Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

VIOLET 2 (kesinambungan Violet)

Cerpen sebelumnya:
Kerana Biji Gajus
Cerpen selanjutnya:
Sepuluh Ringgit

(sambungan dari cerpen Violet)

Dr. Ubaid perlahan-lahan membuka balutan mata si gadis itu. Balutan putih itu kemudian digulung lembut ke tangannya sehingga ke semua lingkaran balutan terlerai dari menutup mata gadis itu.

            Sama ada si doktor mahupun si pesakit, kedua-duanya berdebar-debar menanti keajaiban yang bakal berlaku nanti. Gadis yang bernama Fazira ini terasa lebih teruja. Inilah pertama kalinya bebola mata Violet miliknya bakal menerima pantulan cahaya yang bakal menerobos terus ke retina mata dan urat-urat di sebalik matanya. Pantulan tersebut bakal menyampaikan kod-kod imbasan yang bakal diterjemahkan dalam bentuk visual. Visual yang dia tidak pernah lihat sebelum ini sejak dari dia dilahirkan ke bumi.

            Dr. Ubaid tersenyum. Dia bakal memberikan kehidupan baru kepada si gadis yang dia sudah mula jatuh hati sejak dari hari pertama mata mereka bertaut.

            “Fazira… cuba awak buka mata awak sekarang..” arah Dr. Ubaid dengan lembut.

            Pelepuk mata Fazira mula bergerak-gerak. Kemudian kelopak matanya terbuka sedikit demi sedikit.

            “AHHH!” Fazira terjerit kecil. Cahaya yang menerobos ke dalam retina matanya sungguh terang dan begitu menyakitkan. Rasa pedihnya melingkar hingga ke urat-urat kepala.

            “Fazira tutup mata awak semula… dan buka perlahan-lahan…” Dr Ubaid tetap bersabar. Dia tahu ia bukan suatu perkara yang mudah untuk sepasang mata milik Fazira menerima cahaya matahari. Tambahan pula apabila pesakitnya tidak pernah mempunyai keupayaan untuk melihat sebelum ini.

            “Saya takut… tapi saya cuba lagi.” Fazira nekad. Sakit pun sakitlah. Kalau kesakitan itu dilayan, usaha Dr. Ubaid terhadap dirinya hanyalah sia-sia.

            Ucapan Bismillahirmanirrahim bermain di lidahnya. Kemudian perlahan-lahan cahaya yang memasuki mata Fazira mula membentuk rupa dan visual yang sungguh asing baginya. Wajah seseorang memunculkan rupa. Seorang lelaki mungkin? Hatinya berbelah bahagi untuk melihat objek-objek lain yang terbentang kini pada pandangannya. Fazira lekas-lekas menutup matanya kembali.

            “Fazira? Kenapa?” tanya Dr Ubaid. Dia keliru dengan kelakuan Fazira.

            “Saya takut… saya tak tahu apa yang saya lihat tu betul ataupun tidak…” jawab Fazira yang masih mengatup matanya dari terus melihat.

            “Fazira…. Awak jangan takut. Pegang tangan saya dan buka mata awak..”

            Fazira mencuba sekali lagi. Kali ini dia berasa sedikit yakin oleh kerana Dr. Ubaid memberikan tangannya sebagai jaminan.

            “Doktor…” Fazira tidak dapat menterjemahkan apa yang sedang diperlihatkan di matanya. Namun bagi dirinya, Dr Ubaid adalah manusia pertama yang pernah dia lihat. Doktor itu berwajah licin dan bebola matanya berwarna gelap. Mungkin dia juga seorang yang kacak kerana baginya senyuman Dr Ubaid menenangkan hatinya.

            “Nampaknya, awak perlu belajar banyak perkara…” kata Dr Ubaid sambil tersenyum kecil.

***

HAMPIR setahun berlalu dan Fazira tidak pernah lagi bertemu dengan Nadim sejak dari pertemuan mereka yang terakhir di majlis hari lahir Tengku Azwiyah. Walaupun hati Fazira dibidik perasaan rindu, namun dia hanya mampu menelan semua yang kelat itu dalam-dalam. Tengku Nadim dan dirinya tidak mungkin bertaut kembali. Enggang dan pipit tidak mungkin bersama.

            Kehilangan cinta Tengku Nadim membuka lembaran baru antara Fazira dan Dr Ubaid yang dia kenali di hospital sejak lima bulan yang lalu. Dr. Ubaid sangat prihatin ke atas Fazira sehinggakan dia sanggup membiayai kos pembedahan matanya. Kini Dr. Ubaid merancang untuk mengikat tali pertunangan dengannya dan dalam tempoh kurang dari setahun, mereka bakal berkahwin. Begitu pantas masa berlalu!

            Lamunan Fazira terhenti secara tiba-tiba apabila Fatiha menjengah ke ruang kamar miliknya. Fatiha bingkas duduk di sisi Fazira sambil melentokkan kepalanya di bahu si kakak.

            “Kakak termenung apa tu… teringat Dr. Ubaid?” usik Fatiha.

            “Tak adelah!” Fazira cuba menyembunyikan perasaannya. Memang ya dia teringatkan jejaka itu tapi…

            “Ke kakak teringatkan Abang Nadim?”

            Pertanyaan Fatiha mengundang gelora di hati Fazira. Lalu dia mengutum senyuman kelat pada si adik.

            “Macam mana agaknya wajah Nadim? Dia kacak macam Dr Ubaid ke?” tanya Fazira. Dia tidak dapat menilai apa yang cantik mahupun yang buruk. Baginya, jikalau perasaannya tenang apabila melihat sesuatu, maka indahlah perkara itu dan begitulah sebaliknya.

            “Kakak tak payahlah nak tahu pasal dia… dah sejarah pun kan?” Fatiha mengelak dari menjawab persoalan Fazira. Dia tidak mahu Fazira terus terluka seperti dulu. Ditinggalkan… seperti manusia yang tidak langsung mempunyai harga diri. Walhal kakaknya itu manusia yang punya perasaan seperti orang lain walaupun dia cacat pancaindera penglihatannya.

            “Tapi… kakak teringin Fatiha…”

            Fatiha bangun dari birai katil milik kakaknya dan berlalu pergi. Fazira ditinggalkan tanpa jawapan.

****

“CEPATLAH Tasya! Nanti lambat pulak. I tak sukalah pergi majlis kawan baik I ni macam pergi shopping. Keluar masuk macam tu je!” omel Tengku Nadim. Tasya ni kalau bersolek memang berjam-jam lamanya.

            “Kejapppp! Kejapp! Siapa suruh you datang ambil I lambat? Tunggulah!” jerit Tasya dari tingkat atas. Terkocoh-kocoh Tasya menuruni tangga yang melingkari bahagian ruang tamu rumahnya. Hampir-hampir saja dia terjelepok menyembah tanah oleh kerana ketirusan tumit tingginya yang tidak begitu stabil.

            Mereka berdua tiba di majlis pertunangan rakan baik Nadim saat majlis sudah hampir selesai. Walaubagaimanapun, tuan rumah tetap menjemput tetamunya dengan hati yang terbuka. Tambahan pula tetamu tersebut adalah rakan baiknya sendiri.

            “Nadim! Aku ingat kau tak datang tadi,” jemput rakan baiknya sambil berdakapan erat. Dakapan dilepaskan dan Nadim hanya mampu menggaru-garu kepalanya dan tersenyum sinis terhadap Tasya.

            “Ubaid… sorrylah! Aku lambat sikit… tapi aku dah tunaikan janji yang aku datang kan??” kata Nadim. Sambil itu, kepalanya tertoleh-toleh mencari yang mana satukah gerangan pemilik hati rakan baikya, Ubaid.

            “Kau cari apa tu? Tunang aku? Kejap aku bawa kau jumpa dia.. Anyway ni tunang kau kan?” Sempat juga Dr Ubaid mengerling dan bertanyakan mengenai Tasya yang sibuk mengendengkan dirinya berdekatan Nadim.

            “Ni Tasya.. and yes dia tunangan aku…”

            Belum sempat Nadim menyambung kata-katanya, Dr Ubaid dengan pantas meminta dirinya pergi tanpa memberikan sebarang penjelasan. Namun, beberapa minit kemudian dia kembali dengan seorang gadis yang berbaju kurung moden berwarna merah jambu cair. Gadis itu menundukkan wajahnya yang masih belum jelas kelihatan pada pandangan mata Tasya dan Nadim.

            Dr Ubaid memegang erat tangan gadis itu lalu memperkenalkannya kepada Nadim dan Tasya.

            “Aku perkenalkan… gadis yang telah menyimpan kunci hati aku kini… Fazira..”

            Hampir-hampir saja luruh jantung milik Tengku Nadim apabila mendengarkan nama tersebut. Fazira… nama gadis yang sentiasa bersemadi di jiwanya.

            Fazira memperlihatkan wajahnya. Irisnya yang berwarna Violet itu bersinar-sinar memancarkan cahaya yang menambahkan gelora di hati Nadim. Memang benar dialah Fazira… tapi dia boleh melihat? Tak mungkin!

            “Saya Fazira…” Fazira menghulurkan tangannya tepat ke arah Tasya dan kemudian kepada Nadim yang masih teragak-agak untuk bersalaman dengan Fazira. Baginya, ia adalah suatu misteri dan keajaiban. Ubaid mencintai gadis yang dia cintai? Manakala Fazira pula tidak buta dan jauh sekali mengenali dirinya. Perkara ini semua tidak mungkin terjadi!

****

“SAYA nak berjumpa dengan Dr Ubaid, pakar sakit mata. Dia ada di biliknya tak?” tanya Nadim kepada jururawat yang berada berdekatan kaunter dispensari.

“Oh ada rasanya… biliknya yang hujung sana,” jawab jururawat tersebut.

Tanpa berlengah lagi, Tengku Nadim menuju terus ke bilik Dr Ubaid. Pintu bilik dikuak buka tanpa sebarang ucapan salam. Nadim berhajat untuk memberikan kejutan kecil pada Ubaid.

“Ubaid? Ubaid??” panggil Nadim.

Kosong. Ruangan bilik Dr Ubaid kelihatan sunyi namun kipas siling di biliknya masih lagi terpasang. Nadim menjengah masuk ke dalam bilik Dr Ubaid untuk memastikan bahawa rakannya benar-benar tiada di situ.

“Ubaid? Kau memang tak ada dalam bilik ke?” tanya Nadim.

“Encik?” Suara seorang gadis secara tiba-tiba timbul dari tandas kecil yang bercantum dengan bilik tersebut.

Gadis itu memunculkan dirinya kepada Tengku Nadim dengan senyuman manis dan seperti biasa panahan mata Violetnya yang bersinar-sinar.

“Fazira? Awak buat apa kat sini?” Nadim terkesima seketika. Fazira? Sungguh tak dijangka!

“Encik cari Dr Ubaid kan? Dia melawat pesakit dia sekejap. Duduklah dulu..” ajak Fazira. Tak semena-mena hati Fazira bercampur baur apabila terdengarkan suara jejaka di hadapannya ini. Dia rakan baik Ubaid bukan?

“Ya… terima kasih,” ucap Nadim sambil melabuhkan punggungnya ke kerusi tetamu di sudut kiri bilik tersebut.

            “Encik ni kawan baik Dr Ubaid kan? Yang kat majlis pertunangan hari tu…?” Fazira masih lagi mengagak-agak. Mungkin mereka pernah bertemu sebelum ini. Sebab itulah suaranya biasa didengari.

            “Ya..” jawab Nadim ringkas.

            “Kita memang tak pernah jumpa kan sebelum ni? Hari tu pun jumpa sekejap je sebab encik dah tergesa-gesa nak balik…” tanya Fazira lagi. Sambil itu tangannya menyorokkan beberapa buah buku berwarna dan salah satunya bertajuk ‘Belajar Abjad’ di bawah timbunan fail milik Dr. Ubaid.

            “Awak baca buku tu?” tanya Nadim tanpa menjawab pertanyaan Fazira.

            “Emm…” Fazira tidak tahu bagaimana dia mahu menerangkan hal tersebut kepada Nadim. Namun dia hanya membalas, “Saya tak macam orang lain… saya tak sempurna.”

            “Tak sempurna tak bermakna awak tidak seperti orang lain. Cumanya awak ada sesuatu perkara yang orang lain tak ada…” kata Nadim yang mulai bangun dari kerusi yang didudukinya.

            “Ya.. betul…” Kata-kata Nadim menyentuh hujung hatinya. Lelaki ini siapa sebenarnya? Mengapa kata-katanya seperti dia pernah dengari sebelum ni?

            Nadim mendekati Fazira dengan hanya membiarkan jarak tiga tapak di antara mereka. Jantung Fazira bertambah-tambah debarannya apabila bau wangian yang dipakai Nadim adalah seperti bau wangian lelaki yang dia amat rindui di kala ini.

            “Kita pernah berjumpa ke sebelum ni?” tanya Fazira tanpa berdolak-dalih lagi. Hatinya tak sanggup menahan pertanyaan yang mencurah-curah dari akal rasionalnya.

            “Mungkin. Mungkin juga awak dah lupa betapa pentingnya saya dalam hidup awak sebelum ni, Fazira.” Nadim bermain kata-kata. Dia tahu Fazira bakal mengetahui siapa dirinya yang sebenar.

            “Tak mungkin..” Fazira berbisik perlahan. Dia… Perkara ini tak mungkin akan terjadi.

            “Tutup mata awak dan awak akan dapat jawapannya..” ucap Nadim dengan nada lembut. Hanya dengan itu sajalah persoalan yang bermain di minda Fazira akan terjawab.

            Fazira memgambil nafas dalam-dalam dan memejam rapat matanya. Hatinya terasa sedikit kosong dan pandangannya kembali gelap tak bercahaya. Apa yang ada cuma deria rasa dan pendengaran yang mula memainkan peranan mereka.

            “Saya cintakan awak, Fazira,” ucap Nadim dengan nada perlahan. Kolam matanya mula bergenang. Fazira, saya Nadim yang awak cintai dulu. Ingatkah awak dengan saya?

            Jantung Fazira bagaikan direntap kuat. Perasaan berkecamuk. Nadim! Nadim! Benarlah dia Nadim. Air matanya mula mengalir dengan deras. Kemudian Fazira membuka kelopak matanya. Iris Violet miliknya berkaca.

            “Nadim..!” Fazira separuh menjerit dan membelakangkan langkahnya. “Tak mungkin!”

            “Fazira… saya Nadim. Nadim yang telah melukakan hati awak. Nadim yang telah membiarkan awak pergi tanpa halangan. Maafkan saya Fazira.” Nadim menggenggam erat kedua-dua tangan Fazira. Dia tidak tahu dari mana dia ingin mulakan sebenarnya. Dia cuma mahu Fazira tahu yang dia tidak pernah mahu gadis itu pergi. Tidak pernah sekali pun!

            “Tolong jangan dekati saya lagi.” Fazira melepaskan pegangan tangan Nadim darinya. “Saya milik Ubaid. Saya takkan mungkin bersama awak lagi. Pergi sekarang sebelum Ubaid balik. Pergi!”

            “Fazira, beri saya peluang untuk menjelaskan segalanya….”

            Fazira mengalihkan wajahnya dari Nadim dan mengelap pantas air matanya sebaik saja dia mendengar derap kaki yang berjalan ke arah bilik Dr Ubaid.

            “Nadim… tolong jangan bagi tahu hal ini kepada Ubaid,” bisik Fazira dalam ketegasan tanpa memandang wajah Nadim. Manakala Nadim pula hanya mampu menggelengkan kepalanya.

            Pintu bilik Dr Ubaid dikuak buka. Sekujur tubuh milik Dr Ubaid memasuki ruang pejabat miliknya.

            “Nadim… Fazira? Awak berdua dah lama tunggu saya kat sini?”

****

“NADIM, aku dah tahu hal ni dah lama sebenarnya.”

            “Maksud kau? Kau tahu yang aku kenal Fazira?” tanya Nadim dengan kerutan seribu di dahi. Ubaid dah tahu? Tapi kenapa dia rahsiakan?

            “Ya… aku dah tahu. Aku juga tahu Fazira tak cintakan aku. Dia cuma terhutang budi dengan aku.” Dr Ubaid mengeluh berat. Hatinya juga terluka. Namun apakan daya, gadis bermata Violet itu tidak mencintai dirinya.

            “Aku hanya bertepuk sebelah tangan,” sambung Ubaid lagi dengan dekahan ketawa dihujung kata.

            “Ubaid… saya tak bermaksud nak sakitkan hati awak atau menipu awak. Saya…” Fazira menunduk dan menyambung kata-katanya, “Saya cintakan awak.”

            “Fazira… tolong jangan ucapkan perkataan tu kalau awak tiada perasaan yang mendalam untuk menyatakannya,” jawab Ubaid. “Saya hanya nak awak bahagia dan… kebahagian awak ada bersama Nadim.”

            Fazira sebak. Dia berasa bersalah dan pada masa yang sama dia tidak boleh mencintai Dr Ubaid seperti dia menyayangi dan mencintai Nadim dengan sepenuh hatinya.

            “Ubaid… aku tak pun tak bermaksud juga untuk merosakkan hubungan kau dan Fazira. Kau kawan baik aku.” Nadim kini berbelah bahagi. Ubaid, hatinya sungguh mulia.

            “Semua orang berhak untuk memiliki kebahagiaan. Begitu juga dengan kau, Nadim dan juga Fazira,” jawab Dr Ubaid. Dia redha dengan apa yang terhampar buat dirinya.

            Nadim tersenyum kelat. Begitu juga dengan Fazira. Mungkin hari ini bahagia dan nasib menyebelahi mereka. Tapi esok lusa, siapa tahu apa yang terhampar buat cinta si gadis bermata Violet…

Cerpen sebelumnya:
Kerana Biji Gajus
Cerpen selanjutnya:
Sepuluh Ringgit

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.0
1 Penilai

Info penulis

Ilmuna Ismail

Writing rocks!
syaida | Jadikan syaida rakan anda | Hantar Mesej kepada syaida

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya syaida
Izzanna | 2378 bacaan
Janji ke Syurga | 2386 bacaan
Violet | 2280 bacaan
Salsa dan Konspirasi | 2386 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

4 Komen dalam karya VIOLET 2 (kesinambungan Violet)
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik