Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Suami Isteri

Maaf, Aku Bukan Dayus!

Cerpen sebelumnya:
Ayam Hutan Berbulu Pelangi
Cerpen selanjutnya:
Syawal Yang Tak Di duga

\'Sebagaimana saya ambil anak mak dulu dengan cara baik..hari ni saya ingin pulangkan dengan cara baik juga\'

Itulah kata-kata yang menyentuh jwa saya bila membaca luahan hati seorang suami di satu laman sosial..masa tu saya terpandang tajuk \' Wanita Cantik Selalu Curang\'. Tertarik dengan tajuk itu, saya meneruskan membaca luahan hati itu sehingga ke akhir kalam. Sungguh menyentuh jiwa. Teringat satu kes pembunuhan di dada akhbar..tindakan seorang suami yang mencekik isteri sendiri baru-baru ini akibat cemburu (Kes dituduh curang rasanya).Di sini saya garapkan luahan itu ke sebuah cerpen untuk tatapan anda sebagai pembaca untuk menilai sendiri.

______________________________

RAZIF belek album perkahwinannya yang berukir cantik dengan ukiran kelopak bunga di tepi kulit album. Pandangannya kosong. Album ditatap lama. Dirasakan perkahwinannya sudah hambar. Sehambar kuih yang dimakan di kedai makan sebelah pejabatnya sebentar tadi. Sudah tiada rasa manis. Semuanya dirasakan sudah masam dan pahit. Gambar demi gambar ditatap. Begitu manja Azreen memeluknya di kala mengukir memori hari bersejarah mereka disatukan,  hari yang menjadi idaman setiap pasangan. Sedar tidak sedar, usia perkahwinannya dengan Azreen sudah mencecah empat belas tahun. Suatu tempoh yang agak lama untuk sebuah perkahwinan. Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta sejati sejak zaman universiti lagi.

Razif pandang pula kepada seorang anak gadis kecil yang lena tidur. Agaknya sudah hanyut dibuai mimpi. Dia mengusap lembut rambut anaknya yang masih hijau tentang erti kehidupan. Album perkahwinannya ditatap lagi. Segala-galanya kini sudah tidak ada makna.

*****************

Memori zaman percintaan cukup indah. Razif bangga dapat memiliki hati dan cinta Azreen, gadis cantik yang menjadi rebutan mahasiswa ketika itu. Dia bangga kerana Azreen memilihnya sebagai teman hidup. Sejak itu, ke hulu ke hilir, ke mana saja, mereka tidak pernah berpisah sehingga  digelar belangkas. Teman-teman semuanya sudah maklum perhubungan Razif dengan Azreen yang pernah digelar ‘ Couple of the Year’.

Hati Razif semakin berbunga bila lamarannya diterima keluarga Azreen. Bimbang disambar jejaka lain, sebaik tamat pengajian, dia terus melamar Azreen menjadi isteri yang sah. Maka bermulalah kehidupan mereka sebagai suami isteri yang bahagia. Dia dan Azreen berjaya menjawat jawatan eksekutif di sebuah syarikat swasta terkemuka. Walaupun mereka bekerja di syarikat berlainan, hubungan suami isteri terasa semakin hangat. Azreen dihantar dan dijemput setiap hari bekerja. Setahun melayari bahtera bersama, mereka dikhabarkan berita gembira. Razif bakal menjadi seorang ayah. Hanya tuhan saja yang tahu hatinya ketika itu. Gembira dan bersyukur dengan kurniaan tuhan.

Setahun berlalu, lahirlah cahaya mata hati mereka yang pertama. Seorang puteri yang begitu comel. Kehidupan Razif sungguh bahagia. Sofea, anak yang ditatang bagai minyak yang penuh dijaga dengan penuh kasih sayang. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, Sofea membesar menjadi seorang anak gadis yang cantik. Nyata kecantikannya diwarisi dari isterinya Azreen. Mulut dan hidung  Sofea  pula banyak diwarisi dari dirinya. Razif bersyukur.

Kini Sofea sudah berusia tiga belas tahun, sudah pandai bergaya. Razif dan Azreen bergilir menghantar dan menjemput Sofea dari sekolah. Hidup mereka penuh bahagia. Namun semua itu tidak lama. Azreen mula berubah sikap. Razif mula perasan sikap dingin Azreen sejak dua tahun lalu  sehinggalah pada suatu hari, Razif  merasakan ada sesuatu yang berubah. Azreen tidak lagi seperti dulu. Sejak Azreen sudah memiliki kereta sendiri, Razif tidak dibenarkan menghantar dan menjemputnya seperti biasa. Alasannya arah pejabat mereka berlainan. Azreen tidak mahu menyusahkan Razif lagi. Razif akur kerana pejabat mereka berlainan hala.

Bermula saat itu, Azreen semakin kerap pulang lewat dari pejabat. Banyak kerja katanya. Razif tidak menaruh syak wasangka. Sejak mula Azreen bekerja, dia sudah maklum kesibukan Azreen di pejabat tetapi kali ini kesibukan Azreen semakin menjadi-jadi. Di rumah pula, Azreen mula berkepit dengan telefon bimbit. Ke mana saja dia pergi, telefon bimbitnya pasti dibawa bersama. Hatta ke bilik air, Azreen tidak pernah tinggal telefon bimbitnya. Razif mula merasa ada sesuatu yang tidak kena. Pernah dia minta ingin melihat telefon bimbit Azreen namun bermacam-macam-macam alasan diberi demi mengelak darinya. Tempoh empat belas tahun perkahwinannya menyebabkan dia sudah masak dengan sikap Azreen luar dan dalam.

Razif cuba selami hati dan sikap Azreen yang mula berubah namun dia sendiri bingung. Layanan Azreen semakin hambar. Jika dulu Azreen senang mendengar lawak yang dibuat olehnya tetapi sekarang nyata Azreen sudah tidak peduli itu semua. Kadang-kadang terasa Azreen seperti memaksa diri untuk senyum bila dia mula bercerita kisah lucu.

Sejak itu, Razif selalu berdoa setiap solat agar Allah memberikannya kebahagian dalam mengharungi kehidupan berumah tangga. Sabar dalam menghadapi ujian Allah dan Allah memberi petunjuk kepadanya dalam menangani kerenah Azreen.

Pagi itu, Azreen ke bilik air tergopoh-gopoh sehingga terlupa membawa sekali telefon bimbitnya. Razif hanya memandang Azreen yang tergopoh-gopoh berlari ke bilik air. Tiba-tiba telefon bimbit Azreen  berdering seakan nada sms. Rupanya Azreen terlupa telefon bimbitnya yang disimpan di dalam laci tadi. Dia buka laci meja solek perlahan-lahan. Hatinya membuak ingin tahu apa yang  tertulis di skrin. Cepat-cepat dia mencapai telefon. Tiada nama, hanya nombor saja yang tertera di skrin. Jantungnya berdegup kencang. Mesej dibaca.

‘Hari ni lepas kerja kita jumpa di tempat biasa’

Razif cepat-cepat salin nombor telefon yang tertera di skrin dan mula padamkan mesej yang diterima. Telefon bimbit diletak semula di tempat yang diambil tadi. Dia mula meraup muka. Cepat-cepat dia turun ke bawah dan bersarapan bersama Sofea.

Dari meja makan, Razif melihat Azreen turun dengan berbaju kurung dan bertudung cantik dengan solekan nipis. Azreen senyum kepadanya. Dia cuba menahan gejolak di hati dan bersikap seperti biasa. Pagi itu mereka sama-sama bersarapan.

 “Hari ini giliran abang kan hantar Sofea ke sekolah?”

Razif pandang Azreen yang masih tersenyum. Dia turut senyum seolah tiada apa yang berlaku.

“Ya...” Razif pandang Azreen yang begitu enak menikmati sarapan.

Selesai sarapan, Azreen mencium tangan Razif dan mula memandu ke pejabat. Razif hanya senyum hambar. Sikap Azreen seolah tiada apa kesalahan yang dia lakukan. Pagi itu Razif menghantar Sofea ke sekolah.  Sebelum keluar rumah, sempat dia mengambil kamera video bersama. Bimbang anaknya bertanya, Razif turut merakam pemandangan sepanjang perjalanan ke sekolah anaknya.

“Papa, kenapa papa rakam pemandangan di sini? Untuk apa papa?” Sofea mula merasa pelik dengan tindakan Razif yang tiba-tiba merakam pemandangan begitu.

“Err..papa ada projek untuk dibuat. Papa kena guna  kamera video ni sayang.” Razif teragak-agak menjawab pertanyaan Sofea.

Nampak sangat dia cuba berbohong. Selama ini dia tidak pernah berbohong dengan anaknya. Tidak mahu mengajar Sofea kata-kata bohong tetapi kali ini dia terpaksa berbuat begitu. Setelah menghantar Sofea ke sekolah, Razif nekad untuk mengetahui perubahan sikap Azreen yang sudah tidak dapat ditafsir olehnya.

“Man, aku pinjam kereta kau boleh?” Razif pandang Azman, teman baik semasa di universiti dulu yang masih setia berkawan dengannya.

“Kenapa dengan kereta kau Zif?”

“Ni kunci kereta aku. Kau pakai kereta aku dulu. Aku nak guna kereta kau untuk hari ni je. Aku ada hal penting. Nanti aku cerita. Boleh tak?” Razif menghulurkan kunci keretanya kepada Azman.

Azman yang tidak tahu apa-apa hanya mengambil kunci yang dihulur Razif. Kunci keretanya pula dihulur kepada Razif. Razif memandu kereta Azman menuju ke pejabatnya.

Tengah hari pula, setelah menjemput anaknya dari sekolah sekali lagi Sofea bertanya tindakannya membawa kamera video bersama.

“Bos papa suruh papa buat satu projek yang terpaksa guna video ni. Untuk permulaan, papa rakam dulu Sofea pergi dan balik sekolah. Sudah lama papa tak guna video ni.” Razif senyum. Biarlah dia berbohong sekali lagi.

Sofea turut senyum sambil menunjukkan tanda ‘peace’ bila Razif merakam dirinya di sebelah penumpang hadapan. Razif turut ketawa melihat gelagat Sofea yang lincah dan sentiasa terukir dengan senyuman manis.

*************

SELESAI menghantar Sofea ke rumah, Razif kembali semula ke pejabat. Tepat jam lima petang, dia segera keluar dari pejabat. Hari itu dia perlu tahu segala-galanya. Dia segera menjalani agendanya yang telah dirancang dengan penuh teliti. Semoga apa yang terbuku di hati dan persoalan yang membuak-buak di mindanya terjawab hari ini.

Kereta Azman yang dipinjam tadi dibawa laju menuju ke pejabat Azreen. Razif sengaja membawa kereta Azman supaya tidak dikesan oleh Azreen nanti. Penyamarannya perlu dilakukan dengan teliti. Lama dia menunggu di dalam kereta. Kereta diletak agak jauh dari bahagian depan pejabat Azreen yang terletak di bangunan sepuluh tingkat. Sesekali Razif jeling kamera video yang sudah bersedia untuk merakam. Dia sudah nekad. Kereta Azreen pula masih tersadai di bahagian letak kereta betul-betul berhadapan dengan pintu utama.

Razif lihat jam di kereta. Sudah hampir lima setengah petang. Matanya memandang pula ke arah pintu utama bangunan di depannya. Dari jauh dia sudah nampak Azreen keluar dari pintu utama dengan senyuman manis. Namun Azreen tidak menuju ke arah kereta Honda Civic kepunyaannya sebaliknya dia menuju ke sebuah kereta mewah berwarna hitam. Pintu kereta dibuka sambil tersenyum. Segala gerak geri Azreen dirakam dengan penuh teliti.

Kereta Razif mula bergerak bila melihat kereta hitam di depannya sudah mula bergerak. Dia ikut ke mana saja kereta hitam itu pergi dalam jarak yang selamat. Baru beberapa minit bergerak, Razif pandang telefon bimbitnya yang berbunyi nyaring. Dia jeling nama yang tertera di skrin. Azreen! Hatinya mula gelisah, bimbang Azreen dapat menghidu tindakannya mengekori begitu. Perlahan dia menjawab.

“Hello bang! Az lambat sikit hari ni. Az masih kat pejabat ni. Hari ni kena buat overtime, mungkin sampai malam sebab nak siapkan bahan-bahan untuk meeting esok.”

“Ok..”

Razif hanya senyum hambar. Pilu dan luluh hatinya memikirkan betapa Azreen berbohong kepadanya namun dikuatkan juga hati demi mencari kebenaran apa yang terjadi sebenarnya. Matanya tidak lepas dari memandang kereta hitam. Nyata Azreen  tega menipu di depan matanya sendiri sedangkan  dia tahu saat ini Azreen berada di dalam kereta hitam itu yang sedang meluncur laju. Hatinya sebak. Tidak sangka Azreen sanggup menipunya begitu. Perlahan keretanya mengekori kereta hitam itu yang menuju ke sebuah restoran mewah. Dari situ Razif sekali lagi merakam segala gerak geri Azreen setelah dia meletak keretanya agak jauh dari kereta hitam itu. Hatinya berdetik kuat. Nyata Azreen keluar dengan seorang lelaki yang jauh lebih muda darinya sebaik sahaja lelaki itu keluar dari perut kereta. Dia terus merakam segala perlakuan Azreen dan lelaki muda itu. Pada hemahnya, lelaki itu memang orang berada. Azreen dengan mesra memaut lengan lelaki itu sambil melentukkan kepalanya di bahu lelaki itu.

Dari dalam kereta, Razif masih merakam perlakuan mereka. Kali ini lelaki itu pula memeluk bahu dan membetulkan tudung Azreen sambil sebuah kucupan mesra singgah di pipi gebu Azreen. Sekali sekala mereka ketawa kecil. Razif mengurut dada. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia menghadiahkan sebiji buku lima ke muka lelaki itu. Azreen pula mahu rasanya dia lempang sehingga terduduk. Namun itu semua hanya ilusi dirinya. Biarlah begitu. Rakaman itu nanti menjadi bukti kukuh untuknya berhujah dengan  Azreen nanti.

“Az..sanggup kau curang dengan aku..” Tanpa sedar, air mata lelakinya tumpah jua melihat kecurangan Azreen di depan matanya sendiri.

Terasa lenguh seluruh badan setelah tiga jam berada di dalam kereta memerhati gerak geri Azreen dan lelaki itu. Waktu Asar dan maghrib terlupus begitu sahaja. Razif beristighfar bila mengenangkan dia telah berdosa meninggalkan kewajipan kepada Allah semata-mata ingin mencari kebenaran.

Azreen dan teman lelakinya mula keluar dari restoran itu. Razif cepat-cepat tunduk dan mula menghidupkan enjin.  Perlahan dia mengekori kereta hitam itu sebaik saja kereta itu mula bergerak. Perasaannya semakin membuak ingin tahu ke mana pasangan dilanda mabuk cinta itu menghala. Razif mengekori berhati-hati agar kehadirannya tidak dihidu oleh mereka. Dari jalan yang dilalui, nyata kereta hitam itu kembali semula ke pejabat Azreen.

“Mungkin lelaki itu ingin menghantar Azreen di situ kerana kereta Azreen masih di tempat letak kereta..”  Razif berkata sendiri. Kamera video masih merakam aksi mereka.

Tekaan Razif nyata salah. Kereta hitam itu bergerak perlahan ke belakang bangunan yang gelap dan sempit. Jam di dashboard sudah hampir lapan malam. Dalam keadaan gelap begitu, Razif beranikan diri keluar dari kereta sambil membawa bersama kamera video. Dia nekad untuk merakam segala perbuatan Azreen walaupun dalam keadaan gelap begitu. Dia menapak perlahan ke arah kereta hitam yang mula berhenti di lorong belakang bangunan dengan deruman enjin masih kedengaran. Pemandangan gelap begitu, dia terpaksa menggunakan fungsi rakaman dalam gelap untuk rakaman yang lebih baik. Dia mula mencari tempat yang sedikit tersorok agar tidak disedari oleh Azreen.

Hatinya berdegup kencang. Tak sanggup melihat perlakuan pasangan sejoli itu di dalam kereta. Jelas dia melihat bibir mereka bertaut. Walaupun rasa terseksa, Razif gagahkan diri merakam segala aksi pasangan itu. Dia mengucap panjang bila lelaki itu mula merebahkan kerusi Azreen dan bermulalah kemurkaan Allah. Azreen nyata terlalu jauh hanyut dibuai pelukan lelaki itu sehingga ke tahap itu. Tanpa disedari air matanya menitis lagi. Kebenciannya mula meluap-luap melihat perlakuan zina di depan mata. Mahu saja dia menamatkan riwayat kedua makhluk yang leka melakukan maksiat. Dia terus beristighfar panjang.

Razif cepat-cepat beredar setelah segala perlakuan Azreen dan teman lelakinya dirakam dengan baik. Dalam keadaan gelap begitu, dia meraba-raba menuju ke arah keretanya semula. Kereta dipandu laju meninggalkan tempat hitam itu.  Kereta Azman dipulangkan dan mengambil keretanya sebelum kembali ke rumah.

 

SAMPAI di laman rumah, Razif segera memindahkan rakaman tadi ke dalam CD. Dia sudah siap meletakkan komputer riba di dalam kereta. Sebaik sahaja  masuk ke dalam rumah, kelihatan Sofea sudah berada di   ruang tamu sedang leka membuat kerja sekolah.

“Papa baru balik? Dah siap ke projek tu?” Sofea senyum sambil memeluk Razif.

“Ya sayang. Dah makan?” Razif mengusap rambut Sofea. Dia mula rasa bersalah membiarkan Sofea menikmati makan malam seorang diri.

“Dah papa. Makcik esah dah masak tadi. Mama mana?”

“Mama banyak kerja sayang..” Razif gagahkan diri memuji Azreen depan Sofea.

Razif segera ke bilik untuk membersihkan diri. Perlahan sejadah dibentang. Dia berdoa sambil menangis memohon ampun kepada Allah selesai solat isyak tadi. Kerana tidak mahu terlepas walau sedetik pun perlakuan Azreen, solat Asar dan maghrib terlepas begitu sahaja. Dia meraup muka menangis di tikar sejadah.

“Ya Allah! Ampunkan aku ..jika aku di pihak yang benar, Kau berilah kekuatan kepada ku ya Allah. ”

Lama Razif berteleku di atas sejadah sambil menyesali tindakannya meninggalkan dua solat fardu tadi semata-mata kerana Azreen. Dia menyesal sungguh-sungguh. Terus diqadha solat yang tertinggal tadi. Dia menangis dalam doa. Hatinya sebak memikirkan apakah dosanya dikurniakan isteri yang menjalani kehidupan yang bengkang bengkok begitu.Sejadah dilipat dan diletak di atas rak di tepi al Quran. Razif pandang jam di atas meja tepi. Sembilan setengah malam. Dia melihat sekitar bilik. Bilik yang dulunya penuh dengan bunga-bunga cinta yang disemai bersama Azreen kini dirasakan seperti berada di sebuah bilik usang yang penuh bersarang.

Razif jenguk keluar tingkap bila mendengar deruman kereta Azreen di laman. Dia segera menapak ke katil sambil membaca buku motivasi kegemarannya.

“Abang dah makan?”

Razif memandang Azreen yang sudah berada di muka pintu bilik sambil tersenyum. Dalam hatinya begitu meluat melihat sikap Azreen yang seolah tidak ada apa-apa berlaku. Senyuman yang diukir di bibirnya hanyalah untuk menutup sebuah kemurkaan.

“Sudah..” Razif menjawab hambar.

Razif perhati lagi Azreen yang kelihatan letih. Ah..aku sudah tahu semua itu. Dia lihat baju kurung dan tudung yang dipakai Azreen nyata kemas sebagaimana kemasnya sewaktu Azreen pergi kerja pagi tadi.

Pandai sungguh kau berlakon Az.. rintih hati Razif.

Razif hanya memerhati Azreen ke bilik air setelah pakaiannya dilonggokkan di dalam bakul di tepi bilik air. Malam itu, Azreen mengenakan baju tidur yang cukup membuatnya terpesona. Namun Razif tahu, itu semua helah Azreen untuk menggodanya dengan berpakaian begitu. Ingin menutup kesalahan yang telah dilakukan tadi. Senyuman manja Azreen yang cuba menggodanya tidak sedikit pun membuatkan hatinya cair. Kalau dulu, dia cukup terpesona dengan senyuman itu tapi kini dirasakan semuanya palsu. Dia tahu Azreen ingin bersamanya malam itu semata-mata untuk mengelak benih lelaki itu tumbuh subur di dalam rahimnya. Jika ditakdirkan Azreen hamil, sudah tentu benihnya nanti yang hidup di rahim Azreen. Pandai Azreen mengatur rancangan. Masa bahagia dulu, jika lima kali dia meminta, lapan kali Azreen sanggup bagi. Tapi sejak Azreen berubah melekat dengan telefon bimbitnya, lima kali dia minta, hanya sekali yang dia dapat.

“Bang..kenapa ni..” Azreen mula memeluk Razif yang hanya sepatah menjawab.

“Lambat balik hari ni?”Razif lepaskan tangan Azreen yang memeluknya begitu.

“Banyak perkara yang perlu disiapkan tadi”

“Kalau Az sudah ada lelaki yang lebih baik, abang sedia lepaskan Az..” Razif memulakan bicara yang dipendam sejak tadi.

Azreen terkejut dengan kata-kata yang keluar dari bibir Razif.

“Apa abang cakap ni?? Saya tiada siapa-siapa selain abang seorang! Abang tu yang kuat cemburu!” Azreen mula menyangkal tuduhan Razif.

“Abang tidak cemburu tapi abang dapat rasa yang Az berbohong pada abang.” Razif dengan tenang meluahkan apa yang terbuku di hati.

Wajah Azreen mula berubah rona namun dia terus menyangkal sangkaan Razif. Sebaliknya Azreen cuba mengalih topik perbualan dan cuba menggoda Razif agar menggaulinya malam itu.

Razif tidak menghiraukan godaan Azreen yang beria meminta ingin bersama malam itu. Dibiarkan Azreen seorang diri di bilik. Dia segera menapak ke bilik anak gadisnya.

“Sofea..maafkan papa..” Razif cium dahi anak gadisnya.

Malam itu Razif tidur di ruang tamu. Hatinya sudah sakit. Baginya dia hanya menunggu masa yang sesuai saja.

***************

SEJAK itu, Razif tidak lagi bermesra dengan Azreen. Setiap pertanyaan Azreen dijawab dengan hanya sepatah saja. Dia lebih banyak diam dari berkata-kata. Bila malam pula, dia membatukan diri macam tunggul. Jika dirasakan jiwa lelakinya tergugat dengan godaan manja Azreen, dia cepat-cepat tidur di bilik lain.

Azreen pula mula tidak faham dengan sikap Razif yang mula berubah. Tidak lagi mesra seperti dulu. Jenuh dia bertanya, Razif tetap dengan sikap acuh tak acuhnya.

“Bang..kenapa ni..apa yang Az tanya, sepatah abang jawab..” Azreen merapati Razif yang asyik menonton tv bersama Sofea.

Razif masih diam. Sesekali dia berbual dengan Sofea sambil mengajar Sofea menyelesaikan kerja sekolah.

“Sofea..hujung minggu ni papa nak balik rumah opah, Sofea nak ikut?” Razif mula mengatur rancangan.

“Nak! Sofea rindu kat opah!” Sofea melompat kegembiraan. Sudah lama dia tidak bertemu nenek kesayangannya di kampung.

Azreen yang berada di sebelah Razif masih terpinga-pinga. Tiba-tiba saja Razif ingin pulang ke kampung.

“Abang nak balik kampung?”

“Ya..” Sepatah Razif menjawab tanpa memandang Azreen.

“Tapi mengapa tergesa-gesa bang..kenapa tiba-tiba?” Azreen seolah tidak puas hati dengan cadangan Razif.

Razif hanya mendiamkan diri. Dia jeling Sofea yang sudah tersengih-sengih begitu. Wajah ceria Sofea cukup membahagiakannya.

“Abang ada hal penting nak bincang dengan mak dan ayah Az” Razif pandang pula Azreen yang nyata masih terpinga-pinga dari tadi.

 

Hujung minggu, Razif mula berkemas dan meletakkan beg besar di belakang kereta. Sofea tidak henti-henti bercakap tentang opah dan mak usunya, adik Azreen.  Dia tahu, Sofea begitu rapat dengan adik iparnya sejak kecil lagi. Sayang benar Sofea dengan mak usunya. Sepanjang perjalanan ke kampung, Razif banyak diam dari berbicara.

“Bang..Az peliklah. Cakaplah bang..kenapa abang tiba-tiba nak balik rumah mak ayah Az ni?” Azreen terus mendesak.

 Razif masih membisu. Sesekali dia layan Sofea yang petah bercakap.

Azreen pula mula merasa tidak sedap hati dengan sikap  Razif yang berubah begitu. Hatinya mula berdegup kencang bila sampai saja di perkarangan rumah mak dan ayahnya.

“Assalamualaikum ayah, mak!” Razif mencium tangan kedua mertuanya. Azreen turut berbuat demikian.

Sofea pula mula mendapatkan mak usunya.

“Zif, Az..tiba-tiba je balik. Ada hal penting ke?” Ibu Azreen peluk Azreen dan Sofea yang berada di sebelahnya.

“Naiklah” Ayah Azreen pula pelawa.

 

MALAM itu, selesai makan malam, Razif mula berbual dengan ibu dan ayah mertuanya di ruang tamu. Sebelum itu, dia terlebih dulu menyuruh Sofea masuk ke bilik bersama mak usu.

Azreen semakin tidak sedap hati dengan sikap Razif. Dia pandang Razif yang masih duduk di sebelah ayahnya.

“Ada hal penting apa Zif nak bincang dengan kami?” Ayah mula bersuara.

“Mak..ayah..sebagaimana Zif ambil Azreen dengan baik, macam tulah juga Zif ingin pulangkan semula Azreen kepada mak dan ayah..” Razif menyusun kata. Berhati-hati.

Azreen tersentak. Dia pandang Razif yang tenang menutur bicara mukadimah.

“Bang! Apa abang cakap ni? Az tak faham!” Azreen mula tidak mengerti dengan butir bicara Razif yang dirasakan ada maksud tersirat.

“Ha’a Zif..apa maksud Zif ni?” Mak pula mencelah. Dahi tuanya berkerut.

“Tanyalah Az sendiri..” Razif tunduk. Dia sebenarnya tidak sanggup meluahkan apa yang dilihat.

Ibu Azreen mula memandang Azreen yang masih kebingungan.

“Az pun tak tahu mak, ayah..Az tak faham kata-kata abang Zif!” Azreen masih berpura-pura.

“Baiklah..saya sebagai seorang suami, tidak mahu dituduh dayus bila membiarkan isteri sendiri berzina di depan mata saya.” Razif memulakan inti cerita.

Masing-masing tercengang dengan kata-kata Razif.

“Zif..ayah tak faham. Kamu ada bukti ke menuduh anak ayah begitu?” Ayah mula bertutur serius.

Razif angguk.

“Mak pun tak percaya! Mana buktinya?” Mak pula menyoal. Razif faham bila anak gadis dituduh curang begitu, ibu mana yang tidak marah.

Razif hanya diam bila Azreen mula menuduhnya cemburu dan bersangka buruk. Azreen mula pertahankan dirinya di hadapan ibu bapanya.

Az..kau boleh menipu mak dan ayah tapi kau tak boleh menipu aku…

“Mak..ayah..saya tidak menuduh Az tanpa bukti. Jika mak dan ayah tidak percaya kata-kata saya dan percaya kata-kata anak mak dan ayah sendiri, baiklah!” Razif mula membuka beg komputer riba yang dibawa bersama.

Sekeping VCD diambil dari celah poket beg dan dipasang di tv. Mak dan ayah Azreen terbeliak melihat sebaik saja VCD dimainkan. Azreen mula pucat muka. Sungguh dia tidak menyangka sejauh itu Razif menyiasat.

“Mak dan ayah nilai sendiri. Video ni saya sendiri yang rakam. Kalau saya upah orang lain mungkin mak dan ayah tidak percaya.  Saya sendiri mengekori Azreen dari pejabat sehinggalah adegan dalam kereta itu.” Razif menutur tenang.

Razif lihat mak dan ayah Azreen terlopong melihat rakaman video. Mak Azreen mengucap panjang, berkali-kali.

Azreen terduduk. Serentak itu juga, dia menangis meraung-raung memegang kaki Razif yang masih duduk di sebelah ayah.

“Bang..maafkan Az bang..maafkan Az. Az takkan buat lagi..ampunkan Az bang!”

Razif tidak menghiraukan kata-kata Azreen. Video masih terpasang. Mak dan ayah Azreen masing-masing terdiam. Bukti sudah ada depan mata.

“Papa! Kenapa lelaki tu peluk mama? Siapa lelaki tu? ”

Razif terkejut. Dia menoleh ke arah Sofea. Rupanya Sofea dan adik Azreen sudah tercegat di ruang tamu. Adik Azreen turut terkejut melihat adegan dalam video itu. Cepat-cepat dia tarik tangan Sofea masuk ke bilik semula.

Razif pula tidak sempat menutup video yang terpasang tadi. Sofea sudah melihat segala-galanya. Dia mula tunduk. Entah apa Sofea fikir nanti melihat ibunya sendiri berkelakuan begitu. Dia pandang pula Azreen yang masih merayu memohon maaf kepadanya.

“Az..dengan sedar..aku lepaskan kau..aku ceraikan kau dengan talak satu. Kau bebas sekarang.” Razif bangun dan masuk ke bilik.

Sebaik keluar dari bilik, di tangannya sudah ada beg pakaian. Malam itu juga dia bertolak ke KL semula. Sofea ditinggalkan di situ buat sementara.  Dia dengan Azreen bukan lagi muhrim.

 

SEJAK itu, dia mula memohon hak penjagaan terhadap Sofea. Alhamdulillah, mahkamah memihak kepadanya. Dia menang kes itu. Sofea kini berada dalam jagaannya. Sekali sekala, dia akan bawa Sofea jumpa opah dan adik Azreen. Mereka sangat rapat. Razif tidak mahu memutuskan ikatan kasih sayang yang terjalin sekian lama walaupun hatinya sendiri terluka setiap kali menjejakkan kaki ke rumah itu.

Dari cerita  bekas mertuanya, dia dapat tahu Azreen sudah berkahwin dengan teman lelakinya itu. Razif lega kerana lelaki itu sudi mengambil Azreen sebagai isteri yang sah digauli. Setiap kali dia membawa Sofea menjenguk opah di kampung, kadang-kadang sahaja dia bertembung dengan Azreen yang kebetulan juga pulang ke kampung tapi tanpa suami di sisi. Wajah manis dan badannya yang dulunya montok kini sudah mula kurus kering. Pucat. Rupanya Azreen makan hati dengan suami barunya itu yang mula curang dengan perempuan lain.

****************

RAZIF menutup album bila melihat Sofea sudah terjaga dari tidur. Dia cepat-cepat menyapu air mata yang masih bergenang walaupun tidak menitis. Album diletak di dalam laci meja belajar anak gadisnya semula. Hanya itu kenangan yang disimpan dan ditatap Sofea bila rindukan mamanya.

“Papa…belum tidur lagi?” Sofea genyeh mata.

“Belum sayang..tidurlah. Esok nak sekolah.” Razif cium dahi Sofea dan menarik selimut hingga ke paras dada.

Lampu utama bilik ditutup dan hanya lampu kecil tepi katil saja dibiarkan bernyala. Sebelum keluar dari bilik Sofea, sekali lagi matanya tertancap pada sekeping bingkai gambar yang diletakkan atas meja belajar Sofea. Gambar mereka bertiga yang diabadikan ketika hari raya. Begitu bahagia saat itu. Namun semuanya telah musnah. Sebagai suami, tidak mungkin dia tega melihat Azreen hanyut dalam maksiat yang dicipta sendiri. Aku bukan dayus!

Azreen..itulah hukum karma. Aku simpati dengan nasibmu tapi maaf, aku bukan dayus.

Cerpen sebelumnya:
Ayam Hutan Berbulu Pelangi
Cerpen selanjutnya:
Syawal Yang Tak Di duga

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
3 Penilai

Info penulis

ciksal

Hidup biarlah berlandasan..
ciksal | Jadikan ciksal rakan anda | Hantar Mesej kepada ciksal

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ciksal
Suku Suku | 9061 bacaan
Aku Tak Nak Mati Lagi! | 9501 bacaan
Dan Ku Cari Kamu | 2584 bacaan
Sebuah Harapan | 2796 bacaan
Kau Jodohku | 4606 bacaan
Mencari Jalan Pulang | 3784 bacaan
Kerana Biji Gajus | 3386 bacaan
Begitukah? | 2663 bacaan
Dendam Hani | 10419 bacaan
It\\\'s Too Late To Apologise | 2864 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

9 Komen dalam karya Maaf, Aku Bukan Dayus!
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik