Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

cerita tidak bernama tentang pemuda tidak bernama di kampung tidak bernama

 

 

Di sebuah kampung yang namanya kampung tidak bernama tinggallah gerombolan penduduknya yang lemah lagi hina yang rata-ratanya bekerja sebagai petani, penternak dan nelayan.

 

Adapun asal usul dan sebab musabab mengapa hendaknya kampung tersebut dinamakan kampung tidak bernama tidaklah diketahui oleh seorang pun di atas muka bumi ini dan tidaklah pernah diperdebatkan di mana-mana ceruk dunia ini.

 

Kampung tidak bernama seperti kampung-kampung yang lain di negeri itu sekali sekala akan dilawati oleh samseng Samsuddin dan konco-konconya yang mala’un lagi bedebah itu. Cuma hari dan pukul berapa gerombolan samseng samsuddin akan datang tidaklah diberitakan kepada orang kampung terlebih dahulu memandangkan samsuddin bukanlah pembesar negeri yang lazimnya akan memberi notis akan kehadirannya supaya disambut dengan penuh gilang gemilang dan takzim.

 

Adapun pekerjaan samsuddin dan orang-orangnya yang pak turut itu tak lain tak bukan ialah membuat onar dan durjana di ceruk-ceruk kampung. Di mana ada orang di situlah ada mereka hendak berbuat durjana.

 

Arakian samsuddin ini adalah hebat benar orangnya lebih hebat dari puaka ataupun keramat. Samsuddin dan orang-orangnya akan datang menyerang kampung-kampung dengan menunggang naga dari atas gunung memandangkan ibu pejabat mereka di atas gunung. Sebab itulah “samsuddin and the gang” tidak boleh diserang hendap kerana orang kampung tidak mempunyai teknologi untuk memanjat gunung tinggi dan sampai kepada mereka.

 

Setiap kali gerombolan samsuddin melanda kampung tidak bernama, seperti kampung-kampung yang lain juga, akan dirompak ayam, kambing, lembu, ikan masin dan beras untuk mengenyangkan perut mereka sendiri. Kemudian anak gadis atau mak orang yang masih rupawan akan dibawa lari juga untuk tuntutan serakah mereka. Ada pun golongan mak nyah adalah golongan yang berkecuali.

 

Sebab itulah gadis-gadis di negeri itu lebih rela berwajah buruk seperti kera atau babi asalkan kesucian mereka tidak ternoda. Ada juga anak gadis yang rela menjadi lelaki dengan membuat pembedahan menukar jantina secara tradisional.

 

Arakian pada suatu hari penduduk-penduduk kampung tidak bernama dapat merasakan satu aura kehebatan sedang melanda kampung mereka. Angin tiba-tiba berpusar-pusar di atas tanah dan daun-daun kering galak berguguran dari reranting. Air sungai yang tenang tiba-tiba berkocak-kocak dan ikan-ikan melompat-lompat di gigi air.

 

Semua orang ketakjuban dan memandang sesama mereka melihat pertistiwa tersebut. Dan ketika kebanyakan mereka berkumpul di tanah lapang tempat berkumpul orang-orang kampung untuk keramaian kerana peristiwa itu, terlihatlah sebatang kelibat tegap seorang pemuda entah siapa memasuki kampung tersebut menghampiri mereka. Dan tidaklah terlihat wajahnya oleh orang ramai memandangkan wajahnya terlindung oleh rambutnya yang panjang mengurai menutupi wajahnya persis seorang perwira handalan gittew.

 

Setiap langkahnya di atas tanah akan mengesampingkan daun-daun kering dan puing-puing angin akan melingkar-lingkar di sekeliling tubuhnya. Pemuda tersebut perlahan-lahan menghampiri kumpulan orang-orang kampung. Serentak itu dengan perlahan-lahan hilanglah special effect entah kejadah apa yang macam angin-angin tadi tu.

 

Sekonyong-konyong beliau pun berhenti dan memperkenalkan dirinya sebagai “pemuda tidak bernama”, seorang gelandangan yang berkelana dari satu tempat ke suatu tempat lagi tidak berumah, kais pagi makan pagi, kais petang haram tak jumpa suatu makanan pun hendak dijamah.

 

Maka atas belas ihsan penduduk kampung maka dibenarkanlah beliau itu untuk menumpangi tidur atau berbuat apa-apapun di kampung itu selagi mana perbuatan tersebut tidak termasuk dalam kategori mencopet, merogol dan mengendap anak dara.

 

Di waktu kelapangan kelihatanlah pemuda tersebut bermain-main test power dengan auranya. Daun-daun pun berterbangan dan air di sungai berkocak-kocak disebabkan “power” tersebut. Oleh yang demikian maklumlah orang-orang kampung bahawa beliau bukanlah calang-calang insan.

 

Secara senyap-senyap maka sepakatlah ketua kampung dan ahli jawatankuasanya yang bijak pandai dipanggil untuk bermusyawarah poyo-poyo gittew. Ketua kampung meluahkan hasrat supaya pemuda tidak bernama dapat menjadi pelindung kepada orang-orang kampung bila masa samseng samsuddin dan konco-konco bedebahnya datang menyerang kerana kependekarannya.

 

Setelah genap sepurnama sejak kehadiran pemuda tidak bernama maka pada suatu siang hari terdengarlah ngauman naga-naga samsuddin dan orang-orangnya dari atas langit datang menyerang kampung tidak bernama.

 

Orang-orang kampung pun lari ke sana kesini menyelamatkan diri. Orang-orang muda pantas mencapai busur dan tombak hendak mempertahankan diri sambil menyanyikan lagu “tom tom bak” iaitu lagu rasmi kampung mereka buat membakar semangat.

 

Manakala ketua kampung pula berlari mencari pemuda tidak bernama merayu kepadanya supaya mempertahankan kampung tidak bernama dengan kuasa sakti yang dimilikinya.

 

Lantaran itu berlarilah pemuda tidak bernama ke gelanggang perang dengan gagah perkasa lagi macho kelihatannya. Lalu dia berhenti di tengah-tengah medan pertempuran yang maha sengit gila babi dan mengangkat penumbuk tangan kanannya ke langit. Seraya itu dia menjerit suatu jampi serapah yang perkataannya yang tidak pernah termaktub di dalam kamus dewan bahasa pun. 

 

Sekonyong-konyong itu tubuhnya pun menjadi besi pada penglihatan sekalian manusia di situ. Kemudian dia mengacungkan senjatanya yang memancutkan sinar-sinar seumpama kilat yang membakar tubuh musuh-musuhnya sehingga sekaliannya mampus masuk neraka.

 

Kemudian dia berteriak memanggil sesuatu di langit. Maka menerpalah seekor haiwan besar dari langit membaham kesemua naga milik konco-konco samsuddin hatta naga samsuddin sendiri pun semuanya mampus jua gamaknya.

 

Lantaran itu pemuda tidak bernama pun kelelahan akibat bertarung gedebak gedebuk bermati-matian. Lalu tubuhnya pun bertukar menjadi seperti manusia biasa semula.

 

Orang-orang kampung pula riang melihat peristiwa pada hari itu. Riang tentu sekali kerana samsuddin dan konco-konconya yang jahat itu telah mampus ke neraka dan dalam masa yang sama kaget kerana perihal pemuda tidak bernama itu.

 

Sementelaah itu ketua kampung yang nama sebenarnya ialah Tan Kim Swee menghampiri pemuda tidak bernama lalu bertanya: “siapakah gerangan tuan sebenarnya sehingga menjadi besi sebentar tadi?” lalu pemuda tidak bernama menjawab dalam suara serak-serak basah: “you can call me gaban”.

 

Mendengar gaban speaking Tan Kim Swee pun terus speaking juga sebab nak tunjuk terer: “gaban?? And what was your weapon just now you killed them with?”

 

Lalu dijawab gaban dengan riak: “Owh, this is my lazer pistol I used to shoot their ass just now”. Tan Kim Swee bertanya lagi: “And your beast from sky just know?”. Gaban menjawab: “Owh.. that was my robotic naga gaban”.

 

Tak berapa lama kemudian anak gadis Tan Kim Swee yang paras rupanya sedang-sedang sahaja dinikahkan dengan gaban bagi menghargai jasa besarnya di kampung tidak bernama dan kenduri kendara temasya tersebut dijalankan selama seminggu tujuh hari tujuh malam dan kesemua penduduk kampung itu pun berbahagia tak sudah-sudah.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Aksi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

Cerpen-cerpen lain nukilan heylelaki

Read all stories by heylelaki