Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Akankah Mungkin....

 

Ketenangan….aku gemar ke taman untuk mencari ketenangan fikiranku kerana di situ aku dapat lari dari segala kesibukan kerja. Sedang aku memerhatikan suasana kehijauan taman itu, tiba-tiba aku melihat sekeping keratan akhbar berterbangan ditiup angin dan akhirnya jatuh di sisi ku. Aku membacanya..

Manusia dilahirkan dengan satu tujuan

Khalifah di muka bumi

Cuma yang membezakannya

Adalah takdir perjalanan hidupnya.

Dibalik cermin sompek itu

Aku melihat seorang perempuan

Kelihatannya penuh rasa bersalah

Dan penuh rasa kerinduan

Ada apa dengan dirinya? Membiarkan diri diselubungi dengan rasa itu

Itulah yang dicarinya dari insan bergelar bapa

Bapa yang telah banyak berkorban

Namun pengorbanannya sia-sia belaka

Dek kerana anak yang tidak menghargainya

Kini…Cuma kerinduan dan rasa bersalah yang menemani

Kerana apa?

Kerana dia…bapa

Kini berada di alam yang satu lagi….

Keratan akhbar yang memaparkan sajak itu kulipat dan kusimpan. Entah mengapa, sajak itu benar-benar menyentuh kalbuku. Sejenak ingatan terhadap seorang lelaki yang telah melunaskan tanggungjawab menyara anak dan isteri singgah difikiranku. Ayah telah banyak berkorban demi untuk kesenangan anak-anak dan isterinya. Ayah tidak pernah jemu membanting tulang empat keratnya setiap hari untuk mencari sumber kewangan. Dan berkat usaha ayah dan juga doa ibu akhirnya kehidupan keluarga menjadi sedikit senang.

Usia ayah menjangkau 70, namun tubuhnya masih kuat. Dia mampu menunggang basikal ke kedai yang jauhnya lebih kurang 2 kilometer bagi membeli barang keperluan.  Sejak kematian ibu yang sering berdamping dan memberi semangat kepada ayah 5 tahun lalu, kini ayah bersendirian di kampung. Lantaran itu, kami adik-beradik yang kesemuanya 4 orang bergilir-gilir menjenguk ayah di kampung.

Kami semua sudah punya kerjaya dan adik-beradik aku yang lain sudah punya keluarga dan tinggal jauh dari kampung halaman. Sebagai anak perempuan bongsu dan belum berkahwin, aku diberikan tanggungjawab yang lebih oleh adik-beradik yang lain untuk sering pulang ke kampung dan menjenguk ayah serta memastikan semua keperluannya lengkap kerana adik-beradikku sibuk menguruskan hal keluarga mereka.

Setiap kali aku menjenguknya, setiap kali itulah aku mempelawa dia tinggal bersama aku di Kuala Lumpur kerana ini akan memudahkanku dan aku tidak perlu sering pulang ke kampung untuk mejenguknya. Aku tidak bermaksud untuk merungut atau berkira, tapi kadang kala aku seperti terkejar kejar untuk menguruskan kerja semata mata untuk pulang ke kampung.

 “Tak apalah….lain kali aja!...” jawab ayah. Itu juga lah jawapan ayah apabila adik-beradikku yang lain memujuknya.

Bagaimanapun sesekali ayah mengalah dan menuruti kehendak kami. Namun baru sehari dua berada di rumah anak-anaknya, dia minta dihantar pulang. Ada-ada saja alasan yang diberi…!

 

_

            Suatu hari, ayah mengikut aku ke Kuala Lumpur. Kebetulan sekolah masih bercuti, dan bila aku hendak pergi bekerja aku akan menghantar ayah ke rumah abang sulungku supaya ayah tidak keseorangan di rumah. Seronoklah cucu-cucunya bergurau senda dengan atuknya.

            Masuk hari keempat, dia merayu kepada aku supaya menghantarnya pulang ke kampung. Seperti biasa ada saja alasan tak logik yang diberikan. Risaukan kambinglah, ayamlah.

            “ Saya sibuk ayah, tak boleh nak ambik cuti ni. Tunggulah sikit hari lagi ataupun hujung minggu ni saya hantar ayahlah, “ balas aku.

            “ Tak apalah Zara, kalau kau sibuk sangat, belikan ayah tiket di Puduraya, biar ayah naik bas, “ katanya membuat aku bertambah kecewa dengan sikap degil ayah itu. Memang ayah pernah berkali-kali naik bas pulang ke kampung sendirian.

            “ Tak usahlah…” kata ku memujuk dan merayu selepas kami berdua makan malam. Ayah diam dan dia terus masuk ke biliknya tanpa mengendahkan aku disitu.

            Bagaimanapun pada esok paginya ketika aku sibuk hendak bersiap-siap ke pejabat, ayah sekali lagi berpesan kepadaku meminta aku membelikan tiket bas di Puduraya.

            “ Ayah ni tak faham ke, saya kata saya sibuk, sibukkkkk! “ balas aku dan terus keluar menghidupkan enjin kereta.

            Aku tinggalkan ayah terkontang kanting di muka pintu dan dia hanya melihat aku berlalu pergi tanpa berkata apa-apa. Dari raut wajahnya aku dapat rasakan yang ayah terasa hati dengan kata-kataku. Sedih pula aku melihat wajah ayah ketika itu.

            Di pejabat aku termenung panjang. Tanpa berlengah aku meminta cuti kecemasan dan terus ke Puduraya untuk membeli tiket. Tepat pukul 11 pagi aku sampai ke rumah dan terus beritahu ayah supaya bersiap.

            “ Bas bergerak pukul 2.00 petang. “ Kata aku ringkas. Aku mengaku telah bersikap kasar terhadap ayah ketika itu kerana didorong rasa marah dengan sikap degil ayah.

            Ayah tanpa banyak kerenah, bersiap. Dia memasukkan baju dan kain pelekatnya ke dalam beg sandang. Lebih kurang pukul 12.30 tengahari aku bergerak ke Puduraya. Dalam perjalanan lebih kurang satu jam itu sepatah pun aku tidak bersuara.

            Selalunya, aku dan ayah akan bersembang panjang setiap kali naik kereta bersama. Ada-ada saja yang kami bualkan, dari satu tajuk ke satu tajuk. Tapi hari itu ayah tahu aku marahkannya. Dia pun enggan menyapa aku.

            Sepanjang perjalanan kami hanya melayan lagu-lagu yang berkumandang di radio. Dan kemudian juruhebah radio itu memutarkan lagu Salam terakhir nyanyian allahyarham Sudirman. Jika dihayati bait-bait lirik lagu itu ianya sungguh mengamit jiwa ditambah dengan susunan muzik yang indah. Entah kenapa semasa lagu itu dimainkan aku melihat wajah ayah dan aku rasa sungguh sebak tapi masih boleh ditahan.

            Tiba di Puduraya, aku terus menghantar ayah di tingkat bawah stesen bas itu. Selalunya aku akan memimpin tangan ayah , tapi hari itu aku biarkan ayah turun sendiri dan aku hanya perhatikan agar langkahnya tidak terganggu.

            Setelah aku pastikan nombor tempat duduk ayah, aku bersalam dan terus turun dari bas tanpa berkata apa-apa kepada ayah. Ayah juga langsung tidak memandang aku sebaliknya dia hanya memandang ke luar tingkap. Aku berpaling dan  melihat ayah merenung kejauhan.

            Tepat pukul 2.00 petang bas bergerak. Sekali lagi aku memandang ayah, tapi dia masih melemparkan pandangan ke luar tingkap, mengelak dari memandang aku. Dari raut wajah tuanya aku dapat rasakan ayah benar-benar terasa hati dengan sikap aku.

            Setelah bas bergerak jauh, aku menaiki tangga menuju ke kereta. Semasa melalui gerai-gerai di hentian paling sesak itu aku terpandang susunan kek pisang di atas meja.

            Langkah aku terhenti, berdesup fikiran teringatkan ayah kerana dia cukup suka makan kek pisang. Pernah sebelum ini kalau dia menaiki bas pulang ke kampung, dia akan minta aku belikan makanan kegemarannya itu. Tapi hari ini ayah tidak minta apa-apa dari aku, ayah hanya berdiam diri sahaja.

            Aku terus memandu pulang. Tiba di rumah, fikiran rasa tidak menentu, ingatkan kerja yang tertangguh di pejabat dan ingatkan ayah yang dalam perjalanan. Malam itu sekali lagi aku meneruskan keegoanku untuk tidak menelefon ayah di kampung seperti aku lakukan setiap kali ayah pulang dengan bas.

 

 

            Malam berikutnya kak ngah menelefon dan bertanya tentang ayah. “Zara.. kenapa kau tak beritahu kami yang ayah dah balik kampung? “ soal kak ngah dengan nada suara yang agak tinggi.

“Ayah yang tak sabar sangat nak balik kampung la! “  jawab aku meninggikan suara. Aku terus memutuskan talian telefon tanpa berkata apa-apa. Dan selepas aku meletakkan telefon, aku duduk mengelamun jauh di ruang tamu rumah ku tanpa aku sendiri tidak sedari apa yang bermain difikiran aku.

Keesokkan hari aku menjalankan rutin harian seperti biasa dengan hati yang tidak tenang dan fikiran berkecamuk. Kesemua sentuhan kerja yang aku lakukan tidak menjadi seperti kebiasaannya. Entah kenapa dalam kotak fikiran aku ketika itu hanya memikirkan ayah, walaubagaimanapun aku masih dengan ego ku untuk tidak menghubungi ayah.

Dinihari itu, tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi. Entah kenapa jantung aku mula berdegup kencang saat aku melihat nombor yang terpapar di skrin telefon.

            “ Pak Lang dah tak ada….”kata sepupu aku di hujung talian sejurus aku menjawab panggilan itu. “ Dia meninggal 10 minit tadi selepas mengadu sesak nafas.” Sambungnya lagi. Terlalu sebak dia hendak berkata-kata, selain meminta aku pulang dengan segera.

            Aku terjelepok di lantai. Telefon bimbit masih ditangan. Berjujuran air mata aku mengalir tanpa dipaksa. Kuat di fikiran aku mengatakan ini semua adalah mimpi, aku seolah-olah tidak mempercayainya. “tak mungkin..!!!” jerit hati kecilku. Esak tangis ku semakin kuat.

            Tanpa berlengah dan hanya sehelai sepinggang aku terus memandu kereta pulang ke kampung. Sepanjang perjalanan mulut aku terkumat kamit mengatakan ini semua mimpi. Apa yang aku harapkan bila aku sampai nanti ayah akan keluar memelukku dan memberi ciuman pada aku seperti selalunya.

            Setibanya aku di kampung, aku melihat ramai orang kampung berkumpul di rumah ayah. Aku berlari terus naik ke rumah, aku melihat sekujur tubuh telah di selubungi dengan kain putih. Dengan rasa lemah longlainya aku bersimpuh di sebelah tubuh kaku itu dan aku membuka kain yang menutupi wajahnya. Ternyata pemilik tubuh kaku itu adalah ayahku. Aku seperti tidak mempercayai semua itu kerana semuanya terjadi dengan begitu pantas.

Aku cuba berdiri dan entah mengapa aku merasakan dunia seakan berputar dan akhirnya menjadi gelap. Tiba-tiba aku mendengar satu suara dari kejauhan yang memanggil-manggil namaku, aku tercari-cari dan aku melihat seorang lelaki berpakaian serba putih cuba menghampiriku. Dia tersenyum melihatku dan mengusap wajahku, dan tanpaku sedari pipiku mula dibasahi dengan air mata. Dia menyeka air hangat yang mengalir di pipiku dan berkata “jangan menangis…sayangku Zara, dan ingatlah ayah sangat menyayangimu nak”. dan akhirnya aku melihat dia semakin jauh dariku. Aku tidak dapat berkata apa-apa seolah-olah mulutku telah dikunci.

Tidak lama kemudin aku terdengar lagi suara yang memanggil namaku. Tapi bezanya kali ini suara itu sangat jelas. Aku membuka mata, dan aku melihat ramai yang mengelilingiku.

“apa dah jadi ni ?” aku bertanya kepada kakakku.

“Zara,kau pengsan tadi” jawabnya ringkas.

Aku memandang disekelilingku, aku melihat jenazah ayah masih belum di kebumikan lagi. Aku mengambil wudhu’ dan aku membacakan surah yassin disisi ayah. Sesekali aku teringat apa yang aku alami semasa aku pengsan tadi.

            Di situ akulah orang yang paling hiba sekali. Tidak berhenti-henti menangis berbanding adik-beradikku yang lain. Barulah aku sedar bertapa berharganya seorang insan bernama ayah dalam hidup ini. Kek pisang, kata-kata aku pada ayah, sikapnya di Puduraya silih berganti menyerbu fikiranku yang berkecamuk ketika itu.

            Dan selepas arwah ayah dikebumikan dengan selamat, sepupuku menceritakan keadaan ayah di saat-saat hujung nyawanya. Sepanjang perjalanan ke hospital ayah hanya memanggil-manggil namaku dan menyuruh sepupuku supaya memberitahuku bahawa dia sangat-sangat menyayangiku. Air mataku berguguran lagi membasahi pipi.

Arwah ibu dan adik-beradikku sudah sedia maklum, aku adalah anak yang paling ayah sayangi mungkin kerana aku adalah anak bongsu dan di antara abang dan kakakku, akulah anak yang paling manja dan rapat dengan ayah. Semua kemahuan aku pasti ayah akan tunaikan.

Tapi kalau kutahu hari itu adalah kali terakhir aku melihat ayah melangkah, akan kupeluk dan kukucup lalu kan ku rayu agar ayah kembali segera. Dan jika ku tahu hari itu merupakan kali terakhir kita menghabiskan masa bersama, akan kupastikan ayah merasa bahagia.

Hanya Tuhan yang tahu betapa luluhnya hati aku apabila teringatkan itu semua. Aku amat terasa kehilangan ayah yang pernah menjadi tempat aku meluahkan rasa, menceritakan masalah, seorang rakan yang sering bersimpati dan ayah yang cukup mengerti perasaan anak-anaknya.

Kenapalah aku tidak dapat membaca gerak rasa seorang tua yang merindui belaian kasih sayang daripada seorang anak yang akan ditinggalkan buat selama-lamanya. Aku rasa amat menyesal atas segala perbuatan dan kata-kata kasar aku terhadap ayah. Dan paling aku sesali ialah aku tidak sempat memohon ampun dari ayah terhadap segala kesalahanku dan kekasaranku pada ayah.

Kini, telah 8 tahun berlalu. Setiap kali pulang ke kampung, hati aku bagai dirobek-robek apabila memandang nisan di atas pusara ayah. Setiap kali aku menziarahi pusaranya, aku akan mengusap batu nisan itu dan berdoa agar roh ayah di cucuri rahamat serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Aku tidak dapat menahan air mata apabila terkenangkan semula peristiwa pada hari-hari terakhir aku bersamanya. Aku merasa amat bersalah dan sehingga hari ini aku tidak akan dapat memaafkan diriku ini.

 

Benarlah kata orang, kalau hendak berbakti biarlah semasa ayah dan ibu masih ada. Kerana apabilah sudah tiada, menangis air mata darah sekalipun tidak beerti lagi. Mereka tidak akan kembali.

Sehingga hari ini aku sering menasihati kepada sesiapa yang masih punya insan yang bernama ayah dan ibu, jagalah perasaan seorang tua itu serta berbaktilah kepada mereka. Kasihi mereka sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil dahulu.

Kerana esok bukan satu janji kepada sesiapa, tua atau muda dan hari ini mungkin peluang terakhir yang ada untuk menumpahkan kasih sayang kepada ayah. Mengapa menunggu hari esok, kenapa tak lakukan hari ini, sekarang juga? Kerana jika esok tidak menjelma kita akan menyesal, kerana tidak meluangkan masa untuk melimpahkan kasih sayang serta memuji ayah. Mungkin inilah harapan yang terakhir.

Jadi hampirilah ayah, bisikkan ketelinga ayah betapa kita menyayangi dan amat memerlukannya. Ambil masa untuk berkata: “maafkan saya, ayah”…. “terima kasih ayah”… “saya sayang ayah” dan jika esok tidak menjelma kita tidak akan menyesal.

Ayah…anakmu ini benar-benar menyayangimu dan tiada sesiapa dapat menandingimu ayah. Segala jasa dan pengorbananmu tidak akan sesekali aku lupakan.

Ayah……ampunkan anakmu Zara….

 

 

 

 

 

 

                                                      ~ TAMAT~

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan Amyfamieza

Read all stories by Amyfamieza
No stories.