Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Dendam Hani

Cerpen sebelumnya:
BERUK
Cerpen selanjutnya:
HUTAN (MAMBANG)

Hani menatap surat yang baru diterima pagi tadi. Dia tersenyum puas. Berkat kesabaran dan ketabahan menghadapi latihan dan ujian akhirnya dia berjaya menjawat jawatan itu. Jawatan yang sudah lama dinantikan selama ini. Namun bukan itu sebenarnya yang menyebabkan bibirnya tersenyum begitu tetapi pintu untuknya menjayakan rancangan yang sudah lama dipendam kini terbuka luas. Jawatan yang tertera di surat perlantikan itu akan dijadikan sebagai platform untuknya merealisasikan segala keinginannya selama ini. Senyumannya mula lebar sampai ke telinga.

Surat dilipat kemas dan dimasukkan semula ke dalam sampul. Diari merah atas meja dicapai perlahan. Dia mula membelek helaian demi helaian. Ada yang ditulis dengan dakwat hitam dan ada juga dengan dakwat biru. Tanpa sedar, air matanya mula menitis. Matanya tertancap pada coretan di satu halaman. Dibaca lagi setiap ayat yang ditulis dengan dakwat merah. Tulisan itu tidak kemas, susunan ayat bertabur, ada tulisan yang sudah pudar dan tidak dapat dibaca akibat kesan air yang terkena dakwat merah. Matanya tertancap pada satu ayat yang sengaja ditebalkan dengan dakwat merah. Ayat itulah sehingga kini menjadi dorongan untuknya merealisasikan apa yang tersemat di hati yang luka selama ini. Luka yang tak akan sembuh sampai bila-bila.

Hani menyeka air mata yang tumpah. Dia pandang pula tarikh di atas kanan halaman itu. Tarikh yang dibulatkan dengan dakwat merah yang sengaja dibesarkan. Merahnya dakwat itu juga adalah tanda merahnya jiwa dan hatinya saat itu dan sehingga kini masih terasa. Dan tanda merah itu juga adalah merah yang begitu berharga buat seorang perawan. Tarikh itu yang memaksa merah itu direnggut tanpa rela. Dan tika itu, satu persatu wajah itu terpahat kukuh di mata hatinya. Dia mula mencoret sesuatu di halaman baru. Terasa puas bila segala luahan hati dicoret di situ. Diari merah itu menjadi saksi segala-galanya.

Usai menulis, Hani masih termenung memikirkan apakah tindakannya nanti akan membahagiakan dan memuaskan keinginannya yang selama ini dipendam sekian lama. Perlahan dia menapak ke katil dan mula baring sambil memandang siling. Kini dia mula merasa sedikit lega. Biar segala-galanya berakhir dengan segera. Perlahan lampu kecil di atas meja sebelah katilnya ditutup. Gelap.

 

SEAWAL enam setengah pagi, Hani sudah bersiap-siap ke pejabat. Dia berdiri di cermin besar yang menampakkan seluruh tubuhnya. Seragam yang membaluti tubuhnya dikemaskan sedikit. Topi di atas meja solek dicapai sebelum keluar dari bilik. Selesai sarapan, Hani terus memandu laju ke pejabat yang terletak di tengah ibu kota. Hari ini dia perlu melaporkan diri di bilik ketua. 

Tiba di pejabat, Hani terus ke tingkat tujuh untuk melaporkan diri sebelum menjalankan tugas baru.

“Tahniah!”

Ucapan tahniah mula dilontarkan dari teman-teman sekerja. Hani hanya membalas dengan senyuman. Dia berhak mendapat ucapan itu setelah berhempas pulas menjalani latihan fizikal dan juga menghadapi peperiksaan untuk melayakkannya menjawat jawatan yang sudah lama diidamkan olehnya. Laju kakinya melangkah ke bilik ketua.

“Masuk!”

Berhati-hati Hani melangkah ke bilik yang  luas dan dihiasi dengan perabot jati di bahagian tetamu. Sebaik melangkah, Tuan Malik sudah tersenyum kepadanya. Hani terus membuat tabik hormat sambil berdiri tegak di depan meja Tuan Malik.

“Tahniah! Saya harap awak akan bekerja dengan lebih berdedikasi lagi selepas ini. Tahniah dari saya sekali lagi!”

Tuan Malik mula berjabat tangan dengan Hani sambil tersenyum. Dia cukup kagum dengan gadis yang memiliki nama Haslinda Hani Binti Hashim yang kini berdiri tegap di hadapannya sambil memegang topi di bawah ketiak kiri. Pegawai muda yang berusia dua puluh sembilan tahun itu  kemas dan cantik dengan seragam baru yang melayakkannya bergelar Detektif Kanan di situ. Nyata gadis itu terlalu komited dengan kerja. Dulu sebagai seorang inspektor biasa, sudah banyak kes yang berjaya diselesaikan. Dari kes biasa, Hani diserahkan pula kes penyeludupan dadah dan dipindahkan ke bahagian anti narkotik. Nyata gadis itu juga berjaya menyelesaikan tugasnya dengan penuh dedikasi.

“Terima kasih Tuan!” Sekali lagi Hani membuat tabik hormat kepada Tuan Malik.

“Mulai esok, awak ditugaskan ke bahagian jenayah berat.” Tuan Malik senyum sambil menghulurkan sekeping fail.

Hani mula mencapai fail yang dihulurkan oleh Tuan Malik. Dia pandang Tuan Malik yang masih tersenyum kepadanya. Tuan Malik yang telah dua puluh lima tahun berkhidmat di situ. Tinggal beberapa bulan saja lagi Tuan Malik akan bersara. Selepas mengucapkan terima kasih, Hani minta diri untuk ke bilik baru.

 

HANI senyum melihat nama yang tertera di pintu masuk bilik. Bilik yang diidamkan selama ini. Perlahan dia menapak ke kerusi empuk di hujung bilik. Terasa lembut bila punggungnya dilabuhkan di kerusi hitam yang megah terletak di samping meja besar lengkap dengan kemudahan untuk seorang detektif kanan sepertinya.

“Akhirnya….”

Hani mengusap meja dan kerusi empuk sambil tersenyum manis. Dia senyum puas sambil melirik melihat sekitar bilik. Di dinding tepi sebelah kiri lengkap dengan buku-buku rujukan dan juga fail-fail yang tersusun kemas di rak. Sijil penghargaan dirinya juga turut digantung cantik. Matanya tertancap pula pada sebuah pasu kecil yang dihiasi dengan bunga Daisi putih kegemarannya.

“Ermm…nampaknya mereka tahu kegemaran aku.”

Hani pandang pula di sudut kanan bilik dilengkapi dengan satu set sofa untuk para tetamu nanti. Dia senyum lagi. Segala-galanya seperti yang diimpikan olehnya. Dia pandang ke pintu bila terdengar ketukan di pintu biliknya.

“Masuk!”

“Puan! Saya Salina Binti Samad, setiausaha puan sedia melaporkan diri!”

Hani dongak ke depan pintu bilik. Seorang gadis manis sudah tercegat di situ sambil membuat tabik hormat kepadanya. Dia angguk sambil tersenyum. Gadis manis itu yang juga mengenakan seragam masih tercegat di situ.

“Saya akan mula bertugas secara rasmi esok. Jadi untuk hari ini awak boleh berehat dan hanya sediakan fail jenayah berat kepada saya.” Tutur Hani tegas.

“Baik Puan!”

Sekali lagi Salina memberi tabik hormat sebelum keluar dari bilik.

“Err..tunggu! Bunga ni awak ke yang letak?” Hani sempat bertanya kepada Salina.

Salina mula menoleh. Dia hanya senyum.

“Bukan saya puan.”

Hani diam. Dia pandang sejambak bunga Daisi dengan muka berkerut. Setahunya hanya Tuan Malik dan Detektif Razman saja yang tahu bunga kegemarannya.

“Oh..tak apalah..terima kasih.” Lemah Hani bersuara.

***********

SUDAH hampir dua bulan Hani menjalankan tugas sebagai detektif kanan di unit jenayah berat. Banyak kes pembunuhan dapat diselesaikan dengan baik. Dia mula merasa lega bila kes dapat diselesaikan dengan cepat. Sekurang-kurangnya dia dapat meringankan beban Tuan Malik yang sudah hampir bersara. Sejak dulu Tuan Malik terlibat secara langsung dalam kes jenayah berat. Dalam setiap kes, dia lebih senang berpakaian biasa dan bertindak bersama beberapa orang lagi detektif yang menjadi orang kepercayaannya. Orang bawahannya pula tidak pernah merungut atau membantah arahannya walaupun arahan itu datangnya seorang wanita sepertinya.

Hani belek fail kes pembunuhan bersiri yang masih belum dapat diselesaikan. Dia meneliti setiap kes yang mempunyai modus operandi yang sama. Dicapai pula fail di rak yang mempunyai gambar suspek yang disyaki terlibat dengan kes rompak, rogol dan bunuh. Helaian demi helaian fail dibuka. Memang kes itu yang dinantikan olehnya selama ini.  Dari dulu, peluang seperti itulah yang di tunggu-tunggu. Sebaik memegang jawatan detektif kanan, Hani mula mencari wajah-wajah yang selalu menghantui dirinya selama ini. Wajah-wajah yang terlepas dari hukuman. Wajah-wajah yang tersenyum sinis kepadanya suatu waktu dulu. Dan kini wajah-wajah itulah yang ingin dihapuskan satu demi satu.

Dia sedikit kecewa bila melihat setiap gambar suspek tiada satu pun yang menyerupai wajah-wajah yang dibenci itu. Pencariannya mesti diteruskan walaupun sukar.  Perasaan yang dipendam di lubuk hati kian membuak.  Bibirnya diketap dengan kuat menahan amarah yang terpendam sekian lama. Tujuannya hanya satu. Manusia seperti itu perlu dihapuskan dari muka bumi ini.

“Puan! Ada tetamu ingin berjumpa puan!”

Hani tersentak dari lamunan. Fail di tangannya diletak semula di rak. Dia pandang Salina yang tersenyum kepadanya dan segera mengangguk membenarkan tetamu masuk.

“Assalamualaikum!”

Hani tergamam. Seorang lelaki segak berkemeja putih dan bertali leher  tersenyum manis kepadanya. Dia terkedu melihat lelaki itu mula menapak perlahan ke arah mejanya.

“Wa..wa’alaikumussalam..”

“Hani apa khabar?”

Hani hanya memandang lelaki itu yang mula berbicara. Sudah  lama mereka tidak bersua. Seingatnya sejak hampir dua belas tahun dulu.

“Ba..baik. Silakan..” Hani mula pelawa lelaki itu duduk.

Mereka saling berpandangan. Sesekali Hani tunduk bila terasa dia ditenung tajam begitu.

“Masih kenal aku?”

Hani mula mendongak. Selama ini wajah itu yang melekat di benaknya. Wajah itu juga yang selalu merobek hati dan perasaannya dan wajah itu jugalah yang dibenci saat kejadian itu. Kini wajah itu muncul semula di depan matanya. Wajah itu juga tidak banyak berubah. Masih seperti dulu.

“Muz..kenapa baru sekarang kau muncul?” Hani renung mata Muzaffar. Soalan yang ditanya sedikit pun tidak dijawab sebaliknya soalan itu dijawab dengan soalan.

“Maafkan aku Hani…aku tak berniat meninggalkan kau. Aku terpaksa mengikut keluarga ku berpindah…” Muzaffar mula tunduk. Wajah manis milik gadis yang pernah tinggal sekampung dengannya dulu ditatap lama. Penyesalan masih terasa hingga kini bila mengingati kejadian yang tidak pernah di duga.

“Bukan itu maksud aku! Kenapa kau tinggalkan aku waktu aku…” Hani tidak dapat meneruskan kata-kata. Kerongkongnya sudah terasa tersumbat. Air mata yang ditahan sejak sekian lama, mula bergenang. Tunggu masa saja untuk jatuh ke pipi.

“Maafkan aku..waktu tu aku tak berani bertindak. Aku tahu aku penakut. Maafkan aku..tapi percayalah aku tetap sayangkan kau walaupun aku tahu kau..”

“Cukup! Aku tak mahu dengar semua itu! Tolong pergi dari sini!” Hani mula meraup muka. Air mata sudah tumpah ke pipi.

Muzaffar semakin rasa bersalah. Bersalah kerana terlalu mengikut kata hati. Bersalah kerana tega meninggalkan gadis manis yang sama sekolah dengannya dulu diperlakukan begitu di depan matanya tanpa berbuat apa-apa. Pemergiannya kerana mengikut keluarga berpindah juga dirasakan satu penyesalan yang tak sudah. Dan yang lebih dia merasa bersalah kerana dia juga telah mengkhianati gadis itu di saat gadis itu butuh pertolongan.

“Hani, izinkan aku menebus semua kesalahan aku..selama ini aku sayangkan kau.” Muzaffar masih tidak berputus asa.

“Muz..baliklah. Tiada apa lagi yang perlu kita bicara. Aku lebih senang begini.” Hani masih tunduk.

“Baiklah..aku akan pergi tapi aku tak akan berputus asa. Aku akan tunggu kau sampai bila-bila.” Muzaffar mula bangun dan menghulurkan sejambak bunga Daisi putih kepada Hani.

Bunga diletakkan atas meja bila tidak bersambut. Muzaffar mula melangkah keluar dari bilik Hani.

Hani pula hanya memandang sayu pemergian Muzaffar, lelaki pertama yang bertakhta dalam hatinya. Perasaan sayang, kasih dan cinta yang disimpan untuk lelaki itu sudah lama dibuang. Semua rasa itu sudah hilang sejak hari kejadian itu. Kini fikirannya mula terganggu. Kedatangan Muzaffar telah mengundang semula memori hitam dalam hidupnya hampir dua belas tahun dulu.

 

PULANG dari pejabat, Hani terus ke bilik. Badannya dihempas kuat ke atas katil. Dia kembali ke fitrah. Naluri wanita masih kukuh di hati. Air mata bercucuran membasahi bantal. Sungguh tidak di sangka, Muzaffar muncul semula saat dirinya dikelilingi kebahagiaan. Kehadiran Muzaffar telah merenggut semula kebahagiaan miliknya. Sama seperti dirinya direnggut dulu saat kejadian pada hari jahanam itu.

“Hani! Mari makan nak!”

Hani menoleh ke arah pintu bila mendengar suara ibunya memanggil dari luar. Dia cepat-cepat mengesat air mata cuba menenteramkan dirinya.

“Ah! Buat apa aku nak bersedih lagi! Aku sudah lali dengan semua itu. Aku kan pegawai polis disegani!” Hani mula mendapat kekuatan.

Dia melangkah perlahan dan mula membuka pintu. “Ya mak..”

“Mari makan. Mak dah sediakan makan malam tu. Mak masak sambal udang petai kegemaran Hani.” Puan Zawiah senyum melihat Hani yang masih dalam pakaian seragam.

“Baiklah mak. Hani mandi dulu.” Hani cium dahi ibunya.

Puan Zawiah mula beredar dari situ. Hani pula mula membersihkan diri.

 

NASI dalam pinggan dikuis perlahan. Fikirannya masih pada Muzaffar yang tiba-tiba muncul di pejabatnya petang tadi. Dua belas tahun mereka berpisah. Sebaik tamat SPM, Muzaffar sering bertandang ke rumahnya. Persahabatan yang terjalin antara mereka telah menimbulkan rasa kasih dan sayang lebih dari seorang kawan. Dari sahabat, perhubungan mereka mula bertukar menjadi kekasih. Muzaffar hanya tua setahun darinya. Tika itu, Muzaffar masih menuntut  di tingkatan enam.

“Hani..kenapa kuis je nasi tu? Makanlah..penat mak masak..” Puan Zawiah pandang Hani yang hanya menjamah sedikit saja nasi.

“Hani tak ada selera la mak.”

“Kenapa ni…ada masalah ke? Bagi tahu mak.” Puan Zawiah memujuk anak gadisnya yang kelihatan sugul.

“Tak ada apa la mak..mungkin Hani penat hari ni. Banyak kes kena selesaikan. Kejap lagi Hani akan bertugas. Ada serbuan malam ni.” Hani mula teringat tugas malamnya yang tidak rasmi. Namun tidak pernah diberitahu kepada ibunya tentang tujuan sebenar tugas itu.

“Hani..tadi keluarga Muz datang. Mereka datang bersama hajat. Mak tak nak paksa Hani tapi Hani fikirlah. Hani pun sudah nak masuk tiga puluh tahun. Tak baik membujang lama-lama bagi seorang perempuan. Terima sajalah Muz tu.” Puan Zawiah merenung Hani yang masih tunduk dan menguis nasi.

Hani mula mendongak. Wajah ibu tua yang sudah lebih separuh abad itu direnung dalam. Patutlah Muzaffar tiba-tiba muncul di pejabatnya hari ini. Dia tahu ibu mana yang tidak inginkan anaknya hidup bahagia bersama suami. Bukan dia tidak mahu menikah. Bukan dia tidak mahu bersuami dan bukan dia tidak mahu memiliki anak-anak yang comel tetapi keadaan dirinya yang tidak seperti perempuan lain. Kejadian dua belas tahun dulu yang mengubah segala-galanya. Hatta ibunya sendiri tidak tahu semua itu. Biarlah ia menjadi rahsia dirinya sehingga akhir hayat. Dia faham hati seorang ibu yang ingin melihat kebahagiaan anak sendiri. Wajah ibunya yang begitu mengharapkan dirinya mengakhiri zaman bujang dengan sebuah perkahwinan dirasakan terlalu sukar untuk dipenuhi. Dirasakan tiada siapa yang sudi menyunting dirinya sebagai isteri sekiranya mereka tahu siapa dirinya yang sebenar. Perempuan mana yang tidak menginginkan sebuah pernikahan. Air mata yang mula bergenang cuba ditahan.

“Mak..nantilah Hani fikir dulu.” Hani capai bekas basuh tangan sebelum melangkah pergi.

Puan Zawiah hanya memandang Hani dengan pandangan tidak mengerti. Itulah jawapan yang diberi oleh  Hani setiap kali soal kahwin dilontarkan.

***************

HANI lihat jam tangan. Sudah hampir satu pagi. Dia betulkan topi yang mula senget. Sudah lebih setengah jam dia di situ. Di simpang tiga itulah selalunya wajah itu selalu kelihatan. Sudah bertahun dia mengikuti kehidupan wajah itu. Malam ini dia akan pastikan betul-betul. Kedua tangannya diseluk ke dalam poket jaket hitam bila terasa dingin malam mula menyimbah tubuhnya.

Sebuah kereta hitam mewah mula melintasi jalan itu. Hani segera mencatat plat nombor kereta dan terus mengikuti kereta itu dalam jarak selamat. Motosikal hitam Aprilla miliknya ditunggang perlahan mengekori kereta BMW hitam yang mula membelok ke arah sebuah kondominium mewah. Dia berhenti di bawah pokok di luar pagar utama. Dari situ dia hanya memerhati kereta itu membelok pula ke blok paling depan sekali. Dia mendongak melihat blok setinggi 12 tingkat itu. Perlahan Hani turun dari motosikal dan menapak perlahan ke pondok pengawal.

“Err..tumpang tanya encik. Kereta BMW tadi tu tinggal kat sini ke?” Hani mula bertanya seorang lelaki berbangsa India yang berpakaian seragam pengawal warna coklat pudar.

Pengawal itu angguk sambil merenung tajam ke arah Hani.

“Cik apa mahu? Ini tempat privasi. Mahu masuk kalu..register nama sini juga.” Pengawal itu mengarahkan Hani menulis nama di buku log untuk pelawat.

Hani hanya senyum sambil berlalu pergi. Sempat dia jeling nama penghuni yang terpampang di buku log satu lagi yang terbuka di depan meja pengawal. Buku yang dicatat nama penghuni yang keluar masuk setiap hari.

“Razif Halim…” Hani senyum.

Topi keledar dipakai semula dan mula memecut laju keluar dari situ.

 

SAMPAI di rumah, ibunya sudah lena tidur. Perlahan dia melangkah ke bilik. Jaket hitam disangkut di kerusi. Hani senyum sendiri. Pengalamannya sebagai pegawai polis memudahkannya menyiasat latar belakang lelaki itu. Nyata lelaki itu memiliki segala-galanya. Kereta dan rumah yang mewah, kerja yang bagus dengan memiliki syarikat sendiri dan dikelilingi gadis-gadis seksi. Dia tidak hairan jika itu kehidupan yang dilalui lelaki itu. Hani segera mencatat nama dan nombor plat kereta di dalam diari merah. Kini hanya tinggal tindakannya saja.

*****************

“MAAF! Saya tak sengaja!” Hani mula menggelabah. Dia telah melanggar seseorang ketika terkocoh-kocoh ke restoran.

“Tak apa..”

Hani pandang lelaki itu dengan senyuman manis terukir di bibir. Lelaki itu segak bertali leher.

“Maaf ya..saya tak sengaja tadi.” Hani mula mengutip fail yang jatuh ke lantai.

It’s okay.” Razif renung Hani yang berbaju kurung begitu. Dia terpana dengan kecantikan gadis itu yang mempunyai rambut ikal yang lebat yang dilepaskan terurai melepasi bahu.

Hani angguk sambil malu-malu. Dia jeling sekilas wajah lelaki itu untuk pastikan betul-betul. Memang sah. Dialah lelaki yang dikenalinya dua belas tahun dulu.

“Marilah I belanja. Waktu kerja lambat lagi.” Razif mula mengajak gadis yang baru dikenali itu untuk bersarapan sekali.

Hani hanya mengikut. Dia perlu berhati-hati. Fail diletak atas meja. Dia mula pandang lelaki itu yang masih merenung tajam ke arahnya sambil tersenyum. Hani mula resah, bimbang lelaki itu mengenali dirinya. Tidak mustahil dia akan ingat kejadian itu. Wajahnya juga tidak jauh beza dari dulu.

“You dari mana tadi?”

“Err..saya dari pejabat tadi. Singgah sini kejap nak isi perut.” Tutur Hani lembut lagak seorang penggoda.

Razif angguk-angguk. Dia kemudian senyum sambil memesan makanan. Diperhatikan gadis di depannya atas bawah sambil senyum sendiri. Dalam hatinya mula berkira-kira. Hmm…manis..satu lagi koleksi berharga aku..

 Mereka berdua mula berbual mesra dan berkenalan. Razif tersenyum puas kerana gadis manis itu sudi keluar dengannya malam nanti. Dengan hanya belanja segelas jus dan dua keping roti bakar, gadis itu nyata terlalu mudah diajak keluar.

Hani masih senyum sambil mata melirik melihat Razif yang tersengih begitu. Dia mula membaca fikiran lelaki muda itu yang padanya nyata buaya darat. Dari siasatannya, sudah ramai gadis terlena dalam pelukannya. Namun itu semua bukan masalahnya untuk difikirkan. Misinya perlu diselesaikan dengan segera. Dia hanya tunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Huh! Aku bukan seperti gadis yang kau ulit setiap hari!

Sejak itu Hani selalu keluar dengan Razif. Dan setiap kali itulah Razif mengumpannya untuk bermalam di kondominium miliknya. Tidak semudah itu baginya membiarkan Razif berbuat begitu padanya. Dia tahu niat Razif yang sebenar. Biar Razif tahu tidak semudah itu dia memperdaya gadis.

Malam itu Hani tulis lagi sesuatu dalam diari merah. Maaf, aku bukan gadis yang gilakan harta dan rupa kacak kau! Hani mengetap bibir bila mengingati perlakuan rakus Razif  dua belas tahun dulu. Pen merah digenggam kuat.

**********

“SALINA! Ambilkan fail semalam!” Hani interkom setiausahanya.

Seketika kemudian, Salina muncul di depan pintu bilik sambil menghulurkan satu fail hijau kepada Hani.

Hani mula meneliti kes yang baru diterimanya dari Detektif Razman. Satu persatu ayat dibaca dalam laporan itu. Dia tersenyum puas.

“Masuk!”

Hani mula mendongak ke arah pintu bila mendengar ketukan di pintu bilik. Dia mula senyum melihat rakan setugas sudah tercegat di situ.

“Dah terima kes tu?” Ringkas soalan dari Detektif Razman dilontarkan kepada Hani.

“Sudah! Aku tengah teliti kes ni. Duduklah!” Hani senyum sambil mempelawa Detektif Razman duduk.

“Pembunuhan yang cukup terancang. Dan aku rasa pembunuh itu mengenali mangsa sudah lama. Melihatkan keadaan mayat seperti itu, mungkin pembunuhan itu bersifat dendam. Hmm..ada sekuntum mawar merah diletakkan di sisi mayat. Saya pasti, pembunuh itu adalah perempuan! Mungkin itu trademark dia. ” Detektif Razman mula mengutarakan hujahnya.

“Hmm…mungkin juga. Tapi tidak semudah itu kita buat boleh kesimpulan. Dari keadaan mayat, mungkin pembunuh itu seorang yang psiko? Sekarang ni kan banyak orang gila. Dan bunga itu…mungkin tanda simbol kepada sesuatu.” Hani pandang Detektif Razman yang kelihatan mula berkerut kening. Dia amati wajah lelaki yang hanya tua tiga tahun darinya. Cuba membaca riak wajah Razman.

“Jadi apa rancangan kita? Nampaknya kita kena bekerja keras untuk menangkap pembunuh itu.” Detektif Razman mula meneliti kes dalam fail hijau.

Dia membaca setiap ayat dalam laporan itu dengan hati-hati agar tiada satu pun yang tertinggal.  Ada keratan akhbar memaparkan kes pembunuhan kejam itu.

‘Pemilik syarikat RH Holdings, Razif Halim didapati dibunuh dengan kejam di sebuah unit kondominium miliknya malam semalam dengan kesan 25 tikaman di seluruh badan. Kemaluan mangsa juga turut dikerat. Mangsa sebelum itu dikatakan baru pulang dari sebuah kelab malam bersama seorang pelayan kelab malam. Mayat mangsa ditemui oleh tukang cuci pada pukul 6 pagi. Sehingga kini senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa masih belum ditemui. Siasatan masih dijalankan.’

“Kau rasa siapa pembunuh kejam tu?” Detektif Razman pandang pula Hani yang bersandar di kerusi.

“Ramai…sebab mangsa seorang kasanova. Ramai gadis diperdaya olehnya. Jadi, tidak mustahil salah seorang dari gadis itu yang membunuh mangsa.” Hani mula memberi pandangannya sambil memerhati riak wajah Razman yang masih keliru.

Detektif Razman mula angguk. Dia juga turut setuju dengan hipotesis Detektif Hani yang begitu cekap menguruskan sesuatu kes. Memang patut Detektif Hani dinaikkan pangkat begitu. Fikiran dan cara tindakan Detektif Hani cukup tajam. Dia mula minta diri bila satu salinan kes itu diterima dari Salina.

Hani hanya senyum kelat bila melihat Detektif Razman sempat kenyit mata padanya sebelum keluar dari bilik.

“Huh..dah ada anak dua pun gatal lagi!” Hani mula geleng. Tidak sedikit pun dia tergoda. Dulu waktu bujang, Detektif Razman begitu beria cuba mengambil hati dan mendekati dirinya namun semua itu dipandang sepi. Tiada lelaki yang mampu membasuh luka hatinya yang mula berdendam sejak kejadian hitam itu.

******************

SEJAK berita pembunuhan Razif, Hani dan Razman mula sibuk dengan tugas masing-masing. Mereka berdua ditugaskan untuk mengendali dan menyiasat kes pembunuhan itu. Hani pula cuba sedaya upaya membantu Razman menyelesaikan kes yang muka mendapat perhatian media.

“Detektif Hani! Jumpa saya kejap!”

Hani mula berkerut kening. Nada suara Tuan Malik nyata berlainan sekali. Dia segera melangkah ke bilik Tuan Malik.

“Ya Tuan!” Hani mula tabik hormat sebaik melangkah masuk ke bilik Tuan Malik.

“Ni..ada satu lagi kes pembunuhan sama seperti kes pemilik syarikat RH Holdings!” Tuan Malik menghulurkan satu fail kepada Hani.

Hani mula mengambil fail dan berlalu pergi. Di dalam biliknya dia mula membelek fail itu sambil meneliti laporan kes pembunuhan yang mempunyai modus operandi yang sama. Sekuntum mawar merah diletak di sisi mayat yang telah ditikam banyak kali. Kemaluan mangsa juga turut dikerat. Tiada senjata ditemui di tempat kejadian. Dia letak semula fail itu di atas rak atas mejanya . Senyumannya mula lebar. Di benaknya kini hanya tinggal seorang saja lagi. Dia akan pastikan wajah ketiga itu menerima nasib yang sama dengan wajah pertama dan kedua. Dia tersenyum puas.

Dia melihat gambar mangsa di dalam fail. Biodata mangsa dibaca satu persatu. Azhar Hakim, pemilik sebuah resort terkenal. Sudah bertunang dengan seorang anak Datuk terkenal di daerah itu. Diperhatikan lagi laporan itu. Azhar yang berasal dari kampung yang sama dengannya. Dan wajah itulah yang telah menghancurkan hidupnya dulu.

 

SEMINGGU yang lalu…

 Hani mula mendaftar di resort itu yang terletak berhampiran pantai. Dia mengheret beg ke bilik. Sekian lama dia bekerja, kini dia lega kerana Tuan Malik meluluskan cuti yang dipohon walaupun hanya tiga hari. Siang malam dia bekerja menyelesaikan kes jenayah sampai tidak ada masa untuk diri sendiri. Kali ini dia mahu berehat semahunya sebelum menyambung siasatan ke atas kes pembunuhan Razif yang baginya tidak perlu tergesa-gesa. Segala-galanya diserahkan kepada Detektif Razman.

“Saya nak jumpa pengurus di sini! Banyak lipas dalam bilik saya!” Hani mula merungut bila melihat lipas berkeliaran di biliknya.

“Maaf cik, kami akan tukarkan cik ke bilik lain.” Seorang pekerja di situ yang pada hemah Hani seorang penyelia resort mula minta maaf.

“Saya rasa bilik lain pun sama juga. Mana pengurus awak?” Hani semakin tegas.

“Apa yang kecoh ni?”

Hani memandang seorang lelaki yang tinggi lampai, berbadan tegap dan berkulit agak putih. Segak dengan suit hitam. Misai nipis menyerlahkan lagi wajah kacak lelaki itu. Namun baginya wajah itu hanyalah palsu! Dia amati dan teliti wajah yang cukup dikenalinya. Wajah yang tak akan pernah padam dalam kamus hidupnya selagi wajah itu masih ada di bumi ini. Siasatannya selama ini membuahkan hasil. Wajah itu masih wujud.

“Apa yang boleh saya bantu cik?”

Hani pandang pada tag nama yang dilekatkan di poket kiri baju lelaki itu. Azhar Hakim.

“Bilik saya banyak lipas. Saya nak bilik lain.” Hani mengomel rasa tidak puas hatinya.

“Err..saya pemilik resort ni. Kalau cik tak puas hati, kami akan pindahkan cik ke bilik lain. Shila! Uruskan pelanggan kita ni cepat!” Azhar mula mengarahkan pekerjanya memindahkan barang Hani ke bilik lain.

Hani hanya senyum. Dia pandang Azhar yang mula tersenyum kepadanya. Dirasakan senyuman itu hanya palsu. Sungguh meluat dan jijik melihat senyuman yang dilemparkan oleh Azhar. Namun dia harus sembunyikan perasaan itu demi memenuhi misinya.

Azhar pula terpana dengan kecantikan gadis itu yang mengenakan blaus lengan pendek dan seluar jeans. Rambut ikal berkilat menggerbang ditiup angin pantai.

“Saya belanja awak makan malam nanti sebab rasa bersalah atas kejadian lipas tu. Sudikah awak menemani saya?” Azhar mula terpesona.

Hani senyum. Kau hanya tahu rasa bersalah kerana lipas sedangkan kau tak pernah rasa bersalah atas apa yang telah kau buat dua belas tahun dulu! Hani memberontak dalam hati.

“Ya saya sudi!” Hani melemparkan senyuman manis.

Dalam hatinya cukup meluat. Dasar jantan buaya. Sudah bertunang tapi masih gatal untuk mencari perempuan lain. Selama tiga hari Hani berada di situ, setiap malam Azhar mengajaknya makan malam bersama. Hani cuba mencari pelbagai alasan untuk mengelak dari menerima ajakan Azhar yang ingin ditemani di bilik di resort itu.

Masih tidak berubah kau Azhar! Rengus Hani lagi. Hani segera mendaftar keluar dan mula kembali bertugas di ibu kota.

 Dua hari kemudian, mayat Azhar dijumpai pekerjanya di bilik penginapannya di tingkat dua resort itu dengan kesan tikaman yang banyak di seluruh badan. Sekuntum mawar merah dijumpai di sisi mayat.

**************

HANI masih meneliti kes pembunuhan Azhar. Dia jeling  Razman yang berada di sebelahnya juga turut mencari motif pembunuhan bersiri itu. Wajah Razman berkerut-kerut memikirkan kes pembunuhan itu. Hani senyum lebar. Dia sudah mengagak Razman sukar untuk menyelesaikan kes itu tanpa bantuannya.

“Hani, aku rasa kedua kes ni ada kaitan. Kau tengok! Sekuntum bunga mawar merah diletak di sisi mayat. Yang aku pelik, tiada langsung cap jari pada badan mangsa atau bunga tu. Sehingga hari ni, tak pernah jumpa senjata yang digunakan oleh pembunuh.” Detektif Razman masih bingung.

“Hmm…memang benar. Nampaknya keduanya ada kaitan. Dan bunga itu juga satu trademark pembunuh itu.” Hani mengulangi apa yang Detektif Razman utarakan sebentar tadi.

“Eh, yang kau asyik ulang apa yang aku cakap ni kenapa?” Razman pandang Hani sambil tersenyum.

Hani mula ketawa. Dia sebenarnya tidak mahu Razman perasan riak wajahnya yang mula merasa gelisah. Bimbang Razman akan mencurigainya kelak. Sebelum wajah ketiga belum terhapus di muka bumi ini, dia perlu berlakon sebaik mungkin. Tiada bukti yang perlu ditonjolkan saat ini.

“Kenapa kau ketawa? Kau suka kat aku ke?” Razman mula mengenyit mata.

“Huh! Perasan! Bini dan anak kau tu nak letak mana?” Hani sengih lagi.

“Jangan lupa malam ni kita ada operasi. Tuan Malik minta kita pergi lagi sekali ke tempat kejadian esok.” Razman mengingatkan Hani arahan Tuan Malik sebentar tadi.

Hani hanya angguk. Dia mula jeling Razman.

“Aku suka..bermakna kau dan aku akan bermalam di resort tu!” Razman sekali lagi mengenyit mata.

“Hoi! Bilik lain-lain! Jangan nak menggatal!” Hani lempar kertas yang digumpal ke arah Razman.

 ***********

TUAN MALIK mula bingung. Kes pembunuhan kali ini terlalu sukar untuk diselesaikan. Dia meneliti fail di atas meja. Laporan kes itu dibaca berulang kali. Laporan yang baru diterima dari Detektif Haslinda dan Detektif Razman. Penyiasatan kes di resort oleh Hani dan Razman dua hari lepas juga menemui jalan buntu. Tiada bukti yang dapat dikesan mengaitkan pembunuh. Setakat ini hanya beberapa orang suspek saja yang dipanggil untuk memberi keterangan. Dalam kes Razif, tiada seorang pun suspek yang menunjukkan ke arah itu. Kes Azhar pula, masih belum dikenal pasti suspek utama. Dari siasatan, kedua mangsa tidak mempunyai musuh.

“Hmm…nampaknya kedua kes ni sama modus operandi. Ada bunga, badan ditikam banyak kali dan kemaluan pula dikerat. Dari biodata kedua-dua mangsa, mangsa nampaknya berasal dari kampung yang sama.” Tuan Malik mula berkerut kening. Dia mengamati kedua kes itu sekali lagi.

Hani dan Razman masing-masing diam sambil memerhati Tuan Malik memeriksa laporan yang disediakan. Hani pula mula merasa goyah bila Tuan Malik mula perasan biodata kedua mangsa.

“Eh..ni kampung Detektif Hani kan?” Tuan Malik mendongak melihat Hani yang duduk di sebelah Razman.

“Ya Tuan!” Hani cuba senyum.

Razman pula pandang Hani yang sedikit gelabah.

“Kalau macam tu..awak mesti kenal keluarga mangsa ni.” Tuan Malik mula merenung Hani yang duduk di depan.

Razman pula pandang Hani dengan riak curiga. Hani cuba bertindak selamba.

“Benar tuan. Saya pun terkejut bila dapat tahu kedua mangsa berasal dari kampung saya. Malah saya juga kenal kedua mangsa. Mereka dulu satu sekolah dengan saya.” Hani berkata dengan penuh yakin.

“Hmm..kalau macam tu..kita kena siasat dari akar umbi. Nampaknya terlalu banyak persamaan pada kedua-dua kes ni.” Tuan Malik hulur semula laporan kepada Hani.

“Saya cadangkan kita pergi ke kampung Berangan. Mana tahu dari situ kita dapat rungkai punca atau motif sebenar pembunuh.” Razman mula mengusul cadangan.

“Err..tidakkah nampak ketara jika saya ikut serta dalam penyiasatan ini? Maksud saya, kedua mangsa adalah rakan sekolah saya dan saya pula menyiasat kes ini. Tidakkah ia  akan menjadi bias?” Hani pandang Tuan Malik.

“Hmm..pada saya tidak. Malah kes ini akan cepat diselesaikan kerana hanya awak yang tahu fasal mangsa dan kampung tu!” Tuan Malik masih pertahankan katanya supaya Hani dan Razman menjalankan siasatan di sana.

Hani dan Razman akur dan mula minta diri.

***********

SEBAIK pulang dari kampung, Hani mula termenung. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke kampung itu. Kampung yang meninggalkan memori hitam dalam hidupnya. Selepas dia berjaya ditawarkan jawatan pegawai polis dulu, dia mula berpindah ke ibu kota bersama ibu. Ayah pula sudah lama meninggal dunia.

Kini dia buntu memikirkan wajah ketiga yang masih melekat di benaknya selama ini. Wajah itu sudah lama diperhatikan. Wajah itu tinggal tidak jauh dari rumah sewanya di bandar C.  Sementara itu, penyiasatan ke atas kes Razif dan Azhar dibuat ala kadar saja. Dia akan mula serius bila melihat Razman begitu komited ingin menyelesaikan kes itu. Baginya selagi bukti belum ditemui selagi itulah dia akan bertahan sehingga dendam kesumat menghapuskan wajah ketiga berjaya dilangsaikan.

Di bilik, Hani mula mencoret sesuatu dalam diari merah. Dia melakar segala yang berlaku. Air matanya mula menitis. Dendamnya kini sudah terbalas. Hanya tinggal satu wajah lagi yang juga akan menerima nasib yang sama.

 

MALAM itu, Hani mula menjalankan misi terakhir. Dia menunggu di simpang jalan kecil. Jalan yang selalu wajah ketiga lalu di situ dengan motosikal berkuasa besar. Hani duduk di atas motosikal Aprilla hitamnya sementara menunggu di situ. Helmet dibiarkan melekat di kepala. Sesekali dia melihat jam. Sudah menghampiri dua belas tengah malam.

Dari jauh dia melihat kelibat Harley Davidson menghala ke arah simpang itu. Dia sengaja letak batang pokok melintang di tengah jalan. Kelihatan motor itu berhenti di tepi.  Hani mula menunggang motosikalnya ke arah wajah itu.

“Boleh saya tolong?” Hani masih bertopi keledar.

“Terima kasih bro! Siapalah yang letak batang pokok ni kat tengah jalan macam ni! Tak ada otak ke?”

Hani mula mendekati wajah ketiga yang menjadi kebenciannya selama ini. Dia mula membuka helmet. Mata mereka bertentang.

“Kau masih kenal aku?” Hani pegang helmet di tangan kanannya.

“Eh..perempuan rupanya! Aku ingat lelaki tadi!”

“Kau Sahak kan?” Hani tenung wajah ketiga yang segak berjaket hitam sama sepertinya.

“Macam mana kau tahu nama aku?” Sahak mula tidak senang dengan tenungan gadis itu.

“Kau tak kenal aku?” Hani pandang lagi Sahak tidak berkelip. Dia mendekati Sahak semakin rapat.

“Err..kau siapa? Eh, kau tak takut ke jalan sorang-sorang malam-malam macam ni di sini.” Sahak mula sengih. Di kepalanya mula terbayang nakal. Dia pandang kiri kanan. Tiada sesiapa di situ. Dia pandang pula gadis berjaket hitam dengan rambut dilepaskan bebas begitu. Sungguh cantik!

“Kenapa? Kau nak rogol aku macam kau rogol aku dua belas tahun dulu??” Hani tenung lagi Sahak. Bibirnya diketap kuat.

“Apa kau merepek ni! Siapa yang rogol kau? Kau siapa? Kau cakap baik-baik sikit eh!” Bertubi-tubi Sahak bertanya. Suaranya semakin tinggi. Dia perhatikan gadis di depannya atas bawah.

“Akulah gadis yang kau rogol dulu! Gadis lemah yang hanya mampu menangis bila diperlakukan seperti binatang! Kau, Razif dan Azhar bergilir-gilir merogol aku! Aku merayu pada korang tapi sikit pun korang tidak endahkan aku! Korang rogol aku sampai aku pengsan!!” Hani mula menghambur kata-kata yang sudah lama ingin diluahkan selama ini.

“Jadi kau..kau Linda? Tapi…Linda yang aku kenal bukan macam ni! Linda tu pakai tudung dan baju kurung! Tidak berani macam kau!” Sahak mula gelisah melihat gadis itu mula mengeluarkan pisau tajam.

“Ya! Aku Linda! Gadis lemah yang kau heret ke kebun pisang dan rogol beramai-ramai! Untuk pengetahuan kau, waktu kau rogol aku dulu, aku sematkan dalam hati aku wajah-wajah setan korang! Dan untuk pengetahuan kau juga, aku tidak laporkan kepada polis! Aku ingin balas dendam dengan cara aku sendiri! Dan untuk pengetahuan kau lagi, Razif dan Azhar sudah mampus!!” Hani mula ketawa sambil mengacu pisau ke arah Sahak.

Sahak mula merasa cemas. Dia berundur setapak bila melihat Hani semakin dekat dengannya.

“Ah..buat apa aku nak lari? Perempuan ni lemah. Dia saja gertak aku!” Sahak cuba merampas pisau dari tangan Hani.

Hani mula membuka silat dan menolak Sahak sehingga jatuh ke tanah. Muka Sahak dilibas dengan pisau bertubi-tubi. Dia segera mengejar Sahak bila melihat Sahak cuba melarikan diri.

Sahak meraung kesakitan. Dia berlari dengan mata tertutup ke arah semak di tepi jalan. Hani seolah sudah dirasuk hantu. Dia mengejar Sahak dan menikam bertubi-tubi. Kemaluan Sahak dikerat dan dilempar ke tengah semak. Sebelum meninggalkan mayat Sahak, dia meletakkan sekuntum bunga mawar merah. Pisau yang penuh dengan darah disapu dengan baju jaket hitam Sahak yang sudah tidak bernyawa. Sarung tangan hitam yang dipakai ditanggalkan dan dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Setelah dia pastikan semuanya seperti sedia kala, Hani mula memecut laju ke rumah.

***********

HANI senyum puas. Dendamnya sudah terlaksana. Wajah ketiga-tiga setan yang merogolnya dulu sudah lenyap dari muka bumi ini. Dia puas!

“Puan! Tuan Malik ingin berjumpa!” kedengaran suara Salina di hujung talian interkom.

Hani matikan interkom. Dia mula menapak ke bilik Tuan Malik. Kelihatan Detektif Razman juga turut berada di situ. Kini dia pasrah seandainya siasatan kes bunuh itu menghala ke arahnya sebagai suspek utama.

“Duduk!”

Hani mula duduk di sebelah Razman yang masih kelihatan sugul. Kelihatan Tuan Malik juga berwajah sugul. Apa sudah berlaku?? Hani berfikir sendiri.

“Ni..kes ketiga dalam bulan ni. Juga sama…dan..mangsa ketiga ini sebenarnya sepupu Detektif Razman.” Tuan Malik menghulurkan fail hijau kepada Hani.

Perlahan Hani mengambil fail itu dan mula membelek. Gambar mayat Sahak dalam semak. Hani pandang pula Razman. Sungguh dia tidak sangka, Razman adalah sepupu Sahak.

“Jadi…mangsa ketiga ni sepupu kau?” Hani pandang Razman dengan riak keliru.

Razman hanya angguk. Ada riak sedih di wajahnya.

“Aku akan cari pembunuh tu sampai lubang cacing!!” Razman menghentak meja dengan buku lima.

Hani diam. Dia juga tidak menyangka Sahak dan Razman ada pertalian saudara. Namun jauh di sudut hati, dia merasa cukup lega. Akhirnya wajah-wajah itu hilang dari benaknya.

Beberapa bulan berlalu, pembunuh masih belum ditemui. Hani dan Razman masih menyiasat kes itu. Setelah tiada lagi kes seperti itu, Hani mengusulkan kepada Tuan Malik agar kes itu diklasifikasikan sebagai kes terpencil. Lama kelamaan kes itu mula dilupakan. Tiada bukti yang boleh mengaitkan suspek sedia ada untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

****************

“HANI! Ada tamu!”

Hani menoleh bila melihat ibunya melaung dari luar. Dia segera menapak ke pintu bilik.

“Siapa mak?”

Puan Zawiah menarik tangan Hani ke ruang tamu. Hani terkejut melihat Muzaffar sudah berada di situ memegang sejambak bunga Daisi putih.

“Hani apa khabar?” Muzaffar menghulurkan sejambak bunga kepada Hani.

“Kau buat apa kat sini?” Hani duduk di sofa tanpa menghiraukan Muzaffar yang masih tercegat di situ.

“Aku ingin memperisterikan kau. Di depan ibu kau, aku ingin menikah dengan kau!” Muzaffar seolah sudah tidak hiraukan lagi keadaan sekeliling.

“Kau dah gila!!”

“Memang aku gila!”

Hani mula berdiri dan melangkah laju ke bilik membiarkan Muzaffar sendiri di ruang tamu. Dia menangis semahunya. Muka dibenamkan ke bantal. Nyata Muzaffar tidak pernah berputus asa.

 

MATA Hani mula basah dengan air mata. Dia tidak menyangka, Muzaffar begitu beria memperisterikannya.

“Sudahlah Hani….Hani dah jadi isteri Muz sekarang. Sekejap lagi Muz nak sarung cincin.” Puan Zawiah mendakap anak gadisnya yang mula menangis di hari pernikahannya.

Hani hanya mampu menangis. Dia tidak menduga ada insan sebaik Muzaffar yang ingin memperisterikannya walaupun tahu dia sudah tidak suci lagi. Walaupun ada lagi rasa benci pada lelaki itu yang tidak menolongnya tika itu namun dia tidak dapat membohongi hatinya yang selama ini menyayangi lelaki itu.

“Hani…terima kasih kerana sudi terima Muz sebagai suami.” Muzaffar mula mencium dahi Hani selepas selesai menyarung cincin ke jari manis Hani.

Hani masih menangis di bahu Muzaffar. Akhirnya sebuah pernikahan yang diimpikan selama ini menjadi kenyataan. Dan ternyata jodohnya kuat dengan Muzaffar.

 

Malam itu, Hani masih termenung di sudut katil yang dihias indah dengan bunga Daisi putih kegemarannya. Dia pandang keluar tingkap. Hujan renyai mula menitik menyimbah cermin tingkap. Begitulah hati dan perasaannya kini. Bak air hujan yang jatuh menitik perlahan mengikut corak cermin tingkap. Tidak tahu mentafsir perasaan yang sekian lama dipendamkan.

“Hani…”

Hani pandang Muzaffar yang mula duduk di sebelahnya. Wajah Muzaffar sungguh berseri.

“Muz..aku tidak suci. Kau tahu kan? Mengapa kau begitu berkeras untuk menikah dengan aku?” Hani pandang lagi Muzaffar. Ditenung wajah kacak Muzaffar dengan pandangan sayu. Terharu.

“Hani…abang cintakan hani sejak dulu. Walau apa pun keadaan Hani, abang tetap terima. Abang juga bersalah membiarkan Hani diperlakukan  begitu tanpa berbuat apa-apa…dan..abang lebih bersalah kerana….” Muzaffar mula tunduk. Tidak sanggup dia meneruskan kata-kata.

“Apa bang?” Hani pegang tangan Muzaffar.

“Sebenarnya abang..abang…”

Hani menunggu kata-kata Muzaffar yang tersekat-sekat begitu.

“Sebenarnya apa bang?” Hani mula tidak sabar.

Muzaffar pegang kedua pipi Hani dan menciumnya.

“Hani..abang juga turut melakukan perkara itu masa Hani pengsan. Abang tahu abang bersalah. Masa tu, abang lemah, abang dayus. Abang keluar dari belakang pokok bila melihat Razif, Azhar dan Sahak sudah pergi. Niat abang ingin membawa Hani  pulang ke rumah tapi abang tidak dapat menahan nafsu ketika itu bila melihat tubuh Hani yang sudah tiada seurat benang..maafkan abang..”

Hani tersentak. Tergamam! Kerongkongnya sudah tersekat. Suara sudah hilang untuk berkata-kata. Dai renung wajah mulus Muzaffar yang mula tunduk. Kata-kata Muzaffar sebentar tadi bagaikan halilintar! Jadi selama ini bukan tiga wajah setan tetapi empat wajah setan yang meratah tubuhnya dengan rakus.

“Hani…maafkan abang!” Muzaffar mula memeluk Hani yang diam seribu bahasa. Tubuh Hani dirasakan bagai batang kayu.

Hani menolak tubuh Muzaffar. Air matanya sudah kering. Dia merenung Muzaffar dengan renungan tajam. Masih segar dalam ingatannya, begitu dia bersusah payah berjalan seorang diri menahan kesakitan sebaik tersedar dari pengsan meredah hari yang semakin gelap. Dengan darah merah pekat yang keluar dari kemaluannya yang mula membasahi baju kurungnya yang koyak rabak tika itu, dia tidak segera pulang ke rumah sebaliknya dia menuju ke sebuah anak sungai membersihkan diri. Biarlah kejadian itu menjadi rahsia dirinya. Ibu tidak perlu tahu perkara itu. Dia mula berbohong kepada ibu mengatakan dia terjatuh ke dalam sungai. Baju yang koyak pula akibat tersangkut pada dahan pokok.

Malam itu dia membiarkan saja Muzaffar menyentuh tubuhnya. Tika  itu, segala perlakuan wajah-wajah setan itu mula terbayang kembali, saat dirinya diperlakukan seperti binatang di kebun pisang dua belas tahun dulu. Hani merenung Muzaffar yang lena tidur di sisinya. Dia mengamati wajah keempat itu dengan penuh benci.

Perlahan Hani mengenakan pakaian semula dan mula menulis sesuatu di dalam diari merah yang diambil dalam laci meja yang berkunci. Dia pandang pula pisau di dalam bekas kaca sebelah diari merah tadi. Matanya tajam merenung Muzaffar yang sudah lena dibuai mimpi. Dan kini dengan pengakuan Muzaffar sebentar tadi, dendamnya kembali bersarang. Pisau dicapai perlahan. Dia merapati katil. Wajah keempat itu direnung lama. Tangannya pula masih menggenggam pisau yang hanya menunggu masa saja.

Ingin saja dirodok wajah keempat itu yang lena tidur di situ tapi....

Cerpen sebelumnya:
BERUK
Cerpen selanjutnya:
HUTAN (MAMBANG)

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
5.0
1 Penilai

Info penulis

ciksal

Hidup biarlah berlandasan..
ciksal | Jadikan ciksal rakan anda | Hantar Mesej kepada ciksal

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ciksal
Suku Suku | 9067 bacaan
Aku Tak Nak Mati Lagi! | 9509 bacaan
Dan Ku Cari Kamu | 2600 bacaan
Sebuah Harapan | 2803 bacaan
Kau Jodohku | 4610 bacaan
Mencari Jalan Pulang | 3791 bacaan
Kerana Biji Gajus | 3388 bacaan
Begitukah? | 2667 bacaan
It\\\'s Too Late To Apologise | 2867 bacaan
Amin, Sengkenit dan Sengkatik | 2230 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

3 Komen dalam karya Dendam Hani
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik