Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

DI MANA BENARNYA?

  • 0
  • Adika
  • 11 years ago
  • 3,226
  • FREE

 

DI MANA BENARNYA?

 

              Zakaria meneliti senarai nama Ahli Jawatan Kuasa yang menjadi tunjang ukhwah fillah dalam kalangan kariah surau. Dari atas ke bawah. Renungannya masuk kali ke enam, namun namanya tidak ditemui. Jari telunjuknya menekan-nekan pada nama Parjo Bin Karto. Cukup panas hatinya apabila melihat namanya tiada di situ.

            ‘Dasar orang tua sesat, apa yang kau bomohkan AJK surau kita ni’ Zakaria mengurut-ngurutkan dadanya lalu berjalan pantas ke belakang hingga terlanggar seorang lelaki yang hendak membaca papan kenyataan di luar surau.

            Lelaki tua yang sudah berjanggut putih yang lalu disebelah Zakaria ditenung bagai hendak dimakan. Imran yang melihat gelagat ayahnya dari dalam serambi surau sekadar mampu menggeleng-geleng. Lelaki tua berjanggut putih itu kemudiannya masuk ke dalam surau setelah selesai mengambil wuduk dan bersalaman dengan Imran.

            “Mengapa dengan ayah kau tu Imran?” Wak Parjo bersalaman dan menunjuk ke arah luar biarpun bayangan Zakaria telah pun hilang di sebalik bahu jalan.

            “Entahlah, Wak. Perasaannya macam ada yang tak kena sekarang ni.” Imran memikirkan perkara yang ingin diucapkan kepada Wak Parjo.

            Rahimah isteri Imran sering meracau-racau dalam tidurnya. Malahan jaganya juga tak menentu. Bila tiba hendak menjerit, terus saja menjerit. Petang-petang Rahimah akan berjalan di sekitar kampung malahan hingga ke sawah padi di hujung kampung. Bukan kepalang risau dibuatnya Imran. Cuba diubat pada doktor langsung tak jalan. Kini dia terfikirkan Wak Parjo sebagai tempat dia bertanya kalau-kalau boleh dirawat penyakit Rahimah.

            “Saya ingat Rahimah sedang nanarlah Tuk?” Imran lebih kepada menginginkan kepastian berbanding bertanya.

          “Engkau datang sajalah rumah Wak lepas Isyak nanti.” Wak Parjo mengangguk dan berjalan pergi meninggalkan Imran yang masih terfikir-fikir mengenai perasaan ayahnya yang tiba-tiba berubah apabila melihat Wak Parjo.

             ‘Apa pula yang berlaku?’ fikirannya menolak agar tiada perang dingin terjadi antara mereka berdua. Wak Parjo dan ayahnya sama-sama golongan tua yang dihormati dalam kalangan kariah surau kerana itu jika berlaku perbalahan, tentu akan menimbulkan perpecahan dalam kalangan penduduk kampung.

Wak Parjo memipis ibu kunyit yang kekuningan, jintan hitam berat sepaha, dan kasturi berat dua emas, dan air bermalam sehingga lumat-lumat dan dibiarkan dalam mangkuk yang sentiasa digunakannya untuk berubat. Masuk saja, waktu azan pasti Wak Parjo akan meninggalkan rumah dan berjalan untuk ke surau yang terletak hampir 5 ratus meter dari rumahnya.

            Hiasan di rumahnya cukup sederhana. Tak banyak hiasan-hiasan kaligrafi Islam bergantungan seperti di sesetengah rumah orang kaya, sofanya juga sudah lama tak bertukar. Bila dilihat sekeliling, langsung tak ada peti televisyen diletakkan di mana-mana ruang. Di atas raknya terdapat sirih pinang dan junjung yang dihias cantik. Beberapa herba-herba tertentu diletakkan di atas meja juga tidak terusik lagi. Biasanya Wak Parjo mengutip daun-daun herba pada subuh hari sebelum disimpan dahulu.  

               Fikirannya pada petang itu menerawang jauh apabila menerawang jauh apabila mengingatkan arwah ayahnya dulu yang kerap memaksanya ikut ke hutan. Mencari tumbuh-tumbuhan untuk rawatan penduduk kampung. Dia bukan tak ingat bagaimana dia meraung-raung apabila perutnya memulas sewaktu masih kecil. “Tak dengar kata orang tua, main juga di hutan sampai tengah malam’ itulah kata ayahnya apabila dia kerap lambat pulang ke rumah.

          Sepuluh biji lengkuas diambil dan ditumbuk sehingga lumat dan mengeluarkan cecairnya. Sesudah itu garam pula diletakkan dalam air lengkuas itu. Terus disuruh minum. Bayangkanlah seorang kanak-kanak manakan sanggup minum sesuatu yang pahit tambah masin. Kembang tekak dibuatnya walaupun Parjo ketika itu sudah berjinak-jinak dengan ilmu perubatan tradisional.

         Ayahnya pula sentiasa membantah apabila dia mengatakan cita-citanya ingin menjadi doktor. Pengaruh barat betul menyakitkan telinga ayahnya. Doktor pada takrifan ayahnya tak ubah seperti ahli sihir yang kononnya mengetahui segala benda pada asas perubatan dan menolak ilmu-ilmu yang dimilikinya.

        Parjo dipaksa ke hutan tak kira masa. Bila orang yang sakit batu karang terjerit-jerit di rumahnya. Ketika itulah Parjo membentak hingga dipiat telinganya kemudian dihalau keluar. Ke hutan mencari pucuk pohon kendula, meminta buah delima dari penduduk kampung dan tiga biji daun petola. Setelah umurnya mencapai tingkatan tiga, dia perlu menguruskan sendiri pencarian bahan-bahan untuk dibuat ubat.

           Pernah sekali pasakit itu marah-marah kepada Wak Parjo apabila dia meminta periuk baru untuk memasak ubat untuk diminum pesakit batu karang tadi. Ubat-ubat itu perlu dimasak dalam periuk baru sebagai syarat kerana khasiat bahan-bahan tadi boleh hilang jika menggunakan periuk lama yang berbaur masakan di dalamnya.

         Air rebusan yang tinggal sepertiga periuk itu perlu diminum setiap pagi dan petang mengikut arahan Wak Sarju. Ayahnya ketika itu cukup tegas dalam memberikan arahan. Pernah sekali Parjo bosan dengan pekerjaannya terus memberikan deskripsi berbeza lalu pesakit disuruh minum sebanyak lima kali sehari. Pesakit itu cirit-birit dan menyalahkan Wak Sarju. Ingatannya yang menerawang tadi tertinjau-tinjau di muka pintu setelah dia mendengar suara orang memanggilnya dari luar rumah.

         Imran memimpin isterinya duduk di hadapan Wak Parjo. Di tangan Imran terkendong seorang bayi yang masih kecil. Wak Parjo baru mengerti masalah sebenar yang terjadi dalam diri Imran.

         “Bila kau pulang Imran?” Wak Parjo baru teringat kepada Imran yang sering mengikut rombongan-rombongan memberi ceramah di daerah-daerah lain termasuklah negeri-negeri luar. Memberi motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah termasuklah sebagai Al-Fadhil yang dihormati di surau-surau di luar kawasan kampung.

          “Alhamdulillah, baru lagi Wak. Kali ni ikut rombongan tabligh 6 bulan” Imran mengira-ngira di jarinya kemudian terangguk sekali.

          Dalam fikiran Wak Parjo menjadi kasihan kepada isteri Imran yang lama ditinggalkan sedangkan mereka baru mendapat anak sulung, terus ditinggalkan.

           “Kenapa Wak tanya begitu?” Imran menjadi syak sesuatu yang bukan-bukan.

         “Tak ada apa-apa yang kau perlu risau. Aku cuma bertanya sebab isteri kau ni lama ditinggalkan. Bukan ke tak elok?” Wak Parjo menasihati Imran dengan lembut sambil tangannya pantas menyusun atur bahan-bahan untuk diberikan kepada Imran.

         “Minum air ni empat kali sehari. Pagi sahaja engkau mesti ambil tiga bahagian, dan malam sekali” Wak Parjo mengingatkan Imran kemudian duduk semula menghadap Rogayah.

           Ruqyah yang paling baik sebenarnya merupakan penyerahan diri secara sepenuhnya kepada Allah S.W.T dengan membaca zikir pendinding sebanyaknya. Wak Parjo sentiasa mengakuinya dan tidak akan meninggi diri biarpun memiliki ilmu tertentu. Setiap sesi perubatan dia akan mengingatkan pesakitnya kepada asas pokok dalam penyembuhan.

           “ Engkau kena ingat Imran, isteri kau ni akan sembuh bila engkau beri sokongan sewajarnya. Banyakkan berdoa dan sentiasa dampinginya” Wak Parjo memberikan secawan madu kepada Rogayah setelah dibacakan doa mengikut ajaran Islam.

         Rogayah yang mendengar butir bicara Wak Parjo mengakuinya dan memandang kepada suaminya yang tertunduk malu. Sepatutnya suaminya lama tersedar akan kesilapannya. Bukannya terus mengharap kepada orang lain tapi lupa kepada kekhilafan sendiri. Mungkin perkara yang sudah berlaku itu patut dibiarkan sahaja berlalu. Rogayah teringat pula kepada ayahnya Zakaria yang tentu marah apabila mengetahui mereka suami isteri berubat kepada Wak Parjo. Suaminya akan dimarahi teruk pastinya.

        Bukan mereka tak kenal perangai Zakaria. Bengis memanjang tak kira masa. Bila difikirkan semula, bukannya silap Wak Parjo bila jawatan sebagai AJK Surau  terisi. Mereka-mereka di surau itu bukannya anak-anak kecil mahu diperbudakkan, tetapi Zakaria tak bersetuju. Katanya, seseorang pemimpin itu tak boleh sesat, jangan mengamalkan ilmu-ilmu syirik. Semua itu dosa belaka kalau diamalkan. Itulah katanya bila dia duduk-duduk di serambi surau ataupun sekadar melepak di warung sambil menunggu masuk waktu solat.

        Wak Parjo pula menghabiskan keseluruhan masanya di surau. Menyental daki-daki air di tab wuduk. Menyapu daun-daun kering di laman surau malahan banyak idea-ideanya untuk membangunkan surau disampaikan kepada kariah-kariah surau tetapi dicemburui Zakaria. Kebenciannya terlampau berakar umbi hinggalah malam itu mereka sekeluarga bergasak menegakkan pendirian masing-masing.

      “Engkau tak boleh ke sana lagi Imran!” Zakaria enggan melihat wajah anaknya sewaktu bercakap. Marahnya tak reda-reda apabila Imran masih lagi berjumpa dengan Wak Parjo meminta nasihat.

       “Mengapa pula tak boleh. Perubatan tradisional ni mujarab” Imran bosan melayan angin ayahnya yang tak menentu.

        “Itu ajaran sesat. Engkau pun dah diguna-gunakan olehnya” Zakaria enggan mengalah dengan pendapat anaknya itu.

        Imran kemudiannya bangkit dari ruang tamu rumahnya dan melangkah masuk ke dalam biliknya sambil memapah Rogayah.

        “Kalau isteri kau ni dah tak betul, kau ceraikan saja” Zakaria membentak marah dengan perilaku anaknya.

        “Ayah jangan nak memandai, saya tak akan ceraikan dia. Baik saya buang ayah dari ceraikan dia semata-mata untuk ayah!” Marah itu menjadi api dalam percakapannya yang dibakar oleh peranan syaitan. Imran terlepas perkataan kerana jiwa mudanya yang panas menggelegak menghalalkan perkataannya.

       “Engkau memang biadap Imran. Lebih baik kau keluar dan jangan masuk rumah ni lagi!” Zakaria mengheret dan menolak Imran keluar dari rumahnya. Kemarahannya berombak di dada. Apatah lagi dendam yang membara itu dibasahi dengan minyak yang membakar gelora jiwanya. Dendamnya akan dimeterai tak lama lagi.

        Selesai semua kariah surau berdoa dan bersalaman, Zakaria menolak tangan Wak Parjo dengan alasan Wak Parjo tak sepatutnya berjemaah di surau. Seluruh jemaah memerhati tindak-tanduk Wak Parjo hinggalah dia merasa malu dengan tindakannya. Wak Parjo kemudiannya melangkah keluar sambil diekori Zakaria.

        “Engkau dah melampau Parjo. Seluruh keluarga aku kau dah beli!” Zakaria menggeleng-geleng dan mukanya menjadi merah menahan amuk.

           “Aku tak buat apa-apa Zakaria. Engkau ni terlalu banyak berfikir” Wak Parjo masih cuba berdiplomasi.

         “Aku akan bunuh kau Parjo!” Zakaria menyimpan hasrat itu dalam-dalam dan berjanji akan melaksanakannya malam itu juga. Seolah-olah wajah Wak Parjo itu merupakan makanan yang mampu ditelan-telan. Dia pasti akan menelannya tanpa perlu mengunyahnya.

         Zakaria memegang badik tajam sepanjang sejengkal di tangannya. Sesekali dia menghayun ke hadapan. Meninggalkan langkah menerusi batas-batas tanaman yang dikerjakan Wak Parjo, dia meminjak-mijak sahaja dengan penuh rasa dendam. Jubahnya yang putih itu tak bermakna apa-apa biarpun luarannya putih segala inci seketul hati itu lebih bermakna jika direnung fikir oleh orang ramai.

        Hujan mencurah sebentar tadi membawa kelembapan pada kampungnya. Seolah-olah pandangan Zakaria turut berkabut dibuatnya. Sesekali dia tergelincir ketika memijak tanah berlumpur. Dia menyumpah serenah sendirian.

       Langkah demi langkah diatur membelah kegelapan malam. Rumah Wak Parjo gelap tanpa sebarang tanda berpenghuni. Kakinya menapak menaiki satu anak tangga ke satu anak tangga. Nota-nota ingatannya memuntahkan maklumat penuh penipuan. Naluri dendamnya terlampau amuk meronta hingga tak sedar langkahnya diatur salah. Dia tersembam dan terjatuh ke tanah. Kakinya terseliuh dan gagal untuk digerakkan.

        “Tolong aku Parjo!” Kakinya menggeletar tak mampu diangkat. Seolah urat-uratnya lari dari tempatnya. Hujan-hujan pula merintik dan mendinginkan tubuhnya. Dia mencapai rumput yang sudah ditenggelami air dan ditariknya perlahan-lahan hinggalah tubuhnya terangkat sendiri. Zakaria gagal untuk mengangkat tubuhnya ke atas tangga rumah Wak parjo. Dirinya tersembam di lantai, matanya berbalam-balam sebelum semuanya kelihatan gelap dan tenggelam dalam ingatannya.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan Adika

Read all stories by Adika