Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kerusi

 

            “Jauh lagi ke tempatnya?” Adib memulakan bicara. Dahinya berpeluh-peluh. Mungkin kerana kepedasan tomyam berapi yang dipesannya. Mungkin kerana keadaan di gerai tomyam yang disinggahinya itu agak panas malam ini. Atau mungkin kerana takut, ngeri dan bermacam perasaan lagi bila mengenangkan perkara-perkara yang berlaku ke atas dirinya semenjak akhir-akhir ini. Semuanya bermula dengan kerusi antik yang dibeli enam bulan lalu. Ya, kerusi itulah punca segala-galanya.

            “Dah tak jauh dah,” jawab Zadi acuh tak acuh. Mi sup rusuk kambing yang dipesannya itu dihirup dengan penuh bernafsu. Terangkat-angkat keningnya. Mulutnya dimuncungkan. Berdesip-desip bunyinya apabila sup itu dihirup. “Bukan aku yang memandai-mandai tapi tok bomoh yang suruh kita ke sana malam ni. Malam ni bulan penuh. Sesuai nak tolak bala. Apatah lagi nak tolak kerusi jahanam kau tu.”

            Adib menolak mangkuk tomyam berapinya ke tepi. Seleranya hilang. Gelas kopi janggut yang dipesannya ditarik rapat ke dada. Diambilnya sudu teh dan dikacau perlahan-lahan. Otaknya sedikit demi sedikit mengingati kisah enam bulan yang lalu. Kisah bagaimana dia memerlukan sebuah kerusi untuk bermalas-malas di depan televisyen rumah sewa bujangnya. Dari sebuah pencarian kerusi biasa, hinggalah kepada yang berjenama dan empuk seterusnya membawa kepada kerusi antik. Ya, itulah kali pertama dia mengenali kerusi antik dan itulah kali pertama dia merasakan betapa dia sangat memerlukan kerusi itu.

            “Oo yang ni tak mau juai oo..” Kata-kata Ah Pek penjual kerusi antik itu masih terngiang-ngiang di terlinganya. Setelah berhari-hari mencari sebuah kerusi yang sesuai. Itulah kerusi pertama yang dirasakannya sempurna untuknya. Rekabentuknya sederhana menarik. Warna merah keemasannya sudah kehitaman dan pudar. Rangka kayunya kelihatan seperti sudah dicat semula dengan warna hitam. Bagi rakannya Zadi, kerusi itu kelihatan terlalu hodoh. Tidak selesa, tidak melambangkan status malah tidak membawa apa-apa makna. Tetapi tidak bagi Adib. Dia merasakan satu perasaan yang sulit dimengertikan.

             “Kau apa tahu pasal seni, Dee.” Itulah kata-kata Adib bila rakannya Zadi cuba mempertikaikan keputusannya untuk membeli kerusi tersebut.

            “Kau gila ke Dib, sudahlah hodoh, buruk, mahal pulak tu.” Kata Zadi, memprotes.

             “Mana kau tahu mahal, dia belum cakap nak jual. Entah-entah dia nak bagi aku free.” jawab Adib cuba berjenaka.

             “Kalau dia cakap tak mahu jual, maknanya sebab mahal la tu.”

             “Kita cuba la mintak beli. Aku sanggup beli walau berapa sekalipun harga yang dia letak.”

             “Sah memang kau dah gila, Dib. Banyak lagi kerusi yang best-best kita boleh cari. Kalau dekat Ikea berlambak. Macam-macam kita boleh pilih. Kerusi ni yang kau nak sangat kenapa?” Zadi masih tak berpuas hati.

             “Ini barang antik, Dee. Bukan jenis yang pasang sendiri kat Ikea nun. Kau tak dengar ke apa Ah Pek tuan kedai ni cakap? Dia cakap kerusi ni milik Faridah Harum. Penulis terkenal tahun 50-an dulu yang mati kena sembelih tu. Haa.. Ah Pek tu cakap, dengan kerusi inilah Faridah Harum tu duduk untuk menulis. Dia takkan menulis jika tidak berada di kerusi ni.”

            “Cerita Faridah Harum tu memang aku ada pernah dengar, tak tahu pulak aku cerita tu betul ke tidak. Macam cerita kedai kopi je bunyinya,” ujar Zadi sambil membelek-belek barang lain yang terdapat di kedai Ah Pek itu. Acuh tak acuh.

            Adib hanya tersenyum tawar bila mengingatkan kembali perbualannya dengan Zadi suatu ketika dulu. Dia tahu cerita Faridah Harum itu memang susah dipercayai oleh sesiapapun. Tapi dia memang mempercayainya. Bukan kerana dia memang mempercayai cerita-cerita kedai kopi yang dibawa dari mulut ke mulut. Tidak. Bahkan dia memang tidak menyukai cerita-cerita yang berbaur urband legend baik cerita hantu mahupun cerita misteri. Tapi kali ini lain. Dia sendiri yang mengalaminya. Pengalaman enam bulan bersama kerusi celaka itu cukup membuatkan dia merana. Kerana kerusi itulah dia lupakan segala-galanya. Lupa kawan, lupa saudara. Bahkan perkahwinan dengan tunangnya yang sepatutnya berlangsung tiga bulan lepas juga diabaikannya. Kerusi itu memang membuatkan dia gila. Ingatannya kembali enam bulan lepas ketika dia cuba membeli kerusi Faridah Harum itu.

             “Lu penulis ke?” tanya Ah Pek padanya ketika dia bersungguh-sungguh meminta supaya dijualkan kerusi itu.

             “Tak lah Ah Pek. Aku memang suka kerusi ni. Itu sahaja.” jawab Adib.

             “Oo gua ingatkan lu penulis. Sebab ramai penulis yang cari kerusi ini. Tapi gua tak juai kepada penulis. Nanti ada yang mati. Kalau lu bukan penulis, boleh la gua juai. Tapi mahai sikit lor.” terang Ah Pek tersebut sambil tersenyum senget. Mungkin kerana suka dengan perkataan mahal yang dia yakin Adib tak kisah. Ya, memang Adib tak kisah walau berapa pun harganya. Ah, takkan sampai tiga empat ribu. Fikir Adib. Tapi yang dia kisah sangat-sangat adalah penyataan ‘nanti ada yang mati’. Itu memang dia kisah. Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk memiliki kerusi tersebut. Malah semakin membara.

             “Kenapa takut ada orang mati pulak? Kerusi ni ada penunggu ke? Cekik orang ke?” Tanya Adib separuh bergurau. Namun dahinya tetap dikerutkan dan matanya tetap dijegil bagi meminta jawapan yang bukan separuh gurauan.

             Maka bermulalah cerita Ah Pek itu kepadanya bagaimana kerusi itu mempunyai semangatnya yang tersendiri dan menimbulkan idea-idea yang menarik kepada Faridah Harum sehinggakan Faridah Harum berjaya menghasilkan beratus-ratus novel hantu yang bestseller dan sentiasa diulangcetak. Kejayaannya yang luarbiasa mengundang ramai kawan dan lawan. Semuanya kelihatan sempurna. Buku yang diminati ramai. Pendapatan yang lumayan. Rumah yang tersergam indah dan keluarga yang bahagia. Namun semuanya berubah apabila dia membuat kenyataan yang dia hanya mendapat idea yang menarik apabila dia duduk di kerusi kegemarannya. Sebuah kerusi biasa yang berwarna merah yang dibelinya dari jualan lambak ketika melawat tanah jawa suatu ketika dahulu.

             Bermula dari itulah kehidupannya mula porak peranda. Rumahnya sentiasa dicerobohi. Suaminya hilang tanpa kesan. Peti suratnya sentiasa dipenuhi dengan surat ugutan dan ancaman. Semua perkara berlegar tentang kerusi itu. Kerusi yang didakwanya dapat memberi idea untuk menulis kisah-kisah hantu yang menarik. Rumahnya yang dicerobohi tidak ada apa-apa yang hilang. Hanya beberapa kerusi merah di bilik bacaan yang hilang. Surat ugutan juga meminta dia menjual kerusi tersebut. Bahkan ada yang mendakwa penculik suaminya dan meminta untuk menukar kerusi tersebut dengan nyawa suaminya.

             Tetapi mengikut cerita Ah Pek itu lagi, semuanya tidak dipedulikan oleh Faridah Harum. Baginya, hidupnya adalah untuk menulis. Selagi kerusi itu bersamanya, apa yang penting baginya adalah terus menulis. Menulis dan terus menulis. Hinggalah saat dia mati disembelih dipercayai dilakukan oleh penulis lain yang iri hati dengannya. Ajaib sekali, kerusi itu tidak dicuri. Bahkan tidak diusik. Hanya Faridah Harum yang terdongak ke siling dengan mata yang terbeliak dan mulut yang ternganga menyandar di kerusi itu dengan tangan yang masih mendepa ke depan menyentuh kekunci mesin taip. Dia sudah tidak bernyawa. Hanya darah yang masih menitik ke lantai membentuk satu lopak darah yang sederhana besar apabila pihak polis menjumpai mayatnya. Tubuhnya yang kaku dipenuhi darah dari lehernya yang terkelar dalam.

             “Sebelas ringgit,” kata pelayan gerai tomyam itu kepada Adib dan terus mematikan lamunannya. Dia pun tidak sedar bilakah Zadi memanggil pelayan tersebut. Mentang-mentang aku yang bayar. Dengusnya dalam hati sambil menghulur sekeping not sepuluh dan sekeping not seringgit pada pelayan tersebut.

             “Cepatlah. Kata nak buat projek tu malam ni. Kata tok bomoh, kena buat tepat pukul 12 malam.” Kata Zadi tergesa-gesa. Perutnya diusap-usap sambil melangkah keluar menuju ke kereta. Adib hanya mengikut dari belakang.

             Dalam kereta, kedua-duanya lebih banyak mendiamkan diri. Hanya Zadi yang kedengaran sekali-sekala menyanyi kecil mengikut rentak lagu terkini di radio sambil tangannya memegang stereng kereta. Kereta dipandunya agak laju membelah kesunyian malam.

             “Kalau tak kerana bomoh tu yang suruh tanam. Mahu je aku bakar kerusi ni,” kata Adib memecah kesunyian. Mungkin kerana bosan dengan suara nyanyian Zadi. Kepalanya di toleh ke belakang. Melihat kerusi yang pernah menjadi kesayangannya di tempat duduk belakang,

             “Tak boleh lah macam tu. Dah memang syaratnya kena tanam. Kau dah lupa ke apa tok bomoh tu cakap, kalau dibakar, semangat yang ada kat kerusi tu akan marah dan membuat kacau,” ujar Zadi separuh memberi amaran walaupun dia tahu Adib sudah sedia maklum tentang hal itu.

             Adib hanya mengangguk lemah. Dia memang mengetahui hal tersebut. Dia hanya cuba untuk berbual. Namun sekarang dia sudah tiada minat untuk meneruskan perbualan. Fikirannya lebih tertumpu pada masa lalu. Masa selepas dia membeli kerusi itu dengan harga yang agak mahal. Selepas sesi tawar menawar yang agak tegang, seribu lapan ratus ringgit melayang bagi mendapatkan kerusi tersebut. Namun hatinya puas. Dia tersenyum lebar bila mengangkut kerusi itu keluar dari kedai Ah Pek dan dimasukkkan kedalam kereta Zadi. Dan kereta itu jugalah yang menjadi mangsa untuk membawa kerusi ini ke rumahnya. Dia tersenyum bila memikirkan betapa susahnya dia dan Zadi mengangkat kerusi itu untuk dibawa naik ke flet tingkat empat yang disewanya. Dia tinggal berseorangan, jadi hanya rakan sekerjanya, Zadi yang banyak menolongnya dia jika ada masalah yang timbul.

             Dia masih ingat lagi bagaimana malam-malam minggu pertama dia dan kerusi itu dirasakan sungguh bermakna. Perasaan bagaimana kerusi itu pernah diduduki oleh orang kenamaan cukup mengujakan. Seorang yang terkenal. Seorang yang dipuja masyarakat melayu yang memang meminati cerita-cerita hantu. Seorang yang mati dibunuh. Mati dibunuh? Di kerusi ini? Ah, dia tidak peduli. Dia bukannya budak kecil yang takutkan hantu. Hantu hanyalah momokan orang-orang tua supaya anak-anak tidak keluar malam.

             Dan sangkaannya memang betul. Tidak ada hantu yang keluar dari kerusi itu. Tidak ada makhluk menakutkan yang merangkak keluar. Tidak ada suara yang kedengaran. Kerusi itu juga tidak bergerak sendiri seperti yang dtakut-takutkan oleh Zadi. Malah dia berasa satu perasaan sayang yang luar biasa terhadap kerusi tersebut. Setiap hari apabila balik dari kerja, dia akan terus duduk di kerusi tersebut menonton televisyen. Memang itulah tujuannya membeli sebuah kerusi. Untuk bermalas-malas di depan televisyen.

             Dan dia memang berpuas hati dengan pilihannya. Kerusi itu dirasakan cukup selesa untuk menonton televisyen. Pinggangnya tidak pernah sakit walaupun dia telah duduk berjam-jam di depan televisyen. Bermula dari waktu petang setelah sampai ke rumah dari tempat kerja hinggalah ke tengah malam. Punggungnya sentiasa melekat di kerusi itu. Tidak bergerak-gerak menikmati keasyikan tayangan demi tayangan dalam kotak televisyennya itu. Dia hanya beredar apabila perut sudah lapar benar ataupun untuk membuang air. Seusai membuang air ataupun selepas perut sudah diisi dengan ala kadar, dia kembali ke kerusi, menikmati keempukan kerusi yang dirasakan begitu lembut di punggungnya sambil menyambung menonton tayangan di televisyen.

             Ya, begitulah jadualnya setiap hari. Perkara lain tidak lagi dirasakan menyeronokkan. Malah tidak lagi dirasakan penting. Mungkin sebab itulah hubungan dengan tunangnya semakin renggang. Dia tidak lagi suka diganggu apabila dia sedang menonton televisyen. Panggilan telefon tidak lagi berjawab. Ajakan tunangnya untuk keluar pada hujung minggu tidak lagi dihiraukan. Tidak seronok. Tidak penting. Yang penting hanyalah kerusi dan televisyen kesayangannya. Masuk bulan ke tiga, tunangnya minta untuk di lepaskan. Dia rela. Malah dia gembira. Tiada lagi ajakan-ajakan dihujung minggu. Tiada lagi bunyi-bunyi telefon. Tiada lagi gangguan.

             Dan dia boleh duduk di kerusi itu sambil menonton sepuas-puasnya. Tiada tayangan yang dirasakannya tidak menarik. Semuanya menarik. Filem hollywood, drama tamil, drama cina, soap opera, hindustan, mexico, melayu, cerita hantu, cerita sedih dan cerita apa pun, semuanya ditontonnya. Malah rancangan berbentuk majalah yang tidak disukainya dahulu pun terasa begitu seronok untuk ditonton. Apatah lagi rancangan kanak-kanak. Terkekeh-kekeh dia ketawa seiring dengan aksi kanak-kanak dan puppet yang melompat-lompat di kaca tv. Pendek kata, semua rancangan dia akan tonton termasuklah iklannya sekali.

             Pada awalnya dia akan berhenti menonton menjelang tengah malam. Dia akan tidur di biliknya dan bekerja seperti biasa keesokannya. Kemudian tidak lama selepas itu, dia mula merasakan tarikan yang susah dimengertikan. Susah untuknya berhenti menonton. Setiap rancangan dia rasakan begitu rugi untuk dilepaskan. Jadi dia akan menonton hingga ke dinihari. Kadang-kadang dia akan tertidur di kerusinya itu. Kadang-kadang dia tidak tidur terus. Apabila dirasakan sudah terlalu lambat untuk ke tempat kerja, barulah dia akan terkocoh-kocoh untuk mandi sambil membayangkan rancangan-rancangan televisyen yang bakal ditontonnya apabila balik kerja petang nanti.

             Kawannya Zadi juga terkejut dengan perubahan pada dirinya. Dia makin tidak terurus. Apabila ditanya, sibuk selalu menjadi alasannya. Rambutnya yang tebal kelihatan begitu kusut masai. Bajunya tidak bergosok. Kulitnya pun kelihatan melekit dan berdaki. Mungkin akibat mandi yang tidak sempurna. Dan yang paling menghairankan Zadi ialah dia sekarang seolah-olah menjadi pakar rancangan televisyen. Tanyalah apa-apapun, dia pasti akan memberikan jawapan. Dia seolah-olah menjadi sebuah intisari rancangan yang hidup. Dia juga tidak segan silu untuk memberikan komen tentang rancangan-rancangan televisyen yang ditontonnya. Hero tidak cukup kacak lah. Jalan cerita  tidak cukup bagus lah. Iklan terlalu panjang lah. Dan bermacam-macam komen lagi yang mana Zadi rasakan terlalu pelik.

             Tapi perkara tersebut tidak lama. Adib mula merasakan kerugian yang amat sangat jika masa siangnya dihabiskan dengan bekerja. Alangkah bagus sekiranya masa yang terluang selama 9 jam untuk bekerja itu dimanfaatkan untuk menonton televisyen sambil duduk di kerusi kesayangannya. Dan itulah yang dia lakukan. Walaupun mendapat nasihat yang tak putus dari Zadi dan nasihat dari bosnya supaya berjumpa pakar jiwa atau sekurangnya penasihat kaunseling, dia nekad untuk meletak jawatan. Maka bermulalah kehidupannya sebagai penonton televisyen sepenuh masa. Hanya kerusi itulah peneman setia dikala dia sibuk menancapkan matanya ke kaca tv.

             Dia merasakan dirinya di puncak dunia. Dia sanggup hidup begini selama-lamanya. Hanya bertemankan sebuah kerusi antik dan satu set televisyen. Namun dia merasakan dunianya begitu luas. Begitu bermakna. Dia cukup bahagia sekali.

            Tetapi pada hari itu dia lupa. Pada hari Rabu bulan keenam dia memiliki kerusi itu. Dia bukan sawan, bukan gila, bukan mabuk. Tapi dia lupa. Dia hanya dapat tahu apabila Zadi memberitahunya. Itupun Zadi dapat tahu dari cerita jiran-jirannya. Dia lupa bagaimana pada hari Rabu bulan keenam itu, pintu rumahnya diketuk oleh sekumpulan pendakwah tabligh untuk mengajaknya mendengar ceramah di masjid. Dia juga lupa bagaimana pada hari itu, pintu rumahnya tidak tertutup.

            Dan pada hari itu jugalah dia lupa bagaimana kumpulan pendakwah tabligh itu terkejut besar apabila menjenguk ke dalam rumahnya melihat pemandangan yang begitu mengerikan. Seorang pemuda berjambang yang kurus kering sedang duduk tegak di atas sebuah kerusi antik dikelilingi sampah-sampah dari mee segera, tikus dan lipas di dalam rumah yang gelap dan panas. Matanya merah dan terbeliak sedang merenung kaca televisyen yang kosong. Bekalan elektrik dalam rumah itu nampaknya sudah lama dipotong. Kelihatan dia sedang ketawa terkekeh-kekeh dengan bunyinya yang begitu menyeramkan seolah-olah sedang begitu asyik menonton televisyen. Tidak, dia bukan gila. Dia cuma lupa. Dia lupa bilakah bekalan elektrik dipotong, dia lupa bilakah televisyennya tidak lagi mengeluarkan gambar-gambar dan tayangan. Yang dia ingat, setiap hari dilalui dengan ceria dan gembira menikmati rancangan di televisyen sambil duduk di kerusi kesayangannya.

             “Ok kita dah nak sampai,” kata Zadi memecah lamunan Adib. Kereta yang dipandunya dibelok ke kiri melalui satu lorong kecil yang bersimpang siur dan bebonggol.

             Adib hanya diam. Dia seolah-olah masih lagi asyik memikirkan tentang rentetan peristiwa yang berlaku ke atasnya. “Terima kasih, Zadi,” katanya sambil memandang ke arah Zadi yang sibuk memulas stereng keretanya ke kiri dan ke kanan menyusuri jalan yang berbengkak-bengkok.

             “Kenapa tiba-tiba sentimental pula ni?” pintas Zadi tanpa menoleh.

             “Kerana kau seorang sahaja yang percayakan cerita aku. Kau kawan aku yang pertama datang apabila aku dijumpai separuh gila. Kau yang menghalang mereka membawa aku ke hospital sakit jiwa, malah kau yang bawa aku berjumpa bomoh tu,” ujar Adib. Pandangannya dialihkan ke luar. Deru angin dari jalan yang sunyi itu menerpa ke dalam kereta mereka.

             “Tak payahlah kau fikir sangat. Bukan salah kau. Memang kerusi itu ada satu tarikan yang mistik. Sesiapa yang duduk di atasnya akan mendapat idea, fokus dan obsesi yang luar biasa, bergantung kepada minatnya. Kau sudah lupa apa yang tok bomoh tu cakap?” Zadi cuba menenangkan Adib.

             “Aku tahu, nasib baik aku suka menonton tv, kalau aku suka mengait macamana la agaknya ye? Mesti penuh rumah aku tu dengan baju-baju sejuk dan alas meja. Hahaha!”

             Zadi turut ketawa kecil. Tapi tak lama. Kemudian lehernya dipanjangkan. Kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan, matanya melilau seolah-oleh mencari sesuatu.

             “Aku rasa kita dah sampai ke tempatnya,” kata Zadi sambil menekan brek dan memberhentikan kereta. “Aku ambil peralatan dalam bonet kereta. Kau keluarkan kerusi celaka tu dari tempat duduk belakang.”

             Adib hanya menurut. Dia membuka pintu belakang kereta sambil matanya memerhatikan kawasan jirat cina yang terbiar itu. Tanahnya lapang dan berbukit. Suasana malam tidaklah begitu gelap kerana cahaya bulan penuh masih menyinari kawasan tersebut. Tapi bulu romanya tetap meremang memikirkan hanya dia dan Zadi sahaja yang berada di kawasan terpencil itu ditemani bunyi cengkerik dan burung hantu. Dia menarik kerusi itu perlahan-lahan dan mengeluarkannya dari pintu belakang kereta. Kerusi itu dirasakan begitu berat sekali. Dia hanya mampu mengheret kerusi itu menuju ke arah Zadi yang sedang menggali lubang.

             “Aku gali separuh, kau gali separuh,” kata Zadi tidak lama kemudian. Peluh merembes keluar dari leher, muka dan badannya. Nafasnya tercungap-cungap. Tangannya menghulurkan penyodok tanah kepada Adib dan terus keluar dari lubang seakan telaga sedalam betis itu.

             “Macam dah cukup dalam. Nak gali lagi ke?” kata Adib. Memang lubang itu sudah dikira dalam, tapi yang lebih penting lagi dia berasa begitu malas untuk menggalinya. Terpaksa memegang penyodok dan bermandi peluh. Tapi nampakya dia tiada pilihan.

             “Ala… kau gali la sikit lagi, tok bomoh tu cakap lagi dalam lagi bagus,” Adib mendengus. Tangannya mencucuh rokok sambil duduk di atas kerusi yang akan ditanam bagi merehatkan diri. Nafasnya ditarik panjang dan dihela bersama asap rokok yang berkepul-kepul.

             Adib menyambung operasi menggali. Hatinya menyumpah-nyumpah. Kalau aku tahu sebegini siksa untuk melenyapkan kerusi itu, sepatutnya aku bakar sahaja. Fikirnya dalam hati. Tapi tangan dan kakinya tetap bekerja merejam dan mengorek tanah bagi mendalamkan lubang yang dimulai oleh Zadi.

             Tidak lama kemudian, dia pun memberhentikan proses menggali. Peluh yang merembes di dahi dikesat dengan lengan bajunya. Dia sekarang berada di dalam lubang yang dalamnya hingga ke peha. Dia menghela nafas. Sudah siap. Fikirnya. Zadi mesti diberitahu. Dia sudah tidak larat untuk meneruskannya lagi. Dia mahu menanam kerusi itu dengan secepat mungkin dan cepat-cepat balik. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Kelibat Zadi tidak kelihatan. Dia cuba membuka mulutnya untuk memanggil Zadi apabila tanpa disedarinya, sebuah objek tajam menghentak belakang kepalanya.

             “Aduh!” jeritnya. Kesakitan yang ditanggung bukan main hebat lagi. Otaknya berpinar-pinar. Pandangannya berbalam-balam. Terhangguk-hangguk kepalanya menahan sakit. Darah pekat meleleh keluar dari rekahan di belakang kepalanya. Perasaannya bercampur aduk. Takut, keliru, marah. Namun dia masih lagi mencari-cari rakannya Zadi walaupun bingung dengan apa yang berlaku.

              Dengan badan yang terketar-ketar dan suara yang tersekat-sekat, dia sekali lagi meneran dengan sedaya upaya memanggil rakannya. Segala kudratnya dikeluarkan. Urat lehernya timbul. Perutnya mengeras. Tetapi yang keluar hanyalah bisikan halus separuh merengek separuh merayu.

             “Zadi…”

             “Aku di sini.” Kedengaran satu suara di belakangnya. Itu suara Zadi. Dia kenal benar dengan suara itu. Dia menoleh ke belakang. Dengan mata yang separuh terpejam di bawah sinaran bulan, dia dapat melihat rakannya itu sedang tersenyum sambil menghayunkan penyodok tanah tepat ke dahinya. Pandangannya gelap. Tiada apa yang dapat dilihat. Hanya cecair pekat yang memancut deras dari dahinya yang dapat dirasakannya. Dia terus tersungkur menyembah bumi. Tiada lagi jeritan yang keluar dari mulutnya. Tiada lagi pergerakan. Malah tiada lagi nafas yang keluar dari hidungnya.

            “Maaf, Dib, tetapi kau tak pernah layak memiliki kerusi ini dan kau tak layak menghapuskannya.” Zadi akhirnya bersuara setelah diyakini Adib sudah tidak bernyawa lagi. “Kerusi ini sepatutnya digunakan untuk sesuatu yang menguntungkan, bukannya untuk menonton televisyen bodoh seperti kau.”

             Zadi menolak-nolak mayat Adib dengan kakinya ke dalam lubang. Lubang yang sempit itu hanya muat-muat untuk menempatkan mayat yang merengkok. Zadi terpaksa membetulkan mayat rakannya Adib beberapa kali. Badannya dibongkokkan, kepalanya dirapatkan ke lutut. Berderap bunyi leher mayat tersebut apabila cuba dibengkokkan oleh Zadi. Apabila sudah merasa kedudukannya sesuai. Zadi mula menimbus lubang tersebut semula. Hatinya puas, mulutnya mengukir senyuman.

            Dalam perjalanan pulang, sekali lagi Zadi menoleh ke tempat duduk belakang keretanya. Kerusi yang sepatutnya ditanam malam ini terbaring kaku menjanjikan seribu satu harapan padanya. Dalam kepekatan malam itu sambil memandu kereta ditemani cahaya bulan penuh, kepalanya ligat berfikir akan novel yang akan ditulisnya. Novel seram tentang sebuah kerusi yang akan memberikan kuasa mistik kepada sesiapa yang duduk di atasnya. Dia tahu, novel yang bakal ditulisnya itu sudah tentu tidak menarik, tidak seronok dibaca dan sampah. Tetapi dia juga tahu, novel tersebut bakal menjadi bestseller kerana pertamanya, dia akan menulis sambil duduk di kerusi itu dan keduanya, orang melayu memang suka cerita yang tahyul, karut dan sampah.

             Zadi hanya tersenyum sendiri. Pedal minyaknya ditekan. Keretanya laju membelah kedinginan malam.

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Saspens

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) dh lah aku baca citer ni pukul 2 pg.. terasa keseramannya...setiap plot digarap elok... terbaik ar...
  • 2) sangat menarik citer ni. Saya suka...mistik sebuah kerusi..
  • 3) Terasa macam sedang menonton thriller seram barat.
  • 4) dengki, dendam, busuk hati... ahaha. aku suka cerita ni.

Cerpen-cerpen lain nukilan En_Kerani

Read all stories by En_Kerani