Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Mamalia Dalam Cawan

  • 0
  • aleph
  • 11 years ago
  • 3,104
  • FREE

 

Dendam sebesar asteroid yang mampu mengharu-birukan dunia saya elakkan dengan melepaskan bayangan lalu dengan sekali nafas. Gergasi trauma yang tersangkut di hati bebas bagai angin pergi. Apakah saki baki haiwan dan mesin sudah luntur oleh kesanggupan maaf saya? Saya pandang ke depan. Masa lalu cuma melihat belakang saya.

***

Saya menjarakkan diri sementara pengasuh saya menonton drama berbahasa asing. Saya mengambil kesempatan melukis tamadun saya di dinding; rupa, peristiwa, kemenangan, kekayaan, musuh, tanaman, manusia, rumah, binatang, kenderaan, senjata, mata wang, nama-nama, dewa dewi, pemberontakan, sahabat, lagenda mitos, menara, tukang-tukang, makhluk asing, pahlawan, perang, cinta, seni, pelayaran, penjajahan, perayaan, hantu jin, matahari, tentera, sungai, gerbang, pedang, kegagalan, takhta, empayar dan kematian saya.

Tiada sebab untuk pengasuh saya menangis saban hari bila mengadap TV. Dia tidak punya saudara yang menghidap kanser kronik atau meninggal dunia. Jadi mengapa dia menangis? Saya tidak tahu bersimpati. Saya membiarkannya dihanyutkan emosi. Saya dengan waspada mencuri tulis sisa-sisa sejarah saya. Saya senyap seperti labah-labah di dinding. Ketika obsesi saya mengalir seperti sungai. Dinding melebar seluas tembok pemisah Israel. Saya kehabisan krayon, cat warna, pensil dan gincu ibu. Saya meminjam jem, coklat, kicap dan apa sahaja yang ada. Saya tenggelam dengan pekerjaan saya. Saya menjemput seniman dari zaman Firaun, Maya, Indus, Tang, Yunani menyertai saya. Picasso dan Kafka ketawa berguling-guling melihat kelakuan saya.

Sewaktu menerawang ke awanan. Pengasuh yang berbangsa asing itu memberkas saya secara mengejut. Saya dilayan seperti pelaku jenayah. Perempuan itu menyoal saya bertubi-tubi. Saya dipukul dibahagian punggung seolah-olah pusat kecerdikan saya diciptakan di situ. Dan apakah penyelenggaraan harus diperkasakan ditempat yang sama bagi memulihkan semua hal ditimbulkan saya acapkali. Dia menggoncangkan jasad saya yang telah terburai rohn. Kepala saya diluku beberapa kali bagi membuang kejahiliahan zaman dahulu kala, anggapnya.

Saya telah hilang mekanisma emosi untuk menangis dan mengalami analgesia kerana jiwa telah menghasilkan imun selepas seratus tahun mengalami invasi fizikal dan mental. Pengasuh saya memiliki fasiliti nurani yang kompleks. Anehnya dia tidak menyimpan walaupun sekecil-kecil simpati dan kasih sayang kepada saya. Rekod sejarah yang saya usahakan di dinding langsung dimusnahkannya. Seperti tindakan saya bagai melanggar akidah agama modennya. Saya tidak membawa nuansa pagan untuk diwariskan kepada zaman mendatang. Saya hanya mendokumentasikan identiti saya sebelum dijemput kematian kemanusiaan. Mempersalahkan saya menggunakan hukum mutlak yang diciptakan akal sebesar kuaci berisi impresionik saya anggap tidak munasabah.

Perempuan itu menyental contengan saya sungguh-sungguh. Saya berbesar hati diberi amnesti sebentar sebelum ibubapa saya yang apabila keluar bekerja menjadi mesin dan pulang menjadi haiwan sebaik sahaja memasuki pintu rumah. Saya menjadi ragu. Saya ini siapa pula? Mamalia atau barang keluli. Pengasuh saya yang separuh makhluk asing dan separuh bunian itu mencerca saya dengan bahasa ibundanya. Saya dapat membayangkan nasib yang akan menimpa saya sebaik orang tua saya pulang.

Ibu saya kembali seperti Santa Claus keluar bekerja. Bersamanya beberapa ketul burger dan kentang goreng. Sebelum memberikan saya mainan figura berupa makhluk span yang tinggal di rumah nenas di dasar laut. Dia melihat kelakuan renyah orang gaji yang sudah menggigil bagai mendepani puaka. Impian saya untuk memiliki sahabat segiempat kuning menjadi kabur. Kebengisan ibu memancar seperti matahari. Saya menjadi Utarid yang menghadapi ibu di sistem suria. Jasad saya akan lebur, keluh saya. Ibu berpidato tentang ekonomi, pendidikan, moral. Penuh dengan kata-kata klise yang boleh saya hafal seumur hidup.

Tanpa menyedari ayah sudah pulang dan ayah cuma mendiamkan diri seperti kerusi di dewan besar. Saya menjadi daun pisang yang bercarikan akibat dikoyak ibu. Saya dikenakan sekatan ekonomi dengan tidak diberi kelebihan dalam rutin makan berkuatkuasa serta-merta. Bersama dengan itu juga, semua hubungan diplomatik dunia luar dan dalam diputuskan daripada saya tanpa mendapat pertimbangan sewajarnya. Petisyen saya ditolak mentah-mentah. Saya bukan pengganas antarabangsa mahupun komunis.

Ayah yang tidak berveto didesak ibu untuk mengambil tindakan daripada berkecuali. Lalu ayah mengeluarkan naga yang membelit pinggangnya. Dunia lisan saya lenyap bak langit ditelan pencemaran. Suara mengaum menaikkan andrenalin saya. Ekor naga itu membedal tubuh saya. Pergerakan saya dipasung tangan ayah. Saya menahan diri. Tidak marah tidak benci. Jasad saya pecah seribu. Ketabahan saya mencantumkannya semula. Ibu tidak terpengaruh secara psikologi dengan kebuasan ayah. Ayah mengheret dendamnya berkenaan bajunya yang saya jadikan arca. Sepatutnya dia faham tentang maksud baik saya.

Setelah ayah puas dilemaskan emosinya. Badan saya berbanar-banar seperti harimau belang. Mata saya merah semacam hantu saka. Hanya cacing di dalam tanah mendengar esakan saya. Pada bilik seluas bimasakti saya kembali berpaut. Di kamar itu, saya menghadapi gangguan tidur dan ketakutan gelap. Saya mengigau ketika jaga. Saya tidak cenderung mencederakan diri sendiri kerana belum berkembang fikiran dewasa. Saya telah tergelincir ke lubang hitam yang diciptakan orang tua saya di tengah galaksi.

Tanpa iklan komersial. Saya memberanikan diri lekang dari penjuru bilik yang sedalam gua untuk menyelak tirai jendela. Saya mengharapkan kapal angkasa datang menyelamatkan saya dari menjadi mangsa konspirasi di sebalik perumahan yang tersusun bak papan litar elektronik kelestarian modenisasi. Virus apati dan sindrom tutup mulut bersembunyi semacam bayang-bayang di tengah hari. Jiran-jiran mempunyai telinga dan mata yang berkeupayaan fokus masalah negara dan menembusi benua-benua. Namun meletak kepedulian lebih kecil daripada ukuran mikro. Hidup ini serba indah, laung pemimpin negara. Kekesalan hanya hadir sesudah diri sendiri ditimpa musibah, sambung pihak pembangkang. Dan, janji perlu dituntut sepanjang masa, tambah rakyat.

***

Keliaran saya seperti Yahudi mengenang Holocaust setelah eksodus beberapa keturunan. Melempar bom sama rasional dengan menggoreng jemput-jemput. Jangan menulis sebarang catatan di dinding ego saya yang bercat kesumat. Saya akan membalas dengan pukulan yang bakal menukar posisi otak dengan punggung. Saya mampu menjatuhkan hukuman yang lebih dahsyat daripada mandatori. Isteri saya adalah pesalah nombor satu sepanjang hayat. Kami belum dikurniakan cahaya mata. Kasih sayang kami hanya dimiliki kucing juara pertandingan duabelas kali johan. Jiran tetangga tetap lalang semata-mata.

Saya selama beberapa dekat adalah pengganas yang dikehendaki perundangan moral. Kesan merangkak dari kolonialisme penderaan mental fizikal sejak kecil. Saya seperti cicak berlari di atas api neraka. Saya adalah ulat masa depan. Diam di dalam kepompong biarpun dipukul ribut hurikan selama seratus tahun . saya bangun menjadi rama-rama yang paling “evolutioniqeu” untuk menuntut pengadilan terhadap dunia. Ibubapa saya yang sudah meninggal terkubur di dalam jasad saya. Isteri saya pandang seperti beg pasir biarpun dialah pemaaf nombor satu dunia. Moto hidupnya adalah keredhaan. Hanya dengan kemaafan dapat menyelamatkan saya, kata ustaz yang saya temui dipinggir pembesar suara jumaat malam.

Tanpa pertolongan ahli jiwa dan pakar terapi. Saya hanya disedarkan oleh air minum yang dihidang oleh isteri saya pada satu petang tanpa saya minta. Bayang pada air yang sering dihidang itu saya lihat imej kubisme orang tua saya yang telah melebur kemaafan. Mamalia yang saya perhatikan itu adalah bayang diri saya sendiri. Mengapa air yang memberi pencerahan kepada saya, soal saya dengan tuangan air mata. Air lambang kesucian, celah isteri saya. Berterima kasihlah kepada air kerana member jalan bertemu Tuhan, kerana Tuhan Maha Pengampun, sambungnya tanpa diarahkan. Saya mati hidup semula sesaat. Kekesalan saya sebesar semua gunung dan bukit di dunia saat menghadapi isteri. Bagaimana dia begitu tabah?

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan aleph

Read all stories by aleph