Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Violet

Cerpen sebelumnya:
It\\\'s Too Late To Apologise
Cerpen selanjutnya:
Janji ke Syurga

CAHAYA sinaran matahari tidak begitu terik hari ini. Hanya sekadar membiaskan cahayanya yang terang bagi menaikkan semangat seisi bumi. Tumbuhan hijau tumbuh mekar dan segar dengan adanya matahari. Manusia? Ada yang gembira akan kehadiran matahari kerana mereka boleh bersiar-siar dan merencana pelbagai aktiviti luar. Ada juga yang kurang senang kerana keadaan panas boleh menggelapkan kulit mereka dan menimbulkan suasa melekit dan tidak selesa.

            Tapi buat si gadis ini, cuaca cerah atau gelap, matahari ada atau tiada…. Semuanya kelihatan sama. Fazira tidak tahu sama ada dia sedang berhadapan dengan hari yang indah atau hari mendung yang mengharukan. Baginya, semuanya gelap gelita. Tiada permandangan indah, tiada sinaran biasan cahaya matahari.

            Namun gadis buta yang memiliki iris berwarna Violet ini tidak pernah mengalah. Setiap langkah dalam kehidupannya adalah bermakna. Setiap rasa dan perasaan yang dilaluinya mempunyai erti yang indah. Fazira adalah gadis bermata Violet yang istimewa.

            Pagi itu seperti biasa tugasannya berjalan. Menjual kuih bersama adiknya, Fatiha adalah kebiasan sehari-seharian mereka. Kalau tak menjual, perut tidaklah beralas. Kalau diikutkan perasaan letih dan penat, maka bergelandanganlah mereka.

DI SUATU sudut restoran mamak, Nadim atau nama penuhnya Tengku Nadim Tengku Hamzah galak bersembang bersama-sama temannya. Kadang-kadang gelak tawa, adakala pula bernada amarah. Topik-topik perbincangan biasa lelaki, lain tak bukan mestilah bola.

            “Hey Nadim! Asyik-asyik kita ni sembang pasal bola je… kau ni aku nak tanya..” celah Zamarul, rakan sekelas Nadim semasa menuntut undang-undang di London dahulu.

            “Kau bila nak kahwin? Aritu aku dengar mak kau nak kahwinkan kau dengan Tasya kan?” usik Zamarul. Hisyam pula tumpang ketawa mendengarkan pertanyaan Zamarul.

            “Uish si Tasya tu.. tak maulah! High maintenance. Aku nak cari yang simple-simple je.”

            “Hai Nadim? Simple yang macam mana tu?” pintas Hisyam pula.

            “Yang macam…. Tu..” Kata-kata Nadim terhenti tanpa noktah jelas saat dia melihat susuk tubuh seorang gadis remaja. Berbaju kurung biru pastel. Disampingnya ada seorang anak gadis muda memimpin. Mereka membawa dua biji bakul yang berisi sesuatu yang belum dia ketahui.

            “Tu…. Mana?” Zamarul menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia tertoleh-toleh kiri dan kanan. Siapa pula?

            “Tu siapa?” tanya Nadim sambil menjuihkan bibirnya ke arah dua orang gadis berbaju kurung tersebut. “Tak pernah nampak pun.”

            “Oh… tu Fazira dengan adiknya. Dia jual kuih,” jawab Hisyam sambil tersengih-sengih. Ketiga-tiga mereka merenung gadis penjual kuih itu tak berkedip mata. Mungkin terpesona dengan bebola matanya yang berwarna Violet.

            Fazira dan Fatiha mendekati ketiga-tiga jejaka bujang tersebut. Seperti biasa mereka bertanyakan jika ada yang mahu membeli kuih mereka.

            “Abang-abang nak beli kuih? Ni kakak saya dan saya yang buat. Ada kuih seri muka, kuih talam, karipap…”

            “Kakak awak buat kuih ni?” celah Nadim sambil matanya tak lekang merenung Fazira. Endahkanlah nama kuih muih itu. Bukan dia pernah makan pun tapi… gadis ini memang menarik perhatiannya. Matanya sungguh cantik. Berwarna Violet pula tu.

            “Ye saya dan kakak yang buat…” jawab Fatiha teragak-agak. Nak beli kuih ke abang ni? Atau dah terpikat dengan kakak aku?

            “Abang beli semualah dik…” kata Nadim dengan selamba.

            “Beli semua?” Tiba-tiba Fazira bersuara. “Encik nak buat kenduri ke?” sambung Fazira sambil bebola matanya bergerak mencari arah wajah Nadim melalui suaranya.

            Nadim dan teman-temannya tersenyum. Nak ketawa pun ada juga. Namun mereka tahan gelak tawa kerana tidak mahu Fazira menyangka mereka mengejeknya pula.

            “Bukan macam tu cik. Tapi… saya rasa kuih cik ni sedap.” Nadim cuba mengambil hati Fazira. Hatinya sudah terpaut pada gadis ini.

            “Belum rasa dah kata sedap?” balas Fazira dengan senyum simpulnya membuatkan Nadim terkedu seketika.

‘SENYUMAN dia… lirikan matanya yang berwarna Violet tu… ah!’

            Hati Nadim berbisik-bisik. Sungguh dia tidak dapat lupakan Fazira. Adakah dia sudah jatuh cinta? Mustahil! Takkanlah dengan hanya sekilas pandang begitu saja sudah jatuh cinta. Tapi kata orang itu cinta pandang pertama!

            “Anak mama sengih-sengih ni kenapa?” tegur Tengku Azwiya.

            “Eh mama… tak ada apalah.” Nadim cepat-cepat kembali ke alam realiti. Mama sudah perasan!

            “Nadim, tak contact Tasya?” Tengku Azwiya memulakan bicara. Mahu juga dia tahu perkembangan perhubungan anaknya itu dengan anak Datuk Karim.

            “Malaslah ma! Nadim tak suka dia.”

            “Nadim! Mama ni dah semakin tua. Kamu tu pun dah dekat 30an. Ingat-ingat sikit. Mama ni bukannya hidup seribu tahun. Kamu tak nak kahwin ke?” Tengku Azwiya mula berleter. Kalau tak diketuk, mahu tak berjalan. Kalau tak disuruh, mahunya budak ini tak berkahwin!

            “Ma… stop it! Nadim janji pada hari jadi mama minggu depan ni, Nadim akan bawa calon menantu mama okey?” janji Nadim bersungguh-sungguh. Calonnya sudah ada mama. Cuma tunggu masa saja.

            Tengku Azwiya hanya mengangguk perlahan. Entah betul entah tidak si Nadim ni. Kita tengok saja nanti macam mana calon isteri yang dia berkehendakkan.

“TUNGGU!” jerit Nadim. Sudah berjam-jam dia tunggu, akhirnya muncul juga gadis bermata Violet ini.

            “Saya?” Fazira tertoleh ke kiri dan kanan sambil bebola matanya meliar-liar. Walaupun dia tidak dapat melihat, namun pancainderanya yang lain masih lagi berfungsi dengan baik. Arah suara itu datang dari belakang. Lalu dipusingkan perlahan-lahan badannya ke belakang sambil mengetuk-ngetuk tongkat plastik berwarna putih.

            “Iya awak… Fazira kan?” Nadim berjalan dua tiga tapak untul lebih dekat dengan Fazira.

            “Saya kenal awak?”

            “Tak tahulah kalau awak masih ingat. Tapi saya yang hari tu, yang borong semua kuih awak tu….” Nadim cuba mengembalikan ingatan Fazira terhadap situasi dua hari lepas.

            “Ohh awak… saya ingat. Tapi macam mana awak tahu nama saya?” Fazira sedikit terkejut. Lelaki ini mengetahui namanya? Pelik.

            “Kawan-kawan saya hari tu yang bagi tahu. Hmm… awak sorang hari ni? Mana adik awak?”

            “Fatiha dia ada aktiviti kat sekolah. Hari ni saya tak jual kuih tau, kalau awak nak memborong kuih lagilah…” Fazira ketawa kecil. Dia tahu Nadim sedang cuba mendekati dirinya. Lagak lelaki ini seperti cuba mencari topik untuk berbual.

            “Tak! Saya tak nak beli kuih hari ni. Tapi saya nak berkenalan dengan tuan empunya kuih.” Nadim berseloroh dalam walaupun perasaannya berbaur malu. Dia takut kalau Fazira menolak pelawaannya.

            “Saya nak balik rumah sekarang ni…” Fazira cuba untuk mengelak. Berkenalan dengan lelaki yang tidak dia kenali adalah suatu perkara yang kurang baik baginya.

            “Kalau saya nak temankan awak?” Nadim masih tidak mengalah.

            “Tapi…” Fazira buntu mencari helah.

            “Please…”

            “Baiklah..” Akhirnya Fazira terpaksa akur. Lelaki ini memang tidak kenal erti mengalah kan?!

SEJAK dari pertemuan pertama, Fazira dan Nadim semakin rapat. Padahal mereka baru berkenalan seminggu yang lepas. Dalam pada itu, banyak perkara yang telah mereka kongsikan bersama. Nadim mendapat tahu bahawa Fazira adalah anak yatim piatu yang tinggal bersama adiknya di sebuah flat kos rendah di pinggir bandar. Hidup mereka memang susah. Hanya Tuhan saja yang tahu dugaan yang telah mereka tempuhi.

            Fazira dilahirkan buta sejak dari kecil. Dia tidak pernah ke sekolah mahupun mengambil apa-apa kelas untuk belajar. Mujurlah Fatiha tidak buta sepertinya. Hanya dia sajalah harapan Fazira untuk masa hadapan. Oleh sebab itulah Fazira sanggup menjual kuih dan berjalan berbatu-batu jauhnya hanya kerana ingin mengumpul sedikit wang untuk biaya pembelajaran Fatiha.

            Nadim banyak mendengar cerita dari Fazira. Manakala kisah hidupnya masih menjadi misteri dari Fazira. Cuma kali ini, dia yakin benar perasaannya sudah tertaut pada Fazira dan dia ingin meluahkannya.

            “Fazira… awak percaya tak kalau saya kata yang saya suka akan awak?”

            “Suka? Suka ada banyak makna Nadim.”

            “Kalau suka itu lebih dari seorang kawan, awak percaya?” Nadim tidak lagi berhelah seperti dulu. Dia benar-benar ingin memiliki Fazira.

            “Kita baru saja berkenalan. Saya tak boleh beri apa-apa jawapan.” Air muka Fazira berubah serta merta. Dia seperti tidak menyukai luahan rasa Nadim.

            “Saya suka akan awak. Lebih tepat, saya cintakan awak.”

            “Nadim, awak terlalu hijau untuk menilai cinta. Saya dapat merasakan yang kita tidak setaraf, walaupun awak sedikit tidak pernah menceritakan kisah hidup awak kepada saya.”

            “Fazira, berilah saya peluang untuk membuktikannya. Saya nak awak berjumpa dengan mama saya. Esok harijadinya dan saya dah belikan baju yang cantik untuk awak pakai. Awak ikut saya ke sana ye?” ajak Nadim. Dia masih tidak mahu mengalah. Memang dia lelaki yang bukan mudah untuk berputus asa.

            “Awak tak pernah mengalah bukan?” Fazira melemparkan senyuman hambar. Lalu dia membalas, “Baiklah, untuk kali ini saja.”

NADIM memimpin Fazira yang berbaju kurung cotton merah jambu masuk ke dalam taman di kediaman rumahnya. Taman tersebut dihiasi dengan lampu-lampu neon yang berwarna-warni. Selain itu, dekorasi bunga ros di sekeliling taman menimbulkan suasana romantis dan meriah.

            “Kalau awak boleh lihat apa yang terbentang di hadapan awak sekarang, awak pasti akan memujinya,” bisik Nadim ke telinga Fazira.

            Fazira hanya mengangguk kecil dan tersenyum. Memang dia tidak mampu melihat, namun mata hatinya mengatakan majlis ini memang sangat indah. Aroma bunga ros yang menebal di hidungnya sudah cukup membuahkan rasa tenang di hatinya.

            Disebalik kesibukan tetamu yang sedang mejamu selera dan bersembang antara satu sama lain, Tengku Azwiyah memunculkan dirinya. Dari tadi lagi orang sekelilingnya sibuk bercerita mengenai teman wanita yang dibawa Nadim. Dia jadi kepingin tahu. Namun jangkaannya meleset saat menatap gadis itu pertama kalinya.

            “Nadim?” tegur Tengku Azwiyah.

            “Ma! Kat sini rupanya… tadi Nadim ada jugak cari mama.” Nadim memegang tangan kanan Fazira lalu menghulurkannya lembut ke arah mamanya. “Ni Fazira. Fazira ni mama saya.”

            Namun salam itu tidak berbalas malah Tengku Azwiyah memalingkan wajahnya ke sudut lain. Perempuan buta? Dah gila ke apa Nadim ni?

            Fazira dapat merasakan salamannya tidak bersambut. Lalu tangannya dijatuhkan. Ada perkara yang tidak kena sedang berlaku.

            “Perempuan buta kau bawak kat aku Tengku Nadim? This is not a joke!” Suhu amarah Tengku Azwiyah meningkat secara mendadak.

            “Ma! Apa ni? Walaupun Fazira buta penglihatan tapi dia tak buta hati macam orang-orang kat sini,” sindir Nadim. Mama langsung tidak mengendahkan perasaan Fazira!

            “Nadim… tak apalah. Saya boleh pergi dari sini.” Tengku Nadim? Aku memang patut mengagaknya dari awal lagi.

            “No Fazira. Jangan! Saya ingin mengahwini awak. Saya cintakan awak.” Nadim masih tidak mahu melepaskan pegangan erat tangannya pada lengan Fazira.

            “Lepaskan saya! Enggang dan pipit tidak boleh bersama. Saya tidak sempurna dan mungkin tidak cukup sempurna untuk awak, Tengku Nadim.” Fazira merentap tangannya dengan sepenuh hati. Lalu langkah diatur perlahan dan teragak-agak. Fazira membuat keputusan untuk meninggalkan kediaman milik Nadim.

            Nadim cuba mengekorinya dari belakang. Namun dia dihalang Tengku Azwiyah.

            “Kalau kau melangkah keluar dari rumah ni, kau bukan anak mama lagi Nadim!” tegah Tengku Azwiyah.

            Langkah Nadim terhenti. Dia hanya mampu membiarkan Fazira terus berjalan keseorangan di dalam kepekatan malam yang semakin lama semakin hening.

 

Cerpen sebelumnya:
It\\\'s Too Late To Apologise
Cerpen selanjutnya:
Janji ke Syurga

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
2 Penilai

Info penulis

Ilmuna Ismail

Writing rocks!
syaida | Jadikan syaida rakan anda | Hantar Mesej kepada syaida

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya syaida
VIOLET 2 (kesinambungan Violet) | 2960 bacaan
Izzanna | 2377 bacaan
Janji ke Syurga | 2386 bacaan
Salsa dan Konspirasi | 2386 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

7 Komen dalam karya Violet
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik