Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

TANAH SUKU EKAR

Cerpen sebelumnya:
My PMS Soulmate
Cerpen selanjutnya:
Adelaine






Emak mertua saya pernah bercerita kisah Mak Munah, satu-satu adiknya yang lari dari rumah kerana enggan berkahwin dengan lelaki pilihan atuk. Sehari sebelum majlis pertunangan Mak Munah akan dilangsungkan, dia menghilangkan diri. Ada orang kampung yang terlihat Mak Munah bersama beg pakaian menaiki sebuah kereta putih menuju arah bandar. Enam bulan selepas itu, atuk mendapat khabar yang Mak Munah telah berkahwin dengan lelaki pilihannya di sempadan Siam. Selepas hampir lima belas tahun akhirnya Mak Munah pulang juga ke rumah atuk bersama tiga orang anak, itu pun selepas suami Mak Munah mati dalam satu kemalangan jalanraya.

Walaupun masih marah dengan perbuatan Mak Munah, atuk tetap mengizinkan Mak Munah tinggal di sebuah rumah kayu di atas tanahnya seluas suku ekar di hujung kampung dan menorah getah di kebun getah atuk yang seluas dua ekar. Di situlah Mak Munah tinggal sambil membesarkan anak-anaknya.

Sebaik atuk meninggal dunia, emak mertua saya mula menuntut kembali tanah yang diduduki oleh mak Munah. Dari situlah bermula perbalahan di antara mak mertua saya dengan Mak Munah,  berebutkan tanah yang seluas suku ekar itu. Malah Mak Munah tidak lagi dibenarkan menoreh di kebun getah peninggalan atuk. Perbalahan ini berterusan sehinggalah Mak Munah pula meninggal dunia.

Tanah yang diduduki oleh Leman inilah yang dituntut oleh keluarga isteri saya terutama emak mertua saya yang begitu bersungguh-sungguh. Perbalahan antara keluarga isteri saya dengan keluarga Leman pasal tanah pusaka telah lama berlarut. Arwah Mak Munah, ibu Leman menduduki tanah seluas suku ekar dari jumlah keseluruhan tanah pusaka yang seluas enam ekar.

 “Tanah yang kamu duduk tu Leman, hak kami.  Arwah atuk kamu dah wasiatkan semua tanah tu pada aku.” Tegas emak mertua saya bila Leman masih berkeras untuk tidak keluar dari tanah yang dipertikaikan itu.

*****

Masih saya ingat, akhirnya untuk mengelak persengkatan yang telah menjadi bual mulut orang kampung dari berterusan, perbalahan ini dibawa ke pengetahuan Tok Sidang. Walaupun saya turut sama dalam perbincangan itu, sebagai menantu, saya hanya mendiamkan diri tanpa masuk campur tangan.

 “Arwah mak pun ada hak ke atas tanah ni Mak Long. Ini tanah pusaka arwah atuk. Mesti dibahagikan mengikut faraid.” Bantah Leman enggan mengalah kepada tuntutan mak mertua saya.

“Faraid apanya? Emak kamu tu anak derhaka. Anak derhaka mana boleh tuntut harta ikut faraid. Dia lari dari rumah untuk kahwin dengan lelaki yang atuk kamu tak suka! Atuk kamu marah dengan perbuatan mak kamu. Faham!” Bentak mak mertua saya sambil terbatuk-batuk.

“Minah, walau pun tiada tertulis apa-apa dalam wasiat ayah kamu. Masa arwah ayah kamu nazak di hospital, dia ada berpesan pada aku supaya satu ekar tanah ni diberikan kepada Munah. Sekarang Munah cuma ambil suku ekar je Itu pun tanah yang hanya penuh dengan pokok-pokok yang tidak memberi hasil. Manakala tanah yang mengandungi pokok durian dan kebun getah tu semua diserahkan kepada kamu.” Sampuk Tok Sidang yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.

“Suku ekar ke, setengah ekar ke. Tanah yang Leman duduk sekarang ni tanah saya, Tok Sidang!” Bantah emak mertua saya yang mula meninggikan suara.

 “Aku cuma nak tunaikan amanat arwah ayah kamu je!” Jawab Tok Sidang.

“Ah.! Tok Sidang pun sama je, entah betul entah ke tidak. Bukan orang kampung ni tak tahu kisah Tok Sidang yang tak jadi bertunang dengan arwah Munah. Pasal tu Tok Sidang tak habis-habis nak membela arwah si Munah ni.” Balas emak mertua saya.

“Kenapa nak ungkit kisah lama. Yang sudah tu sudahlah! Yang paling utama sekarang membahagikan harta pusaka menurut panduan Al-Quran dan As-sunnah adalah suatu kewajipan sebagai amanah daripada Allah. Kamu jangan nak buat hukum sendiri-sendiri. Ini bukan perkara main-main Minah!” Jelas Tok Sidang seolah melepaskan geram.

 Tok Sidang mengeleng-gelengkan kepala seolah-olah kecewa dengan apa yang dikatakan oleh emak mertua saya. Memang bukan rahsia kepada orang kampung, sewaktu muda dahulu, arwah atuk ingin sangat menjodohkan Maki Munah dengan Tok Sidang yang waktu itu belum lagi memegang jawatan Tok Sidang malangnya Mak Munah pula enggan, kemudian lari dari rumah.

“Saya tak kira mak long, apa jadi sekali pun saya tetap akan pertahankan tanah ni. Ini tanah arwah emak saya. Siapa pun tak boleh halau saya keluar dari tanah ni. Teruk nanti saya kerjakan!” Bentak Leman keras sambil keluar meninggalkan rumah Tok Sidang.

 

*****

Beberapa bulan selepas itu emak mertua saya tiba-tiba jatuh sakit. Walau pun selalu berulang alik ke hospital dan pelbagai jenis ubatan yang diberikan doktor dimakan, namun kesihatan emak mertua saya tidak banyak berubah malah semakin merosot. Kerap juga dia dimasukkan ke wad sampai berhari-hari lamanya.

“Emak tu kena anaiya. Siapa lagi kalau bukan si Leman tu!” Dengus isteri saya.

Saya hanya mendiamkan diri, malas melayan kerenah isteri. Beberapa kali kami bergaduh pasal perkara ni. Sejak ibu mertua saya tiba-tiba jatuh sakit dan berulang kali dimasukkan ke hospital, bukan isteri saya sahaja yang percaya emak mertua terkena buatan orang, malah abang-abang dan kakak-kakak ipar saya yang lain juga turut percaya begitu.

Berputus asa dengan kesihatan emak mertua yang kian merosot, anak-anak mertua saya mula memanggil beberapa orang bomoh untuk merawat emak mertua. Pelbagai kaedah rawatan yang telah emak mertua saya lalui. Kena mandi air tanah kuburlah, sembelih ayam hitam, pakai benang tujuh warna di pinggang dan macam perkara yang tak masuk akal.

“Sudahlah tu, tak baik tuduh si Leman macam tu. Banyakkan berdoa minta mak cepat sembuh. Itu yang lebih afdal. Syaitan ini memang suka kalau kita bergaduh dan tuduh menuduh sesama sendiri.” Balas Saya menenangkan isteri.

 “Tuduh apanya! Abang tak ingat tok bomoh yang datang ubat kat emak bulan lepas sendiri yang cakap. Kata dia yang buatkan emak jadi sakit ni bukan orang lain. Orang dekat. Kalau bukan si Leman tu siapa lagi!” Bentak isteri saya.

Saya terbayangkan Leman, usianya hampir mencecah 25 tahun. kulitnya yang putih dengan susuk tubuhnya yang sedikit gempal.  Tutur katanya lembut tapi tegas. Leman anak lelaki tunggal Mak Munah. Dia tinggal bersama dua lagi adik perempuannya di rumah peninggalan arwah emaknya, Mak Munah.

Walaupun Leman dan isteri saya sepupu tapi hubungan mereka agak renggang. Namun antara saya dan Leman baik dan mesra juga. Sering kali apabila ke kampung isteri, kami akan berjumpa. Kadang-kadang kami bersembang panjang di kedai kopi Wak Samad tepi simpang jalan masuk ke kampung. 

                “Sumpah bang! Demi Allah saya tak buat kerja-kerja tak elok tu pada mak long saya sendiri. Apa sekali pun yang berlaku antara saya dengan mak long, dia tetap darah daging saya.” Jelas Leman pada saya.

                Saya Percayakan Leman. Ilmu ugama yang dimiliki Leman tinggi. Selalu juga dia menganti Pak Mohsin yang kerap uzur kebelakangan ini sebagai imam surau kampung itu. Malah Leman cukup disenangi oleh orang kampung atas sikapnya yang ringan tulang membantu orang kampung.

Saya mengingatkan Leman bahawa syaitan telah menjadikan tanah pusaka sebagai alat untuk menjadikan manusia saling bergaduh, memutuskan silaturrahim dan perhubungan darah yang sepatutnya terikat utuh dan kukuh. Perebutan dan pergaduhan adik beradik disebabkan oleh tanah pusaka sudah begitu sinonim dengan masyarakat Melayu. Semuanya kerana harta. Talian persaudaraan menjadi buruk dan boleh terputus kerana perselisihan dan pertengkaran mengenai siapa yang lebih berhak terhadap harta dan tanah pusaka peninggalan orang-orang tua yang sudah pun meninggal dunia.

“Insyaallah bang. Saya ingat Nasihat bang. Setiap malam saya sering bersembahyang tahajud dan isytikarah, meminta Allah menunjukan jalan yang benar. Tak lupa saya berdoa meminta mak long cepat sembuh.” Ujar Leman perlahan.

*****

Tiga minggu terlantar di hospital, akhirnya emak mertua saya mengehembuskan nafas terakhirnya pada pagi Jumaat. Kata jururawat, emak mertua saya meninggal dalam tidur. Tiada seorang ahli keluarga emak mertua saya yang berada di sampingnya waktu dia meninggal.

Sepanjang di dalam kereta sewaktu perjalanan pulang ke kampung, isteri saya tak henti-henti menangis. Anak-anak yang seramai tiga orang hanya mendiamkan diri memahami bahawa mereka telah kehilangan nenek mereka.

“Banyak-banyakkan berdoa. Sedekahkan Al-Fatihah. Kurangkan menangis tu. Kata orang, mereka yang mati pada hari Jumaat akan dijauhkan dari seksaan kubur.” Pujuk saya menenangkan  isteri.

“Ini mesti kerja si Leman tu. Puaslah hati dia sekarang. Entah bomoh mana yang diupah untuk buat mak macam tu sampai mak mati!” Bentak isteri saya sambil menangis teresak-esak.

“Sudah-sudahlah tu menuduh si Leman. Emak tu kan dah tua, biasalah kalau ada penyakit. Doktor pun dah sahkan kematian mak tu kerana penyakit asma.” Balas saya menenangkan isteri.

                Sebaik kami sampai di kampung jenazah emak mertua telah selamat dimandikan dan dikapan oleh orang-orang kampung. Jenazah emak terbaring kaku di ruang tamu. Sebaik semua anak emak mertua saya pulang, jenazah mak mertua saya segera disembahyangkan. Kami memutuskan mengusung sahaja jenazah emak mertua saya ke tanah perkuburan yang hanya jaraknya lebih kurang 500 meter. Kerja mengusung jenazah emak diserahkan kepada anak-anak lelaki, menantu lelaki dan cucu-cucu lelaki emak. Saya antara yang memikul jenazah emak mertua saya.

                Saya bagaikan tidak percaya, dengan enam orang mengusung, jenazah emak mertua saya masih terasa berat. Saya menjeling ke arah ipar-ipar yang sama-sama mengusung jenazah, wajah mereka berkerut bagai memikul sesuatu yang amat berat. Perjalanan terasa begitu jauh dengan usungan terasa kian memberat. Sepanjang perjalanan, kami terpaksa silih berganti memikul usungan.

 Sebaik jenazah tiba di kawasan perkuburan, dua orang abang ipar telah bersedia berada di dalam liang untuk menyambut jenazah emak mertua. Sebaik jenazah disambut dan mahu diletakan di dalam liang lahat, keadaan tiba-tiba menjadi kecoh, dinding liang lahat runtuh. Jenazah emak mertua saya terlepas dari pegangan tangan kedua abang iparku lalu tergolek masuk ke liang lahat diikuti dengan tanah-tanah di sekitar menimbusnya. Jenazah emak mertua saya tertimbus habis. Beberapa orang yang berada di sekeliling turut jatuh termasuk ke dalam liang, Kedua-dua abang ipar saya yang menunggu di dalam liang lahat turut tertimbus di paras pinggang.

Kedua orang ipar saya segera ditarik keluar oleh orang-orang lain yang berada di sekeliling. Leman yang tadinya tdak kelihatan tanpa lengah segera mencapai cangkul, dituruti oleh beberapa orang lelaki lagi untuk mengali semula  jenazah emak mertua saya dari timbunan tanah.

“Dah mati pun masih ada orang dendam pada emak.” Getus isteri saya perlahan menahan rasa sedih dan geram apa lagi bila melihat orang ramai yang hadir mula berbisik-bisik antara satu sama lain sambil pandangannya dilempat tepat ke arah Leman.

“Tak payah gali semula, kita kebumikan terus. Tanah lepas hujan memang lembut, apa lagi ramai orang yang mengelilingi kubur tu. Itu hak dia. Selebihnya kita serahkan kepada Allah Taala. Dia yang maha mengetahui.” Arah Pak Mohsen lembut. Kelihatan beberapa titis air mata mengalir di pipinya.

Segera disempurnakan kubur ibu mertua saya sama seperti kubur-kubur yang lain. Tanpa lengah Pak Mohsen terus sahaja mengambil tempat dan membacakan talkin kemudian diakhiri dengan satu doa yang cukup panjang.

“Cukup-cukuplah menuduh si Leman tu. Abang harap Mar dan adik beradik yang lain ambil iktibar dari semua petanda yang telah Allah pertunjukkan ini. Ingat lagi hadis nabi yang menyatakan, sesiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa hak walaupun sedikit maka dia pasti akan ditenggelamkan dengannya di hari kiamat sehingga ke tujuh lapis bumi. Tak berbaloi berebut tanah pusaka yang akhirnya membawa petaka dan bala bencana serta seksa neraka. Biarlah kita rugi di dunia kerana tidak mendapat warisan harta asalkan kita terselamat daripada seksa dan neraka Allah Taala.” Balas saya perlahan sambil memandang tepat ke arah isteri saya.

Isteri saya mendiamkan diri sambil mengesat air mata yang masih mengalir di pipinya. Saya mencapai tangan isteri saya lalu mengiringnya ke kereta di mana anak-anak sedang menanti. Tiba-tiba isteri saya berhenti kemudian berpaling ke arah Leman yang masih berdoa di kubur ibu mertua saya.

“Bang, saya nak jumpa Leman kejap. Saya nak minta maaf dengan Leman.” Ujar isteri saya bersungguh-sungguh.

Saya mengangguk sambil tersenyum bersyukur.

 

Cerpen sebelumnya:
My PMS Soulmate
Cerpen selanjutnya:
Adelaine

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
5.0
1 Penilai

Info penulis

Sang Penyu

turtle with zero brain
Upenyu | Jadikan Upenyu rakan anda | Hantar Mesej kepada Upenyu

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-Share Alike 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Upenyu
Bisik Angin Teluk Bidara | 3022 bacaan
Di Sayap Kupu-Kupu Terbang | 4564 bacaan
Cerpen Kontot: Rajuk | 2562 bacaan
Kabus Dari Seberang | 3701 bacaan
Gerimis dan Pelangi | 2664 bacaan
Surat Cinta Threasia | 3485 bacaan
Syawal Terakhir | 3922 bacaan
Kerana Zuriat | 21435 bacaan
Perempuan Itu Memang Ingin Pulang | 3764 bacaan
Rintik hujan di Kundasang | 2482 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

9 Komen dalam karya TANAH SUKU EKAR
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik