beberapa ekor ikan.

“Eh! Apasal rasa ayam hutan ni macam ayam golek pasar malam je??” Daeng  Kesut tenung paha ayam panggang di tangannya.

Ha’a la! Aku rasa macam ayam Kenny Rogers pun ada!” Daeng Kenut senyum.

*****************

CUT!!!

“Hoi! Mana skrip korang ambik ni?! Aku tahu la ayam tu aku beli kat pasar malam tadi sebelum datang shooting sini!”

Ayam panggang yang berada di tangan Kamil hampir terjatuh bila disergah pengarah. Dia pandang pengarah yang mula bercekak pinggang.

Sorry bos! Tak tahan la tengok ayam panggang ni! Err..boleh kita shoot semula scene ratah ayam tadi?“ Kamal pula menyampuk.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Jenaka

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Masa mula baca ingat apalah ayam pelangi kaksalmi (betul ke nama akak salmi? ke salbiah? ke salamiah? hihi) nak tulis ni.

    cerita mistikkah?

    pastu lama sikit .. adakah dia cuba menunjukkan versatilitinya dengan menulis cerita satira? (yalah, dah nak PRU kan ;p)

    pastu .. cet! cerita bikin gempak rupanya. hehehe. akak, sedikit meleretlah plotnya. hehe.

  • (Penulis)
    2) hehehe..saja nak try kisah dahulu kala..betul ke bahasa orang dolu2 tu?
    tak de kaitan dengan PRU la..hihihi
    tulis cerita ni masa tengah tengok national geographic pasal ayam hutan..hehehe
  • 3) aaa saya sungguh tertipu! ingatkan nak jadi mcm musang berjanggut.

  • (Penulis)
    4) uculer: wonder.. macam mana musang berjanggut sebenarnya...ermmmm...
  • 5) Mmg sedap dging ayam hutan..dh mula mgidam(mcm mgandung lak)hehehehehe

Cerpen-cerpen lain nukilan ciksal

Read all stories by ciksal