Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Wasiat

 

Hujan lebat menitis deras di atas atap zink rumah kampung tersebut. Ali melihat titis-titis air hujan yang menitik deras dari tingkap rumah. Sesekali dia menggigil. Sejuk. Rumah kampung berdindingkan papan dan beratapkan zink, begitulah. Apabila bahang mentari, rasa panas membara, tatkala hujan rasa dingin sampai ke tulang.

 

Ketika masih kecil, dia gemar mandi hujan apabila lebat begini. Asalkan tidak ada petir dan guruh, basah kuyup dek titis nikmat dari langit sudah cukup membuatkannya ketawa riang. Selalunya ayah tak melarang. Cuma kadang-kadang apabila angin ayah datang, teruk juga Ali dikerjakan. Pernah sekali dia ditambat di pokok jambu ketika hujan lebat.

 

“Hah, nak sangat main hujan? Kau duduk sini main hujan!” jerit ayah sebelum meninggalkannya. Jika tidak kerana mak, pasti Ali bermalam di bawah pohon jambu.

 

Ayah memang garang. Ali tak pernah lihat ayah senyum. Adik perempuannya pun pernah dilempang kerana degil. Malah, ketika along berjaya pergi oversea sekalipun ayah tak ucap tahniah. Bagi duit belanja lagilah. Bagi ayah, habis sekolah anak-anaknya sudah bukan tanggungjawabnya lagi.

 

Itu cerita dulu. Hari ini genap dua hari ayah pergi. Sakit jantung kata ibu. Hanya ibu yang ada di sisi ayah ketika ayah pergi. Ketika aku dan adik pulang, ayah sudah selamat dikebumikan. Along memberikan alasan ada urusan penting di kota.

 

Jika tak kerana ibu ingin membincangkan hal wasiat Along pasti tak akan pulang menjenguk teratak desa ini.

 

“Ngah, along dah sampai ni. Boleh mula dah.” Kata-kata ibu mengejutkan Ali dari lamunan.

 

“Long,” tegur Ali sambil menghulurkan tangan.

 

Along menyambut tangan Ali sambil mendengus. Along yang baru berusia lewat 30-an kelihatan sudah tua dimamah usia. Rambut putih semakin jelas kelihatan di kulit kepala.

 

“Jadi, boleh mula sekarang?” tanya adik sambil membetulkan duduknya di sofa. Rambut perangnya disisir ke belakang.

 

“Apa wasiat ayah tu mak?” tanya along tanpa buang masa. Adik memandang mak penuh minat. Ali hanya mengeluh perlahan.

 

“Jap. Mak nak ke dapur buat air.”

 

“Tak payah susah-susah mak. Tekak saya dah penuh. Kita straight to the point terus. Boleh?”

 

Mak hanya menggeleng sambil melangkah ke dapur. Bunyi piring dan cawan berlaga diselangi dengan bunyi rintik hujan menimpa atap. Suasana di ruang tamu dikunjung rasa dingin dan hening. Tiga beradik hanya melihat anak mata masing-masing tanpa ada yang berani mula bicara.

 

“Business okay, long?” tegur Ali.

 

“Okay. Kau dengan Lisa macam mana? Dah okay belum? Aku dengar teruk gaduh kali ni. Itulah kau. Dah ada bini jaga la elok-elok. Macam-macam cerita dah aku dengar ni.”

 

Itulah sifat along. Silap orang dicari dulu.

 

“Amboi, cakap orang je long. Kau dengan Kak Sal tu ibarat retak menunggu belah juga kan? Tunggu nak sign surat cerai je.” Adik cuba cucuk jarum.

 

“Kau diam la. Kau tu budak lagi. Apa kau tahu? Tahu dapat gaji beli alat solek la, cucuk sana, cucuk sini. Dah berapa kali dah kau buat plastic surgery? Ingat aku tak tahu? Tu dada tu, besar semacam je tu. Buat lah tu.”

 

“Eh, kau jangan nak kurang ajar ye long!” Adik mula meninggi suara. Jarinya dihunus ibarat keris sang pendekar yang diacu pada muka sang penjahat. “Aku nak cucuk ke, nak plastic surgery ke satu sen pun tak pakai duit kau tau! Kau peduli apa?”

 

“Memang lah tak pakai duit aku. Entah duit Tan Sri mana kau kebas kan?”

 

“Mulut kau ni memang babi kan?” jerkah adik.

 

“Eh dah la,” celah Ali. “Ni rumah kayu, bukan rumah batu. Dinding papan nipis. Berlubang pula tu. Kalau jiran-jiran dengar macam mana? Baru dua hari ayah tak ada. Hormat la sikit.”

 

“Hormat?” Along senyum sinis pada Ali. “Apa sebab aku kena hormat kat dia? Seumur hidup aku apa ja yang dia pernah buat kat aku?”

 

“Dah. Dah. Dah.” Ibu mencelah tiba-tiba. Dulang berisi teko dan tiga buah cawan diletak atas meja. “Kalau berjumpa asyik nak bertekak je. Minum air ni. Lepas minum kita cerita pasal wasiat.”

 

Cawan diambil seorang satu. Setiap seorang teguk air teh o’panas ibu.

 

Along letak cawan sekali teguk. “Jadi macam mana, mak? Tanah ayah semua tu dapat kat siapa?”

 

“Iyalah mak,” adik menyampuk. “Adik tahu la adik perempuan. Tapi takkan adik sikit pun tak dapat.”

 

Mak mengeluh. Tanah kubur ayah masih lagi merah. Anak-anak sudah mula berebut harta.

 

“Ayah kamu tak tinggalkan wasiat secara bertulis. Dia cuma cakap ja kat mak. Kata dia bila dia dah mati, harta dia semua bagi kat mak. Anak-anak yang tak pernah peduli dia boleh pergi mampus!”

 

Ali tersentak mendengar mak tinggikan suara. Adik dan along saling berpandangan.

 

“Kau long, nak sangat tanah pusaka sebab business kau tengah rugi kan? Kau ingat aku tak tahu? Kau balik nak minta harta pusaka nak jual tanah sebab nak selamatkan perniagaan kau kan? Yang kau pula adik, aku tak pernah ajar kau pakai baju ketat macam sarung nangka ni. Kau nak harta pusaka ni nak buat apa pula? Nak cucuk muka kau lagi? Ke nak bayar duit kereta sport kau tu?”

 

Adik dan along diam mendengar kata ibu. Ali tersengih melihat pekung abang dan adiknya dibuka satu persatu.

 

“Yang kau ni jangan nak sengih sangat Ngah! Kau tak payah nak buat baik depan aku!” herdik mak pada Ali. “Antara korang bertiga kau yang paling sial kan? Main judi, main perempuan. Ingat aku tak tahu? Bini kau dah cerita semua kat aku la. Tapi bila balik kampung jumpa aku, jalan tak jejak tanah macam malaikat!”

 

Ali mengulum air liur di tekak. Segala rahsianya sudah dibongkar. Lakonannya sudah tak menjadi. Dia ingat jika dia pulang dengan wajah simpati ibu akan memberi harta pusaka padanya. Dia tahu ayah tak tinggalkan wasiat bertulis. Jika pandai ambil hati ibu, harta pusaka pasti jadi miliknya. Namun harapannya musnah. Ibunya sudah dapat meneka.

 

“Korang bertiga ni anak setan! Bukan anak aku! Bukan anak aku!” Ibu makin menggila. Dia berdiri sambil menjerit.

 

Along dan adik mula resah. Ali yang tadinya diam terduduk pula mendongak melihat kegilaan ibunya.

 

“Pergi! Keluar korang dari rumah ni!”

 

PANG!

 

Ibu jatuh terduduk di atas lantai. Pipinya berdenyut-denyut tahan pedih. Ali turunkan tangan kanan.

 

“Ngah, kau buat apa tu? Tu mak la!” Along tegur Ali. Dia tak sangka Ali sanggup pukul mak.

 

“Kau diam. Aku tahu kau pun nak duit kan? Jadi kau ikut ja cara...Urgh!!” Tekak Ali rasa tersumbat tiba-tiba! Ali mula sesak nafas. Dadanya diurut namun nafasnya makin payah. Matanya semakin berpinar.

 

Susulan itu adik dan along pula yang merangkul tekak masing-masing. Muka merah mencari nyawa. Mulut berkumat-kamit cari udara.

 

“Sial...dia...racun...” Belum sempat Ali habiskan kata, dia terjelepuk ke lantai tidak bermaya. Adik dan along turut serta.

 

Ibu berdiri sambil pegang pipi. Ibu duduk di atas sofa lusuh melihat tiga zuriat kandungnya satu-satu putus nyawa. Muka ibu yang tadi merah tahan geram akhinya mengendur lega.

 

Titis hujan di luar kian laju menimpa atap zink teratak usang itu.


-fin-

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Wow. Ini mmg di luar jangkaan.

Cerpen-cerpen lain nukilan nazrinsaad

Read all stories by nazrinsaad