Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Sebuah Harapan

Cerpen sebelumnya:
Sebab Tu Aku Sayang Ali - Pengakuan Seorang Lelaki
Cerpen selanjutnya:
Gema

Hassan melepaskan pandangannya jauh ke tengah laut. Sama jauhnya dengan fikirannya kini. Laut itulah yang menjadi punca rezeki dia sekeluarga. Laut itulah yang memberi pengalaman pahit dan indah kepadanya selama ini. Laut itulah juga yang menjadi punca pergaduhannya dengan arwah ayah dulu. Dia menghela nafas lemah. Biru air laut itu direnung lagi. Tiada lagi ombak beralun. Tiada lagi deruan mengganas dan tiada lagi ribut taufan melanda. Semuanya seperti hilang ditelan angin. Hanyut dibawa arus ke muara. Sepi.

Pandangannya beralih pula pada susuk tubuh kurus yang leka bersila di bawah pokok rhu. Sungguh asyik lelaki tua itu membaiki pukat. Sudah lusuh benar pukat yang berada di tangannya. Namun pukat ituah yang telah banyak berjasa kepada lelaki itu. Semutar di atas kepala lelaki tua itu juga sudah lusuh. Malah baju yang dipakai juga sudah koyak sana-sini. Hassan senyum. Betapa lelaki tua itu sungguh merendah diri. Padahal semasa datang ke sini tadi, dia melewati rumah lelaki tua itu. Tersergam indah rumah batu besar dengan laman terhias indah dengan pokok bunga dan pokok buah-buahan.

Lelaki itu masih direnung. Asyik sungguh. Tanpa sedar, matanya mula berkaca. Teringat arwah ayahnya yang terlalu inginkan dirinya menjadi menantu pada lelaki tua itu. Namun cita-citanya mengatasi segalanya. Kerja mencari rezeki di laut bukan kehendaknya. Bukan cita-citanya! Dia tahu ayah kecewa bila mengetahui dia menolak keinginan ayah untuk berbesan dengan lelaki tua itu. Bukan dia tidak suka pada anak gadis lelaki tua itu. Bukan dia tidak betah menjadi menantu lelaki tua itu tetapi dia merasakan dirinya belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang suami di kala usia baru mencecah awal dua puluh tahun. Jiwanya memberontak. Hatinya menggelodak. Teman satu sekolah yang lain yang sama-sama belajar dan tamat tingkatan lima semuanya sudah ke menara gading. Kerana terlalu kecewa, ayah diserang penyakit jantung. Dua minggu ayah terlantar di hospital. Namun itu semua tidak melemahkan dia untuk mencapai cita-citanya yang sebenar. Genap sebulan, ayah dijemput Ilahi. Ibu pula tidak dapat menerima kenyataan. Ibu mula menderita sakit dan demam yang teruk sehingga memaksa dia menangguhkan pengajiannya di Kuala Lumpur. Kesihatan ibu bertambah baik namun Allah lebih sayangkannya. Ibu juga mengikut jejak ayah menemui Ilahi. Hassan pasrah.

Hassan tunduk sambil meraup muka. Kenangan lalu masih menerjah benaknya. Dia mendongak semula ke tengah laut. Perahu dan bot tersadai di tepi pantai. Bau hanyir ikan begitu menusuk. Bau itulah juga yang menjadi teman setianya sepanjang dia membantu arwah ayah menangkap ikan dulu. Sekali lagi Hassan melepaskan sebuah keluhan yang panjang.

"Assalamualaikum!"

Hassan berpaling. Rupanya lelaki tua itu sudah tercegat di sebelahnya sambil melemparkan sebuah senyuman manis.

"Wa'alaikumussalam...err..pakcik.." Hassan cepat-cepat bangun dan mula bersalam.

"Anak ni...Hassan kan? Anak Osman?"

Hassan angguk. Wajahnya sudah kemerahan. Dia malu sebenarnya bila mengingati kembali saat dia menolak untuk berkahwin dengan anak gadis lelaki tua itu.

"Bila sampai? Seingat pakcik..sudah hampir sepuluh tahun Hassan tak balik kampung.."

"Ya pakcik..pakcik apa khabar? Makcik sihat ke?" Suara Hassan tersekat-sekat.

"Macam nilah...makcik pula sudah dua tahun meninggal."

Hassan diam dan tunduk. Dia semakin rasa bersalah. Dulu makcik Timah selalu memujinya dan terlalu ingin mengambilnya sebagai menantu. Mungkin sebab itu jugalah makcik Timah memendam rasa.

"Jemputlah datang rumah! Malam nanti pakcik ada buat kenduri sikit. Majlis pertunangan anak pakcik."

Hassan cepat-cepat mendongak semula. Majlis pertunangan? Siapa?

"Err...insyaAllah pakcik.." Hassan menyambut salam lelaki tua itu sebelum lelaki tua itu berlalu pergi.

Lelaki tua itu dipandang lama. Jelas kelihatan di wajahnya satu riak yang cukup bermakna bagi seorang ayah yang ingin mendapat menantu. Ah! Apakah aku yang terlambat? Perlahan Hassan melangkah ke gigi pantai. Air laut yang menyimbah kakinya dibiarkan saja. Basah habis kasut yang dipakai. Biarlah. Jiwanya kini yang basah dan lencun.

 

*******

 

Kelihatan ramai tetamu yang datang. Semuanya dengan wajah ceria dan berseri-seri. Hassan pula hanya memandang dari luar laman rumah batu itu. Terasa berat kakinya untuk melangkah ke laman apatah lagi ke dalam rumah itu. Baju Melayu dan samping yang dipakai dibetulkan sedikit. Songkok di atas kepala dikemaskan serapi mungkin agar rambut tidak berjuntai keluar dari celah songkok. Perlahan dia mengatur langkah ke arah orang ramai yang sudah mula memenuhi ruang tamu.

Pandangannya tertancap pada seorang gadis yang cantik berbaju kurung putih dan bertudung putih dengan manik-manik bersinar menghiasi tepi tudungnya. Sungguh ayu. Dia mula mengambil tempat di bahagian belakang. Matanya tidak lekang dari melihat gadis itu yang tersenyum simpul di penjuru dinding bersama tetamu perempuan yang lain. Dia mula melihat sekitar ruang tamu. Masih tidak kelihatan orang yang ingin ditemuinya.

"Ha..Hassan..kenapa duduk kat sini. masuklah ke dalam lagi."

Hassan agak terkejut bila disentuh bahunya oleh seseorang. Wajah yang sudah lama tidak berjumpa. Lelaki itu segak berbaju Melayu putih dan bersamping songket kuning air.

"Omar ke ni?"

"Yalah..akulah! Takkan dah tak kenal!" Omar memeluk Hassan yang terpinga-pinga.

"Maaf..aku tak perasan tadi. Kau sudah lain benar sekarang ni. Kacak! Dulu kau gempal.." Hassan tersenyum. Omar rakan sekampung dan sekelas dengannya.

"Tak apa...kau apa khabar? Terima kasih kerana datang majlis aku ni.."

Sekali lagi Hassan terkejut. "Err...jadi kaulah yang bakal bertunang?"

Omar angguk. Dia pandang ke arah gadis berbaju kurung putih. Senyumannya semakin lebar.

"Tahniah..akhirnya cinta hati kau dapat juga kau miliki.." Hassan peluk semula Omar. Dia tahu sejak zaman sekolah lagi, Omar menaruh hati pada gadis itu. Gadis yang dulunya ingin dijodohkan dengannya. Kini dia pasti kepulangannya tidak lagi bermakna.

"Terima kasih..eh, kau macam mana?"

"Macam mana apa?"

"Yalah..kesian Hani...dia tunggu kau bertahun-tahun. Kau pula buat tak tahu saja." Omar menepuk bahu Hassan.

Hassan mula tercengang. Bingung. Hani?? Siapa pula Hani??

"Err..siapa Hani?" terkebil-kebil Hassan memandang Omar. Tidak faham dengan soalan yang dilontar sebenatr tadi.

"La..kakak tunang aku la! Hana!" Omar ketawa kecil. Pelik dengan sikap Hassan.

"Maksud kau..." Hassan masih keliru.

Omar senyum. Soalan Hassan tidak dijawab. Majlis akan bermula seketika lagi. Ibu Omar mula mendekati gadis ayu itu yang bersimpuh lembut di atas bantal besar. Sebentuk cincin disarung ke ajri manis gadis itu. Lama Hassan merenung wajah gadis itu. Masih keliru. Setahunya gadis itulah yang ingin dijodohkan dengannya dulu. Arwah ayah beria benar ingin mengambil gadis itu sebagai menantu perempuannya. Pandangan Hassan masih pada seraut wajah ayu itu. Kelihatan gadis itu mula mengucup lembut tangan bakal ibu mertuanya.

"Alhamdulillah...insyaAllah enam bulan lagi, majlis nikah akan dilangsungkan." Ayah Hana mula menutur kata.

Omar pula sudah senyum ke langit tingginya. Hana sudah separuh dalam genggamannya. Dia mula menarik tangan Hassan ke satu sudut di ruang tamu itu.

"Apa kau nak buat ni Omar?" Hassan terpinga-pinga bila ditarik begitu.

"Tuh!" Omar menuding ke arah seorang gadis dari celah jendela yang terkuak luas. Langsir diselak sedikit.

"Apa?"

"Kau ni! Tuh! tengok betul-betul!" Omar meluku kepala Hassan.

Hassan cuba mencari objek yang dituding Omar tadi. Dia hanya nampak seorang gadis berbaju kurung merah dan bertudung putih sedang sibuk melayan tetamu dan sesekali mengemas meja makan. Hanya belakang badannya saja yang kelihatan.

"Siapa?"

"La kau ni pun! Tu la Hani!"

"Hani? Maksudnya Hana dan Hani..." Kata-kata Hassan terhenti di situ bila terpandang gadis yang dimaksudkan Omar sudah berpaling ke arah mereka.

"Ya! Mereka kembar seiras!" Omar senyum.

Hassan terdiam. Selama ini dia salah faham. Dia melemparkan pandangannya pada gadis itu sekali lagi. Gadis itu sudah tersenyum kepadanya. Kaku tidak berganjak. Pinggan di tangannya juga kaku. Seolah sebuah patung bernyawa yang tidak bergerak. Hanya senyuman terukir di bibir gadis itu.

Kini harapannya kembali cerah. Ayah...kehendak ayah akan Hassan tunaikan.

Cerpen sebelumnya:
Sebab Tu Aku Sayang Ali - Pengakuan Seorang Lelaki
Cerpen selanjutnya:
Gema

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
Penilai

Info penulis

ciksal

Hidup biarlah berlandasan..
ciksal | Jadikan ciksal rakan anda | Hantar Mesej kepada ciksal

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ciksal
Suku Suku | 9020 bacaan
Aku Tak Nak Mati Lagi! | 9442 bacaan
Dan Ku Cari Kamu | 2553 bacaan
Kau Jodohku | 4588 bacaan
Mencari Jalan Pulang | 3754 bacaan
Kerana Biji Gajus | 3370 bacaan
Begitukah? | 2649 bacaan
Dendam Hani | 10029 bacaan
It\\\'s Too Late To Apologise | 2843 bacaan
Amin, Sengkenit dan Sengkatik | 2210 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

0 Komen dalam karya Sebuah Harapan
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik