Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Bara Di Kebunan

Cerpen sebelumnya:
Span Sebesar Planet Musytari
Cerpen selanjutnya:
LEMBU PRU

BARA DI KEBUNAN

        Pak Hurairah memang sudah jelas ketuaannya malah gayut serba-serbi. Ku perhati tulang belulangnya tak sekuat dulu, Garis-garis berceranggah jelas berada di belakang tubuhnya. Aku mencelah di sebalik keriuhan orang ramai dan meninjau-ninjau ke dalam pondok yang sudah hangus. Kebun itu dulunya begitu terjaga kerana bantuan orang ramai. Orang ramai senang membantunya membersihkan kebun buah-buahannya. Aku mengenalinya sebagai lelaki yang cukup pemurah, segala macam hasil buah-buahan seperti buah Rambutan, Mempelam Harum Manis malahan manggis juga turut diberikan kepadaku sepanjang hayatnya. Aku yang berada disitu tersagat segala kuntum rasa. Mengapa dia yang dijemput pergi?

        Ada musimnya dia akan menghadiahkan segala isi kebun kepada orang kampung. Datanglah dan petik sendiri. Ada yang berniaga demi melihat peluang yang tersedia, tapi tak semua yang mengenali Hurairah. Anak-anak kampung kebanyakannya akan menziarahi kebun Hurairah dan bermain-main. Dia dihargai kerana apa yang dicurahkan. Disayangi oleh penduduk kampung sebagai khazanah yang tak terhingga nilainya, mungkin juga sebagai tua nyanyuk yang dicemuh.

       Sudah menjadi afal bagi Hurairah untuk berjalan-jalan ke segenap pelosok kampung untuk mencari kertas-kertas kering yang bertaburan. Segala jenis kertas menjadi idamannya. Dia akan berlagak seperti menurunkan tanda-tangan lalu mengangkat kening dan cermin mata tebalnya lalu terangguk-angguk sambil ketawa berdekah-dekah. Orang kampung kemudian menganggap  gelagatnya sebagai lelucon. Ada juga yang mengenakannya dengan memberikan wang kertas seringgit yang kemudian dikoyakkan oleh Hurairah, katanya ‘wang tidak bererti, kerana wang kita mati’. Bukan main laju langkah pemuda itu apabila dikejar oleh Hurairah.

“Mengapa ayah kejar budak tu?”  seorang wanita bertubuh gempal menyanggah perbuatan Hurairah kemudian cuba menarik tangan Hurairah.

“Tengok, dia sudah pergi!” jawab Hurairah.

“Bila ayah mahu pulang?” wanita itu bertanya ;lagi.

“Kenapa aku perlu pulang?” Hurairah menempel satu persoalan.

“Rumah itu dah lama kosong.”

“Kosong,alangkah bagusnya.” Hurairah ketawa kecil dan menggaru-garu hujung telinganya. ‘ Betulkah apa yang aku dengar ni?, mesti kekosongan itu terbit setelah hilangnya aku.’. Hurairah kemudian berjalan dan mengutip lagi kertas-kertas kering dan kotor  yang sudah bertimbun banyaknya lalu dimasukkan ke dalam karung guni Cap Bulan Dacing yang sudah terkoyak.

Ada masa-masanya aku akan menemaninya mengutip kertas-kertas itu. Sebagai kanak-kanak yang tidak tahu menahu. Aku ikutkan saja, biar dari pagi hinggalah ke petang. Aku akui kudratnya tidak selemah usianya tapi sayang dia sudah terlalu tua untuk bekerja. Biarlah dia berbaring tenang dan menghabiskan sisa umurnya.

“Mengapa pak cik tak berehat?” Aku tidak mampu menyimpan perasaan.

“Kau fikir aku gila?” terus dia mencekak pinggang.

“ Saya tak kata macam tu.” Aku makin takut.

“Takkan nak bersara selagi kampung ni tak bersih?”

            ‘Apa lagi yang nak dibersihkan? atau aku yang dah melampaui batas’ fikiran Hurairah menerawang menapis-napis maklumat benar mahupun kesalahan yang telah dilakukan. Hurairah melihat-lihat ke jam tangan yang dihadiahkan isterinya dulu. Sudah lama tidak bertukar baterinya. Jam yang telah uzur dan mati. Azan maghrib berkumandang, sudah melepasi takwim-takwim yang tidak diendahkan.

            Aku juga melihat ke arah datangnya azan melalui pembesar suara. Panggilan suci itu tak dapat kukatakan tidak. Tuntutan Allah Azza Wa Jalla ke atasku sebagai hambanya. Ibuku tentu memarahiku jika tak tentu jalan pulang. Maghrib-maghrib masih menempel di luar, kata orang mahu dikejar hantu. Di surau, kariah-kariahnya semua aku kenal. Tok Imam Rahman, Bilal Akub, Siak Hussein, dan beberapa lagi orang-orang tua yang sudah terbiasa berjemaah di surau.

            Pagi itu, belum masuk waktu subuh kecong-kecoh seluruh isi surau apabila kebun buah Pak Hurairah terbakar. Gempar semua penduduk mendengarnya. Aku seorang yang masih dianggap remaja ketika itu memerhati timbuni buah-buahan yang selalu disedekahkan Pak Hurairah. Bisik-bisik penduduk kampung terdengar seperti lebah yang berdesing menyakitkan gegendang telingaku. Ada yang suka kerana orang gila itu sudah rentung terbakar, ada pula yang berduka kerana memikirkan banyak amal yang dilakukan oleh Hurairah sepanjang hayatnya. Kariah surau terus berarak keluar menuruni tangga surau. Aku pula tinggal dahulu dalam surau dan menggapai cetakan Yasin dan duduk sebentar memulakan bacaan.

         Bara api yang bertebaran menelan susuk gelap belantara kebun yang dimiliki Hurairah. Berculang-caling baranya bertebaran melawati mata penduduk kampung. Bukan sebarang api, sinarnya membahang hingga diri mereka terjebak sama dalam ingatan yang tidak terlupakan. Kebun buah yang menjadi syurga penduduk di kampung itu telah terbakar, hangus, sekaligus rebah dijilat api.

         Ada antara mereka yang terkontang-kanting melarikan diri tak mahu dekat, biarpun merekalah pelahap yang menggonyoh hasil buah di dusun Hurairah. Imam Rahman yang mengetuai kariah surau juga susah untuk mengumpulkan penduduk kampung. Ramai di antara mereka enggan. Katanya itu semua takdir, lambat laun api itu akan terpadam. Sayangnya, api itu masih juga marak dan makin angkuh menongkat langit.

       Aku melihat Pak Rahman mula mengagih-agih kerja. Ada yang disuruh mengalirkan air dari parit untuk memadamkan kebakaran, ada juga pak pacak, tukang rakam sejarah pun ramai, Mereka semua sepakat dalam kerumunan yang ramai. Pak Rahman bertanya kepada semua penduduk bagaimana perkara sedemikian boleh terjadi. Aku sahajakah saksinya?

“Ada sesiapa yang tahu?”  Pak Rahman bertanya.

“Saya ada ingat sedikit.” Aku mengangguk sekali.

“Tentang apa tu Abu?”

      “Malam tadi saya bersamanya” Aku berlegar-legar sekeliling kebun yang sudah terpadam apinya. Cuba menghangatkan lagi ingatan tentang apa yang terjadi pada malam itu selepas usai bersolat Isyak. Habis aku berfikir, barulah aku bersuara sekali dan menjemput segenap pandangan menujah mukaku.

          Hurairah menggapai guni berisi kertas lalu membuang pandang ke arah timbunan debu bersebelahan sebuah kubur lama sebelum melangkah masuk ke dalam pondok usangnya. Lampu pelita di setiap penjuru pondok dinyalakan hingga terbias gambaran wajah isterinya Zainab. Setiap potretnya jelas menampakkan kejernihan wajah isterinya hinggalah tangis tuanya meronta-ronta melepaskan diri melalui kotak suaranya. Dia sudah terlalu tua. Lampu pelita itu kemudiannya terpadam apabila bayu kencang merembes kasar ke mukanya. Begitulah juga sorot wajah Zainab yang meniti pandangannya. Semua terpadam dalam sedetik.

          Tangisannya berderai dari dalam pondok. Aku yang bersamanya bukan main kecut perut. Kalau diikutkan hati, pasti aku lari tak ubah seperti “lipas kudung” tapi dia bukan sesiapa untuk kutakuti. Lelaki tua yang keseorangan tanpa ihsan dari seorang anak. Aku masuk terus ke dalam pondok usang miliknya dengan seribu tanda tanya. Pondoknya kemas teratur biarpun tanpa bercahaya. Langkahku teratur ke dalam pondok dengan menghampiri sebuah pelita yang tinggal menyala. Gambar potret keluarganya cubaku gapai. Tanganku ditarik tiba-tiba. Pak Hurairah benar-benar menakutkan.

“Kau nak curi potret tu?” Pak Hurairah menyergahku dari arah belakang.

“Tidak, saya cuma risaukan Pak Hurairah.” Aku semakin melangkah ke belakang apabila disergah sedemikian rupa.

           Warna api yang kemerah-merahan tegak menyala dan menghembuskan asap hitam menyelimuti udara hingga menggaris ke awan. Maraknya api, marak lagi wajah Pak Hurairah dengan kebengisannya.Dia memegang sebentuk cincin. Aku tahu dia menggenggamnya dengan kuat. Suara jeritan kedengaran di luar pondok apabila aku sudah berkemungkinan hampir diratah Pak Hurairah yang tak siuman itu.

“Apa yang ayah buat tu?” Kalsom menjergah ayahnya dengan nada lantang hingga menyebabkan Hurairah terdiam.

       Langkahku terus berceceran pantas meninggalkan pondok usang yang penuh kegilaan. Hinggalah aku merasa selamat, aku menyorok di belakang sebatang pokok Nangka dan memerhati. Nafasku tercungap-cungap, badanku tidak lagi seselesa sebelumnya. Pak Hurairah itu pendendam, atau juga menyimpan sesuatu rahsia yang tak dijelaskan sebelum ini. Biar malam ini semuanya terungkai.

         “Ayah sudahlah tu, lepaskanlah perasaan bersalah ayah tu.” Kalsom merayu kepada ayahnya sambil meletakkan makanan di atas tikar mengkuang sejurus menyalakan semula pelita di setiap penjuru rumah Pak Hurairah. Hati Kalsom tenggelam dengan segala penderitaan. Ramai penduduk kampung mencemuhnya sebagai anak tak mengenang budi dan derhaka. Bukankah itu sudah cukup menyagat perasaannya sedangkan orang ramai tidak mengetahui apa-apa. Sekadar mulut tempayan yang terbuka luas.

“Bukan ayah tak tahu kau benci ayah!” Hurairah meningkah.

“Bukan begitu maksud Som” Kalsom bertambah sebak.

“Macam mak kau halau aku dulu!”

         “Mungkin kerana ayah sendiri yang bersalah sebab tipu emak.” Kalsom kemudian keluar meninggalkan Hurairah bersendirian di dalam pondok usang itu. Bunyi berkeriut kedengaran apabila Kalsom melangkah menuruni pondok. Bayangannya berbalam-balam meninggalkan kawasan kebun. Nyalaan api di sebelah kubur itu mulai terpadam dan semakin kecil.

         Orang-orang kampung yang memandangku semuanya ternganga. Mungkin juga kerana merasakan ceritaku tak ubah seperti kisah dongeng rekaanku tetapi itulah yang terjadi. Tiada yang aku tokok tambah. Entah mengapa mereka membiarkan saja mayat Pak Hurairah bersendirian dan mahu mendengar ceritaku.

“Jadi Pak Hurairah gila?” tanya salah seorang dari mereka.

 “Habis kau tak luka?” Ada juga yang meneliti tubuhku.

“ Mujur Pak Hurairah dah mati” Sempat pula budak kecil itu mengurut dada.

“ Dia tak gila dan dia menganiaya dirinya sendiri” fikiranku menerawang menyusun semula blok-blok ingatan peristiwa malam semalam. Bacaan Yasin yang dialunkan Pak Hurairah jelas menunjukkan dia bukannya gila. Cuma terseksa.

         Aku sendiri yang menyoroti langkah longlai Pak Hurairah ke kubur di tengah pondok. Dia membawa cetakan Yasin dan duduk di hadapan kubur. Usai saja bacaan Yasin, dia meratib tak henti-henti. Sejuk dingin malam itu kutebat dengan mengepah beberapa batang rokok. Mulutku tak habis-habis menyedut asap durjana.

         “Ampunkan abang, Nab” tangannya memegang ketul-ketul tanah yang sudah kekerasan. Kemudian memeluk batu nesan lalu menciumnya. Penyesalan yang tidak ada pengakhirannya menjadikannya nanar tidak keruan. Dia merasakan malam itu tidak seperti kebiasaan malam. Semilir yang memecah kesepian itu membawa kunang-kunang yang jarang ditemui. Hurairah kemudiannya berjalan masuk ke dalam pondok dan menggapai sekeping gambar milik isterinya serta sebentuk cincin.

          “Di sini, bumi tak pernah kurang mentari, teriknya membenih buah-buahan beranak pinak,  tapi di desa inilah luka rohani tidak mampu dirawat” Aku menggeleng-geleng dari luar pondok apabila memikirkan kedukaan yang dialami Pak Hurairah yang kian membarah. Pak Hurairah sudah terbaring lesu di atas tikar mengkuang.  Aku terpaksa juga meninggalkan Pak Hurairah. Rokok yang tinggal setengah ibu jari itu kubuang di bawah pondok Pak Hurairah. Tak ada apa yang mampu kulakukan selain mendoakannya menjadi lebih baik.

           Dalam tidurnya, mimpinya menerawang membiaskan kenangan di rumah sewaktu bersama keluarganya. Peluh berjejeran di dahinya malah di belakang badannya. Dada pejal berombak melihat Zainab yang membentak-bentak kepadanya dengan kasar. Tak dapat tidak ego lelakinya serta-merta tercabar. 

             “Aku bukan sengaja jual tanah tu, untuk keluarga kita juga” Hurairah membela perbuatannya sendiri. Dalam fikirannya, pendidikan anak-anak patut diutamakan. Kalsom juga sudah membesar dan perlukan wang untuk ke universiti. Orang kampung kalau ada anak ke menara gading sudah tentu menjadi halwa telinga kepada ibu bapa. Bukan semua orang mampu ke universiti.

          “Tanah sawah beberapa relung tu saja peninggalan arwah ayah. Abang tak fikir ke?” Zainab sentiasa melempiaskan rasa marah dalam dirinya. Pelbagai cerita buruk didengarnya. mengenai suaminya. Kerjanya cuma melangut di kedai kopi dan berjudi. Takkanlah pula nak mengutamakan pendidikan anak-anak.

               “ Abang cuma nak dibanggakan oleh Kalsom, Biarlah abang bodoh tetapi anak abang biar jadi pandai.” Hurairah mencekak pinggang lalu naik ke tangga rumah dan hilang di balik pintu. Seketika kemudian Hurairah keluar dengan membawa pakaian yang diisi dalam kain besar dan memegang sebentuk cincin.

                 “Ini cincin kahwin yang kau jual dulu Nab. Aku tebus balik agar kau sedar mana yang sebenarnya hak” Hurairah menyerahkan cincin belah rotan yang menjadu mahar sewaktu pernikahannya dulu. Sayangnya cincin itu digadai diluar pengetahuan Hurairah.

                   Menggeletar tangan Zainab menyambut cincin yang diserahkan Hurairah. Pandangan mereka bertembung dan saling berkaca. Tangisan Zainab bercucuran namun dia terkaku tak mampu berdiri lagi. Dia terduduk melihat Hurairah pergi meninggalkan rumah dan keluar entah ke mana. Lambat-laun ayah akan pulang. Begitulah fikiran Kalsom ketika itu yang tidak mengambil kisah tentang ayahnya yang selalu mencemar nama baik keluarga mereka.

          Bahang dan asap menerobos masuk ke dalam lubang-lubang pondok di kawasan kebun buah. Begitu juga dengan api yang makin marak membakar pokok-pokok di sekitarnya. Habis semua rezeki penduduk kampung dijilat api. Hurairah kemudiannya tersedar namun terbatuk-batuk cuba mengawal pernafasan malahan pandangannya terlalu berbalam untuk mencari cermin matanya. Dia bukannya nampak tanpa bantuan. Begitulah dia tergapai-gapai tercari-cari dalam kehangatan yang mulai membakar kulitnya. Dia terasa dirinya makin terbakar namun desut-desut telinganya menangkap panggilan suara wanita yang sudah lama ditunggunya.

         “Abang, marilah sahut salam kerinduan ini.” Zainab kelihatan terlalu anggun dengan kain songket bunga tabur yang menjadi hiasan di kepalanya. Bajunya cuma baju kurung kain cita namun kelihatan sungguh ayu dengan wajah mulus lagi bersih menghulurkan tangan menyambut Hurairah pulang.

“Tanam padi di celah batu,

tanam bunga di atas kota,

jikalau tuan berhati satu,

boleh kujunjung sebagai mahkota.”

 

            Hurairah tidak lagi merasa kehangatan terbakar. Dia terlalu dingin dan berterbangan melewati impiannya yang lalu. Segalanya terlalu indah hinggalah dia terlupa kepada segala kedukaan yang terlalu lama membelenggu dirinya.

            Aku ceritakan segala yang terjadi ini sesungguhnya. Biarpun ada yang ingin mempercayai, ada juga yang mengatakan aku pembohong, tetapi yang pasti orang kampung telah menjadi saksi kematian lelaki gila yang mengenyangkan isi perut setiap kepala-kepala kampung yang pernah mengatakan Hurairah itu gila.

 

 

Cerpen sebelumnya:
Span Sebesar Planet Musytari
Cerpen selanjutnya:
LEMBU PRU

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
Penilai

Info penulis

Nian Adika

Hiduplah bagai gobok usang penuh isi! adanya memberi robohnya ditangisi!
Adika | Jadikan Adika rakan anda | Hantar Mesej kepada Adika

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Adika
Hang Kurrat ( Cahaya) | 1997 bacaan
Mata Pedang Di Daerah Kalbu | 3405 bacaan
Takdir Di Hujung Kuku | 3501 bacaan
DI MANA BENARNYA? | 1991 bacaan
LEMBU PRU | 2037 bacaan
Tetamu Bukit Berot | 2552 bacaan
Gema | 2225 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

0 Komen dalam karya Bara Di Kebunan
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik