Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Gema

  • 0
  • Adika
  • 11 years ago
  • 3,383
  • FREE

 

            Mindanya bagai dibawa masuk ke satu ozon baru yang membuatkannya terus kaku, Sesekali dia meracau sendirian di hadapan cermin. Manik-manik peluh berjejeran dan nafasnya bagai memberat. Titis-titis manik jernih yang bercucuran bagai diresap jambang liarnya. Adakah lorong kisah silam menjadi laluan mindanya?  Entah bila mulai dia berkelakuan begitu tidak diketahui dan dia kekal begitu hinggalah ke hari ini. Matanya mulai mengecil pada ketika dia kaku sendirian di hadapan cermin. Seboleh-bolehnya dia meletakkan sepenuh tumpuan pada cermin berkabut. Entah apa yang dilihat sebenarnya?

            Dirinya kini diangkat ke satu fasa baru kehidupan. Entah pelabuhan mana yang dituju kali ini tidak dapat dipastikan. Di dalam dunia ini, dia sebenarnya mengetahui arah dan insan yang  ditunggu-tunggu. Kerana itulah dia sanggup berkuyup di hadapan cermin. Susuk kenangan mulai membentuk melalui kepul-kepul udara ringan yang tidak dapat dipegang biarpun tangannya yakin seolah-oleh dapat menyentuh dan merasa. Dia menggosok-gosokkan tangannya sambil membiarkan matanya berair menunggu tanpa berkelip. Dia menunggu seboleh mungkin, sehinggalah latar kenangannya membentuk inci-inci memori bergabung dengannya sebagai relung fantasi yang tidak terjangkau realiti.

            Ketika ini mutiara matanya terbeliak memerhatikan watak yang sudah nyata terbentuk melalui benih memorinya. Watak itu kemudiannya sengaja diretak-retakkan dalam diam. Susuk tubuh berjaket memakai topeng putih dan hitam kembali ke zarah asalnya dalam bau darah yang meloyakan. Watak itu serta-merta hilang setelah terasa bahunya disentuh hangat sepasang tangan mahligai yang begitu ditagihnya. Dia merayapi kenangannya biarpun ia hanya mengigal dalam memorinya. Kembali dia menghidu haruman kasturi tak berbagi.

            Dia mengukir senyuman kemenangan setelah watak itu hilang dan mata akalnya kembali menatap Maria. Seluruh wajahnya digomol oleh pandangan mata Maria penuh kerinduan. Seluruh rawannya diserahkan semahu-mahunya selagi ada waktu mereka bertemu. Merpati dua sejoli yang saling melengkapi di antara dua jiwa. Sama-sama tamat pengajian di universiti dan bekerja sebagai penganalisis ekonomi. Kedua-duanya sama meningkat naik dan membezakan mereka ialah relung realiti dan fantasi. Dia mentafsir latar memori ini tidak ubah seperti zamannya di sekolah dulu. Mereka berkhidmat sebagai pengawas pusat sumber yang tidak pernah lari dari kesetiaan terhadap masa. Langit yang sudah tercalit warna senja bagai memayungi tubuh dia dan Maria setelah pulang dari tugas di perpustakaan.

            Di tangga pejalan kaki itu, mereka duduk bersebelahan sambil dia memerhati Maria yang lengkap berseragam sekolah. Sudah lama dia tidak menemui Maria dalam keadaan sebegitu rupa. Tangan Maria betah menyelak novel dari satu muka ke satu muka surat yang lain. Dia tidak berani membuka bicara. Bola mata Maria masih lagi serius bagai tidak mahu sebarang gangguan. Atau mungkin Maria merajuk pada dirinya? Atau sayangnya sudah beralih arah? Dia menunggu jawapan yang pasti. Cuping telinganya kemudian terdengar bisik gema yang perlahan namun jelas. Maria masih lagi tegas seperti tadi, langsung tiada sekelumit pergerakan dari bibirnya.

            “Mengapa lama tak datang jumpa? Adakah hidup kau sudah tenang sekarang? engkau lupakan aku kerana kau roh berjasad manakala aku bukan seperti kemahuanmu?” Maria kemudiannya memerhatikan jam di tangannya dan berpaling melihat dia yang menggigil ketakutan.

            ‘Maafkan aku, Maria. Aku perlukan kau sampai bila-bila. Di dunia ini saja aku dapat temui kau. Aku sangat rindu pada kenangan kita’ Dia merenung Maria semula dan sebaris senyuman dikuntumkan seikhlas mungkin bersama gema suara yang tidak terucap dari bibir.

            “Mengapa awak sanggup tunggu saya? Patutnya awak balik. Tak payah risaukan saya., sekejap lagi ayah sampailah” Maria bercakap sambil melihat jam di tangannya./ Kali ini bicara itu keluar jelas setiap butir. Suara yang menjemput debar. Suara wanita yang lemah-lembut namun penuh ketegasan.

            Soalan itu membuatkannya terdiam seribu bahasa. Mana mungkin dia sanggup melepaskan orang yang disayanginya bersendirian. Setiap rasa cinta itu perlukan tanggung jawab. Dia merasakan dirinya bertanggung jawab memayungi keselamatan Maria. Kutu-kutu rayau sekolah masih lagi duduk melepak di perhentian bas. Itu af’al mereka. Dia memerhati mereka dengan pandangan mata yang menyinga. Setiap satunya terakam di minda bawah sedar.

            “Tak apalah. Saya tunggu dengan awak. Jangan lupa awak tu orang perempuan!” Dia menarik nafas dalam bagi memulihkan semangat dan ingatannya terhadap memori pertama mereka berkenalan di bangku sekolah rendah. Mereka terlalu muda ketika itu. Cintanya ketika itu ditenggelamkan atas dasar persahabatan. Tiada perkataan cinta apatah lagi kasih kekasih. Dia kembali menelusuri wajah Maria yang kelihatan kasihan terhadap dirinya.

            “Awak baik pada saya, walaupun saya ni baru muncul semula dalam hidup awak setelah sekian lama hilang” Maria menyulam lembut kata-kata dan menutup novelnya lantas meletakkannya di sisi fail.

            ‘Tak mungkin, bukan kerana saya baik tapi saya dah lama menunggu. Menunggu dan menolak semua hemburan masalah yang datang. Perempuan umpama masalah tapi awak lain’ kali ini dia bermonolog sendirian dan mengambil novel yang diletakkan bersebelahannya.

            “Awak dah baca novel Epilog Cinta ni?” Maria merenungnya yang sudah tersenyum kemudian dia mengangguk sebelum mengelus anak rambutnya ke belakang. Novel itu digenggam erat.

            “Kasih itu umpama pelangi, cantik dipandang tapi tidak dapat dipegang” dia menyebut bait-bait kata itu penuh penakulan makna dan menyambar segenap ruang yang dimilikinya ketika ini. Fahaman romantisisme yang akan membawanya di setiap ceruk emosi kewanitaan Maria.

            ‘”Tapi bagi saya, cinta awak umpama dewi yang bercahaya dan menikam sukma. Terasa lebih indah menjadi rahsia diri” Maria menyelesaikan bait-bait kata dengan nada mendatar. Tiada pula terlihat cebisan-cebisan melo cinta yang menggemersik ketika butir perkataan itu terucap. Dia mati dalam ruang emosi yang tertancap.

            ‘Tolonglah Maria. Saya dah gagal dalam realiti, kerana itu saya buka relung masa ni untuk awak faham. Dulu saya memang gagal’ Dia berteriak pada saat manik-manik hujan mulai terurai dari dada langit dan dari celah bocoran genting menitis mencorak baju ungu pengawas mentompokkan kebasahan. Gema itu terlalu kasar dan mencerna setiap ruang di situ.

            ‘Janganlah percaya! Dengar dan ikut perintah saya. Gema ini satu kebenaran yang awak perlukan. Sebagai tanda ketenangan dalam sesuatu yang berbeza’ gema suara Maria menegaskan tanpa perlu menguntumkan sebarang bunyi. Dia akan melaksanakan impiannya. Maria sudah dihadapan mata namun emosi yang tidak tertahan memaksanya memejamkan matanya rapat dan melancarkan pernafasan yang mengombak di dada.

            ‘Saya mencintai awak, Maria. Jujur, mengenali awak seperti kita tidak pernah kenal. Ada satu kuasa yang membawa saya ke mari. Engkau sendiri Maria!’ emosinya sahaja yang mengeluarkan perkataan melalui fasa pemikiran. Saraf pemikirannya tidak pula dikeluarkan melalui ucapan lisan. Maria tidak mengerti apa-apa.

            Dia masih lagi memerhati Maria yang sedang berdiri di kanannya untuk berjalan ke hadapan. Dia langsung tidak menghalang namun tidak pula dia merasakan satu kekosongan. Demi janji-janji yang dibuat, dia perlu menjaga Maria dengan nyawanya sendiri. Kakinya melangkah ke hadapan tetapi suara-suara kasar bergema dari belakang menyebabkannya tertoleh-toleh ke belakang. Maria akhirnya hilang ditelan kegelapan yang dicipta melalui fikirannya sendiri. Dia hilang dalam kemelut rindunya.

            Gema-gema yang meningkah dari pelbagai sudut ruang emosi muncul dari fikiran bawah sedarnya. Spektrum cahaya yang berhimpit-himpit menyaksikan seluruh cahaya memasuki ruang gelap yang menelan Maria. Suara ketawa semakin kuat bagai memecah gegandang telinga. Apakah yang wujud di balik ruang gelap itu?  Warna tubuhnya mulai berpusar-pusar menjadikan nafasnya sesak. Ruang udara yang kian sempit membawanya terus menuju ke satu destinasi tidak bernama dan entah di mana. Dalam wadah pencarian seorang Maria.

            Dia melihat lapangan putih yang kemudiannya menjadi jisim-jisim mulai terbentuk mengikut arah pemikirannya. Insan-insan yang selama ini menjadi rakan sekerjanya mula memenuhi ruang lapangan. Objek-objek seperti meja pejabat, komputer, dan pendingin hawa kemudiannya bagai zarah-zarah yang saling terikat dan nampak nyata. Bunyi tepukan benar-benar menggusarkannya. Tangannya diletakkan di telinganya kerana bunyi bingit yang memenuhi ruang membuatkan dadanya berombak pantas apatah lagi dia mengenang kembali peristiwa itu. Ini peristiwa berdarah yang menjadikannya kalah dalam medan kerjaya. Dia perlu keluar dari lapangan ini.

            “Tahniah Maria! Awak dah berjaya dalam menaikkan lagi kejayaan syarikat kita! Awak dah dinaikkan pangkat!” terdengar satu suara di sebalik keriuhan orang ramai. Suara lembaga syarikat yang meraikan Maria bagai menghiris jiwa malah keegoannya. Dia melihat dadanya tika merasa satu luka sudahpun berguris lalu membentuk parut yang tidak diketahui bila datangnya. Dia tak pernah ingat tentangnya.

            Gema-gema kasar menyentak pemikirannya ketika ini. Bola matanya mengikuti susuk tubuh menyerupai dirinya yang kemas berpakaian formal sedang melempar fail kerjanya ke dalam sebuah kotak. Buku-buku di atas meja diselerakkan malah sebuah kalender meja dicampak kasar ke dalam kotak yang sudah tersedia di atas meja.

            “Aku akan bunuh kau Maria!” Terdengar gema kasarnya saling bertarung dengan bunyi tepukan malah teriakan rakan-rakannya yang memuji Maria di atas kejayaannya begitu hipoktrit. Dia yang melihat suara kasar di sebalik dirinya yang dulu benar-benar meruntun jiwanya.

            ‘Aku takkan bunuh Maria apatah lagi dia!’ suaranya bergema di halkum sambil matanya meratah pandangan terhadap dirinya sendiri lalu berjalan tidak terntu hala lalu setelah menemui jalan buntu.

            Dia berhenti berjalan mundar-mandir dan kembali menyusuri pandangan dengan dirinya yang lama dengan rasa terkejut. Mukanya yang kusam dan berselirat dengan jambang mempamerkan masalah yang teramat dahsyat. Dia tidak akan percaya!

Rasa benci menyaluti setiap darah dan nadinya. Setiap individu yang bersalaman dengan Maria langsung tidak diendahkannya. Dia bagaikan bayang-bayang halus milik setiap individu terus melangkah ke arah dirinya yang lama dan melepaskan tumbukan sebaik sampai di hadapannya. Buah pukulnya langsung tidak tepat malahan membuatkannya jatuh terlentang di hadapan dirinya yang lama. Dia malu sendiri. Maria yang tersenyum disangkakan tersenyum kepada dirinya. Dia cuba menggapai wajah Maria namun dirinya bagai tidak wujud manakala wujudnya babak itu seolah-olah wayang yang dimainkan secara paksaan.

‘Aku minta maaf pada kau’ suara gema kedengaran semula pada saat dia terduduk memerhatikan dua pandangan keruh yang saling berpandangan. Dia menggeleng-geleng menidakkan suara itu.

‘Engkau tak salah sebab rezeki itu milik kau!’ Dia menyatakan perkara itu di dalam gema yang penuh dengan esak tangis. Dia memerhatikan dirinya yang lampau menuding  jari ke arah Maria dengan pandangan yang memebengis. Dia sendiri menggigil memerhatikan dirinya yang lama. Asbab yang tidak diketahui. Apakah yang melanda kejiwaannya ketika itu?

“Aku dah dapat kerja ni. Itu pun disebabkan bantuan kau! Aku tak pernah menipu untuk dapatkan tempat ni! Ya, memang rezeki aku!” Maria membalas selumbar yang mencucuk dirinya dengan racun yang menyakitkan. Dia merasakan dadanya menjadi sakit dan tangannya bertambah berat. Dia tidak mampu bergerak ketika itu. Cukup sekadar pemerhati.

“Engkau khianat aku, kau tukar kerja aku dengan rekod yang tak masuk akal? Apa salah aku?” Dia merendahkan bicaranya dengan harapan Maria akan ingat siapakah dirinya yang sebenar. Matanya terbeliak membalas jelingan seluruh rakan sekerjanya. Kakitangan umpama pepijat kecil yang menggatalkannya. Menghisap darah tak tentu pasal.

‘Percayalah yang aku takkan sanggup rosakkan masa depan kau/’ dia yang masih terduduk tidak mampu bergerak mahupun membalas gema yang kedengaran.

‘Aku cuba nak terangkan tapi apa yang kau dah buat…’ suara gema kedengaran lagi tapi gemanya kian menipis dan menghilang sebaik angin yang membawa tubuhnya ke belakang dan spektrum-spektrum cahaya saling berlanggaran dan kembali ditelan ke dalam lubang gelap kecuali dirinya, dia yang lama dan Maria yang masih seperti tadi.  Udara yang kian tegang dan marak dengan nadi amarah.

‘Disinilah segalanya bermula, cubalah kau perhatikan lelaki yang memakai topeng separuh putih dan separuh hitam.. halang dia’ bisikan itu membuatkan dirinya diselubungi satu kuasa yang tiada batasan. Dia diam dan membataskan tenaganya semampu mungkin sehinggalah dia terlihat lelaki bertopeng mengeluarkan sebilah pisau panjang sambil menunggu di tempat parkir yang dibina berdasarkan ingatan bawah sedarnya.

‘ Nak halang apa? Bagaimana nak aku halang? Dia pegang pisau untuk apa?’ suara-suara halus dari fikirannya yang berbelah bagi bagai merenjat keseluruhan kudratnya.

‘Beberapa minit lagi akan muncul diriku... selamatkan aku dari pembunuh itu’ Maria mengingatkannya dari gema-gema yang kedengaran. Dia memandang ke sekeliling tempat parkir pejabat yang dibina serupa seperti mana realiti.

Bagai dirasuk roh jahat, dia akur kepada suara gema Maria yang menyuruhnya membela dan menyelamatkannya. Mungkinkah dia sudah terlambat? Bunyi pembuka kunci kereta automatik kedengaran dari arah hadapan lalaki yang bertopeng. Manakala lelaki yang bertopeng itu sudah bersedia bersama sebilah pisau panjang yang menanti mangsa sulungnya. Dia mengejar Maria dan berada di hadapan Maria sewaktu bilah pisau itu merodok batang tubuhnya. Darah merah melimpah membasahi tubuh. Bukan tubuhnya tapi Maria sudah jatuh terjelepuk ke lantai. Dirinya langsung tidak terusik.

Dia melihat sendiri sakitnya sakaratul maut yang menimpa Maria. Kesakitan akibat sakitnya mati apatah lagi tangkai nyawa yang dicabut secara paksaan. Dia meraung sebaik sahaja melihat mata kekasihnya yang terbuntang kerana nyawa yang diragut dalam seksa. Dia merintih sendirian dalam sedu. Bunyi tawa kedengaran di hadapannya. Lelaki itu mengelap darah merah yang melekit di tangan pembunuhnya ke topeng putihnya yang kini bercampur dengan lendir merah.

‘Engkau dah bunuh Maria. Sekarang kau pula yang patut mati!’ Suara garaunya memecah kesunyian malam. Malam berdarah yang menyaksikan nyawa kekasih diragut.

Dia yang sudahpun bangun mengangkat bilah pisau tajam yang terbenam pada tubuh Maria. Manakala lelaki bertopeng itu juga mengeluarkan sepucuk pistol Smith&Wesson dan menarik picu pistol. Belumpun sempat picu pistol ditarik, dia telah menolak lelaki bertopeng itu jatuh di hadapan bonet kereta manakala pistol dari tangan lelaki tersebut menggelungsur ke lantai.

Lelaki bertopeng itu tidak bersuara selain merengus pada saat mata pisau ditoreh ke dadanya. Darahnya mengalir dan dia juga turut merengus sama hinggalah dadanya turut merasa sakit yang sama. Semakin lama ditoreh dada lalaki bertopeng itu, semakin dia merasa sakit. Lelaki bertopeng itu ketawa bagai tiada kesakitan lagi yang dirasai. Dendam yang selama ini disimpan telah terlaksana. Dia tidak kisah berdarah dan luka itu tidaklah sedalam kesakitannya selama ini.

Dia membuka topeng lelaki itu dan melihat susuk dirinya sendiri sedang menangis teresak-esak. Sekejap ketawa dan kemudiannya menangis semula. Perasaan berbaur-baur menghentikan pemikiran warasnya. Dia mengucap seboleh-bolehnya. Dan melepaskan rentapan kasar pada kolar jaket dirinya yang bertopeng.

“Engkau bunuh Maria?” dia menggigil tidak percaya. Pemuda bertopeng tadi bangun dan melepaskan sepakan ke sisi tubuhnya hinggalah dia menundukkan badan menahan kesakitan akibat sepakan deras yang dialami.

“Bukan aku yang bunuh, kita yang bunuh!” pembunuh Maria tadi meracau tak tentu hala. Dia tidak bersetuju jika dikatakan dirinya yang patut dipersalahkan.

“Kita sama-sama berdendam dan dia patut dihukum” pembunuh Maria mengingatkannya tentang apa yang telah terjadi.

“Aku dah tak berdendam… aku lepaskan dia dan kau pun patut lepaskan aku?” dia merayu dan menarik hujung seluar pembunuh bertopeng. Pembunuh tadi melemparkan topengnya ke tepi dan membuka jaketnya. Luka tadi diseka dengan jaketnya yang kini dibasahi darah. Dia turut membuka baju kemejanya demi melihat dadanya yang sudah bergaris parut tapi tidaklah berdarah seperti mana yang terjadi kepada pembunuh bertopeng.

Pembunuh Maria tadi segera menggapai pisau yang terdapat pada bonet hadapan kereta dan mengahampirinya dengan perlahan. Tiga kali tusukan pisau menyebabkan dirinya menggigil dan jatuh menongkat tubuhnya dengan lutut. Tangisnya mengalir deras disamping kesakitan yang tidak pernah terlepas dari mimpi-mimpi gemanya. Azan subuh memanggil hamba-Nya bersama-sama sujud kepada kekuasaan Allah. Dia menteriak nama Allah sambil menahan sakitnya.

Ketika pesakit kejiwaan lain sedang enak tidur, dia sudah pun terjaga dalam tangisan serta teriakannya menyambut azan subuh yang menuntut hamba-hambanya menunaikan solat fardu sebagai hak seorang mukmin. Suntikan tunggal setiap pagi sudah menjadi rasmi bagi dirinya. Biarpun terlepas dari hukum mati mandatori. Tidak pernah sekalipun rasa bersalah itu luput selepas matinya Maria di balik gema-gema yang menjemputnya saban keheningan subuh.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Saspens

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan Adika

Read all stories by Adika