Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Eksperimental

Namanya Siti...

Cerpen sebelumnya:
Lampu Padam
Cerpen selanjutnya:
Mamalia Dalam Cawan

Namanya Siti.Umurnya 33 tahun.Mereka menggelarnya andartu.

Hidup di masa kecilnya susah.Adik beradik ramai, 13 belas orang.Ayahnya pesara tentera dan tidak bekerja selepas itu.Apabila ditanya kenapa,dia menjawab."Ahh.. aku sudah puas bekerja selama ini.Kamu semua tak tahu, cuba sekarang kamu pula yang rasa." Dia marah-marah.

Ibu tidak melawan, syurga kan di bawah tapak kaki suami.Berdosa besar bagi sang isteri hatta memasamkan mukanya sekalipun terhadap suami.Bukankah kaum perempuan adalah yang paling ramai di neraka?
 
Maka ibu bersusah payah mencari kerja.Anak-anak terpaksa ditinggalkan di rumah.Ibu bertukar dari satu tempat kerja ke tempat yang lain.Tidak serasi.Pernah dia bekerja di kilang kayu.Tangannya mengelupas dan menjadi kasar.Habuk-habuk menyebabkan dia batuk berdarah,maka dia terpaksa berhenti.
 
Pernah dia menjual nasi lemak.Nasi lemaknya laku pada mulanya, ramai yang membeli.Tak lama kemudian berbaris-baris pula gerai nasi lemak yang lain dibuka berdekatan.Nasi lemak emak mulai membasi... itu pun habis dimakan anak-anak sendiri.
 
Maka ibu bekerja di kilang lain.Umurnya yang tua , siapalah yang mahu mengupahnya.Sijil yang ada cuma sijil berhenti sekolah,itupun takat tingkatan tiga.Paling layak sebagai tukang cuci di kilang.
 
Apabila balik rumah, anak-anak berkeliaran.Ada yang belum mandi, yang bongsu masih berlumuran tahi di punggung.Tak ada siapa ambil peduli.Ibu menjeling sang ayah.Sang ayah tidur buat tak tahu.
Siti bekerja, sama seperti adik-adik lain yang layak.Mencari peluang kerja sambilan.Jika tak ada ,siapa mahu menanggung.Dia masih mahu bersekolah.Mahu meminta pada kerajaan, ramai lagi orang lain yang beratur berebut kerana mereka juga susah.
 
Ibu tak layak kerana ibu ...bukan ibu tunggal. Jika dikira dicampur gaji  ayah, masih dikira agak senang.Ibu redha, walaupun duit suaminya itu ada tetapi seperti tidak ada. Mereka berumah tapi masih ditimpa hujan.Rumah mereka berpintu tapi selaknya hanya diikat dengan kain.
 
Ayah ada di rumah tapi seperti tunggul.Anak kelaparan dibiarkan.Apabila ibu balik, ibu memasak dan menghidangkan pada ayah.Ayah dapat seekor ikan seorang, anak-anak 13 orang berkongsi seekor ikan.
Ayah sudah berdengkur, ibu masih lagi berjaga.Membasuh baju segala.Esoknya ibu bangun pagi bersiap uruskan anak-anak ke sekolah kemudian pergi bekerja, ayah masih lagi berdengkur.
 
Tak apa.Syurga di bawah tapak kaki suami, bilang ibu.Jangan derhaka pada ayah, ibu berpesan.
 
Ya...itu dulu.Sekarang Siti dan adik-adik bekerja.Ayah pun mula berubah, iya anak-anak sudah bekerja.Jika masih berperangai seperti dulu, dia tentu tak akan dapat habuan.
 
Anak-anak patuh, ayah buruk dan baik perlu dihormati.Ibu lagilah.Bukankah syurga di bawah tapak kaki mereka?
 
Sekarang Siti sudah bekerja sebagai jurutera.Gajinya tak adalah banyak, tapi cukup untuk sara ibu ayah, adik-adik.Dia belum berkahwin dan tak mahu berkahwin.Semua orang bising, tak baik.Kahwin kan sunnah.
 
Ibu mencari-cari.Terjumpa penjual sayur, yalah siapa lagi yang mahukan andartu seperti Siti.Lainlah jika dia bekerja sebagai guru atau pun masih muda remaja.Bukankah ramai lelaki menggemari guru, jururawat atau doktor sebagai profisien isteri idaman?Bukankah lebih baik jika umur isteri lagi muda dari sang suami? Afdhal kan?

Ini dia bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang.Terpisat-pisat orang kampung mahu memahamkan pekerjaannya.Bukankah jurutera itu pekerjaan orang lelaki?Yang mereka mudah faham, kerja kilang bermakna operator pengeluaran.
 
Jadi siapa yang mahukan andartu minah kilang, sedangkan beratus-ratus lagi anak dara yang manis-manis beratur untuk dipetik.Apatah lagi Siti cuma tahu terperuk di rumah, mungkin orang tak tahu pun kewujudannya.
Ahh...Siti ...jika dibiarkan dia akan terperuk di situ dan berkarat seorang diri.Anak muda zaman sekarang bercinta cintun , dia masih lagi di situ.Tidak tercuit atau mencuit.
 
Ibu panik, jika dibiarkan maka calon untuk Siti  bukan lagi penjual sayur berusia 35 tahun.Mungkin duda berusia 70 tahun yang anak-anak tak mahu bela.Lagipun ibu juga malu bila ditanya orang kampung, kenapa Siti belum kahwin-kahwin?Ibu beritahu Siti,"Jika kamu tak mahu kahwin, sanggupkan kamu berseorangan di usia tua nanti?"
 
Siti jawab,"Banyak lagi yang berkahwin tapi berseorangan juga di usia tua."

Ibu marah.Siti terlampau berfikir, berkali-kali ibu menyatakan ramai sahaja yang kahwin tapi hidup mereka bahagia.Kenapa kamu takut?Serahkan pada Allah!
 
Siti akur...bukankah syurga di bawah telapak kaki ibu?
 
Ya, Siti sudah berkahwin.Dengan penjual sayur di pasar malam.Semuanya manis , segar seperti sayur yang dijual.Suami berkata,"Siti, berhentilah bekerja.Abang boleh sara Siti dan anak-anak."

Siti senyum, anaknya baru seorang."Siapa yang mahu bayar hutang kereta dan PTPTN Siti?Siti dulu belajar di universiti swasta, PTPTN Siti sahaja sudah mencecah RM400 sebulan.Itu belum lagi pinjaman-pinjaman yang lain.
 
Suami merajuk.Siti seperti tidak percaya dirinya, mentang-mentanglah dia cuma penjual sayur.Akhirnya Siti akur, bukankah syurga di bawah telapak kaki suami?

Anak sudah dua, duit simpanan Siti pun sudah habis.Suami pinjam buat meniaga kemudian pergi ke luar daerah.Mahu mengembangkan perniagaan demi Siti dan anak-anak.

Siti tunggu.Anak-anak tunggu.Sebulan... dua bulan..enam bulan.Dulu setiap hari telefon, kemudian sms.Kemudian jarang, jika di telefon jarang diangkat.Suami merungut, seperti diganggu.

Suami tidak pulang.Khabar angin yang dulu sampai ke rumah.Suami nikah lagi satu.Dengar cerita, suami tidak tahan dengan Siti.Siti  penyelenggaraannya tinggi, maklumlah jurutera.Belajar sampai universiti, suami tingkatan lima pun tak habis.Itu antara sms terakhir dari suami.Isteri kedua percaya dan orang kampung pun mula berspekulasi.

Siti berendam air mata.Mahu menuntut fasakh , bukannya mudah.Kena cari saksi segala.Siti bingung, mana mahu didahulukan.Turun naik mahkamah bukanlah senang seperti yang disangka.Anak-anak ataupun proses perceraian.Dua-dua mahukan duit.Dan Siti sudah tak ada duit.

Mahu balik rumah ibu, ibu pun susah.Mahu memohon kerja jurutera kembali,tapi siapa yang mahu menerimanya semula.Dia sudah berhenti lama, sudah ketinggalan.Lagipun dia sudah tua, sudah hampir nyanyuk mungkin.

Siti mula menjual nasi lemak, tidaklah sesedap mana kerana Siti bukanlah pandai memasak.Namun setiap hari ada budak-budak sekolah yang beli.Mahu jual mahal-mahal takut budak-budak tak mampu.Sekarang musim orang berjimat, harga barang semua naik.Siti kena cari jalan seorang diri , bagaimana mahu memulakan hidup  baru? Bingung.

Anak-anak orang lain mungkin boleh minum susu, anak-anak Siti...Siti ajar minum teh.Itupun kurang manis.Anak-anak menangis kelaparan, Siti menangis kesedihan.Tolonglah anak, bersyukurlah dengan apa yang ada.Rayunya dalam hati.

Dia ada bapa, dia ada ibu , dia pernah ada suami.Syurganya terletak di bawah tapak kaki mereka,Terasa seperti syurganya dipijak-dipijak.Di sepak-sepak.
 
Dia menangis, dia renung anak-anaknya yang tidur sambil menampar nyamuk yang hinggap dek kerana kelambu yang berlubang.Layakkah syurga di bawah tapak kakinya sekarang?

Itulah Siti... umurnya 43 tahun.Sekarang mereka menggelarnya janda beranak dua.

Cerpen sebelumnya:
Lampu Padam
Cerpen selanjutnya:
Mamalia Dalam Cawan

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
1 Penilai

Info penulis

Nur Husnidha

unidha | Jadikan unidha rakan anda | Hantar Mesej kepada unidha

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU


komen dari Facebook

3 Komen dalam karya Namanya Siti...
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik