Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Muhammad Pesuruh Allah

  • 4
  • toti
  • 11 years ago
  • 3,752
  • FREE

 

 “Elok kita bom sahaja negara setan besar tu, biar mampus semuanya!”.

Syanfari merenung Malik. Dia nampak ada amarah yang sedang marak dalam anak mata teman sepejabatnya itu. Sebuah emosi yang terpercik daripada manifestasi kecintaan yang dalam. Cinta kasih yang melebihi cintanya terhadap materi, keluarga maupun dirinya sendiri.

“Aku sokong tindakan berani Ghulam Ahmad Bilour yang menyediakan ganjaran seratus ribu dollar untuk sesiapa yang dapat memenggal kepala Nakoula Basseley, si keparat yang memperlekehkan Nabi ”.

“Biar jadi pengajaran buat manusia sejagat yang memperalatkan kebebasan berkarya untuk memperkotak-katik dan cuba menginjak maruah Islam”.

“Kematian Christopher Stevens dikedutaan Amerika di Libya itu baru permulaan kepada serangan yang lebih besar lagi”.

Malik diam untuk beberapa momen. Mungkin cuba menghirup sedikit kewarasan yang berhembus lesu. Sedang Syanfari masih cuba memahami perasaan Malik dalam sepi. Terlalu banyak persoalan yang perlu dia tanggapi dan begitu juga dengan kekeliruan yang perlu dirungkai.

“Aku percaya bahawa setiap jiwa yang melafazkan syahadah merasa tersakiti dengan provokasi Innocence of Muslims yang picisan dan memualkan itu. Ini kerana Muhammad Bin Abdullah adalah peribadi agung, bukan sahaja dalam agama hanif ini tetapi juga didalam lembar sejarah umat manusia seluruhnya. Ini adalah fakta dan hakikat yang tidak dapat dimungkiri”.

“Maka serangan ke atasnya merupakan penghinaan terhadap seluruh kaum muslimin tanpa kecuali. Oleh itu sebagai mukmin yang menjadikan Rasulullah sebagai suri tauladan adalah sangat wajar untuk kita merasa sensitif dan emosi dengan pencabulan terhadap peribadi suci kekasih Allah itu”.

“Namun persoalannya sekarang, adakah kerana emosi dan sensitiviti ini lantas kita menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah dan rasulnya?”

Riak wajah Malik yang awalnya tenang mendengar hujah Syanfari berubah keruh. Dia jadi terganggu dengan soalan itu. Manakala Syanfari yang telah menjangkakan hal itu mula melegakan badan dengan menyandar pada kusyen empuk pejabat. Seakan memberi laluan kepada Malik melontarkan pandangan.

“Jadi kau anggap demonstrasi menyelar penghinaan terhadap Nabi itu salah?”, soal Malik dengan nada tegas.

“Bukan begitu. Adalah tidak logik bila mana kita sanggup turun berdemo secara aman untuk menuntut sesuatu yang bersifat politik tapi bungkam dalam menyatakan sikap terhadap perlecehan yang dilakukan kepada nabi junjungan kita yang jauh lebih utama dari segala yang ada di dunia. Ini seperti mana yang diperingatkan Rasullullah SAW kepada Umar r.a:

Tiada sesiapapun yang benar-benar menjadi Mukmin sejati sehinggalah aku lebih dicintainya daripada dirinya sendiri. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Yang menjadi masalahnya adalah bila mana kita menyikapi isu ini dengan cara yang ganas dan keliru serta dipandu oleh hawa nafsu dengan melakukan perosakkan harta awam, menzalimi orang yang tiada hubung kait dengan hal ini dan melakukan kekacauan. Ini bukan sahaja memberi implikasi buruk terhadap umat tetapi juga terhadap wajah Islam itu sendiri”.

Syanfari menyeluruhi Malik yang sedang duduk didepannya. Memang menjadi kebiasaan Malik untuk singgah ke bilik temannya itu seusai waktu pejabat untuk berlabun tentang bermacam-macam hal dari agama, politik, sukan hingga ke hal peribadi. Jam digital di atas meja Syanfari mengisyaratkan tepat pukul 6 petang. Suasana pejabat makin beransur tenang.

“Sebagai umat yang bertamadun kita perlu menyikapi provokasi seperti ini dengan matang dan waras. Jangan mudah terpancing dengan umpan yang sengaja dipasang oleh musuh-musuh Allah dan rasulnya sehingga kita terjerumus ke dalam fitnah yang lebih besar”.

“Dalam mendepani usaha jahat seperti ini seharusnya kita bertindak sesuai dengan tuntutan Al-quran dan As-Sunnah. Sepatutnya kita yang mengaku sebagai pencinta nabi mencontohi akhlak dan pekerti yang ditonjolkan oleh baginda rasul dan bukan pula sebaliknya. Apakah faedah yang akan kita perolehi daripada aksi-aksi keganasan yang sembrono seperti berlaku dikebanyakan belahan dunia Islam sekarang ini? Sedangkan Nabi telah mengingatkan kepada kita:

“Di antara (tanda-tanda) sebaik-baik Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa yang tidak mendatangkan keuntungan kepada dirinya.” (Riwayat At-Tirmizi)

Khali.

“Aku tetap menganggap filem ini adalah perlecehan oleh regim barat yang hobinya memang suka berperang. Maka melawan para kafir ini adalah merupakan suatu jihad yang dituntut. Darah banjingan yang lancang seperti mereka ini halal untuk ditumpahkan!”.

Penyataan  Malik itu tidak sedikit pun mengejutkan Syanfari. Dia tahu Malik lebih condong kepada pemikiran jalur keras yang lebih gemar menghukum daripada mencari penyelesaian jangka panjang. Tidak sedikit kaum muslimin yang terpengaruh dengan pandangan mereka yang akhirnya menatijahkan banyak keburukan daripada kemaslahatan.

“Marah kerana Allah dan rasul merupakan sesuatu yang wajar dan dibenarkan dalam agama. Tetapi itu bukan lesen untuk kita melakukan perosakan apatahlagi menumpahkan darah secara sewenang-wenang. Sewajarnya sebagai muslim dalam upaya mempertahankan baginda, kita perlu tetap memelihara etika Islam seperti yang dianjurkan beliau bukan mengingkari dan bertindak berlawanan dari pentunjuknya”.

“Kita lihat apa yang sudah terjadi di Libya. Adakah kezaliman yang dilakukan terhadap Christopher Stevens itu menjadi halal dengan mengatasnamakan pembelaan terhadap rasulullah? Kalau masih ada yang menganggap hal yang segila ini diperbolehkan demi kecintaan yang tak berbelah bagi terhadap Rasulullah SAW, lalu bagaimana perlu kita menyikapi sabda baginda:

\\\"Barangsiapa membunuh seorang kafir ahdi ( ada perjanjian), maka dia tidak akan mencium bau sorga, sedang bau sorga itu tercium sejauh perjalanan 40 tahun.\\\" (Riwayat Bukhari)

“Tapi kau sendiri pun tahu yang filem picisan itu dibikin di dalam negara Amerika dan karyawan yang terlibat semuanya adalah rakyat mereka. Kemudian ianya disebarluaskan keseluruh pelusuk dunia juga dengan menggunakan saluran komunikasi mereka. Ini bermakna Amerika secara tidak langsung terlibat dalam memberi ruang kepada berlakunya masalah ini”, ujar Malik bersungguh.

“Nanti dulu Malik. Kita perlu cermat dalam menjatuhkan hukum. Kita tidak mahu nanti kerana kelemahan kita memahami sesuatu masalah, agama yang akan dipersalah. Walaupun kita tidak bersetuju dengan Amerika dalam banyak perkara terutama yang melibatkan hak-hak umat Islam sejagat, namun itu bukan alasan untuk kita bertindak ceroboh. Adakah munasabah bila seorang ibu yang tidak bersalah dihukum lantaran dari kesalahan yang dilakukan oleh anak-anaknya?”

“Persatuan Ulama Muslim Sedunia yang dipimpin oleh Syeikh Yusuf Al Qardhawi telah mengingatkan seluruh kaum muslimin menampilkan sikap yang sesuai dengan nilai-nilai Islam dalam menyikapi perlecehan keji terhadap peribadi Rasulullah SAW ini. Dan beliau juga menyeru agar kita tidak mengeneralisasi serta menghukum orang-orang yang tidak berdosa hanya kerana kesalahan yang dilakukan oleh segelintir manusia gila yang kebetulan warga Amerika”.

Syanfari kembali melega posisi duduk sambil ditatap oleh Malik yang kelihatan sedikit lunak meski diwajahnya masih belum benar-benar jernih.

“Kita tidak boleh terlalu berlembut nanti kepala kita diinjak. Orang-orang kafir itu nanti akan berkata orang Islam ini bacul dan tidak punya kekuatan untuk mempertahankan simbol-simbol  suci agamanya sendiri dari diperkotak-katik. Dan hal seperti ini tidak boleh dibiarkan terjadi”.

Suara Malik bersiponggang memenuhi ruangan bilik Syanfari selaku pengurus teknologi maklumat. Mujur kebanyakkan dari kakitangan pejabat sudah bubar jika tidak pasti suara Malik yang vokal itu mencuri tumpuan ramai.

“Kita bukan berlembut Malik. Tapi kita memilih jalan yang lebih hikmah. Kalau kita menghadapi provokasi itu dengan emosi dan marah-marah hingga mencetus aksi luar kawal, tanpa memberi bantahan, penjelasan, atau kritikan balas, nanti kita akan dilabel sebagai kaum yang reaktif, mudah bengking, dan histeria. Jika itu yang terjadi, maka anasir-anasir jahat sangat senang mempermainkan kaum yang mudah marah ini. Sedangkan  Rasulullah SAW telah berpesan:

“Bukanlah ukuran kekuatan seseorang itu dengan menewaskan lawan tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menahan hawa nafsunya ketika marah.” (Riwayat Bukhari)

“Seluruh dunia menyedari bahawa The Innocence of Muslims merupakan bahan kumbahan tidak terawat daripada amatur yang jelas mempunyai sistem otak yang tercemar. Sebaiknya jangan kita habiskan tenaga dengan merusuh dan mengamuk kerana ini akan hanya memberi ‘bola tanggung’ buat musuh-musuh Islam melakukan pukulan kilas yang tajam dan mematikan. Kita perlu memikirkan strategi yang lebih mampan bagi mendepani serangan-serangan dunia moden yang semakin beragam-macam ini”.

Jeda.

“Kita bukan sahaja harus berani tetapi juga matang, rasional dan cerdas. Kaum muslimin perlu menilai dengan teliti motif dan punca setiap serangan yang diterima. Jangan cepat melatah. Jika ada keperluan untuk bereaksi, maka lakukan dengan akhlak dan citra Islami. Ini seperti yang disarankan oleh Syaikh Yusuf Al Qardhawi “Reaksi harus dilakukan, namun tanpa menggunakan aksi-aksi kekerasan.. Kita perlu bereaksi melalui metod yang sama dengan yang digunakan musuh-musuh kita.”

“Jika serangan ketenteraan dibalas dengan ketenteraan, penyimpangan pemikiran diluruskan dengan pemikiran maka fitnah yang disebar melalui filem juga perlu dijawab dengan filem. Oleh itu semua kaum muslimin, dalam konteks ini karyawan muslim perlu siap mengalas tugas dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab dalam menggembling segala usaha serta kreativiti bagi mempertahankan kesucian peribadi Rasulullah SAW yang cuba diinjak. Ini bahagian daripada bukti cinta kita yang tak berbelah bagi terhadap beliau. Tidakkah kita teringin diletakkan bersama-sama orang yang paling kita cintai?”.

“Bukankah reaksi-reaksi yang kita lihat sekarang ini bertitik tolak daripada kecintaan umat yang dalam sehingga jiwa mereka menjadi begitu halus dan sensitif terhadap anasir-anasir yang cuba menyerang keperibadian mulia Rasulullah SAW?”, soal Malik defensif.

“Menurut imam Nawawi “Di antara wujud kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya berupa ketaatan pada perintah-perintah-Nya, menjauhi larangan keduanya, serta mengindahkan adab yang ditetapkan syari’at Islam.” Kita tidak boleh mengambil undang-undang ditangan sendiri tanpa dipandu oleh ilmu yang mantap. Seharusnya hal ini kita serahkan kepada para ulama dan ulil amri untuk mengurusinya kerana mereka mempunyai autoriti yang cukup. Sebagai orang awam cara terbaik untuk kita membela Nabi SAW adalah dengan mengamalkan sunnahnya, mencontohi kehidupannya dan terus menyebarkan dakwah dengan jalan sabar dan bijaksana”.

“Dengan pendekatan dan suri tauladan yang kita pinjam dari citra agung Rasulullah SAW ini, mudah-mudahan kita dapat memberi sedikit sumbangan dalam menjentik hati-hati mereka yang skeptikal ini agar dapat melihat deen Islam itu dari sudut yang lebih terang dan jelas. Ini bertepatan dengan apa yang telah dianjur baginda Nabi SAW dalam sabdanya yang direkodkan oleh Imam At-Tirmizi :

“Bertakwalah kamu kepada Allah bila dan di mana saja kamu berada, susulkanlah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah dengan sesama manusia dengan akhlak yang mulia.”

Laungan Allah maha besar yang berkumandang dari corong pembesar suara komputer Syanfari memenuhi ruangan bilik. Sekaligus mengingatkan mereka ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan penuh kesabaran.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) MENARIK...
  • 2) membalas jahat dengan kebaikan.
    dalam mempertahankan agama, pertahanlah dengan pekerti dan siasah rasulnya.
  • 3) Contohi sifat Rasulullah..tidak perlu kejahatan dibalas kejahatan....dakwah yang paling hikmah...

    Apa akan kita lakukan seandainya kita menghadapi situasi yang sama dengan apa yang berlaku pada nabi Muhammad saw..baginda dilempar dengan tahi oleh musuh-musuhnya?
  • 4) Terima kasih atas tulisan ini. Ramai yang menggunakan hadis sewenang-wenangnya tanpa memikirkan penyelesaian jangka panjang. Terima kasih.

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti