Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kerana Biji Gajus

 

ANIM dongak ke langit. Awan sudah mula gelap.  Daun yang luruh di laman rumah disapu cepat-cepat. Tadi selesai mengemas rumah, dia terus ke laman untuk membersihkan sekitar kawasan rumah. Bekas kosong dan pasu bunga yang tidak digunakan ditelangkupkan, bimbang menjadi tempat biakan nyamuk pembunuh. Daun yang disapu dilonggokkan  di perdu pokok kelapa. Dia dongak lagi ke langit. Awan semakin hitam, bakal menurunkan titisan hujan ke bumi. Niat untuk membakar longgokan daun kering  terpaksa dibatalkan bila melihat rintik hujan mula menitis.

Penyapu disandarkan di batang pokok kepala. Tergesa-gesa Anim berlari ke anjung rumah papan. Hujan sudah mula renyai. Pandangannya masih pada laman yang menghijau dengan rumput dan dihias indah dengan pokok bunga kertas dan bunga orkid hutan. Sesekali matanya menerjah ke jalan besar. Kelibat motosikal ayahnya masih belum kelihatan. Malam tadi dia sempat berpesan pada ayah. Entah ingat entah tidak.  Anim mula berpeluk tubuh bila terasa semakin sejuk dengan angin sekali-sekala bertiup kuat dengan guruh berdentum-dentam tanda hujan akan semakin lebat.

“Anim! Dah la tu sapu daun. Masuk rumah! Kilat tu! Bahaya!” Ibu laung dari ruang tamu.

Anim segera menceduk air dari tempayan menggunakan gayung yang disangkut pada tiang tepi tangga dan mula membasuh kaki.  Sebelum melangkah ke atas rumah, sempat dia menoleh ke arah jalan besar sekali lagi. Kelibat ayahnya masih belum kelihatan. Anim melemparkan keluhan kecil.

“Mak, ayah balik pukul berapa?” Anim duduk bersila di sebelah ibu yang sedang melipat kain yang diangkat dari jemuran tadi.

“Kenapa?”

“Tak ada apa..” Anim jeling jam di dinding. Sudah menghampiri enam petang. Selalunya waktu begini, ayah sudah sampai di rumah dari temat kerjanya di bandar.

“Kat dapur tu ada ubi kayu. Nanti Anim tolong rebuskan ya. Kejap lagi ayah balik. Ayah memang suka makan ubi rebus hujan-hujan macam ni. Mak nak habiskan lipat kain ni sekejap.” Ibu senyum.

Anim angguk dan mula melangkah ke dapur. “Err..mak, Akim mana?”

“Tu! Sedang tengok tv !” Ibu muncungkan mulutnya menghala ke arah Akim yang sedang asyik menonton rancangan kartun.

Akim hanya muda dua tahun dari Anim, yang kini belajar di darjah lima.  Mereka hanya dua beradik sahaja. Akim, anak lelaki kesayangan ayah. Sejak kecil  lagi Akim dimanjakan oleh ayah. Segala kemahuan Akim, ayah turuti. Terkadang Anim merasa dipinggirkan bila keinginannya ayah buat tidak endah. Malam tadi, dia pesan pada ayah untuk membeli biji gajus bakar. Entah beli entah tidak. Kalau Akim yang pesan, selalunya ayah akan tunaikan juga walaupun terpaksa mencari di bandar lain yang jauh dari rumah.

Di dapur, Anim mula mengupas kulit ubi kayu. Ubi kayu yang telah dibuang kulit dipotong pula kecil-kecil. Apabila direbus nanti, ubi kayu akan cepat empuk. Dia pandang keluar tingkap. Hujan semakin lebat menyimbah bumi.  Sementara menunggu ubi kayu empuk, Anim mula membuat latihan matematik. Minggu depan ada ujian dari cikgu Ibrahim, guru matematik yang garang.

Sesekali dia jenguk ke luar tingkap. Hujan sudah mula renyai kembali. Tiada lagi bunyi guruh berdentum-dentam.  Anim jenguk pula ubi rebus di dalam periuk. Dia mengambil lidi dan mula mencucuk ubi.

“Hmm..dah empuk..” Sedikit ubi dirasa di lidah. Api dipadamkan.

Anim kembali duduk di kerusi di meja makan. Dia menyambung membuat kerja sekolah. Sesekali matanya memandang ke arah jalan besar. Dia tersenyum melirik. Kelihatan ayah sudah memasuki laman rumah dengan motosikal tuanya.  Anis segera ke anjung rumah.

“Ayah, ada tak?” Tidak sabar Anim bertanya ayah barang yang dipesan malam tadi.

“Maaf Anim, ayah tak sempat nak singgah di kedai tadi. Hujan lebat sangat.” Ayah menjawab sambil membuka topi keledar dan baju hujan kuning.

Anim mula sugul. Wajahnya muram. Dia segera mengambil beg kerja ayah dan melangkah longlai ke ruang tamu. Ibu sudah tercegat di muka pintu sambil tersenyum manis memandang ayah. Tangan ayah dicium lembut. Ibu sudah siap menghidangkan  ubi kayu rebus bersama kopi o panas di ruang tamu. Petang itu mereka sekeluarga sama-sama menikmati juadah petang. Anim hanya diam mendengar celoteh ayah dan ibu bercerita. Akim turut mencelah sekali-skala.

Perasaannya kini berkecamuk. Sudah dua minggu dia kempunan biji gajus bakar. Kalau dulu, di kedai Pak Amat, ada dijual biji gajus bakar tetapi setelah Pak Amat meninggal, semua anak-anak Pak Amat tidak menyambung berniaga di situ. Kedai itu sudah dirobohkan.

“Anim, kenapa diam saja?” Ibu mula menjeling anak gadis suntinya yang kelihatan sugul.

“Tak ada apalah mak..” Anim mengunyah ubi kayu rebus perlahan-lahan.

“Malam tadi, Anim pesan kat abang, dia nak makan biji gajus bakar. Hujan lebat macam ni saya tak singgah la kat kedai di bandar tu. Jalan pun sesak semacam. Lagipun sekarang bukan musim pokok tu berbuah. Susah nak dapat biji gajus tu. Pucuk gajus pun susah nak dapat untuk buat ulam.” Ayah menyampuk sambil memandang Anim yang tunduk dari tadi. Sudah merajuk agaknya.

“Oo..patutlah muram je. Esok nanti ayah beli ya..dah tak usah sedih. Tak manis la anak mak buat muka macam tu!” Ibu cuba memujuk.

****************

ANIM mengayuh basikal dengan perlahan. Tadi habis sahaja kelas cikgu Ibrahim, dia terus menuju ke tempat letak basikal. Ingin pulang terus ke rumah. Ajakan kawan sekelas untuk menikmati pisang goreng panas di gerai Makcik Nab tidak dihiraukan. Perutnya lebih perlukan biji gajus bakar dari pisang goreng panas walaupun pisang goreng juga kegemarannya. Rajuknya sudah tepu. Hari ini ayah mungkin mengingkari janji lagi.

Dia mengayuh lagi.  Dia dongak ke langit. Matahari memancar terik dari celah awan. Laju dia mengayuh basikal menuju ke jalan kecil. Dari jalan besar sebelum masuk ke simpang jalan kecil ke rumahnya terdapat jalan merah menuju ke sawah.  Jelas dia melihat pokok-pokok gajus berbuah lebat di kelilingi pokok kelapa yang meliuk lentuk daunnya ditiup angin bendang.  Anim berhenti di situ sambil memandang penuh minat ke arah pokok-pokok gajus itu.

“Hmm..ada pokok gajus rupanya di situ. Tapi setahu aku, itu jalan ke rumah Hana. “ Anim mula berkata sendiri. Dia senyum. Petang nanti dia akan ke rumah Hana dan melalui jalan itu untuk memastikan pokok gajus yang lebat berbuah itu benar-benar wujud. Dia tersenyum girang. Harapannya untuk makan biji gajus bakar kembali cerah. Jika benar, sudah semestinya dia akan mengambil seberapa banyak yang boleh untuk dibakar nanti. Dia mula menelan liur. Sepanjang perjalanan pulang, bibir Anim tidak lekang dari senyuman.

Tiba di rumah, Anim mula membantu ibu mengemas dan menyapu laman. Longgokan daun semalam terus dibakar. Selesai semua itu, Anim ke belakang rumah pula mencabut ubi kayu yang tumbuh subur di situ.  Ubi kayu terus direbus tanpa disuruh. Dia tahu ayah akan makan juga nanti. 

“Wah! Akak gembira nampak?” Akim tiba-tiba muncul di sebelah.

“Terkejut akak!” Anim senyum. Sempat menoleh Akim yang berpeluh. Mungkin baru lepas main bola di laman tadi. Dia buka tudung periuk melihat ubi yang direbus.

“Ubi dah masak. Nanti kita boleh makan.” Anim ambil seketul ubi kayu rebus dan cicah dengan kelapa parut yang digaul dengan gula. Dia hulur sedikit kepada Akim.

“Pergi mandi. Kejap lagi ayah balik!” Anim pandang Akim yang comot mulutnya makan ubi kayu rebus tadi.

“Hmm..dah masak ubi tu Anim?” Ibu muncul dari ruang tamu.

 Anim angguk. Dia segera meminta izin ibu untuk ke rumah Hana mengulangkaji  pelajaran bersama.  Hana seorang yang pandai matematik.  Gembiranya bukan kepalang bila ibu mengizinkannya ke rumah Hana. Bermakna harapannya untuk merasa biji gajus bakar akan tercapai.

 

PETANG itu, sekali lagi Anim mengayuh basikal ke rumah Hana. Buku latihan matematik dan kerja rumah cikgu Ibrahim turut dibawa bersama.  Laju kakinya mengayuh. Tiba di simpang tiga, sekali lagi dia melihat pokok-pokok gajus yang  berbuah lebat.  Berkali-kali dia menelan liur.

“Tak apa..balik dari rumah Hana nanti, aku singgah kat situ.” Anim mula berkira-kira mengambil buah gajus.

Dari jauh dia melihat Hana sudah tersenyum kepadanya. Anim mengayuh semakin laju. Rumah Hana betul-betul terletak di tepi sawah dan di belakang rumah pula penuh dengan pokok kelapa dan pokok mangga.

“Anim! Ada apa kau datang sini?” Hana melaung dari pangkin.

“Aku nak belajar sekali dengan kau. Kau kan pandai matematik!” Anim sandar basikalnya di batang pokok kelapa. Buku dan nota dari dalam bakul basikal dikeluarkan dan diletak atas pangkin.

Petang itu, Anim dan Hana sama-sama belajar dan membuat latihan matematik yang diberi oleh cikgu Ibrahim. Ibu Hana sempat menghidangkan kuih lepat dan sirap limau. Hampir satu jam mereka belajar bersama. Anim jeling jam tangan pemberian ayah. Sudah menghampiri enam petang.

“Hana, aku balik dulu. Kejap lagi ayah aku balik dari kerja. Aku pergi dulu ya!” Anim mula mengemas buku dan nota dan dimasukkan semula ke dalam bakul basikal.

“Esok tak sekolah kan? Bolehlah kita belajar lagi.” Hana mengorak senyum.

Anim angguk. Dia terus mengayuh hingga ke jalan merah. Dalam hatinya sudah berkira untuk mengambil biji gajus yang dia nampak tadi.

Hana masih di pangkin sambil memerhati Anim mengayuh basikal menuju ke jalan besar.

“Eh, buat apa Anim masuk ke jalan tu?” Hana panjangkan tengkuknya melihat basikal Anim membelok ke arah kiri di simpang tiga. Dia menggaru kepala melihat Anim yang melalui jalan kecil itu seorang diri.

******

ANIM mengayuh perlahan memasuki kawasan yang penuh dengan pokok-pokok gajus. Dia sandarkan basikalnya di tepi pondok kecil di situ. Dia pandang pula langit. Awan kelihatan sudah mula gelap.

“Aku kena cepat ni! Hari pun dah nak gelap!” Anim masih mendongak ke langit.

Dia merapati pokok gajus yang berbuah lebat. Kecur melihat buah gajus yang berjuntai di hujung dahan. Beg plastik sudah siap dibawa semasa keluar dari rumah tadi. Dia segera mencari ranting kayu yang panjang untuk menjolok buah gajus.

“Huh! Kecik sangat pulak ranting ni! Macam mana buah tu nak jatuh?” Anim garu kepala. Dia pandang di sekitar tanah. Kelihatan semak sedikit dengan pokok menjalar.

“Wah! Banyak juga buah yang jatuh.” Anim mula mengutip buah yang sudah sedia ada di tanah. Hatinya cukup gembira mengutip biji gajus yang diasingkan dari buahnya dan disimpan dalam beg plastik.

“Hmm…tak cukup ni.” Anim dongak ke arah buah gajus di atas pokok.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi mendengus yang kuat. Perlahan Anim berpaling. Matanya membuntang melihat seekor babi hutan sedang merenung tajam ke arahnya. Anim diam terpaku di situ. Tidak berani berganjak. Dia terus memandang binatang itu yang semakin mendengus kuat. Sebaik melihat binatang itu mula menggerakkan kaki, Anim semakin gelisah. Kakinya turut bergerak ke belakang. Bersedia untuk lari. Tiba-tiba dia terpijak ranting. Babi hutan itu terus mengejar Anim yang sudah panik dan masih tidak berganjak dari situ.

Entah dari mana kekuatan yang dia dapat, dia terus memanjat pokok gajus sehingga ke dahan paling atas. Anim jenguk ke bawah. Babi hutan itu masih di perdu pokok.  Anim pula memeluk kuat dahan pokok takut terjatuh dan dikejar babi hutan itu.

Dia lihat jam tangan. Sudah hampir pukul tujuh petang. Dia mula risau. Dipandang sekeliling. Hari semakin gelap.  Sesekali dia menepis nyamuk yang mula menggigit kulitnya.  Anis pandang  lagi sekitar. Sudah tidak nampak apa-apa. Gelap  pekat. Tanpa sedar air matanya mula jatuh. Kini dia terperangkap di atas pokok. Babi hutan masih menunggu di bawah sambil mendengus kuat. Tangisan Anim semakin kuat. Dia mula menyesal kerana terlalu ikutkan kata hati. Pesanan ayah tidak dihiraukan. Kedegilannya nyata menghukumnya sendiri. Anim terlelap di situ.

***********

“ABANG! Anim belum pulang lagi ni. Saya risau la bang!” Ibu mula gelisah. Matanya mula berair.

“Dia ke mana tadi?”

“Dia kata nak ke rumah Hana. Nak belajar sama-sama katanya!”

“Awak tunggu di sini. Kalau paksu datang, suruh dia cari saya di rumah pak Kob!” Ayah tersu capai lampu suluh dan menunggang motosikal menuju ke rumah Pak Kob, ayah Hana.

Tiba di rumah Hana, ayah segera bertanya kepada Pak Kob. Nyata Pak Kob juga tidak tahu ke mana Anim  pergi.  Sepanjang perjalanan tadi, dia sempat singgah di beberapa tempat mencari Anim. Anim masih belum dijumpai.

“Pakcik! Petang tadi saya nampak Anim masuk simpang tiga sana tu! Saya pun tak tahu dia buat apa kat situ!” Hana mula mencelah bila melihat ayah Anim mula putus asa.

“Simpang tiga?” Ayah Anim pandang Hana dengan mata terbeliak.

Hana angguk.

“Dia buat apa kat situ? Bukan ada apa-apa pun kat situ! Hish! Budak bertuah ni!” Ayah Anim mula geram.

“Entahlah..tapi saya dengar dia kata nak cari biji gajus!” Hana pula menyambung bicara.

“Biji gajus?? Biar betul! Simpang tiga tu kan tanah kubur!”

Ayah Anim bersama Pak Kob dan Pak Su segera menuju ke simpang tiga. Dengan cahaya lampu suluh yang mereka bawa, mereka mula mencari Anim. Kawasan di sekitar itu hanya semak dan pokok menjalar saja. Di sebelah kiri pula kawasan perkuburan lama.

“Along! Anim ada kat sini!” Pak Su menjerit.

Ayah Anim dan Pak Kob berlari ke arah  Pak Su. Mereka terpaksa melangkah batu nisan yang tercacak di situ. Batu nisan yang ada di situ kebanyakannya sudah retak dan senget. Anim dijumpai tertidur di atas salah satu kubur di situ sambil memeluk biji gajus. Ayah Anim mengangkat Anim dan segera pulang ke rumah menaiki kereta Pak Akob.

Tiba di rumah, orang kampung sudah ramai berkumpul di rumahnya. Ustaz Halim turut dipanggil. Malam itu Anim tidak sedarkan diri. Ustaz mula membaca sesuatu dan menyapu air yang dibaca tadi ke muka Anim.

“Alhamdulillah..” Ustaz halim senyum bila melihat Anim sudah mula sedar. Air bacaan Yassin tadi diberi minum.

“Alhamdulillah Anim dah sedar!” Ibu memeluk Anim.

Anim masih kebingungan. Dia lihat sekeliling. Orang ramai mengerumuni dia yang berada di tengah-tengah ruang tamu. Dia pandang pula Ustaz Halim.

“Syukurlah Anim sudah sedar. Tempat tu keras.” Ustaz Halim senyum lagi.

Ayah Anim turut senyum sambil meraup muka. Dia pandang Anim yang masih terpinga-pinga. Ada sebungkus biji gajus di tepi.

“Mana Anim dapat biji gajus tu?” Ayah mula bertanya.

Anim pandang bungkusan plastik yang penuh dengan biji gajus. Dia pandang pula ayah dan ibunya.

“Dari pokok gajus la. Pokok tu lebat berbuah!” Anim mula bersuara.

Orang ramai yang datang masing-masing diam. Mereka berpandangan sesama sendiri. Setahu mereka kawasan tempat Anim  dijumpai tiada sebatang pun pokok gajus. Malah kawasan itu adalah kawasan kubur lama yang dipenuhi dengan semak dan pokok menjalar. Biji gajus di dalam genggaman Anim dipandang tidak berkelip. Memang sah itu biji gajus. Biji gajus itu masih segar seolah-olah baru dipetik dari pokok. Penduduk kampung yang datang menziarah mula minta diri untuk pulang ke rumah masing-masing.  

Anim pandang biji gajus sekali lagi. Dia senyum sendiri.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) G langkawi mesti beli biji gajus..menarik cite ni

  • (Penulis)
    2) botak_9444 : tq..teringat kisah zaman kanak-kanak la ni..hehe
  • 3) wah. mana anim dapat tu? hurm misteri ni.

  • (Penulis)
    4) uculer: biji gajus yang sangat misteri...rasa nak sambung jer citer ni..
  • 5) mistik~ =)

Cerpen-cerpen lain nukilan ciksal

Read all stories by ciksal